Perjanjian Lama 2022
4–10 April. Kejadian 14–17: “Perhatikanlah Apa yang Akan Dilakukan oleh Tuhan untuk Menyelamatkan Kamu”


“4–10 April. Keluaran 14–17: ‘Perhatikanlah Apa yang Akan Dilakukan oleh Tuhan untuk Menyelamatkan Kamu,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“4–10 April. Keluaran 14–17,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022

Laut Merah

Laut Merah

4–10 April

Keluaran 14–17

“Perhatikanlah Apa yang Akan Dilakukan oleh Tuhan untuk Menyelamatkan Kamu”

Semasa anda membaca Keluaran 14–17, catatkan tanggapan rohani yang anda terima. Tanggapan ini dapat membantu anda merancang untuk mengajar tulisan suci dan kebenaran yang anda pelajari kepada kanak-kanak.

Mencatat Tanggapan Anda

ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Keluaran 14–17 dipenuhi dengan cerita yang tidak dapat dilupakan. Jemput beberapa kanak-kanak untuk berkongsi cerita yang mereka ketahui dari bab-bab ini, serta sesuatu yang mereka pelajari darinya.

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Keluaran 14:5–22

Tuhan membebaskan Musa dan rakyatnya.

Membelah Laut Merah adalah satu mukjizat yang menunjukkan kepada Musa dan bangsa Israel betapa berkuasanya Tuhan. Mengetahui tentang kuasa Tuhan dapat membantu kanak-kanak mempercayai Dia.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Fikirkan cara untuk berkongsi cerita bangsa Israel menyeberangi Laut Merah dengan cara yang menarik dan tidak dapat dilupakan. Contohnya, anda atau ahli bahagian lain boleh berpakaian seperti Musa untuk menceritakan cerita dari Keluaran 14:5, 9–10, 13–16, 19–22. Kanak-kanak boleh berpura-pura bahawa kerusi adalah Laut Merah, dan mereka boleh mengikuti orang yang berlakon sebagai Musa ketika dia berjalan di antara kerusi-kerusi tersebut. Atau kanak-kanak boleh berlakon menjadi air dan bergerak ke sisi bilik secara terpisah ketika Musa membelah mereka. Tekankan bahawa Tuhan memberi Musa kuasa untuk membelah laut agar bangsa Israel dapat dibebaskan dari penawanan.

  • Jemput kanak-kanak untuk mewarnakan halaman aktiviti semasa anda mengulas cerita dari Keluaran 14:5–22 bersama mereka. Mereka boleh bekerja bersama untuk menceritakan cerita tersebut menggunakan halaman aktiviti.

Keluaran 15:23–25; 16:14–15; 17:1–6

Tuhan akan menyediakan untuk keperluan saya.

Laporan tentang Tuhan menyediakan makanan dan air untuk bangsa Israel di padang belantara mengajar kita bahawa Dia dapat menyediakan untuk keperluan kita. Renungkan apa yang anda boleh lakukan untuk melibatkan kanak-kanak dalam mempelajari cerita-cerita ini.

wanita mengumpulkan manna

Manna daripada Tuhan memberi makan kepada Israel secara jasmani; kita juga memerlukan makanan rohani setiap hari. Fresco oleh Leopold Bruckner

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Bantu kanak-kanak melakonkan peristiwa dalam Keluaran 15:23–25; 16:14–15; 17:1–6, berlakon menjadi Musa atau bangsa Israel. Sekiranya boleh, bawa objek untuk membantu menceritakan setiap cerita, seperti ranting (untuk menyembuhkan air di Marah), balang atau periuk (untuk diisi dengan manna), dan tongkat dan batu (untuk air di Horeb). Bagaimanakah Tuhan menjaga bangsa Israel? Bagaimanakah Dia menjaga kita setiap hari?

  • Secara ringkas kongsi cerita dalam Keluaran 15:23–25; 16:14–15; 17:1–6. Semasa anda berkongsi, jemput kanak-kanak untuk melukis gambar tentang setiap cerita. Apakah yang kita pelajari tentang Tuhan dalam cerita-cerita ini?

Keluaran 17:8–16

Saya boleh menyokong nabi kita.

Cerita Harun dan Hur mengangkat tangan nabi Musa dapat dibandingkan dengan usaha kita untuk menyokong nabi hidup kita.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Jemput tiga orang kanak-kanak untuk berdiri di depan bilik dan mewakili Musa, Harun, dan Hur semasa anda menceritakan cerita dari Keluaran 17:8–16. Apakah yang kita dapat lakukan hari ini untuk membantu nabi kita, sama seperti Harun dan Hur membantu nabi Musa?

  • Paparkan gambar nabi hidup, dan tanyakan kepada kanak-kanak siapakah dia. Bantu kanak-kanak mengingat beberapa hal yang nabi telah ajarkan kepada kita baru-baru ini. Minta kanak-kanak untuk berkongsi beberapa cara mereka mengikuti nabi. Nyanyikan bersama beberapa rangkap “Patuhi Nabi,” termasuk rangkap yang terakhir (Buku Nyanyian Anak-Anak, 58).

