Perjanjian Lama 2022
26 September–2 Oktober. Yesaya 50–57: “Penderitaan Kitalah yang Ditanggung-Nya, Penyakit Kitalah yang Diderita-Nya”


“26 September–2 Oktober. Yesaya 50–57: ‘Penderitaan Kitalah yang Ditanggung-Nya, Penyakit Kitalah yang Diderita-Nya,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“26 September–2 Oktober. Yesaya 50–57,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2022

Kristus memakai mahkota duri dan dicemuh oleh tentera

The Mocking of Christ, (Mencemuh Kristus) oleh Carl Heinrich Bloch

26 September–2 Oktober

Yesaya 50–57

“Penderitaan Kitalah yang Ditanggung-Nya, Penyakit Kitalah yang Diderita-Nya”

Yesaya 50–57 mengandungi beberapa bahasa indah yang mungkin tidak difahami oleh kanak-kanak yang anda ajar. Semasa anda bersiap untuk mengajar, renungkan kebenaran mudah kata-kata ini dan bagaimana anda dapat membantu kanak-kanak mempelajarinya.

Catat Tanggapan Anda

ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Galakkan setiap kanak-kanak untuk berkongsi bagaimana mereka tahu bahawa Yesus Kristus mengasihi mereka. Mintalah mereka untuk berkongsi apa yang mereka lakukan untuk menunjukkan bahawa mereka mengasihi Yesus.

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Yesaya 53:4

Yesus Kristus telah menderita untuk saya kerana Dia mengasihi saya.

Melalui korban tebusan-Nya, Yesus Kristus menderita untuk dosa-dosa kita dan menanggung “penderitaan” dan “penyakit” kita. Bagaimanakah anda bersaksi kepada kanak-kanak tentang Korban Tebusan Juruselamat?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Paparkan gambar Juruselamat menderita di kayu salib dan di Taman Gethsemane (lihat Buku Seni Injil, no. 56, 57, atau bab 51–53 dalam Cerita-cerita Perjanjian Baru). Minta kanak-kanak terangkan apa yang mereka lihat dalam gambar dan kongsi apa yang mereka tahu. Mengapakah Yesus menderita untuk kita?

  • Bacakan kanak-kanak Yesaya 53:4: “penderitaan kitalah yang ditanggung-Nya, penyakit kitalah yang diderita-Nya.” Tunjukkan kanak-kanak satu objek berat (atau gambar), dan jemput mereka berpura-pura mengangkat sesuatu yang berat. Jelaskan bahawa “penderitaan” dan “penyakit” (atau kesedihan) mungkin terasa berat dan sukar untuk ditanggung. Bersaksi bahawa Yesus Kristus akan membantu kita menanggung hal-hal ini kerana Dia mengasihi kita.

Yesaya 55:6

Saya boleh kembali kepada Tuhan dan menyeru Tuhan.

Pertimbangkan bagaimana anda dapat membantu kanak-kanak fahami maksud “mencari” Yesus sepanjang hidup mereka.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Sembunyikan gambar Yesus di suatu tempat di dalam bilik, dan minta kanak-kanak mencarinya. Bacalah kata-kata “kembalilah kepada Tuhan semasa masih dapat” dari Yesaya 55:6. Minta kanak-kanak menyebut beberapa cara mereka dapat mencari Tuhan—yang bermaksud mereka berusaha untuk belajar tentang-Nya dan mendekati Dia. Setiap kali kanak-kanak memberi jawapan, sembunyikan gambar itu, dan minta kanak-kanak itu untuk “mencari” gambar tersebut.

  • Bantu kanak-kanak pelajari kata-kata lagu “Sejak Kecil Ku Mencari Tuhan” (Buku Nyanyian Anak-Anak,67) atau lagu lain tentang mendekati Juruselamat. Gunakan halaman aktiviti minggu ini untuk membantu kanak-kanak pilih sesuatu yang mereka akan lakukan untuk “kembalilah [mencari] … Tuhan.”

  • Bacalah frasa “berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat” dari Yesaya 55:6. Bagaimanakah kita berseru kepada Bapa Syurgawi? Minta kanak-kanak berbincang tentang apa yang mereka katakan dalam doa mereka. Bersaksi bahawa Bapa Syurgawi mengasihi mereka dan mendengar doa mereka.

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar

Yesaya 51–52

Tuhan menjemput saya untuk “kuatkanlah hati [saya].”

