“20–26 Jun. 2 Samuel 5–7; 11–12; 1 Raja-Raja 3; 8; 11: ‘Kerajaan-Mu Tidak Akan Berkesudahan,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“20–26 Jun. 2 Samuel 5–7; 11–12; 1 Raja-Raja 3; 8; 11,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
20–26 Jun
2 Samuel 5–7; 11–12; 1 Raja-Raja 3; 8; 11
“Kerajaan-Mu Tidak Akan Berkesudahan”
“Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Tuhan” (2 Timotius 3:16).
Mencatat Tanggapan Anda
Pemerintahan Raja Daud dimulakan dengan banyak janji. Imannya yang tidak tergoyah dalam mengalahkan Goliat adalah legenda. Sebagai raja, dia mengamankan Yerusalem sebagai ibu kotanya dan menyatukan Israel (lihat 2 Samuel 5). Kerajaan itu tidak pernah sekuat ini. Namun Daud menyerah kepada godaan dan kehilangan kuasa rohaninya.
Pemerintahan putera Daud, Salomo juga dimulakan dengan banyak janji. Kebijaksanaan dan kurnia membezakan yang diterima secara ilahi adalah legenda. Sebagai raja, dia memperluas perbatasan Israel dan membina sebuah bait suci yang megah untuk Tuhan. Kerajaan itu tidak pernah sekuat ini. Tetapi Salomo dengan bodohnya membiarkan hatinya berpaling kepada tuhan-tuhan lain.
Apakah yang kita dapat pelajari dari cerita-cerita tragis ini? Mungkin satu pengajaran adalah tanpa mengira pengalaman masa lalu kita, kekuatan rohani kita bergantung pada pilihan yang kita buat hari ini. Kita juga dapat lihat di dalam laporan-laporan ini bahawa kekuatan atau keberanian atau kebijaksanaan kita sendiri tidak akan menyelamatkan kita—itu adalah milik Tuhan. Cerita-cerita ini menunjukkan kepada kita bahawa harapan sejati Israel—dan harapan kita—bukan terletak pada Daud, Salomo, atau raja fana yang lain, tetapi pada “keturunan Daud” yang lain: Yesus Kristus (Matius 1:1), Raja Abadi yang akan “ampunkan dosa umat [-Nya]” jika kita “kembali kepada [-Nya]” (1 Raja-Raja 8:33–34).
Untuk gambaran keseluruhan kitab 2 Samuel dan 1 Raja-Raja, lihat “Samuel, Nabi Perjanjian Lama” dan “Raja-Raja” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan boleh memberi saya arahan.
Selepas Daud berjaya menyatukan Israel (lihat 2 Samuel 5:1–5), dia terpaksa membela rakyatnya dari orang Filistin Semasa anda membaca 2 Samuel 5:17–25, pertimbangkan bagaimana teladan Daud boleh membantu anda dalam cabaran yang anda hadapi (lihat juga 1 Samuel 23:2, 10–11; 30:8; 2 Samuel 2:1). Bagaimanakah anda mencari petunjuk Tuhan dalam hidup anda? Bagaimanakah anda diberkati dengan bertindak atas wahyu yang anda terima?
Lihat juga 1 Tawarikh 12; Richard G. Scott, “Cara untuk Memperoleh Wahyu dan Inspirasi untuk Kehidupan Peribadi Anda,” Liahona, Mei 2012, 45–47.
Apakah “keturunan [rumah]” yang Tuhan janjikan kepada Daud?
Ketika Daud menawarkan untuk membina sebuah rumah, maknanya sebuah bait suci, untuk Tuhan (lihat 2 Samuel 7:1–3), Tuhan menjawab bahawa putera Daud yang akan membinanya (lihat ayat 12–15; lihat juga 1 Tawarikh 17:1–15). Tuhan juga berfirman bahawa Dia akan membina Daud sebuah “keturunan [rumah]”, yang bermaksud keturunan, dan takhtanya akan kekal selamanya (lihat 2 Samuel 7:11, 16, 25–29; Mazmur 89:3–4, 35–37). Janji ini dipenuhi dalam Yesus Kristus, Raja Abadi kita, yang merupakan keturunan Daud (lihat Matius 1:1; Lukas 1:32–33; Yohanes 18:33–37).
