“18–24 Julai. Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8: ‘Saya Sedang Menjalankan Pekerjaan Penting’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“18–24 Julai. Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022
18–24 Julai
Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8
“Saya Sedang Menjalankan Pekerjaan Penting”
Semasa anda mengkaji, pertimbangkan pesanan dalam Ezra dan Nehemia yang paling diperlukan oleh kanak-kanak yang anda ajar. Buatlah rancangan pengajaran yang merangkumi tanggapan yang anda terima daripada Roh Kudus.
Catat Tanggapan Anda
Jemput Perkongsian
Tulis pada papan tulis Zerubabel, Ezra, dan Nehemia. Lukis atau tunjukkan beberapa gambar yang berkaitan dengan orang-orang ini, seperti sebuah bait suci, kitab suci, dan tembok Yerusalem. Bantu kanak-kanak memadankan nama dengan gambar, dan minta mereka berkongsi apa yang orang-orang ini telah lakukan.
Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil
Bait suci boleh membawa saya sukacita.
Laporan tentang Zerubabel dan orang Yahudi membina semula bait suci dapat membantu kanak-kanak bersukacita atas berkat-berkat yang datang kerana rumah Tuhan.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Jemput kanak-kanak untuk bercakap tentang sesuatu yang membuat mereka gembira. Tunjukkan gambar seseorang tersenyum di depan bait suci (seperti gambar dalam garis panduan ini), dan tanyakan kanak-kanak mengapa orang itu sangat gembira. Bersaksi bahawa bait suci adalah rumah Tuhan, dan ceritakan tentang suatu masa ketika anda merasa gembira kerana bait suci.
-
Bacakan kepada kanak-kanak bahagian terakhir dari Ezra 3:12, jelaskan bahawa ketika orang Yahudi meletakkan landasan bait suci, “orang lain yang hadir di sana bersorak-sorak kerana sukacita.” Jemput kanak-kanak bersukacita. Bantu mereka memikirkan sebab-sebab kita boleh bersukacita tentang bait suci. Contohnya, di dalam bait suci kita membuat janji dengan Tuhan yang membolehkan keluarga kita bersama selamanya.
-
Nyanyi bersama sebuah lagu tentang bait suci, seperti “Ku Ingin Ke Bait Suci” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 99). Selepas setiap baris, berhenti sebentar untuk meminta seorang kanak-kanak untuk berkongsi sesuatu yang dia kasihi tentang bait suci.
Tuhan akan membantu saya melakukan pekerjaan-Nya.
Semasa Nehemia sedang memperbaiki tembok di sekitar Yerusalem, musuh-musuhnya berusaha membuatnya berhenti, tetapi dia kekal beriman pada tugasnya. Apakah beberapa perkara penting yang Tuhan mahu kanak-kanak lakukan, dan bagaimana anda dapat mengilhami mereka untuk beriman pada pekerjaan itu?
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Kongsi dengan kanak-kanak cerita Nehemia (lihat Nehemia 2:17–20; 6:1–9. Ceritakan kepada kanak-kanak jawapan Nehemia ketika orang mengejeknya kerana ingin memperbaiki tembok Yerusalem: “Tuhan penguasa di syurga akan memberi kami kejayaan. Kami ini hamba-hamba-Nya, dan kami akan memulakan pembinaan” (Nehemia 2:20). Jemput kanak-kanak berdiri dan berlakon membantu memperbaiki tembok Yerusalem.
-
Bawa beberapa blok ke kelas, dan minta kanak-kanak menggunakannya untuk membantu anda membina tembok (atau melukis tembok pada papan tulis). Bantu kanak-kanak memikirkan beberapa perkara penting yang mungkin Bapa Syurgawi minta mereka lakukan, seperti belajar membaca tulisan suci. Dengan setiap idea yang dikongsi, jemput mereka untuk menambahkan blok ke tembok tersebut. Jelaskan bahawa semasa Nehemia melakukan pekerjaan penting untuk memperbaiki tembok Yerusalem, orang lain berusaha menghentikannya. Baca Nehemia 6:9, dan jemput kanak-kanak mengangkat tangan ketika anda membaca “kuatkanlah [tangan] aku.” Beritahu kanak-kanak tentang suatu masa ketika anda merasa Tuhan menguatkan tangan anda untuk melakukan pekerjaan-Nya.
Kitab suci adalah satu berkat.