Dalam Yesaya 51 dan 52, Tuhan menggunakan frasa seperti “bangunlah,” “bangkitlah,” dan “kuatkanlah hatimu” untuk mengilhami umat-Nya memenuhi potensi ilahi mereka. Pertimbangkan bagaimana frasa ini dapat mengilhami kanak-kanak yang anda ajar.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Sebelum kelas, tulis di papan tulis beberapa frasa dari Yesaya 51–52 yang menyatakan apa yang Tuhan mahu umat-Nya lakukan, seperti “Pandanglah,” “Bangunlah,” “Bangkitlah,” “ Bebaskanlah dirimu.” dan “Bersorak-soraklah” (Yesaya 51:6,17; 52:2,9). Minta kanak-kanak bergilir melakonkan salah satu frasa tersebut sementara yang lain cuba meneka. Selepas setiap giliran, tunjukkan kanak-kanak frasa itu dalam tulisan suci, dan bincangkan maksud rohani frasa tersebut. Apakah yang Tuhan minta kita lakukan? Bagaimanakah kita boleh lakukan setiap hal-hal ini?

  • Jemputlah kanak-kanak membaca Yesaya 51:1, 4, 7 dan kenal pasti kepada siapa Tuhan berbicara dan apa yang Dia mahu mereka lakukan. Apakah maksud “dengarlah” Tuhan? Sebagai gambaran, minta seorang kanak-kanak berikan arahan mudah yang harus diikuti oleh yang lain. Mengapa kadang-kadang sukar untuk mendengar dan mematuhi Tuhan? Bagaimanakah kita dapat tunjukkan kepada Tuhan bahawa kita “mendengarkan” Dia?

ukiran Kristus membawa salib

Because of Love (Kerana Kasih), oleh pengukir Angela Johnson

Yesaya 53:3–9

Yesus Kristus mengambil ke atas diri-Nya dosa dan dukacita saya.

Bagaimanakah anda dapat gunakan kata-kata Yesaya untuk membantu kanak-kanak lebih fahami apa yang Juruselamat lakukan untuk mereka?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Paparkan beberapa gambar yang menggambarkan penderitaan dan kematian Yesus Kristus (lihat, misalnya, Buku Seni Injil, no. 56, 57, 58). Baca bersama Yesaya 53:3–6, 9, dan jemput kanak-kanak mencari frasa yang menggambarkan peristiwa itu. Bersaksi bahawa beratus tahun sebelum Yesus Kristus menderita bagi kita, para nabi seperti Yesaya mengajar tentang peristiwa penting ini. Mengapakah penting bagi orang untuk tahu hal-hal ini bertahun-tahun sebelum ia terjadi? (lihat Alma 39:15–19).

  • Jemput kanak-kanak untuk membaca Yesaya 53:4–7 dan cari kata-kata yang menggambarkan apa yang Juruselamat deritai bagi kita. Minta mereka menulis perkataan ini di papan tulis. Mengapakah Dia menanggung “penderitaan,” “penyakit,” dan “kelemahan” kita? (lihat juga Alma 7:11–12). Kongsi bagaimana Juruselamat telah membantu anda menanggung penderitaan dan kesedihan anda. Minta mereka berkongsi perasaan mereka tentang Juruselamat dan apa yang telah Dia lakukan untuk mereka.

Yesaya 55:7–9

Cara Tuhan lebih tinggi daripada cara saya.

Apabila kita fahami pemikiran dan cara Tuhan lebih tinggi daripada kita, semakin mudah untuk mempercayai-Nya.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tanya kanak-kanak kepada siapa mereka akan pergi jika mereka menghadapi masalah yang sukar, dan mengapa. Baca bersama Yesaya 55:8–9, dan minta mereka dengarkan mengapa kita harus meminta bimbingan Tuhan ketika kita perlukan bantuan.

  • Lukis di papan tulis langit dan tanah, dan labelkan Langit dan Bumi. Kemudian jemput kanak-kanak membaca Yesaya 55:9 untuk tahu apa yang Tuhan bandingkan dengan langit dan bumi, dan minta mereka tambahkan label-label lain ini pada gambar. Apakah maksud cara dan pemikiran Tuhan “lebih tinggi” daripada kita? Mengapakah penting untuk tahu hal ini?

  • Bincangkan dengan kanak-kanak beberapa cara Tuhan yang lebih tinggi daripada cara kita. Contohnya, apakah cara-Nya memperlakukan orang berdosa? (lihat Markus 2:15–17). Apakah cara-Nya memimpin orang lain? (lihat Matius 20:25–28). Bagaimana cara-Nya berbeza dengan cara orang lain? Ceritakan kanak-kanak bagaimana anda telah belajar mempercayai cara dan pemikiran Tuhan yang lebih tinggi.

ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Cadangkan kanak-kanak untuk tetapkan matlamat yang dapat membantu mereka mendekati Yesus Kristus, berdasarkan sesuatu yang mereka pelajari di kelas hari ini. Jemput mereka untuk berkongsi matlamat itu dengan seorang ahli keluarga.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Bantu kanak-kanak belajar dari tulisan suci. Untuk membantu kanak-kanak belajar dari tulisan suci, tumpukan pada satu ayat tulisan suci atau satu frasa utama. Kadangkala anda boleh baca petikan dan menjemput kanak-kanak berdiri atau mengangkat tangan ketika mereka mendengar perkataan atau frasa tertentu yang anda ingin tumpukan.