Saya harus sentiasa berjaga-jaga terhadap dosa.
Kesetiaan Daud kepada Tuhan di masa lalu tidak membuatnya kebal terhadap godaan ketika dia “berjalan-jalan di bumbung istana yang rata” dan “nampak seorang wanita sedang mandi” (2 Samuel 11:2). Pertimbangkan pengajaran yang anda dapat pelajari dari pengalamannya. Soalan seperti ini dapat membantu anda mempelajari laporan ini:
-
Apakah pilihan yang dibuat oleh Daud yang menuntunnya ke jalan yang semakin berdosa? Apakah pilihan soleh yang dia dapat buat?
-
Bagaimanakah musuh berusaha menuntun anda ke jalan-jalan yang penuh dosa dalam hidup anda sendiri? Apakah pilihan yang dapat anda buat sekarang untuk kembali ke jalan yang selamat?
Lihat juga 2 Nefi 28:20–24.
Kurnia membezakan membantu saya membezakan antara yang betul dan yang salah.
Jika Tuhan berfirman kepada anda, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu” (1 Raja-Raja 3:5), apakah yang anda akan minta? Apakah yang mengagumkan anda tentang permintaan Salomo? Renungkan mengapa “kebijaksanaan” untuk “membezakan yang baik daripada yang jahat” (ayat 9) adalah kurnia yang berharga. Apakah yang anda boleh lakukan untuk menerima kurnia ini?
Lihat juga 2 Tawarikh 1; Moroni 7:12–19.
Bait Suci ialah rumah Tuhan.
Selama beratus tahun, hadirat Tuhan diwakili oleh khemah ibadat yang dibina oleh Musa. Walaupun Daud ingin bina untuk Tuhan sebuah tempat yang lebih kekal, Tuhan memilih putera Daud, Salomo untuk membina bait suci Tuhan. Semasa anda membaca doa Salomo dan kata-kata yang dia sampaikan kepada rakyatnya setelah menyelesaikan bait suci, perhatikan bagaimana perasaannya tentang Tuhan dan rumah-Nya. Anda juga dapat membuat senarai berkat-berkat yang diminta Salomo dalam doanya. Apakah yang anda perhatikan tentang berkat-berkat ini? Bagaimanakah anda diberkati oleh rumah Tuhan di zaman kita?
Lihat juga 2 Tawarikh 6.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
2 Samuel 5:19, 23.Bilakah kita pernah “bertanya kepada Tuhan” untuk bimbingan dan arahan? Bagaimanakah Dia telah menjawab kita?
-
2 Samuel 7:16.Ketika Tuhan berfirman kepada Daud, “Kerajaanmu tidak akan berkesudahan,” Dia merujuk kepada bakal raja di dalam keluarga keturunan Daud yang akan memerintah selamanya: Yesus Kristus. Mungkin keluarga anda boleh membuat mahkota buatan sendiri sambil membincangkan mengapa anda bersyukur bahawa Yesus Kristus adalah Raja Abadi anda.
-
2 Samuel 11.Membaca tentang dosa-dosa tragis Daud mungkin merupakan peluang yang baik untuk membincangkan bahaya pornografi, pemikiran tidak baik, dan tidak berakhlak. Sumber berikut berguna untuk perbincangan anda: Oktober 2019 majalah Liahona, sumber-sumber Gereja Menangani Pornografi (ChurchofJesusChrist.org/addressing-pornography). Ahli keluarga boleh membuat rancangan tentang tindakan mereka apabila mereka berhadapan pornografi.
-
1 Raja-Raja 11:9–11.Apakah “tuhan-tuhan lain” (ayat 10) yang boleh memalingkan hati kita dari Tuhan? Bagaimanakah kita dapat memastikan hati kita berpusat pada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus?
Untuk idea-idea lanjut berkenaan mengajar kanak-kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Ya Tuhan, Tambahkan,” Nyanyian Rohani, no. 48.