Perjanjian Lama 2022
3–9 Oktober. Yesaya 58–66: “[Penebus] Akan Datang ke [Sion]”


“3–9 Oktober. Yesaya 58–66: ‘[Penebus] Akan Datang ke [Sion],’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“3–9 Oktober. Yesaya 58–66,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022

Yesus mengajar di sebuah saumaah

Jesus in the Synagogue at Nazareth, (Yesus di Saumaah di Nazaret) oleh Greg K. Olsen

3–9 Oktober

Yesaya 58–66

“[Penebus] Akan Datang ke [Sion]”

Idea aktiviti dalam garis panduan ini bertujuan untuk mengilhami kreativiti anda. Jangan merasa wajib untuk mengikutinya dengan tepat; ikuti dorongan Roh sebelum dan semasa pelajaran anda.

Catat Tanggapan Anda

ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Banyak kata-kata Yesaya bersaksi dan mengajar tentang Juruselamat. Tunjukkan gambar Yesus Kristus, dan jemput kanak-kanak untuk berkongsi sesuatu yang mereka pelajari tentang Dia minggu ini.

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Yesaya 58:13–14

Hari Sabat membuat saya bahagia.

Hari Sabat adalah masa untuk kita mengingati Tuhan dan berehat dari aktiviti-aktiviti mingguan kita. Bagaimana anda boleh membantu kanak-kanak menjadikan Hari Sabat hari yang bahagia?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Minta kanak-kanak mengulangi frasa “Menghargai hari-Ku yang suci” (Yesaya 58:13) beberapa kali. Jelaskan bahawa “menghargai” bermaksud sesuatu yang menggembirakan kita. Minta kanak-kanak berkongsi beberapa hal yang menggembirakan mereka. Bersaksi bahawa Tuhan memberi kita hari Sabat kerana Dia ingin kita bergembira. Beritahu kanak-kanak mengapa hari Sabat itu membahagiakan anda.

  • Baca Yesaya 58:14: “Maka kamu akan berbahagia kerana mengabdi kepada-Ku.” Jelaskan bahawa hari Sabat adalah hari yang istimewa—masa kita dapat fikirkan hal-hal yang Bapa Syurgawi dan Yesus lakukan untuk membantu kita gembira. Bantu kanak-kanak fikirkan hal yang mereka boleh lakukan pada hari Sabat untuk mengingati Bapa Syurgawi dan Yesus. Jemput mereka untuk melukis idea mereka dan berkongsi lukisan mereka di antara satu sama lain dan keluarga mereka.

wanita menyalakan pelita dari lampu yang dipegang oleh lelaki

“Tuhan akan menjadi penerang abadi bagimu” (Yesaya 60:19). A Gift of Light, (Kurnia Cahaya) oleh Eva Timothy

Yesaya 60:1–3

Saya boleh menyinari cahaya Juruselamat untuk orang lain.

Yesaya bernubuat bahawa pada hari-hari terakhir, umat Tuhan akan menjadi cahaya bagi mereka yang berada dalam kegelapan. Pertimbangkan bagaimana anda dapat membantu kanak-kanak “bangkit” dan “bersinar”.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Jemput kanak-kanak untuk menutup mata semasa anda membaca Yesaya 60:1–3. Mintalah mereka untuk membuka mata ketika mereka terdengar perkataan “cahaya” dan menutup mata ketika mereka terdengar perkataan “kegelapan.” Jelaskan bahawa Yesus Kristus dan injil-Nya seperti cahaya yang membantu kita melihat jalan untuk kembali kepada Bapa Syurgawi.

  • Berikan setiap kanak-kanak gambar cahaya (seperti cahaya matahari, lilin, atau mentol lampu). Bantu mereka fikirkan cara mereka dapat berkongsi cahaya Juruselamat dengan orang lain. Setiap kali seseorang berkongsi idea, jemput mereka untuk “bangkit” dan “menyinari” cahaya mereka dengan mengangkat gambar mereka. Beritahu kanak-kanak tentang cara anda telah melihat mereka berkongsi cahaya Juruselamat.

  • Nyanyi bersama lagu tentang berkongsi cahaya, seperti “Bersinar T’rus” (Buku Nyanyian Anak-Anak,96). Bantu kanak-kanak perhatikan seni kata lagu yang menguatkan apa yang mereka pelajari dari Yesaya 60:1–3.

Yesaya 61:1–3

Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus saya.

Yesaya 61:1–3 memberi gambaran yang sangat berkuasa tentang misi Juruselamat untuk mengajar dan menyembuhkan. Cari cara untuk membantu kanak-kanak lihat bagaimana Yesus Kristus dapat mengajar dan menyembuhkan mereka secara peribadi.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Minta kanak-kanak memegang gambar Yesus sedang mengajar, menyembuhkan, dan membantu orang lain semasa anda membaca Yesaya 61:1 (lihat Buku Seni Injil). Jelaskan bahawa Tuhan mengutus Yesus Kristus untuk melakukan hal-hal ini untuk kita semua. Minta kanak-kanak berkongsi perasaan mereka tentang Yesus Kristus. Bersaksi tentang kasih Juruselamat untuk setiap kanak-kanak.

