“27 Jun–3 Julai. 1 Raja-Raja 17–19: ‘Jika Tuhan Itu Tuhan, Sembahlah Tuhan,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“27 Jun–3 Julai. 1 Raja-Raja 17–19,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
27 Jun–3 Julai
1 Raja-Raja 17–19
“Jika Tuhan Itu Tuhan, Sembahlah Tuhan”
Semasa anda membaca tulisan suci, anda sedang menjalankan iman, yang mempersiapkan hati dan fikiran anda untuk mendengar “suara [Roh] yang lembut” (1 Raja-Raja 19:12).
Mencatat Tanggapan Anda
Bani Israel dalam keadaan kucar-kacir. Kesatuan dan kemakmuran yang dicapai di bawah Daud dan Salomo telah lama berlalu, dan hubungan perjanjian bangsa dan Tuhan, bagi kebanyakan orang, merupakan kenangan yang jauh. Kerajaan Israel telah terbahagi, dengan sepuluh suku membentuk Kerajaan Israel Utara dan dua suku lain membentuk Kerajaan Yehuda Selatan. Kedua-dua kerajaan itu tidak stabil secara rohani, dipimpin oleh raja-raja yang melanggar perjanjian mereka dengan Tuhan dan mempengaruhi orang lain untuk melakukan hal yang sama (lihat 1 Raja-Raja 11–16). Tetapi kemurtadan sangat parah di Kerajaan Utara, di mana Raja Ahab mendorong Israel untuk menyembah tuhan palsu Baal.
Dalam keadaan inilah nabi Elia dipanggil untuk berkhutbah. Laporan pelayanannya menjelaskan bahawa iman peribadi kepada Tuhan dapat berkembang di kalangan orang soleh bahkan dalam persekitaran yang jahat. Kadangkala Tuhan membalas iman seperti itu dengan mukjizat umum yang mengagumkan, seperti api dari syurga. Tetapi Dia juga melakukan mukjizat secara rahsia, seperti memenuhi keperluan peribadi seorang balu yang setia dan anaknya. Dan paling sering, mukjizat-Nya adalah sangat unik sehingga hanya dapat diketahui oleh anda sendiri—misalnya, ketika Tuhan menyatakan diri-Nya dan kehendak-Nya melalui “suara yang lembut” (1 Raja-Raja 19:12).
Untuk mengetahui lebih banyak tentang Elia, lihat “Elia” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Jemputan untuk berkorban adalah peluang untuk menjalankan iman saya.
Pada mulanya mungkin ia sukar difahami mengapa nabi Elia meminta balu di Sarfat untuk memberi dia makanan dan air sebelum memberi makan balu itu dan anaknya yang kelaparan. Tetapi permintaan Elia juga dapat dilihat sebagai berkat bagi keluarga kecil ini. Mereka memerlukan berkat Tuhan, dan pengorbanan sering membawa berkat—termasuk berkat iman yang lebih kuat.
Semasa anda membaca cerita ini, letakkan diri anda di tempat balu yang luar biasa ini. Apakah yang mengagumkan anda tentang balu ini? Pertimbangkan peluang yang anda miliki untuk menjalankan iman anda—termasuk peluang untuk berkorban. Bagaimanakah anda boleh menjadi lebih seperti balu ini?
Lihat juga Matius 6:25–33; Lukas 4:24–26.
“Jika Tuhan itu Tuhan, sembahlah Tuhan.”
Orang Israel mungkin merasa ada alasan yang baik untuk menyembah Baal walaupun Tuhan perintahkan, “Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja” (Keluaran 20:3). Baal terkenal sebagai dewa ribut dan hujan, dan setelah tiga tahun kemarau, mereka sangat memerlukan hujan. Dan pemujaan Baal diterima secara sosial dan disokong oleh raja dan permaisuri. Semasa anda membaca 1 Raja-Raja 18, pertimbangkan sebarang situasi dalam hidup anda yang boleh dibandingkan dengan keadaan yang orang Israel hadapi. Adakah anda pernah merasa ragu-ragu untuk mengikuti Tuhan kerana cara lain kelihatan lebih munasabah dan menarik? (lihat 1 Raja-Raja 18:21). Dalam peristiwa-peristiwa yang terdapat dalam bab ini, menurut anda apakah yang Tuhan cuba ajarkan kepada orang-orang tentang Dia dan tentang Baal? Apakah pengalaman yang telah mengajarkan anda kebenaran yang sama?