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar

Keluaran 14:5–22

Saya boleh belajar untuk sentiasa mengikuti Roh.

Musa tahu melalui wahyu bagaimana untuk membimbing bangsa Israel menyeberangi Laut Merah (Lihat Ajaran dan Perjanjian 8:2–3). Bagaimanakah cerita ini membantu kanak-kanak yang anda ajar untuk bertindak atas wahyu peribadi?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tunjukkan gambar Musa membelah Laut Merah di panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga. Minta kanak-kanak untuk kaji semula Keluaran 14:5–22 dan berkongsi sesuatu yang mereka tahu tentang cerita tersebut. Apakah yang Ajaran dan Perjanjian 8:2–3 tambahkan kepada pemahaman tentang cerita tersebut? Ceritakan tentang pengalaman ketika Roh Kudus memberitahu anda sesuatu dalam fikiran atau hati anda, dan jemput kanak-kanak untuk membincangkan pengalaman mereka.

  • Ingatkan kanak-kanak tentang kisah Nefi mengikuti Roh ketika dia mendapatkan kepingan-kepingan loyang (lihat 1 Nefi 4:1–6). Bantu kanak-kanak untuk melihat bahawa Musa juga mengikuti Roh ketika dia membimbing bangsanya menyeberangi Laut Merah. Bantu kanak-kanak menulis ayat baharu untuk“Keberanian Nefi” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 64) tentang bagaimana Tuhan menyediakan jalan bagi Musa ketika dia menunjukkan keberanian dan mengikuti Roh. Nyanyikan ayat baharu itu bersama.

Keluaran 15:23–25; 16:14–15; 17:1–6

Tuhan akan menyediakan untuk keperluan saya.

Jika kita berpaling kepada Yesus Kristus, Dia dapat membantu kita ketika masa-masa sukar dalam kehidupan kita, sama seperti Dia telah membantu anak-anak Israel.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Bahagikan kelas kepada pasangan atau kumpulan kecil, dan tugaskan setiap kumpulan untuk membaca salah satu petikan berikut: Keluaran 15:23–25; 16:14–15; 17:1–6. Minta kanak-kanak dalam setiap kumpulan untuk melukis gambar yang mewakili apa yang mereka baca dalam ayat-ayat ini, dan kemudian minta ahli kelas yang lain meneka apa yang mereka lukiskan. Bantu kanak-kanak mengenal pasti apa yang diajarkan dalam cerita-cerita ini tentang Yesus Kristus. Apakah percubaan yang orang ramai hadapi hari ini? Bagaimanakah Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus menolong kita menghadapi cubaan kita?

  • Semasa anda mengulas cerita-cerita ini, tanyakan kepada kanak-kanak mengapa roti dan air sangat penting bagi anak-anak Israel. Apakah yang akan berlaku sekiranya mereka tidak mempunyai roti dan air? Bantu kanak-kanak memahami bahawa roti dan air sakramen sangat diperlukan secara rohani bagi kita (lihat Yohanes 4:13–14; 6:35, 48–51). Anda boleh meminta kanak-kanak untuk berkongsi perasaan mereka tentang sakramen.

Keluaran 17:8–16

Kita akan diberkati semasa kita menyokong pemimpin Gereja kita.

Anak-anak Israel menang dalam pertempuran melawan Amalek hanya ketika Musa mengangkat tangannya di udara. Apakah yang kita dapat pelajari tentang menyokong pemimpin kita dari cerita ini?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Untuk membantu kanak-kanak kaji semula cerita dalam Keluaran 17:8–16, tulis di papan tulis: Siapakah yang membantu Musa ketika pertempuran? Apakah yang mereka lakukan? Apakah hasilnya? Jemput kanak-kanak mencari jawapan dalam ayat-ayat. Apakah yang cerita ini ajarkan tentang bagaimana kita dapat membantu kerajaan Tuhan untuk berjaya? Apakah yang kita dapat lakukan untuk menyokong, mempertahankan, dan mengikuti pemimpin Gereja kita?

  • Jemput kanak-kanak untuk membaca Keluaran 17:8–16 dan lukis satu gambar tentang apa yang mereka baca. Galakkan mereka melukis gambar yang mereka pelajari daripada cerita tersebut. Mengapakah ini merupakan pesanan penting bagi kita hari ini?

ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Jemput kanak-kanak untuk memilih salah satu cerita dari perbincangan anda hari ini. Bantu mereka memikirkan sesuatu yang mereka boleh lakukan pada minggu depan untuk menggunakan apa yang cerita tersebut ajarkan.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Kanak-kanak suka cerita-cerita. Kanak-kanak dapat memahami asas-asas Injil dengan lebih baik apabila mereka dapat melihatnya dalam kehidupan orang-orang yang sebenar. Semasa anda berkongsi cerita tulisan suci, pertimbangkan untuk berkongsi pengalaman dari kehidupan anda yang mengajarkan asas yang sama Anda juga boleh menjemput kanak-kanak berkongsi pengalaman mereka.