Perjanjian Lama 2022
9–15 Mei. Bilangan 11–14; 20–24: “Janganlah Berontak terhadap Tuhan, Dan Janganlah Takut”


“9–15 Mei. Bilangan 11–14; 20–24: ‘Janganlah Berontak terhadap Tuhan, Dan Janganlah Takut,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“9–15 Mei. Bilangan 11–14; 20–24,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022

Imej
lembah padang pasir

9–15 Mei

Bilangan 11–14; 20–24

“Janganlah Berontak terhadap Tuhan, Dan Janganlah Takut”

Panduan ini tidak bertujuan sebagai skrip. Sebaliknya, gunakannya untuk mendapatkan idea dan ilham untuk aktiviti pembelajaran yang akan memberkati kanak-kanak di kelas anda.

Catat Tanggapan Anda

Imej
ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Tunjukkan kanak-kanak salah satu gambar dalam panduan ini atau dalam panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga. Minta mereka berkongsi apa sahaja yang mereka tahu tentang apa yang sedang berlaku dalam gambar itu.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Bilangan 11:4–10

Saya dapat bersyukur dengan apa yang Tuhan berikan kepada saya.

Walaupun Tuhan telah melakukan hal-hal luar biasa bagi anak-anak Israel, mereka sering tumpukan pada apa yang mereka tidak miliki. Bantu kanak-kanak belajar untuk bersyukur dengan apa yang Tuhan berikan kepada mereka.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tanyakan kanak-kanak jika mereka ingat beberapa mukjizat yang Tuhan telah lakukan untuk memberkati orang Israel di padang belantara. (Jika kanak-kanak memerlukan bantuan, tunjukkan gambar dari panduan 4–10 April dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga; lihat juga Keluaran 14:21–22; 15:23–25; 16:4.) Kemudian ringkaskan Bilangan 11:4–10 untuk mereka, tekankan bahawa Tuhan tidak gembira kerana orang Israel merungut. Bantu kanak-kanak memikirkan cara mereka dapat menunjukkan kesyukuran kepada Tuhan.

  • Nyanyi bersama lagu tentang kesyukuran, seperti “Hitung Berkatmu” (Nyanyian Rohani, no. 111). Jemput setiap kanak-kanak untuk melukis berkat-berkat yang Tuhan telah berikan kepada mereka atau keluarga mereka. Galakkan mereka untuk memikirkan atau melihat lukisan itu setiap kali mereka tergoda untuk merungut tentang sesuatu yang mereka tidak miliki.

Bilangan 13:17–33; 14:6–9

Iman dapat membantu saya untuk jadi tidak takut.

Ketika Musa menghantar 12 orang untuk mengetahui tentang negeri yang dijanjikan, 10 daripada mereka kembali dengan takut kerana orang-orang perkasa yang tinggal di sana. Dua daripada mereka, Kaleb dan Yosua, tidak takut, kerana mereka beriman kepada Tuhan.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Gunakan gambar atau lukisan anggur, madu, raksasa, dan belalang untuk memberitahu kanak-kanak secara ringkas tentang 12 lelaki yang Musa hantar untuk menjelajahi negeri yang dijanjikan (lihat Bilangan 13:17–33; lihat juga “Empat Puluh Tahun di Padang Belantara” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama). Jelaskan bahawa mereka menjumpai banyak buah dan makanan lain (jemput kanak-kanak berpura-pura makan makanan), tetapi mereka juga takut kerana orang di sana besar dan kuat (jemput kanak-kanak berpura-pura takut). Tunjukkan gambar Yesus, dan tunjukkan bahawa dua orang Israel itu, Kaleb dan Yosua, tidak takut kerana mereka beriman kepada Yesus Kristus.

  • Bacakan Bilangan 14:9 kepada kanak-kanak, dan beritahu tentang suatu masa ketika anda takut tetapi iman anda kepada Yesus Kristus membantu anda mempunyai keberanian. Bantu kanak-kanak memikirkan pengalaman serupa yang mereka pernah alami.

    Imej
    para lelaki menunjukkan buah kepada Musa

    Sepuluh pengintip orang Israel takut; Yosua dan Kaleb beriman. © Lifeway Collection/lesen dari goodsalt.com

Bilangan 21:6–9

Saya boleh memandang kepada Yesus Kristus.

Sama seperti anak-anak Israel telah disembuhkan dengan melihat ular gangsa, kanak-kanak di kelas anda menerima keselamatan dengan memandang kepada Juruselamat.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Gunakan halaman aktiviti minggu ini atau gambar di panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga, beritahu kanak-kanak apa yang berlaku ketika “ular-ular berbisa” masuk ke kem orang Israel (lihat Bilangan 21:6–9). Bantu mereka melihat bagaimana ular gangsa itu seperti Yesus Kristus (lihat Yohanes 3:14–15). Kemudian minta kanak-kanak bergilir menggunakan gambar itu untuk saling bercerita.

