“4–10 Julai. 2 Raja-Raja 2–7: ‘Ada Seorang Nabi di Israel,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“4–10 Julai. 2 Raja-Raja 2–7,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022
4–10 Julai
2 Raja-Raja 2–7
“Ada Seorang Nabi di Israel”
Aktiviti-aktiviti dalam panduan ini bertujuan untuk mencetuskan idea kreatif anda sendiri. Melalui kajian yang penuh doa, anda dapat menerima ilham untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang anda ajar.
Catat Tanggapan Anda
Jemput Perkongsian
Untuk menggalakkan kanak-kanak berkongsi apa yang mereka tahu tentang nabi Elisa, jemput mereka melukis sesuatu yang dia telah lakukan.
Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil
Tuhan dapat melakukan mukjizat dalam hidup saya.
Melalui nabi Elisa, Tuhan memberkati banyak orang dengan cara yang menakjubkan. Bantu kanak-kanak mengenali mukjizat Tuhan dalam hidup mereka.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Kongsi satu atau lebih mukjizat yang tercatat dalam 2 Raja-Raja 4–5 (lihat “Nabi Elisa” dan “Elisa Menyembuhkan Naaman” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama). Minta kanak-kanak berkongsi apa yang mereka suka tentang cerita-cerita ini. Jemput mereka untuk menceritakan semula cerita kepada satu sama lain.
-
Bersaksi bahawa Tuhan dapat menggunakan kuasa-Nya untuk melakukan hal-hal hebat untuk membantu kita. Kita gelar hal-hal ini mukjizat. Kongsi bagaimana Tuhan telah menunjukkan kasih-Nya kepada anda dalam cara yang besar atau kecil. Nyanyi bersama sebuah lagu tentang kasih Tuhan, seperti “Tuhan Kasih Padaku” (Buku Nyanyian Anak-anak, 16). Minta kanak-kanak untuk berkongsi bagaimana mereka tahu Bapa Syurgawi mengasihi mereka.
Saya boleh memilih untuk melakukan apa yang Tuhan perintahkan melalui nabi-Nya.
Naaman sukar mematuhi ketika nabi Elisa memberitahunya cara untuk disembuhkan dari penyakit kusta. Renungkan bagaimana anda dapat membantu kanak-kanak memahami berkat-berkat yang datang dari kepatuhan.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Ceritakan cerita Naaman (lihat 2 Raja-Raja 5:9–14; “Elisa Menyembuhkan Naaman” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama; lihat juga gambar Naaman dalam panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga). Tekankan pada mulanya Naaman tidak ingin mandi di Sungai Yordan, walaupun Elisa memberitahunya bahawa ini akan menyembuhkan penyakitnya. Ceritakan tentang suatu masa ketika anda tidak pasti mahu melakukan hal yang betul, dan bantu kanak-kanak memikirkan contoh mereka sendiri. Kemudian kongsi bagaimana Naaman telah diberkati ketika dia membuat pilihan yang benar.
-
Bacakan 2 Raja-Raja 5:13 kepada kanak-kanak, dan jelaskan bahawa orang suruhan Naaman membantunya membuat keputusan untuk patuh kepada nabi Elisa. Bantu kanak-kanak memikirkan cara mereka dapat membantu kawan atau ahli keluarga mereka untuk mendengar dan mematuhi nabi.
Tuhan sedang mengawasi saya.
Ketika orang suruhan Elisa melihat tentera orang Siria mengepung mereka, dia sangat takut. Namun, Elisa memberitahunya “Janganlah takut” kerana Tuhan ada bersama mereka (2 Raja-Raja 6:16).
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Bacakan 2 Raja-Raja 6:15 kepada kanak-kanak, atau jelaskan supaya mereka dapat faham. Jemput kanak-kanak bayangkan mereka dikelilingi oleh angkatan tentera yang besar dengan kuda dan kereta kuda, seperti orang suruhan Elisa. Bagaimanakah perasaan mereka? Apakah yang mereka akan lakukan? Minta mereka memejamkan mata semasa anda membaca 2 Raja-Raja 6:16–17 kepada mereka. Apabila anda menyebut perkataan “celikkanlah mata,” minta kanak-kanak untuk membuka mata mereka. Jelaskan kepada mereka apa yang orang suruhan itu nampak yang melindungi dia dan Elisa. Kongsi bagaimana anda mengetahui bahawa Tuhan sedang mengawasi kita.
Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar
Tuhan dapat melakukan mukjizat dalam hidup saya.
Semasa pelayanannya, Elisa menyembuh dan memberkati banyak orang. Bagaimanakah mukjizat dalam 2 Raja-Raja 4–5 membantu kanak-kanak mengenal pasti tangan Bapa Syurgawi dalam kehidupan mereka?