Ia mungkin menarik untuk mencatat hal-hal yang dikatakan dan dilakukan oleh Elia dalam bab ini yang menunjukkan imannya kepada Tuhan. Apakah yang anda pelajari daripada Elia tentang iman?
Lihat juga Yosua 24:15; 2 Nefi 2:26–28.
Tuhan sering berbicara dengan cara yang tenang dan sederhana.
Ketika Ratu Izebel mendengar tentang apa yang telah terjadi kepada para imamnya di Gunung Karmel, dia tidak bertukar hati—dia sangat marah. Takut akan nyawanya, Elia melarikan diri ke padang belantara dan berlindung di sebuah gua. Di sana, bergelut dengan kesepian dan kecewa, dia memiliki pengalaman dengan Tuhan yang sangat berbeza dari apa yang telah terjadi di Gunung Karmel. Apakah yang pengalaman Elia dalam 1 Raja-Raja 19:1–18 ajarkan anda tentang bagaimana Tuhan berkomunikasi dengan anda pada masa anda memerlukan? Renungkan masa-masa dalam hidup anda ketika anda mengalami suara-Nya. Apakah yang anda perlu lakukan untuk lebih kerap mendapat bimbingan-Nya?
Renungkan perkataan dan frasa yang digunakan dalam ayat-ayat berikut untuk menerangkan cara Tuhan berkomunikasi dengan kita: Helaman 5:30; 3 Nefi 11:3–7; Ajaran dan Perjanjian 6:22–23; 8:2–3; 9:8–9; 11:12–14; 36:2.
Lihat juga Mazmur 46:10; 1 Nefi 17:45; Russell M. Nelson, “Dengarkanlah Dia,” Liahona, Mei 2020, 88–92.
Melayani Tuhan adalah lebih penting daripada kebimbangan duniawi.
Elisa memiliki 12 kuk lembu yang menunjukkan bahawa dia mungkin orang kaya. Apakah yang mengagumkan anda tentang tindakannya yang tercatat dalam 1 Raja-Raja 19:19–21? Bagaimanakah anda dapat mengikuti teladan Elisa?
Lihat juga Matius 4:18–22.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
1 Raja-Raja 17:1–16.Gambar dalam panduan ini dapat membantu keluarga anda membayangkan laporan dalam 1 Raja-Raja 17:1–16. Setelah membaca ayat-ayat dan melihat sumber-sumber ini, setiap ahli keluarga boleh senaraikan sifat-sifat mengilhami yang dimiliki balu tersebut. Apakah yang Tuhan minta kita lakukan untuk menunjukkan iman kita?
-
1 Raja-Raja 18.“Elia dan Imam-Imam Baal” (dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama) dapat membantu keluarga anda mempelajari cerita dalam 1 Raja-Raja 18. Apakah hal-hal yang membuat kita tidak sepenuhnya komited kepada Tuhan? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kesanggupan kita untuk memilih Dia? (lihat ayat 21).
-
1 Raja-Raja 19:11–12.Apakah yang akan membantu keluarga anda memahami kepentingan mendengarkan “suara yang lembut” itu? Anda boleh membaca 1 Raja-Raja 19:11–12 bersama-sama dengan suara lembut atau menyanyikan lagu tentang Roh, seperti “Roh Kudus” (Buku Nyanyian Anak-anak, 55). Anda boleh menambahkan beberapa suara yang mengganggu untuk menggambarkan bagaimana Setan berusaha untuk membuat kita tidak dapat mendengar suara yang lembut itu. Ahli keluarga boleh berkongsi apa yang mereka lakukan agar peka terhadap bisikan Roh.
Untuk idea-idea lanjut berkenaan mengajar kanak-kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Roh Kudus,” Buku Nyanyian Anak-anak, 55.