Kitab Suci
3 Nefi 11


Yesus Kristus telah menunjukkan diri-Nya kepada bangsa Nefi, semasa orang ramai itu berkumpul di tanah Kelimpahan, dan telah melayani mereka; dalam cara ini dia menunjukkan diri-Nya kepada mereka.

Meliputi bab 11 sehingga 26.

Bab 11

Bapa bersaksi tentang Putera yang Dikasihi-Nya—Kristus menampakkan diri dan mengisytiharkan Korban Tebusan-Nya—Orang ramai meraba tanda luka pada tangan dan kaki dan sisi-Nya—Mereka berseru Hosana—Dia menyatakan aturan dan cara pembaptisan—Semangat pertikaian adalah daripada iblis—Ajaran Kristus adalah bahawa manusia hendaklah percaya dan dibaptiskan dan menerima Roh Kudus. Kira-kira 34 tahun M.

1 Dan sekarang, terjadilah bahawa terdapat ramai orang berkumpul bersama, iaitu bangsa Nefi, di sekitar bait suci yang berada di negeri Kelimpahan; dan mereka takjub dan tertanya-tanya di antara satu sama lain, dan menunjukkan antara satu sama lain perubahan besar dan menakjubkan yang telah terjadi.

2 Dan mereka juga bercakap tentang Yesus Kristus ini, iaitu tentang-Nya tanda telah diberikan berkaitan dengan kematian-Nya.

3 Dan terjadilah bahawa sedang mereka bercakap-cakap antara satu sama lain, mereka mendengar suatu suara yang seolah-olahnya datang dari langit; dan mereka mengarahkan mata mereka ke sekeliling, kerana mereka tidak memahami suara yang mereka dengar; dan ia bukanlah suara yang kasar, bukan juga suara yang kuat; walau bagaimanapun, meskipun ianya adalah suara yang kecil ia menusuk mereka yang mendengar ke lubuk hati, sedemikian rupa sehingga tidak ada sebahagian pun daripada raga mereka yang tidak menggeletar disebabkannya; ya, ia menusuk mereka sehingga ke dalam jiwa, dan menyebabkan hati mereka membara.

4 Dan terjadilah bahawa sekali lagi mereka mendengar suara itu, dan mereka tidak memahaminya.

5 Dan sekali lagi pada ketiga kalinya mereka mendengar suara itu, dan membuka telinga mereka untuk mendengarnya; dan mata mereka diarahkan pada suara itu; dan mereka memandang dengan tabah ke langit, dari mana arah suara itu datang.

6 Dan lihatlah, pada kali ketiga mereka memahami suara yang mereka dengar itu; dan ia berkata kepada mereka:

7 Lihatlah Puteraku yang Kukasihi, kepada-Nyalah Aku sangat berkenan, di dalam-Nyalah Aku telah memuliakan nama-Ku—dengarkanlah Dia.

8 Dan terjadilah, apabila mereka memahami mereka mengarahkan mata mereka ke langit sekali lagi; dan lihatlah, mereka melihat seorang Lelaki turun dari langit; dan Dia berpakaian jubah putih; dan Dia turun dan berdiri di tengah-tengah mereka; dan mata semua orang ramai ditumpukan kepada-Nya, dan mereka tidak berani membuka mulut mereka, bahkan di antara satu sama lain, dan tidak mengetahui apakah maksudnya itu, kerana mereka menyangka seorang malaikatlah yang telah menampakkan diri kepada mereka.

9 Dan terjadilah bahawa Dia menghulurkan tangan-Nya dan berfirman kepada orang ramai, memfirmankan:

10 Lihatlah, Akulah Yesus Kristus, yang telah para nabi bersaksi akan datang ke dunia.

11 Dan lihatlah, Akulah cahaya dan kehidupan dunia; dan Aku telah minum dari cawan pahit yang telah Bapa berikan kepada-Ku, dan telah memuliakan Bapa dengan mengambil ke atas diri-Ku dosa-dosa dunia, yang mana di dalamnya Aku telah menurut kehendak Bapa dalam segala hal sejak dari permulaan.

12 Dan terjadilah bahawa ketika Yesus telah memfirmankan firman ini semua orang ramai tersebut jatuh ke atas tanah; kerana mereka teringat bahawa telah dinubuatkan di kalangan mereka bahawa Kristus akan memperlihatkan diri-Nya kepada mereka setelah kenaikan-Nya ke syurga.

