“16–22 Januari. Yohanes 1: Kami Sudah Berjumpa Dengan Mesias,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“16–22 Januari. Yohanes 1,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2023
16–22 Januari
Yohanes 1
Kami Sudah Berjumpa Dengan Mesias
Semasa anda membaca dan merenungkan Yohanes 1, berdoalah untuk bimbingan rohani dalam tanggungjawab anda untuk mengajar tentang kesaksian Yohanes. Catat tanggapan yang anda terima. Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga dan idea-idea dalam panduan ini boleh membantu anda mengilhami orang-orang di kelas anda untuk memahami dan mengaplikasikan ajaran dalam bab ini.
Jemput Perkongsian
Untuk membantu ahli-ahli kelas berkongsi apa yang mereka sedang pelajari, anda boleh minta mereka untuk menulis soalan, komen, atau pandangan dari bacaan mereka pada jalur kertas dan memasukkannya ke dalam bekas. Keluarkan jalur kertas dari bekas untuk dibincangkan sebagai satu kelas.
Mengajar Ajaran
Yesus Kristus berada “sejak permulaan dengan Tuhan.”
-
Apakah yang diajar oleh Yohanes mengenai Kristus pra-fana? Mengapakah ia penting untuk mengetahui peranan pra-fana Kristus? Ia mungkin membantu untuk menulis soalan-soalan ini di papan tulis dan minta ahli-ahli kelas mencari jawapan dalam Yohanes 1:1–5 (lihat juga Terjemahan Joseph Smith, Yohanes 1:1–5 [dalam Panduan Tulisan Suci]; Musa 1:32–33; Panduan Tulisan Suci, “Jesus Christ, Antemortal Existence of”). Ahli-ahli kelas juga boleh berkongsi apa yang mereka pelajari tentang peranan pra-fana Kristus dari “Kristus Yang Hidup: Kesaksian Para Rasul” (ChurchofJesusChrist.org).
-
Jika anda ingin menggunakan ayat-ayat ini untuk bercakap tentang ciptaan Tuhan, anda boleh membaca Yohanes 1:3 dan menunjukkan gambar-gambar yang menggambarkan keindahan bumi. Jemput ahli-ahli kelas untuk berkongsi bagaimana ciptaan Juruselamat membantu mereka merasakan kasih-Nya.
Yesus Kristus ialah Cahaya.
-
Pertimbangkan untuk meminta ahli-ahli kelas carikan setiap contoh perkataan cahaya dalam Yohanes 1:1–14. Mengapakah cahaya satu perkataan yang baik untuk menggambarkan Yesus Kristus? Ahli-ahli kelas boleh berkongsi bagaimana Juruselamat dan injil-Nya menyediakan cahaya rohani dalam kehidupan mereka. Sebagai sebahagian dari perbincangan ini, anda boleh menjemput ahli-ahli kelas membaca lebih lanjut mengenai Cahaya Kristus dalam Ajaran dan Perjanjian 84:45–46; 88:11–13, atau anda boleh mengarahkan mereka kepada “Cahaya Kristus” dalam Panduan Tulisan Suci. Bagaimanakah kita boleh berkongsi cahaya Juruselamat dengan orang lain?
-
Untuk membantu ahli-ahli kelas membayangkan apa yang diajar tentang Juruselamat dalam Yohanes 1, anda boleh memaparkan beberapa gambar (termasuk gambar dari panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga) yang menggambarkan aspek kehidupan dan misi ilahi Yesus Kristus. Ahli-ahli kelas boleh mengkaji Yohanes 1:1–14, mencari perkataan atau frasa yang boleh berfungsi sebagai tajuk untuk gambar-gambar itu.
Kita boleh mendapatkan kesaksian kita sendiri tentang Juruselamat dan kemudian menjemput orang lain untuk “marilah lihat.”
-
Dalam Yohanes 1, jemputan untuk “marilah lihat” berulang dua kali (lihat ayat 39, 46). Kita mungkin tidak mempunyai peluang untuk melihat Juruselamat secara jasmani seperti Andreas dan Natanael, tetapi kita boleh bertindak terhadap jemputan yang sama. Apakah maksudnya untuk “marilah lihat” di zaman kita?
-
Ahli-ahli kelas boleh membaca Yohanes 1:35–51 dan berkongsi apa yang mereka pelajari dari ayat-ayat ini tentang menjemput orang lain untuk belajar tentang Kristus (lihat juga “Sumber-sumber Tambahan” Mereka juga boleh berkongsi bagaimana mereka telah menjumpai cara mudah dan semula jadi untuk menjemput orang lain “marilah lihat.”
Sumber-sumber Tambahan
Kita boleh menjemput orang lain untuk “marilah lihat.”
Elder Neil L. Andersen mengajar:
“Juruselamat mengajar kita bagaimana untuk berkongsi injil. Saya suka cerita Andreas, yang bertanya, ‘Rabbi, di manakah rabbi tinggal?’ [Yohanes 1:38]. Yesus boleh menjawab dengan lokasi tempat tinggal-Nya. Tetapi sebaliknya Dia berkata kepada Andreas, ‘Marilah lihat’ [Yohanes 1:39]. Saya suka berfikir bahawa Juruselamat sedang berkata, ‘Marilah dan lihat bukan hanya di mana saya tinggal tetapi cara hidup saya. Datang dan lihat siapa Saya. Datang dan rasakan Roh.’ Kita tidak tahu semua tentang hari itu, tetapi kita tahu bahawa ketika Andreas menemui saudaranya Simon, dia menyatakan, ‘Kami sudah berjumpa … Kristus’ [Yohanes 1:41].
“Bagi mereka yang menunjukkan minat dalam perbualan kita, kita boleh mengikuti teladan Juruselamat dengan menjemput mereka untuk ‘marilah lihat.’ Ada orang yang akan menerima jemputan kita, dan ada orang lain yang tidak. Kita semua mengenali seseorang yang telah dijemput beberapa kali sebelum menerima jemputan untuk ‘marilah lihat’” (“It’s a Miracle,” Liahona, Mei 2013, 79).