Perjanjian Lama 2022
Fikiran untuk Direnungkan: Membaca Puisi dalam Perjanjian Lama


“Fikiran untuk Direnungkan: Membaca Puisi dalam Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“Fikiran untuk Direnungkan: Membaca Puisi dalam Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022

ikon fikiran

Fikiran untuk Direnungkan

Membaca Puisi dalam Perjanjian Lama

Dalam kitab-kitab Perjanjian Lama sebelum kitab Ayub, kebanyakan kita menemukan penceritaan yang menggambarkan peristiwa bersejarah dari perspektif rohani. Nuh membina sebuah bahtera, Musa menyelamatkan Israel, Hana berdoa untuk mempunyai seorang anak lelaki, dan seterusnya. Bermula dari Ayub, kita temui gaya penulisan yang berbeza, apabila penulis-penulis Perjanjian Lama beralih ke bahasa puitis untuk frasa perasaan mendalam atau nubuat agung dalam cara yang tidak dapat dilupakan.

Kita telah lihat beberapa contoh puisi yang tertabur di seluruh kitab-kitab sejarah Perjanjian Lama. Dari kitab Ayub dan selanjutnya, kita akan lihat lebih banyak tentangnya. Kitab Ayub, Mazmur, dan Amsal hampir keseluruhannya adalah puisi, seperti juga bahagian dari tulisan para nabi seperti Yesaya, Yeremia, dan Amos. Kerana membaca puisi adalah berbeza dari membaca cerita, memahaminya sering memerlukan pendekatan yang berbeza. Berikut adalah beberapa pemikiran yang dapat menjadikan pembacaan puisi Perjanjian Lama anda lebih bermakna.

Mengenali Puisi Ibrani

Pertama, ini mungkin membantu anda untuk ingat bahawa puisi Ibrani dalam Perjanjian Lama tidak berdasarkan rima, seperti beberapa jenis puisi lain. Dan meskipun irama, mainan kata, dan pengulangan suara adalah ciri umum puisi Ibrani kuno, ia biasanya hilang dalam terjemahan. Namun, satu ciri yang anda akan perhatikan adalah pengulangan pemikiran atau idea, kadang-kadang disebut “paralelisme.” Ayat dari Yesaya ini mengandungi contoh yang mudah:

  • [Hai Zion], kuatkanlah hatimu;

  • kenakanlah pakaian kebesaranmu, Hai Yerusalem (Yesaya 52:1).

Mazmur ke-29 mempunyai banyak ayat selari—berikut adalah satu contoh:

  • Suara Tuhan kedengaran dengan penuh kuasa

  • dan kemuliaan (Mazmur 29:4).

Dan inilah contoh di mana mengetahui bahawa baris kedua selari dengan yang pertama sebenarnya menjadikan petikan lebih mudah difahami:

  • Akulah yang mendatangkan kebuluran

  • kepada semua kota kamu (Amos 4:6).

Dalam contoh ini, suatu idea diulang dengan sedikit perbezaan. Teknik ini dapat menekankan idea berulang semasa menggunakan perbezaan untuk menerangkan atau mengembangkannya dengan lebih lengkap.

Dalam kes lain, dua frasa selari menggunakan bahasa yang serupa untuk menyampaikan idea yang berbeza, seperti dalam contoh ini:

  • Jawapan yang lembut meredakan kemarahan,

  • sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah (Amsal 15:1).

Paralelisme ini tidak berlaku secara kebetulan. Para penulis melakukannya dengan sengaja. Ia membolehkan mereka mengungkapkan perasaan atau kebenaran rohani dengan cara yang mereka anggap berkuasa dan indah. Oleh itu, apabila anda melihat paralelisme dalam penulisan Perjanjian Lama, tanyakan diri anda bagaimana ia membantu anda memahami pesanan penulis. Contohnya, apakah yang cuba disampaikan oleh Yesaya dengan menghubungkan “kekuatan” dengan “pakaian kebesaran” dan “Sion” dengan “Yerusalem”? (Yesaya 52:1). Apakah yang dapat kita simpulkan tentang frasa “jawapan yang lembut” jika kita tahu bahawa “kata-kata yang pedas” adalah maksud sebaliknya? (Amsal 15:1).

