“18–24 Julai. Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8: ‘Saya Sedang Menjalankan Pekerjaan Penting’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“18–24 Julai. Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
18–24 Julai
Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8
“Saya Sedang Menjalankan Pekerjaan Penting”
Presiden Ezra Taft Benson mengajarkan, “Firman Tuhan … mempunyai kekuatan untuk memperkukuhkan Orang Suci dan mempersenjatai mereka dengan Roh sehingga mereka dapat melawan kejahatan, berpegang teguh kepada yang baik, dan menemukan kegembiraan dalam hidup ini” (Teachings of Presidents of the Church: Ezra Taft Benson [2014], 118).
Mencatat Tanggapan Anda
Orang Yahudi telah ditawan di Babilonia selama kira-kira 70 tahun. Mereka telah kehilangan Yerusalem dan bait suci, dan banyak yang lupa komitmen mereka terhadap hukum Tuhan. Tetapi Tuhan tidak melupakan mereka. Malah, Dia telah menyatakan melalui nabi-Nya, “Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang” (Yeremia 29:10). Nubuat ini telah digenapi, Tuhan telah membuat jalan bagi orang-orang Yahudi untuk kembali, dan Dia membangkitkan para orang suruhan yang melakukan “pekerjaan penting” bagi umat-Nya (Nehemia 6:3). Para orang suruhan ini termasuk seorang gabenor bernama Zerubabel, yang mengawasi pembinaan semula rumah Tuhan; Ezra, seorang imam dan jurutulis yang memalingkan hati orang-orang kepada hukum Tuhan; dan Nehemia, seorang gabenor Yehuda yang kemudian memimpin pekerjaan pembinaan semula tembok pelindung di sekitar Yerusalem. Sudah tentu mereka menghadapi pertentangan, tetapi turut mendapat bantuan dari sumber yang tidak dijangka. Pengalaman mereka dapat memberi maklumat dan ilham kepada kita, kerana kita juga sedang melakukan pekerjaan yang hebat. Dan seperti mereka, pekerjaan kita banyak berkaitan dengan rumah Tuhan, hukum Tuhan, dan perlindungan rohani yang kita temui dalam-Nya.
Untuk gambaran keseluruhan tentang kitab Ezra dan Nehemia, lihat “Ezra” dan “Nehemia” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan mengilhami manusia untuk mendatangkan tujuan-Nya.
Setelah Persia menakluki Babilonia, raja Persia, Kores, telah diilhami oleh Tuhan untuk mengirim sekumpulan orang Yahudi ke Yerusalem untuk membina semula bait suci. Semasa anda membaca Ezra 1, perhatikan apa yang Kores bersedia untuk lakukan bagi menyokong orang Yahudi dalam pekerjaan penting ini. Bagaimanakah anda melihat Tuhan bekerja melalui lelaki dan wanita di sekitar anda, termasuk mereka yang bukan ahli Gereja-Nya? Apakah yang ini cadangkan kepada anda tentang Tuhan dan pekerjaan-Nya?
Lihat juga Yesaya 44:24–28.
Bait suci boleh memberikan saya kegembiraan.
Ketika orang Babilonia menyerang Yerusalem, mereka menjarah bait suci dan membakarnya ke tanah (lihat 2 Raja-Raja 25:1–10; 2 Tawarikh 36:17–19). Menurut anda bagaimanakah perasaan anda sekiranya anda tergolong dalam orang Yahudi yang menyaksikan ini? (lihat Mazmur 137). Perhatikan bagaimana perasaan orang Yahudi, beberapa dekad kemudian, ketika mereka diizinkan untuk kembali dan membina semula bait suci (lihat Ezra 3:8–13; 6:16–22). Renungkan perasaan anda sendiri tentang bait suci. Mengapakah bait suci adalah sumber kegembiraan? Bagaimanakah anda dapat menunjukkan kesyukuran anda kepada Tuhan untuk bait suci?
Saya dapat membantu pekerjaan Tuhan maju walaupun ditentang.
