“3–9 Oktober. Yesaya 58–66: ‘Penebus Akan Datang ke Sion,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“3–9 Oktober. Yesaya 58–66,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2022
3–9 Oktober
Yesaya 58–66
“Penebus Akan Datang ke Sion”
Apabila anda mengkaji ajaran dalam bab-bab ini, jemput Roh untuk membimbing anda kepada pesanan yang paling bermakna bagi ahli kelas.
Catat Tanggapan Anda
Jemput Perkongsian
Anda boleh menjemput ahli kelas untuk menulis di papan tulis rujukan bagi ayat-ayat yang mengilhami mereka dalam pengkajian minggu ini. Anda kemudian boleh mencari ayat-ayat itu dan berbincang bersama tentang kebenaran yang terdapat di situ. Pandangan ini boleh mendorong kepada perbincangan yang lebih mendalam tentang satu atau beberapa asas yang disenaraikan di bawah.
Mengajar Ajaran
Berpuasa mendatangkan berkat.
-
Untuk membantu ahli kelas membincangkan sebab dan bagaimana Tuhan memerintah kita untuk berpuasa, anda boleh membuat dua lajur di papan tulis dengan tajuk “Jangan Sangka Puasa Seperti itu akan Menggerakkan Hati-Ku” dan “Inilah Puasa yang Aku Kehendaki”. Kemudian, ahli kelas boleh membaca Yesaya 58:3–7, mengisi pada lajur pertama huraian tentang cara orang Israel berpuasa dan pada lajur kedua cara berpuasa yang Tuhan kehendaki. Bagaimanakah huraian ini mempengaruhi pandangan kita tentang berpuasa? Ahli kelas juga boleh berkongsi pengalaman mereka tentang berpuasa mendorong kepada berkat yang Tuhan janjikan dalam ayat 8–12.
-
Sesetengah ahli kelas mungkin mempunyai pengalaman menjelaskan kepada orang lain sebab kita berpuasa. Jemput mereka untuk berkongsi pengalaman itu. Anda juga boleh menjemput ahli lembaga uskup untuk membincangkan cara sumbangan puasa digunakan. Atau anda boleh berkongsi satu contoh daripada pesanan Presiden Henry B. Eyring “Bukankah Ini Sumbangan Puasa yang Sudah Saya Pilih?” (Liahona, Mei 2015, 22–25). Bagaimanakah berpuasa dan membayar sumbangan puasa membantu “melepaskan tali-tali kuk” kita sendiri dan orang lain? (Yesaya 58:6).
Yesus Kristus ialah Juruselamat dan Penebus kita.
-
Apabila Yesus Kristus memberitahu bangsa Nasaret bahawa Dia ialah Mesias, Dia telah memetik daripada Yesaya 61:1–3 (lihat Lukas 4:16–21). Ahli kelas boleh membaca Yesaya 61:1–3 dan membincangkan sebab ayat-ayat ini jelas menggambarkan misi Juruselamat. Anda boleh menyenaraikan di papan tulis setiap perkara yang Juruselamat terpilih untuk lakukan dan membincangkan maksudnya. Bagaimanakah Juruselamat memenuhi aspek dalam misi-Nya di sepanjang hidup fana-Nya? Bagaimanakah Dia telah memenuhi aspek-aspek ini dalam kehidupan kita?
-
Ahli kelas juga boleh membaca Yesaya 63:7–9 dan berkongsi cara Yesus Kristus telah memberkati mereka melalui cara ini.
-
Yesaya 61:1–3 menggunakan bahasa yang indah untuk menjelaskan kuasa Yesus Kristus demi menebus keadaan yang kelihatan sudah hancur. Untuk membantu menggambarkan ayat-ayat ini, pertimbangkan untuk berkongsi cerita tentang sesuatu yang dianggap telah hilang atau hancur tetapi berubah menjadi sesuatu yang lebih indah. Misalnya, lihat cerita pada bahagian permulaan pesanan Presiden Dieter F. Uchtdorf “Dia Akan Memikulmu Di Atas Bahu-Nya Dan Membawa Anda Pulang” (Liahona, Mei 2016, 101–4). Ahli kelas boleh membincangkan cara mereka telah melihat Tuhan memberikan sesuatu yang indah kepada seseorang ketika mereka sangka hidup mereka hancur.
Pada Kedatangan Kedua-Nya, Tuhan akan “mencipta langit dan bumi yang baru”.
-
Yesaya 65:17–25 menjelaskan keadaan di bumi selepas Kedatangan Kedua Juruselamat. Anda boleh menjemput ahli kelas menyemak ayat-ayat ini untuk mencari jawapan kepada soalan seperti ini: Bagaimanakah kehidupan di “bumi yang baru” akan berbeza dengan hidup di bumi sekarang? Apakah yang anda temui dalam ayat-ayat ini yang menggembirakan anda?
Sumber-sumber Tambahan
Tuhan “tidak meninggalkan kita dalam abu”.
Setelah menceritakan bagaimana api hampir memusnahkan Khemah Ibadat Provo, menyebabkan ia dibina semula sebagai Bait Suci Pusat Bandar Provo, Sister Linda S. Reeves berkata: “Tuhan membenarkan kita untuk dicuba dan diuji, kadangkala hingga ke tahap maksimum. Kita pasti pernah lihat kehidupan orang yang tersayang—dan mungkin diri kita—hangus terbakar dan bertanya mengapa Bapa Syurgawi yang penuh kasih membenarkan perkara sebegitu berlaku. Namun Dia tidak meninggalkan kita dalam abu; Dia berdiri dengan tangan terbuka, ingin sekali menjemput kita untuk datang kepada Dia. Dia sedang membina hidup kita untuk menjadi bait suci indah agar Roh-Nya boleh tinggal selamanya” (“Menuntut Berkat-berkat Perjanjian Kamu,” Liahona, Nov. 2013, 119).