Bab 51
Yesus Menderita di Taman Getsemani
Yesus dan para Rasul pergi ke Taman Getsemani. Yudas tidak pergi bersama mereka. Dia pergi untuk memberitahu pemimpin-pemimpin orang Yahudi di mana Yesus berada.
Juruselamat meminta Petrus, Yakobus, dan Yohanes untuk pergi bersama-Nya ke dalam taman. Dia meminta mereka untuk menunggu sementara Dia pergi berdoa.
Yesus tahu bahawa Dia perlu menderita bagi dosa-dosa semua orang. Dia tidak ingin menderita, tetapi Dia pilih untuk mematuhi Bapa Syurgawi.
Petrus, Yakobus, dan Yohanes tertidur sementara Yesus sedang berdoa. Yesus datang dan menemui mereka sedang tertidur. Yesus meminta mereka untuk tetap berjaga.
Dia pergi berdoa semula. Petrus, Yakobus, dan Yohanes ingin tetap berjaga, tetapi mereka terlalu penat. Mereka tertidur lagi. Yesus menemui mereka sedang tidur lagi. Dia pergi dan berdoa untuk ketiga kalinya.
Semasa Yesus sedang berdoa, Dia mula menggeletar kerana kesakitan. Seorang malaikat datang untuk menguatkan-Nya. Dia menderita dengan teramat sekali sehingga dia menitiskan peluh darah. Dia menderita bagi semua dosa kita agar kita dapat diampuni jika kita bertaubat.
Yesus membangunkan Petrus, Yakobus, dan Yohanes. Dia menyatakan kepada mereka bahawa Dia akan dikhianati dan dibunuh. Yesus berfirman bahawa orang-orang yang jahat sedang dalam perjalanan untuk membawa-Nya pergi.