seorang lelaki menulis pada skrol

He Restoreth My Soul (Dia Memulihkan Jiwaku), oleh Walter Rane

Puisi Ibrani sebagai Teman Baharu

Ia mungkin bermanfaat bagi anda untuk bandingkan pembacaan puisi sebagai bertemu orang baharu. Contohnya, anda boleh membandingkan pembacaan puisi Perjanjian Lama sebagai bertemu dengan seseorang dari negara yang jauh dan budaya asing yang tidak gunakan bahasa yang sama dengan kita—dan yang kebetulan telah berusia lebih dari dua ribu tahun. Orang ini mungkin akan ucapkan hal yang kita tidak fahami pada mulanya, tetapi itu tidak bermaksud dia tidak mempunyai apa-apa yang berharga untuk dikatakan kepada kita. Dengan sedikit kesabaran dan rasa kasihan, kenalan baharu kami dapat menjadi teman yang dikasihi. Kita hanya perlu luangkan masa bersama, cuba melihat dari sudut pandangan orang tersebut. Kita bahkan mendapati bahawa kita sebenarnya memahami satu sama lain dengan baik.

Oleh itu, pertama kali anda membaca petikan dari Yesaya, anggapnya sebagai perkenalan pertama anda dengan seorang kenalan baharu. Tanyakan diri anda, “Apakah tanggapan umum saya?” Bagaimanakah perasaan anda tentang petikan ini—walaupun anda tidak memahami setiap perkataan? Kemudian bacanya semula, untuk beberapa kali. Sesetengah orang menemukan makna baharu dengan membaca petikan itu dengan lantang. Perhatikan perkataan khusus yang Yesaya gunakan, terutamanya perkataan yang memberi gambaran di minda anda. Bagaimanakah perasaan anda tentang gambaran-gambaran itu? Apakah yang gambaran itu cadangkan tentang perasaan Yesaya? Semakin banyak anda mengkaji kata-kata para pemuisi Perjanjian Lama ini, semakin banyak anda akan mendapati bahawa mereka cermat memilih perkataan dan teknik untuk menyampaikan pesanan rohani yang mendalam.

Puisi boleh menjadi teman menakjubkan kerana ia membantu kita memahami perasaan dan pengalaman kita. Puisi-puisi Perjanjian Lama sangat berharga, kerana ia membantu kita memahami perasaan dan pengalaman kita yang paling penting—yang berkaitan dengan hubungan kita dan Tuhan.

Semasa anda mengkaji puisi dalam Perjanjian Lama, ingatlah bahawa kajian tulisan suci adalah lebih berharga ketika ia membimbing kita kepada Yesus Kristus. Carilah lambang, gambaran, dan kebenaran yang membina iman anda kepada-Nya. Beri perhatian kepada dorongan Roh Kudus semasa anda mengkaji.

Sastera Kebijaksanaan

Ahli-ahli sarjana mengelar satu kategori puisi Perjanjian Lama sebagai “sastera kebijaksanaan.” Ayub, Amsal, dan Pengkhutbah tergolong dalam kategori ini. Sementara mazmur mengungkapkan perasaan pujian, duka, dan penyembahan, sastera kebijaksanaan tertumpu pada nasihat abadi atau pertanyaan falsafah yang mendalam. Kitab Ayub, contohnya, menerokai tentang keadilan Tuhan dan sebab-sebab penderitaan manusia. Amsal memberi nasihat tentang cara hidup dengan baik, termasuk ucapan bijaksana yang dikumpulkan dan diturunkan dari generasi sebelumnya. Dan Pengkhutbah mempersoalkan tujuan hidup itu sendiri—ketika semuanya kelihatan sementara dan rawak, di mana kita dapat menemukan makna sebenarnya? Anda boleh menganggap sastera kebijaksanaan sebagai perbualan bijaksana dengan mentor yang diilhami yang ingin berkongsi pemerhatian tentang Tuhan dan dunia yang Dia ciptakan—dan ini mungkin membantu anda memahami hal-hal ini sedikit lebih baik daripada apa yang anda fahami sebelumnya.