  • Yesaya 61:3 menggambarkan mereka yang mendengar dan mentaati Tuhan sebagai “pokok [kesolehan].” Lukiskan sebatang pokok di papan tulis, dan jemput kanak-kanak fikirkan hal-hal soleh yang mereka boleh lakukan. Untuk setiap idea, minta kanak-kanak melukis daun di atas pokok.

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar

Yesaya 58:6–11

Berpuasa memberkati saya dan orang lain dalam keperluan.

Beberapa kanak-kanak yang anda ajar mungkin sudah cukup umur untuk berpuasa. Mereka yang belum cukup umur boleh mendapat manfaat dengan mempelajari hukum puasa Tuhan dan bersedia untuk berpuasa ketika mereka sudah bersedia.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tulis di papan tulis Mengapa kita berpuasa? dan Bagaimanakah kita berpuasa? Jemput kanak-kanak untuk menulis jawapan di papan tulis. Galakkan mereka kaji semula“Puasa, Berpuasa” dalam Panduan Tulisan Suci (scriptures.ChurchofJesusChrist.org) dan Yesaya 58:6–11 untuk mencari jawapan tambahan. Bagaimanakah Yesaya 58:6–11 membantu kita ketika berpuasa itu sukar?

  • Kongsi dengan kanak-kanak pengalaman peribadi berpuasa, atau kongsi cerita dari majalah Gereja tentang puasa. Tekankan berkat-berkat yang datang dari berpuasa dengan tujuan rohani. Jika ada kanak-kanak yang pernah berpuasa, jemput mereka untuk berkongsi pengalaman mereka. Galakkan kanak-kanak untuk berkongsi dengan ibu bapa mereka pada hari Ahad puasa berikutnya tentang maksud berpuasa. Bantu mereka fahami maksud berpuasa dengan tujuan yang tulus dan hati yang penuh doa.

  • Baca bersama Yesaya 58:6–7, dan jelaskan satu cara kita “bahagilah makanan [kita] dengan orang yang lapar” semasa berpuasa adalah dengan menyumbangkan wang belanja makanan sebagai sumbangan puasa. Tunjukkan kanak-kanak slip sumbangan persepuluhan dan sumbangan puasa, dan terangkan cara mengisinya. Jemput kanak-kanak membaca Yesaya 58:8–10, mencari berkat-berkat yang dijanjikan ketika kita berpuasa. Bagaimanakah puasa dapat memberkati kita dan mereka yang memerlukan?

Yesaya 61:1–3

Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus saya.

Renungkanlah cara terbaik anda boleh gunakan kata-kata Yesaya untuk memperkuat kesaksian kanak-kanak tentang Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus mereka.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Berikan kanak-kanak beberapa minit untuk membaca Yesaya 61:1–3 sendiri. Kemudian jemput mereka untuk menulis di sehelai kertas atau dalam jurnal kajian apa yang ayat-ayat ini ajarkan tentang Yesus Kristus. Jemput beberapa kanak-kanak untuk berkongsi pemikiran mereka.

  • Jemput kanak-kanak untuk berkongsi frasa dari ayat-ayat ini yang sangat bermakna bagi mereka dan berikan sebab. Bagaimanakah ayat-ayat ini membantu kita fahami tujuan Yesus Kristus diutus ke bumi?

Yesaya 65:17–25

Zaman Seribu Tahun akan menjadi masa kedamaian dan kegembiraan.

Yesaya melihat masa ketika umat Tuhan akan mendapat kedamaian dan kegembiraan. Nubuat ini akan digenapi ketika Yesus Kristus kembali ke bumi dan memerintah selama seribu tahun—era yang disebut Zaman Seribu Tahun.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Yesaya 65:17–25 menggambarkan keadaan bumi ketika Juruselamat kembali lagi. Bahagikan kanak-kanak ke dalam kumpulan kecil, berikan setiap kumpulan beberapa ayat untuk dibaca. Setelah beberapa minit, buat senarai bersama di papan tulis tentang bagaimana kehidupan akan berbeza di “bumi yang baru” seperti dijelaskan dalam ayat-ayat ini (ayat 17). Mengapakah ini akan menjadi waktu untuk “bergirang dan bersukacita selama-lamanya”? (Ayatayat 18).

  • Sebelum kelas, sediakan jalur kertas dengan kata-kata dan frasa dari Fasal-Fasal Kepercayaan ayat sepuluh. Jemput seorang kanak-kanak untuk membaca Fasal-Fasal Kepercayaan, dan minta kanak-kanak menyusun jalur kertas mengikut urutan. Bantu kanak-kanak fahami ajaran Fasal-Fasal Kepercayaan tentang Zaman Seribu Tahun.

ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Jemput kanak-kanak berkongsi sesuatu yang mereka pelajari hari ini tentang Juruselamat dengan keluarga mereka. Galakkan mereka membaca tulisan suci bersama keluarga mereka minggu ini.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Tanya soalan yang mengilhami. Tanyakan soalan yang menjemput kanak-kanak berfikir melampaui fakta. Contohnya, fikirkan soalan yang mendorong mereka untuk berkongsi kesaksian dan pengalaman mereka.