  • Minta kanak-kanak pejamkan mata semasa anda meletakkan gambar Juruselamat di suatu tempat dalam bilik. Kemudian jemput kanak-kanak untuk membuka mata mereka, mencari gambar itu, dan melihatnya. Minta mereka bergilir untuk meletakkan gambar itu. Setiap kali kanak-kanak menjumpai gambar itu, bantu mereka memikirkan sesuatu yang mereka boleh lakukan untuk memandang kepada Juruselamat.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar

Bilangan 12

Tuhan mahu saya mengikuti nabi-Nya.

Bilangan 12 mengandungi beberapa pelajaran berharga yang dapat membantu kanak-kanak ketika mereka mendengar orang mengatakan perkara yang tidak baik tentang nabi Tuhan atau pemimpin Gereja yang lain.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Beritahu kanak-kanak bahawa pada suatu ketika, Tuhan tidak gembira dengan Harun dan Miryam, saudara dan saudari Musa. Jemput mereka untuk membaca Bilangan 12:1–2 untuk ketahui jawapan. Berdasarkan ayat 5–8, bagaimanakah perasaan Tuhan tentang Harun dan Miryam yang melawan nabi-Nya?

  • Bantu kanak-kanak memikirkan contoh-contoh orang dalam tulisan suci yang mengikuti nabi dan telah diberkati (contohnya, lihat Kejadian 7:7; 1 Nefi 3:7). Apakah beberapa perkara yang nabi hidup kita telah ajarkan kita? Bagaimanakah kita diberkati ketika kita mengikuti ajaran-ajaran dia?

Bilangan 21:4–9

Yesus Kristus mempunyai kuasa untuk menyembuhkan saya secara rohani.

Banyak orang Israel mati kerana mereka tidak percaya bahawa Tuhan akan menyembuhkan mereka jika mereka memandang ular gangsa itu (lihat Alma 33:18–20). Bagaimanakah anda dapat membantu kanak-kanak memiliki iman dalam kuasa penyelamatan Yesus Kristus?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Jemput kanak-kanak untuk melukis tentang apa yang mereka baca dalam Bilangan 21:4–9. Minta mereka menggunakan lukisan mereka untuk menceritakan cerita tersebut. Minta setiap kanak-kanak untuk memilih salah satu tulisan suci berikut dan berkongsi apa yang ia tambahkan kepada pemahaman kita tentang cerita ini: Yohanes 3:14–15; 1 Nefi 17:41; Alma 33:18–20; Helaman 8:13–15; Ajaran dan Perjanjian 6:36.

  • Tulis pada papan tulis soalan seperti Apakah yang kita boleh lakukan untuk “memandang Putera Tuhan dengan iman”? (Helaman 8:15). Berikan setiap kanak-kanak sekeping kertas, dan jemput mereka menulis seberapa banyak jawapan untuk soalan itu. Kumpulkan kertas itu, baca beberapa jawapan dengan lantang, dan jemput kanak-kanak untuk bincangkan bagaimana melakukan hal-hal ini dapat membantu kita ketika kita memerlukan kuasa penyembuhan Juruselamat.

Bilangan 22–24

Saya boleh mengikut kehendak Tuhan, bahkan jika orang lain berusaha meyakinkan saya untuk tidak melakukannya.

Balak berusaha meyakinkan Bileam untuk mengutuk orang Israel, tetapi Bileam tahu bahawa ini bertentangan dengan kehendak Tuhan. Teladan Bileam dapat membantu kanak-kanak ketika mereka menghadapi tekanan untuk tidak mematuhi Tuhan.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Ringkaskan Bilangan 22:1–18 untuk kanak-kanak, tekankan bagaimana Bileam menolak untuk mengutuk umat Tuhan, meskipun Balak, raja Moab, menawarkannya penghormatan dan kekayaan. Minta kanak-kanak mencari ayat-ayat berikut untuk frasa yang mereka rasa menunjukkan keazaman Bileam untuk mengikuti Tuhan: Bilangan 22:18; 23:26; 24:13. Jemput kanak-kanak untuk memilih satu frasa yang mereka suka dan tuliskan pada kad untuk membantu mereka ingat untuk mematuhi Tuhan.

  • Bercakap dengan kanak-kanak tentang situasi ketika rakan atau orang lain mungkin berusaha meyakinkan mereka untuk melakukan sesuatu yang salah, seperti apa yang Balak lakukan kepada Bileam. Bagaimana komitmen Bileam kepada Tuhan membantunya menahan tekanan daripada Balak? Jemput kanak-kanak untuk berlatih bertindak balas terhadap situasi ini dengan menggunakan kata-kata seperti Bileam.

Imej
ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Jemput kanak-kanak untuk berkongsi sesuatu dengan keluarga mereka, seperti gambar, tulisan suci, atau lagu, yang menunjukkan apa yang mereka pelajari di Sekolah Primer.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Peka terhadap dorongan Roh. “Selalunya detik pengajaran terbaik tidak dijangka—contohnya, ketika seseorang berkongsi pengalaman atau menanya soalan yang membawa kepada perbincangan yang bermakna. … Bersedia untuk mengubah rancangan anda jika perlu untuk mengikuti dorongan yang anda terima” (Teaching in the Savior’s Way, 10).

Cetak