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Jemput kanak-kanak untuk menulis pada papan tulis seberapa banyak mukjizat yang mereka dapat ingat dari tulisan suci. Kemudian berikan mereka masa untuk kaji semula 2 Raja-Raja 4–5 dan tambahkan ke dalam senarai mereka (lihat 2 Raja-Raja 4:1–7, 14–17, 32–35, 38–41, 42–44; 5:10–14). Apakah yang mukjizat-mukjizat ini ajarkan tentang perasaan Bapa Syurgawi terhadap kita?
-
Minta kanak-kanak untuk bercakap tentang apakah itu mukjizat. Sekiranya mereka memerlukan bantuan, mereka boleh semak “Mukjizat” dalam Panduan Tulisan Suci (scriptures.ChurchofJesusChrist.org). Jemput mereka untuk berkongsi beberapa mukjizat yang Yesus telah laksanakan. Ceritakan bagaimana anda telah melihat kuasa Tuhan dalam hidup anda. Anda boleh memasukkan mukjizat harian seperti perasaan kedamaian, kurnia kehidupan seharian, atau bantuan dengan tugas harian. Jemput kanak-kanak untuk bercakap tentang mukjizat dalam hidup mereka, yang besar mahupun yang kecil.
Saya boleh memilih untuk jadi setia, rendah hati, dan patuh.
Naaman ingin disembuhkan dari penyakit kusta, tetapi dia tidak menjangkakan arahan mudah yang Elisa berikan kepadanya: “Mandi tujuh kali di Sungai Yordan” (2 Raja-Raja 5:10). Pertimbangkan bagaimana anda dapat menggunakan cerita ini untuk mengajar kanak-kanak tentang iman kepada Yesus Kristus, kerendahan hati, dan kepatuhan.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Tulis iman, kerendahan hati, dan kepatuhan pada papan tulis, dan tanyakan kanak-kanak maksud perkataan ini (lihat Iman, Kerendahan hati,, Patuh, Kepatuhan, Mematuhi di Panduan Tulisan Suci). Jemput kanak-kanak untuk baca 2 Raja-Raja 5:9–14. Bagaimanakah Naaman menunjukkan iman kepada Tuhan, kerendahan hati, dan kepatuhan? Mengapakah ia penting bagi kita untuk memiliki sifat ini?
-
Minta kanak-kanak untuk menceritakan suatu masa ketika seorang rakan membantu mereka memilih yang benar. Kongsi pengalaman anda sendiri juga. Baca bersama 2 Raja-Raja 5:10–13 untuk mengetahui bagaimana orang suruhan Naaman membantunya memilih untuk patuh kepada nabi. Apakah yang kita boleh lakukan untuk saling membantu satu sama lain untuk mengikuti nabi kita hari ini?
-
Jemput kanak-kanak untuk melengkapkan halaman aktiviti dan berkongsi dengan ahli keluarga atau rakan sesuatu yang mereka pelajari dari cerita Naaman dalam 2 Raja-Raja 5:1–15.
Saya tidak bersendirian.
Kanak-kanak yang anda ajar kadang-kala merasa seperti orang suruhan Elisa—tidak pasti bagaimana untuk menghadapi cabaran di hadapan mereka. Anda boleh menggunakan laporan dalam 2 Raja-Raja 6:8–17 untuk mengajar mereka untuk “janganlah takut” kerana Tuhan tidak meninggalkan mereka bersendirian.
Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian
-
Baca bersama 2 Raja-Raja 6:15–17. Jemput salah seorang kanak-kanak untuk berlakon sebagai orang suruhan Elisa sementara kanak-kanak yang lain bertanya tentang pengalamannya, contohnya bagaimana perasaannya ketika tentera orang Siria mengepung kota atau bagaimana rasanya melihat tentera Tuhan. Ceritakan kanak-kanak tentang masa-masa ketika mereka merasa bersendirian dalam berusaha untuk menjalani injil. Bagaimanakah Tuhan membantu kita mengetahui bahawa kita tidak bersendirian?
-
Nyanyi sebuahsatu lagu tentang bergantung kepada Tuhan, seperti “Jika Iman Kuat” (Nyanyian Rohani, no. 45). Apakah yang lagu ini ajarkan kita tentang mempercayai Tuhan?
Menggalakkan Pembelajaran di Rumah
Jemput kanak-kanak untuk berkongsi pengalaman dengan keluarga mereka ketika mereka mengenali tangan Tuhan dalam kehidupan mereka. Galakkan mereka untuk minta ahli keluarga mereka berkongsi pengalaman yang serupa.