“11–17 Julai. 2 Raja-Raja 17–25: ‘[Dia] percaya kepada Tuhan, Tuhan Israel,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“11–17 Julai. 2 Raja-Raja 17–25,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
11–17 Julai
2 Raja-Raja 17–25
“[Dia] Percaya kepada Tuhan, Tuhan Israel”
Ketika Yosia mendengar kata-kata dari kitab Taurat itu, dia menjawab dengan iman. Bagaimanakah anda boleh menjawab dengan iman kepada apa yang anda baca dalam 2 Raja-Raja 17–25?
Mencatat Tanggapan Anda
Walaupun pelayanan nabi Elisa mengagumkan, kerohanian Kerajaan Israel Utara terus menurun. Raja-raja jahat memperkenalkan penyembahan berhala, dan perang dan kemurtadan merajalela. Akhirnya Empayar Assyria menakluki dan mencerai-beraikan sepuluh suku Israel.
Sementara itu, Kerajaan Yehuda Selatan juga sama; penyembahan berhala juga tersebar luas di sana. Tetapi di tengah-tengah keruntuhan rohani ini, cerita-cerita tulisan suci menyebutkan dua raja soleh yang, untuk suatu tempoh, memalingkan rakyat mereka kepada Tuhan. Salah seorang ialah Hizkia. Semasa pemerintahannya, orang Assyria, baru dari kemenangan mereka di utara, menakluki sebahagian besar wilayah selatan. Tetapi Hizkia dan rakyatnya menunjukkan iman kepada Tuhan, yang membebaskan Yerusalem dengan cara yang menakjubkan. Kemudian, setelah tempoh kemurtadan yang lain, Yosia mulai memerintah. Diilhami sebahagiannya oleh penemuan semula kitab Taurat, Yosia membawa reformasi yang menghidupkan kembali kehidupan beragama untuk kebanyakan umatnya.
Apakah yang kita pelajari dari dua orang ini dalam tahun-tahun kegelapan dalam sejarah Yehuda? Antara hal yang lain, anda boleh merenungkan kuasa iman dan firman Tuhan dalam hidup anda. Seperti Israel dan Yehuda, kita semua membuat pilihan baik dan buruk. Dan ketika kita merasakan bahawa pembaharuan diperlukan dalam kehidupan kita, contoh-contoh Hizkia dan Yosia dapat mengilhami kita untuk “berharap kepada Tuhan, Tuhan [Kita]” (2 Raja-Raja 18:22).
Lihat juga 2 Tawarikh 29–35; bahagian “Fikiran untuk Direnungkan” “Yesus Berseru, ‘Israel Mari Pulang.’”
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Saya dapat kekal setia kepada Tuhan dalam masa-masa yang mencabar.
Sebilangan besar dari kita telah mengalami masa yang mencabar iman kita. Bagi Hizkia dan rakyatnya, masa mencabar itu datang ketika tentera Assyria menyerang Yehuda, menghancurkan banyak kota, dan mendekati Yerusalem. Semasa anda membaca 2 Raja-Raja 18–19, bayangkan anda tinggal di Yerusalem ketika masa seperti ini. Bagaimana perasaan anda, misalnya, mendengar ejekan orang Assyria seperti yang dicatatkan dalam 2 Raja-Raja 18:28–37 dan 19:10–13? Apakah yang anda pelajari dari tindakan Hizkia? (lihat 2 Raja-Raja 19:1–7, 14–19). Bagaimanakah Tuhan menyokong Hizkia? (lihat 2 Raja-Raja 19:35–37). Renungkan bagaimana Dia telah menyokong anda dalam masa-masa yang mencabar.
Anda juga boleh merenungkan gambaran tentang Hizkia dalam 2 Raja-Raja 18:5–7. Apakah yang ayat-ayat ini cadangkan tentang mengapa Hizkia dapat kekal setia ketika menghadapi cabaran? Bagaimanakah anda dapat mengikuti contohnya?
Lihat juga 3 Nefi 3–4; D. Todd Christofferson, “Teguh dan Tabah dalam Iman Kristus,” Liahona, Nov. 2018, 30–33.
Segala hal berada di tangan Tuhan.