Pekerjaan Tuhan jarang berlaku tanpa pertentangan, dan ini telah berlaku atas usaha yang dipimpin oleh Zerubabel dan Nehemia. Dalam kedua kes itu, “musuh orang Yehuda” (Ezra 4:1) adalah orang Samaria—keturunan orang Israel yang telah bergaul dengan orang bukan Yahudi. Membaca tentang pertentangan mereka untuk membina bait suci (lihat Ezra 4–6) boleh menuntun anda untuk merenungkan pertentangan yang pekerjaan Tuhan hadapi hari ini dan bagaimana anda dapat bertindak balas ketika pertentangan datang.
Begitu juga, membaca tentang kerja Nehemia untuk memperbaiki tembok Yerusalem (lihat Nehemia 2; 4; 6) boleh menyebabkan anda merenungkan pekerjaan yang Tuhan mahu anda lakukan. Apakah yang anda pelajari dari teladan Nehemia?
Saya diberkati ketika saya mengkaji tulisan suci.
Bahkan selepas bait suci dibina semula, orang-orang Yerusalem bergelut secara rohani, kerana, untuk beberapa generasi, mereka mempunyai akses terhad kepada “kitab Taurat [Musa]” (Nehemia 8:1). Ezra jurutulis itu mendapat izin daripada raja Persia untuk pergi ke Yerusalem, di mana dia “membawa kitab itu ke hadapan semua orang yang berkumpul” (Nehemia 8:2). Bagaimanakah anda boleh mengikuti teladan Ezra yang digambarkan dalam Ezra 7:10? Semasa anda membaca Nehemia 8, yang memberikan laporan tentang Ezra membacakan Taurat itu kepada orang ramai, apakah pendapat anda tentang kuasa firman Tuhan dalam hidup anda?
Lihat juga Teachings: Ezra Taft Benson, 115–24.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Ezra 3:8–13; 6:16–22.Bagaimana orang Yahudi menunjukkan kegembiraan mereka terhadap bait suci ketika ia dibina semula dan ketika ia dibaktikan? Apakah yang kita lakukan untuk menunjukkan kegembiraan kita terhadap bait suci? Mungkin keluarga anda dapat melihat gambar bait suci dan bercakap tentang bagaimana ia membawa kegembiraan bagi anda (lihat temples.ChurchofJesusChrist.org).
-
Ezra 7:6, 9–10, 27–28.Beberapa kali dalam ayat-ayat ini, Ezra menulis bahawa tangan Tuhan berada bersama dia ketika dia pergi ke Yerusalem. Apakah maksud frasa ini? Bagaimanakah kita telah merasakan pertolongan Tuhan untuk kita? Mungkin ahli keluarga boleh berkongsi contoh dari kehidupan mereka.
-
Nehemia 2; 4; 6.Cerita Nehemia dapat mengilhami ahli keluarga ketika mereka menghadapi tentangan semasa mereka melakukan “pekerjaan penting” (Nehemia 6:3). Ahli keluarga dapat membina sebuah tembok dari objek yang anda miliki di sekitar rumah anda semasa anda membaca petikan utama (seperti Nehemia 2:17–20; 4:13–18; 6:1–3). Apakah yang kita pelajari daripada Nehemia tentang menghadapi pertentangan? Apakah pekerjaan penting yang Tuhan mahu kita lakukan? Bagaimanakah Tuhan menguatkan kita untuk mengatasi pertentangan terhadap pekerjaan ini?
-
Nehemia 8:1–12.Dalam Nehemia 8, Ezra membaca hukum Musa kepada orang-orang yang tidak sabar mendengar firman Tuhan. Membaca ayat 1–12 dapat membantu memperdalamkan penghargaan keluarga anda atas firman Tuhan. Bagaimanakah orang-orang rasakan tentang hukum Tuhan? Bagaimanakah kita dapat membantu sesama untuk “mengerti”? (ayat 8).
Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Ku Ingin ke Bait Suci,” Buku Nyanyian Anak-anak, 99.