Anda boleh gunakan cerita Ezra membacakan hukum-hukum untuk membantu kanak-kanak memikirkan betapa kita diberkati kerana memiliki kitab suci.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Beritahu kanak-kanak bahawa Ezra membacakan tulisan suci kepada orang ramai. Baca dengan lantang beberapa frasa dari Nehemia 8:2–3, 5–6, 8–9, 12 yang menggambarkan apa yang orang lakukan ketika mereka mendengar tulisan suci, dan jemput kanak-kanak untuk lakonkan frasa-frasa ini. Mengapakah kita bersyukur kerana memiliki kitab suci?
-
Jemput kanak-kanak untuk mewarna halaman aktiviti minggu ini. Semasa mereka lakukannya, kongsi dengan kanak-kanak bagaimana membaca tulisan suci telah mendekatkan anda kepada Juruselamat.
Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar
Bait suci memberi saya sebab untuk bersukacita.
Semasa anda dan kanak-kanak mengkaji laporan Zerubabel dan orang Yahudi yang membina semula bait suci, cari cara untuk bersaksi tentang sukacita yang datang kerana kita memiliki bait suci hari ini.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Jemput kanak-kanak untuk bekerjasama mencari frasa dalam Ezra 3:10–13 yang menunjukkan perasaan orang Yahudi ketika bait suci di Yerusalem dibina semula. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan sukacita kerana memiliki bait suci di bumi hari ini? Bantu kanak-kanak memikirkan cara mereka dapat bersedia untuk pergi ke bait suci.
-
Kongsi dengan kanak-kanak perasaan anda tentang bait suci. Bagaimanakah bait suci membantu anda merasa lebih dekat dengan Bapa Syurgawi dan Juruselamat? Mengapakah kita meraikan ketika sebuah bait suci dibaktikan? Berikan kanak-kanak masa untuk menulis perasaan mereka tentang bait suci, dan galakkan mereka untuk berkongsi dengan keluarga mereka.
Tuhan akan menguatkan saya untuk melakukan “pekerjaan penting.”
Tuhan mempunyai pekerjaan penting untuk kanak-kanak yang anda ajar. Apakah yang mereka dapat pelajari daripada Nehemia tentang ketabahan dalam pekerjaan itu walaupun mereka menghadapi pertentangan?
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Kaji semula bersama kanak-kanak cerita tentang Nehemia memperbaiki tembok di sekitar Yerusalem, termasuk pertentangan yang dihadapinya. Baca bersama Nehemia 2:19, dan minta kanak-kanak berkongsi situasi di mana seseorang mungkin mentertawakan kita kerana melakukan perkara yang benar. Berdasarkan Nehemia 2:20, bagaimanakah Nehemia bertindak balas? Bagaimanakah kita dapat bertindak balas apabila orang mengejek atau mengkritik kita kerana melakukan perkara yang benar?
-
Baca bersama Nehemia 6:1–9. Bagaimanakah musuh-musuh Nehemia berulang kali berusaha membuatnya berhenti memperbaiki tembok itu, dan bagaimana dia bertindak balas? Apakah pekerjaan yang Tuhan mahu kita lakukan? (lihat, contohnya, Mosia 18:8–10). Bagaimanakah kita dapat mengikuti teladan Nehemia dalam ayat 9 apabila ia sukar untuk melakukan apa yang Tuhan minta kita lakukan?
Saya diberkati semasa saya mengkaji tulisan suci.
Orang-orang di Yerusalem sudah lama tidak mendengar firman Tuhan sebelum Ezra membacanya kepada mereka. Cerita Ezra mengingatkan kita betapa pentingnya tulisan suci kepada kita.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Jemput kanak-kanak menyelidiki Nehemia 8:1–12 untuk mencari perkataan atau frasa yang menunjukkan perasaan orang ketika mendengar firman Tuhan. Minta kanak-kanak untuk berkongsi perasaan mereka ketika mereka membaca tulisan suci, dan kongsi perasaan anda juga.
-
Jemput seorang kanak-kanak untuk baca Nehemia 8:8, dan tanyakan kepada kanak-kanak apa yang membantu mereka memahami tulisan suci. Tunjukkan kepada mereka bagaimana untuk menggunakan bantuan belajar tulisan suci seperti Panduan Tulisan Suci . Jemput kanak-kanak untuk berkongsi sesuatu yang mereka telah pelajari tentang Juruselamat dari tulisan suci.
Menggalakkan Pembelajaran di Rumah
Jemput kanak-kanak untuk memilih sesuatu yang mereka pelajari hari ini yang mereka ingin berkongsi dengan keluarga mereka.