Perjanjian Lama 2022
16–22 Mei. Ulangan 6–8; 15; 18; 29–30; 34: “Berhati-hatilah Supaya Kamu Tidak Lupa Akan Tuhan”


“16–22 Mei. Ulangan 6–8; 15; 18; 29–30; 34: ‘Berhati-hatilah Supaya Kamu Tidak Lupa Akan Tuhan,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“16–22 Mei. Ulangan 6–8; 15; 18; 29–30; 34,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022

Imej
Musa berdiri di atas gunung

Ilustrasi Musa di Gunung Nebo, © Providence Collection/lesen dari goodsalt.com

16–22 Mei

Ulangan 6–8; 15; 18; 29–30; 34

“Berhati-hatilah Supaya Kamu Tidak Lupa Akan Tuhan”

Renungkan bagaimana anda dapat menyesuaikan aktiviti dalam panduan ini dengan keperluan kanak-kanak yang anda ajar. Contohnya, jika anda mengajar kanak-kanak kecil, anda boleh membantu mereka mempersiapkan diri untuk pembaptisan dengan menyesuaikan aktiviti “Mematuhi perjanjian saya membawa berkat besar” di bahagian untuk kanak-kanak yang lebih besar.

Catat Tanggapan Anda

Imej
ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Jemput kanak-kanak untuk berkongsi perkara yang mereka telah pelajari tentang Musa di Sekolah Primer atau di rumah selama beberapa minggu yang lepas. Jika diperlukan, tunjukkan gambar peristiwa dari kehidupan Musa untuk membantu mereka ingat. Beritahu mereka bahawa hari ini anda akan bercakap tentang hal-hal yang Musa ajarkan pada penghujung hidupnya di bumi.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Ulangan 6:5

Saya boleh kasihi Tuhan dengan sepenuh hati saya.

Musa mengajar anak-anak Israel bahawa mereka harus kasihi Tuhan dengan sepenuh hati, jiwa, dan perbuatan mereka. Fikirkan cara anda dapat membantu kanak-kanak meningkatkan kasih mereka terhadap Bapa Syurgawi dan Juruselamat.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Lukis pada papan tulis satu hati, rangka badan, dan lengan yang kuat. Baca Ulangan 6:5, dan tunjuk pada lukisan semasa anda membaca perkataan “hati,” “hidup,” dan “perbuatan.” Jemput kanak-kanak bergilir-gilir menunjuk pada lukisan semasa kelas mengulangi petikan tulisan suci itu bersama anda.

  • Nyanyi sebuah lagu yang mengajar tentang kasih Tuhan, seperti “Tuhan Kasih Padaku” (Buku Nyanyian Anak-anak, 16). Bantu kanak-kanak mencari perkataan dalam lagu yang menunjukkan Bapa Syurgawi mengasihi kita. Bantu mereka memikirkan cara kita dapat menunjukkan bahawa kita juga mengasihi Dia.

Ulangan 6:6–9

Kitab-kitab suci ialah firman Tuhan.

Nasihat dalam Ulangan 6:6–9 bertujuan untuk membantu orang Israel “berhati-hatilah supaya [mereka] tidak lupa akan Tuhan” dan firman-Nya (ayat 12). Bagaimanakah anda dapat membantu kanak-kanak menjadikan tulisan suci konsisten dalam kehidupan mereka?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Jemput seorang kanak-kanak untuk menyembunyikan salinan kitab suci di dalam bilik sementara kanak-kanak selebihnya menutup mata mereka. Kemudian jemput kanak-kanak untuk membuka mata mereka dan cuba mencari kitab suci itu. Gunakan frasa utama dari Ulangan 6:6–9, kongsi kepada kanak-kanak bahawa Musa telah memberitahu orang Israel untuk meletakkan petikan tulisan suci di tempat-tempat yang mereka akan melihatnya dan belajar darinya setiap hari. Bantu kanak-kanak memikirkan tempat-tempat di rumah mereka yang mereka boleh letakkan tulisan suci untuk melihatnya setiap hari.

  • Nyanyi sebuah lagu tentang tulisan suci, seperti “Cari, Renungkan Dan Berdoa” (Buku Nyanyian Anak-anak, 66). Kongsi kesaksian anda bahawa tulisan suci adalah firman Tuhan, dan beritahu kanak-kanak bagaimana ia memberkati hidup anda.

Imej
Yesus berlutut sambil memegang seorang lelaki

Yesus Kristus adalah nabi seperti Musa.

Ulangan 18:15–18

Para nabi mengajar kita tentang Yesus Kristus.

Musa bernubuat bahawa Yesus Kristus akan datang dan kita harus mendengarkan firman yang Yesus akan ajarkan.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Bantu salah seorang kanak-kanak membaca Ulangan 18:18, dan beritahu kelas bahawa Nabi seperti Musa yang Tuhan akan utus ialah Yesus Kristus. Untuk membantu kanak-kanak melihat bagaimana cara-cara Musa dan Yesus adalah serupa, bawakan gambar hal-hal yang Musa lakukan dan hal-hal yang Yesus Kristus lakukan, dan minta kanak-kanak padankan gambar yang serupa. Contohnya, anda boleh membawa gambar Musa dan Yesus mentahbiskan orang lain dan mengajar (lihat Buku Seni Injil, no. 15, 16, 3839).

