“27 Jun–3 Julai. 1 Raja-Raja 17–19: ‘Jika Tuhan Itu Tuhan, Sembahlah Tuhan,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 2022 (2021)
“27 Jun–3 Julai. 1 Raja-Raja 17–19,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022
27 Jun–3 Julai
1 Raja-Raja 17–19
“Jika Tuhan Itu Tuhan, Sembahlah Tuhan”
Kebanyakan kanak-kanak suka cerita. Bantu kanak-kanak mengenal pasti kebenaran dalam cerita yang terdapat dalam 1 Raja-Raja 17–19 yang akan menguatkan iman mereka kepada Yesus Kristus.
Catat Tanggapan Anda
Jemput Perkongsian
Tunjukkan kepada kanak-kanak gambar dalam panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga. Minta mereka untuk berkongsi apa yang mereka tahu tentang cerita-cerita dalam gambar. Apakah yang kita pelajari dari cerita-cerita ini?
Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil
Tuhan memberkati mereka yang beriman.
1 Raja-Raja 17 mencatatkan beberapa contoh iman yang besar. Kerana memiliki iman yang besar, Elia diberi makan oleh burung gagak semasa kebuluran, seorang balu dan anaknya ditambah banyak makanan, dan Elia membangkitkan anak balu dari kematian.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Paparkan gambar atau objek yang sesuai dengan cerita dalam 1 Raja-Raja 17, seperti burung, roti, atau budak lelaki. Ceritakan cerita-cerita ini kepada kana-kanak (“Nabi Elia” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama dapat membantu), dan jemput mereka untuk mencari gambar atau objek yang padan dengan setiap cerita. Tekankan bahawa Elia dan balu itu beriman kepada Yesus Kristus dan menerima berkat besar.
-
Bantu kanak-kanak memikirkan cara mereka dapat menunjukkan mereka beriman kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus, yang bermaksud mereka percaya dan mempercayai Mereka. Nyanyi bersama mereka sebuah lagu tentang iman, seperti “Ku Tahu Bapa Hidup” (Buku Nyanyian Anak-anak, 8).
Saya boleh memilih untuk mengikuti Yesus Kristus.
Elia menggesa orang Israel membuat keputusan untuk mengikuti Yesus Kristus. Bantu kanak-kanak melihat bahawa mereka dapat membuat pilihan yang sama.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Jelaskan kepada kanak-kanak bahawa orang-orang pada zaman Elia tidak pasti jika mereka mahu mengikuti Tuhan. Kongsi cerita bagaimana Elia menjemput mereka untuk memilih mengikuti Tuhan, terdapat dalam 1 Raja-Raja 18:17–39 (lihat juga “Elia dan Imam-Imam Baal” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama). Beritahu kanak-kanak mengapa anda memilih untuk mengikuti Yesus Kristus, dan minta kanak-kanak turut berkongsi.
-
Bacakan kanak-kanak apa yang Elia katakan kepada orang Israel: “Jika Tuhan itu Tuhan, sembahlah Tuhan” (1 Raja-Raja 18:21). Apakah maksudnya untuk mengikuti Yesus Kristus? Bantu kanak-kanak memikirkan hal-hal tertentu yang mereka akan lakukan untuk mengikuti Yesus Kristus, dan jemput mereka melukis diri mereka melakukan hal-hal tersebut.
Roh Kudus berbicara kepada saya dengan suara yang lembut bagaikan bisikan.
Dengan sedikit bimbingan, kanak-kanak boleh mengenali pengaruh Roh Kudus dalam kehidupan mereka. Renungkan bagaimana anda dapat membantu mereka.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Ringkaskan kepada kanak-kanak cerita yang terdapat dalam 1 Raja-Raja 19:9–12, dan baca ayat 11–12. Jemput mereka melakukan pergerakan mewakili angin kencang, gempa bumi, dan kebakaran. Kemudian jemput mereka untuk duduk diam ketika anda membaca akhir ayat 12 dengan suara yang lembut: “lalu terdengar suatu suara yang lembut bagaikan bisikan.” Minta mereka untuk cuba bercakap dengan suara yang tenang dan lembut. Beritahu mereka tentang pengalaman ketika anda menerima dorongan daripada Roh Kudus.
-
Bantu anak-anak mengenali masa-masa mereka mungkin merasakan pengaruh Roh Kudus. Contohnya, mainkan atau nyanyikan lagu yang takzim tentang Yesus, dan tanyakan bagaimana perasaan mereka ketika memikirkan tentang Dia. Tanyakan bagaimana perasaan mereka semasa melakukan aktiviti ketakziman yang lain, seperti berdoa dengan keluarga mereka atau mengambil sakramen. Jelaskan bahawa perasaan ini datang daripada Roh Kudus. Beritahu kanak-kanak bagaimana kuasa Roh Kudus telah memberkati hidup anda.
Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar
Apabila Tuhan meminta saya berkorban, saya boleh patuh dengan iman.
Balu Sarfat mempercayai Tuhan dan nabi-Nya, bahkan ketika dia diminta untuk membuat pengorbanan yang besar. Cerita ini dapat membantu kanak-kanak ketika Tuhan meminta mereka berkorban.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Bacakan 1 Raja-Raja 17:8–16 kepada kanak-kanak. Jemput mereka untuk melakonkan cerita ini semasa anda membacanya kali kedua. Sekali sekala berhenti seketika dan tanyakan bagaimana perasaan mereka jika mereka adalah Elia atau balu itu. Jemput mereka untuk berkongsi apa yang mereka pelajari dari cerita ini.
-
Jemput seorang kanak-kanak untuk melukis pada papan tulis apa yang Tuhan minta balu itu berikan kepada Elia (lihat 1 Raja-Raja 17:12–13). Jemput kanak-kanak yang lain untuk melukis apa yang balu tersebut terima (lihat 1 Raja-Raja 17:15–16). Apakah beberapa perkara yang Tuhan minta kita korbankan? Minta kanak-kanak untuk berkongsi bagaimana mereka telah diberkati kerana membuat pengorbanan.
Saya boleh memilih untuk mengikuti Yesus Kristus.
Orang Israel teragak-agak untuk mengikuti Tuhan. Renungkan bagaimana anda dapat mengilhami kanak-kanak untuk jadi komited dalam penganutan mereka.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Tugaskan setiap anak untuk membaca beberapa ayat dari 1 Raja-Raja 18:17–39 dan lukiskan apa yang digambarkan oleh ayat-ayat itu. Bantu kanak-kanak memahami ayat-ayat tersebut jika perlu. Kemudian minta mereka menggunakan lukisan mereka untuk menceritakannya. Apakah cerita ini ajarkan kita tentang Tuhan?
-
Minta kanak-kanak untuk bercakap tentang masa ketika mereka harus membuat keputusan antara dua hal yang berbeza. Apakah yang membantu mereka membuat keputusan? Bantu mereka memikirkan situasi ketika mereka perlu membuat keputusan untuk mengikuti atau tidak mengikuti Yesus Kristus. Apakah kebenaran dari cerita dalam 1 Raja-Raja 18:17–39 yang boleh membantu mereka membuat keputusan?
Roh Kudus berbicara kepada saya dengan suara yang lembut bagaikan bisikan.
Dunia ini penuh dengan suara yang mengganggu sehingga sukar untuk mendengar suara Roh yang tenang dan lembut. Bagaimanakah anda akan membantu kanak-kanak mendengarnya?
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Minta kanak-kanak mendengar dengan teliti semasa anda membacakan 1 Raja-Raja 19:11–12 kepada mereka dengan suara yang lembut. Jemput mereka selidiki 1 Raja-Raja 19 untuk mencari ayat-ayat yang anda baca dan untuk tahu apa yang Elia sedang lakukan. Bincangkan apa yang mereka harus lakukan untuk mendengar anda, dan membandingkannya dengan apa yang kita harus lakukan untuk mendengar “suara [Roh] yang lembut bagaikan bisikan”. Minta kanak-kanak bergilir membaca ayat-ayat lain dari 1 Raja-Raja 19 sementara kanak-kanak lain mencari ayat-ayat itu dalam tulisan suci.
-
Kongsi dengan kanak-kanak beberapa tulisan suci tambahan yang menerangkan bagaimana Roh berkomunikasi dengan kita (lihat Panduan Tulisan suci, “Ilham, Mengilhami,” scriptures.ChurchofJesusChrist.org). Minta kanak-kanak untuk bercakap tentang suatu masa ketika mereka merasakan Roh Kudus membimbing mereka atau bersaksi kepada mereka. Apakah yang mereka sedang lakukan? Apakah yang dapat mengalihkan perhatian kita daripada mengenali Roh? Baca bersama Moroni 4:3, dan galakkan kanak-kanak untuk memilih satu perkara yang mereka akan lakukan agar mereka boleh “selalu memiliki Roh-Nya bersama mereka.”
Menggalakkan Pembelajaran di Rumah
Jemput kanak-kanak memikirkan sesuatu yang mereka ingin lakukan kerana apa yang mereka pelajari hari ini. Contohnya, mereka boleh menetapkan matlamat rohani, intelektual, fizikal, atau sosial untuk menjadi lebih seperti Yesus Kristus.