Raja Sanherib, raja Assyria, memiliki alasan yang baik untuk mempercayai bahawa tenteranya akan menakluki Yerusalem. Assyria telah mengalahkan banyak negara, termasuk Israel—mengapa Yerusalem berbeza? (Lihat 2 Raja-Raja 17; 18:33–34; 19:11–13). Tetapi Tuhan mempunyai pesanan untuk Senherib, yang disampaikan melalui nabi Yesaya, dan ia dicatatkan dalam 2 Raja-Raja 19:20–34. Bagaimanakah anda akan meringkaskan pesanan ini? Apakah kebenaran yang anda dapati dalam ayat-ayat ini yang membantu anda beriman kepada Tuhan dan rancangan-Nya?
Lihat juga Helaman 12:4–23; Ajaran dan Perjanjian 101:16.
Tulisan suci dapat memalingkan hati saya kepada Tuhan.
Pernahkah anda merasakan bahawa anda kekurangan sesuatu secara rohani? Mungkin anda merasakan bahawa hubungan anda dan Tuhan dapat menjadi lebih kuat. Apakah yang membantu anda kembali kepada-Nya? Renungkan soalan ini ketika anda membaca tentang bagaimana Kerajaan Yehuda jauh dari Tuhan di bawah Raja Manasye (lihat 2 Raja-Raja 21) dan bagaimana Raja Yosia membantu mereka kembali semula kepada-Nya (lihat 2 Raja-Raja 22–23). Apakah yang mengilhami Yosia dan rakyatnya? Laporan ini boleh mengilhami anda untuk memperbaharui komitmen anda untuk “taat kepada-Nya … dengan segenap hati dan jiwa [anda]” (2 Raja-Raja 23:3).
Presiden Spencer W. Kimball menyarankan bahawa cerita Raja Yosia “adalah salah satu cerita terbaik dalam semua tulisan suci” (Teachings of Presidents of the Church: Spencer W. Kimball [2006], 62). Mengapakah Presiden Kimball merasa demikian? Bagaimana anda dapat menggunakan 2 Raja-raja 22–23 dalam hidup anda? Mengapakah Presiden Kimball merasa demikian? Apakah yang anda temui dalam kata-kata Presiden Kimball, terutama komennya mengenai Raja Yosia, yang membantu anda menggunakan 2 Raja-Raja 22–23 dalam hidup anda?
Lihat juga Alma 31:5; Takashi Wada, “Berjamu dengan Firman Kristus,” Liahona, Mei 2019, 38–40.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
2 Raja-Raja 19:14–19.Apakah yang dapat kita pelajari dari teladan Hizkia yang dapat membantu kita ketika kita menghadapi masalah atau pertanyaan yang sukar? Bagaimanakah Tuhan menjawab doa kita untuk meminta bantuan? Setiap ahli keluarga boleh membuat sesuatu untuk dipamerkan di rumah yang mengingatkan mereka untuk berpaling kepada Tuhan.
-
2 Raja-Raja 22:3–7.Para pekerja yang digambarkan dalam 2 Raja-Raja 22:3–7 diamanahkan dengan wang untuk membina semula bait suci “[kerana] sangat jujur” (ayat 7). Selepas membaca ayat-ayat ini, anda boleh meminta ahli keluarga untuk menamakan hal-hal yang mereka telah diamanahkan. Bagaimanakah kita boleh menjadi amanah seperti para pekerja dalam ayat-ayat ini?
-
2 Raja-Raja 22:8–11, 19; 23:1–3.Apakah yang mengagumkan kita tentang bagaimana Yosia dan rakyatnya bertindak balas terhadap firman Tuhan? Bagaimanakah kita bertindak balas terhadap firman Tuhan dalam tulisan suci? Ahli keluarga anda boleh berkongsi petikan atau cerita tulisan suci yang telah meningkatkan hasrat mereka untuk mengikuti Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus.
-
2 Raja-Raja 23:25.Apakah yang menonjol bagi kita tentang gambaran Yosia dalam ayat ini? Keluarga anda boleh melukiskan hal-hal yang mereka boleh lakukan minggu ini untuk berpaling kepada Tuhan dengan sepenuh hati.
Untuk idea-idea lanjut berkenaan mengajar kanak-kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu Cadangan: “S’dang Kubaca Kitab Suci,” Nyanyian Rohani, no. 117.