  • Tunjukkan gambar nabi kita pada hari ini, dan kongsi sesuatu yang dia telah ajarkan tentang Juruselamat. Jemput kanak-kanak melukis gambar nabi untuk dikongsi kepada keluarga mereka.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar

Ulangan 6:6–9

Saya boleh menyimpan firman Tuhan dalam hati saya.

Musa mengajar bahawa kita harus menyimpan firman Tuhan dalam hati kita, dan dia memberi nasihat kepada orang Israel tentang bagaimana untuk terus mentaati firman Tuhan. Bagaimanakah anda akan mengilhami kanak-kanak untuk belajar dari firman Tuhan setiap hari?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Pada papan tulis, tulis perkataan dan frasa dari Ulangan 6:6–9 yang menunjukkan bila dan bagaimana orang Israel mengingati firman Tuhan (seperti [duduk], berpergian, semasa berehat, lengan, dan rumah). Jemput kanak-kanak mencari perkataan-perkataan ini dalam ayat-ayat ini. Apakah yang perkataan-perkataan ini ajarkan tentang menjadikan tulisan suci sebahagian daripada kehidupan seharian kita? Tanyakan kanak-kanak apa yang mereka boleh lakukan untuk mengingati firman Tuhan dalam kehidupan seharian mereka.

  • Berikan setiap kanak-kanak sekeping kertas, dan jemput mereka menulis frasa dari Ulangan 6 yang bermakna kepada mereka. Minta mereka berkongsi mengapa mereka memilih frasa tersebut. Cadangkan kepada mereka untuk menghias kertas itu dan memaparkannya di rumah untuk mengingatinya. Galakkan kanak-kanak menulis dan memaparkan frasa lain yang mereka temui dalam tulisan suci.

Ulangan 15:7–11

Saya boleh melayani mereka yang memerlukan dengan sukacita.

Ajaran-ajaran dalam Ulangan 15:7–11 dapat membantu kanak-kanak memahami bahawa membantu orang lain melibatkan lebih daripada sekadar tindakan. Ia harus dilakukan dengan hati yang rela.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tulis siapa, mengapa, dan bagaimana pada papan tulis. Jemput kanak-kanak untuk membaca Ulangan 15:7–11 untuk mengetahui siapa yang kita harus bantu, mengapa kita harus membantu mereka, dan bagaimana hati kita harus membantu. Minta mereka tulis pada papan tulis apa yang mereka temui. Nyanyi sebuah lagu yang menekankan pesanan dalam ayat-ayat ini, seperti “Sudahkah ‘Ku Berbuat Baik?” (Nyanyian Rohani no. 101).

  • Minta kanak-kanak memikirkan seseorang yang mereka boleh bantu—terutama dalam keluarga mereka sendiri. Berikan masa untuk mereka menulis apa yang mereka akan lakukan minggu ini untuk membantu orang itu. Jika boleh, bersama membuat rancangan untuk membantu seseorang yang memerlukan.

Ulangan 30:8–10

Mematuhi perjanjian saya membawa berkat besar.

Seperti anak-anak Israel, kita memerlukan peringatan berterusan untuk mematuhi perjanjian kita. Membaca Ulangan 30:8–10 dapat membantu kanak-kanak lebih memahami apakah itu perjanjian dan mengilhami mereka untuk mentaati perjanjian mereka.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tanyakan kanak-kanak apakah itu perjanjian (jika mereka perlukan bantuan, cadangkan mereka untuk mencari definisi dalam “Perjanjian” dalam Panduan Tulisan Suci [scriptures.ChurchofJesusChrist.org]). Lukiskan carta dua lajur pada papan tulis dengan tajuk ini: Janji-janji Orang Israel dan Janji-janji Tuhan. Jemput kanak-kanak menyelidiki Ulangan 30:8–10 dan mengisi carta tersebut. (Jika perlu, bantu kanak-kanak memahami maksud frasa dalam ayat 9.) Bersaksi tentang berkat-berkat yang datang kerana mentaati perjanjian anda.

  • Jemput kanak-kanak untuk menyenaraikan pada papan tulis janji-janji yang kita buat semasa pembaptisan dan janji-janji yang Bapa Syurgawi buat kepada kita (lihat Ajaran dan Perjanjian 20:37, 77). Apakah yang kita boleh lakukan untuk selalu mengingati Juruselamat dan mematuhi perjanjian kita?

Imej
ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Jemput kanak-kanak untuk berlakon bahawa anda ialah ahli keluarga mereka, dan minta mereka memberitahu anda satu perkara yang mereka pelajari di kelas hari ini. Galakkan mereka untuk berkongsi apa yang mereka beritahu anda kepada salah seorang ahli keluarga di rumah.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Tanya soalan yang mengilhami. Tanyakan soalan yang menjemput kanak-kanak untuk bukan sahaja melaporkan fakta tetapi untuk berkongsi kesaksian mereka tentang kebenaran injil. Contohnya, sekiranya anda sedang membincangkan perintah-perintah, anda boleh meminta kanak-kanak untuk berkongsi bagaimana mematuhi perintah-perintah telah memberkati mereka.

Cetak