13 Dan terjadilah bahawa Tuhan berfirman kepada mereka memfirmankan:

14 Bangunlah dan datanglah kepada-Ku, agar kamu boleh meletakkan tanganmu ke sisi-Ku, dan juga agar kamu boleh merasakan bekas paku pada tangan-Ku dan pada kaki-Ku, agar kamu boleh tahu bahawa Akulah Tuhan Israel, dan Tuhan seluruh bumi, dan telah dibunuh demi dosa-dosa dunia.

15 Dan terjadilah bahawa orang ramai itu maju, dan meletakkan tangan mereka pada sisi-Nya dan merasakan bekas paku pada tangan-Nya dan pada kaki-Nya; dan inilah yang mereka telah lakukan, datang satu demi satu sehingga mereka semua telah datang ke hadapan, dan melihat dengan mata mereka dan merasakan dengan tangan mereka, dan mengetahui dengan suatu kepastian dan memberikan kesaksian, bahawa itulah Dia, yang tentangnya telah ditulis oleh para nabi, yang akan datang.

16 Dan apabila mereka semua telah datang ke hadapan dan telah menyaksikannya bagi diri mereka sendiri, mereka berseru dengan serentak, mengatakan:

17 Hosana! Terpujilah nama Tuhan Yang Maha Tinggi! Dan mereka merebahkan diri pada kaki Yesus, dan menyembah-Nya.

18 Dan terjadilah bahawa Dia berbicara kepada Nefi (kerana Nefi berada di antara orang ramai tersebut) dan Dia memerintahkannya agar dia harus tampil ke hadapan.

19 Dan Nefi bangun dan tampil ke hadapan, dan membongkokkan dirinya di hadapan Tuhan dan mencium kaki-Nya.

20 Dan Tuhan memerintahkannya agar dia harus bangun. Dan dia bangun dan berdiri di hadapan-Nya.

21 Dan Tuhan berfirman kepadanya: Aku memberikan kepadamu kuasa agar kamu akan membaptiskan orang ini apabila Aku naik ke syurga lagi.

22 Dan lagi Tuhan memanggil yang lain, dan berfirman kepada mereka yang sama juga; dan Dia memberikan kepada mereka kuasa untuk membaptis. Dan Dia berfirman kepada mereka: Dengan cara inilah kamu harus membaptis, dan tidak harus ada perselisihan di antara kamu.

23 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa sesiapa yang bertaubat di atas dosa-dosanya melalui perkataanmu, dan berhasrat untuk dibaptiskan di dalam nama-Ku, dengan cara inilah kamu harus membaptiskan mereka—Lihatlah, kamu akan turun dan berdiri di dalam air, dan di dalam nama-Ku kamu harus membaptiskan mereka.

24 Dan sekarang lihatlah, inilah perkataan yang harus kamu katakan, memanggil nama mereka, mengatakan:

25 Dengan wewenang yang diberikan kepadaku oleh Yesus Kristus, aku membaptiskan engkau di dalam nama Bapa, dan Putera, dan Roh Kudus. Amin.

26 Dan kemudian kamu haruslah mencelupkan mereka ke dalam air, dan keluar semula dari dalam air.

27 Dan menurut cara ini kamu harus membaptis di dalam nama-Ku; kerana lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa Bapa, dan Putera, dan Roh Kudus ialah satu; dan Aku berada di dalam Bapa, dan Bapa di dalam Aku, dan Bapa dan Aku ialah satu.

28 Dan seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu demikianlah kamu akan membaptis. Dan tidak akan ada perselisihan di antara kamu, seperti yang sudah ada sehingga sekarang; jangan juga ada perselisihan di antara kamu tentang pokok-pokok ajaran-Ku, seperti yang sudah ada sehingga sekarang.

29 Kerana sesungguh-sungguhnya Aku berfirman kepadamu, dia yang memiliki semangat pertikaian bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada iblis, yang merupakan bapa pertikaian, dan dia menghasut hati manusia untuk bertikai dengan kemarahan, antara satu sama lain.

30 Lihatlah, ini bukanlah ajaran-Ku, untuk menghasut hati manusia dengan kemarahan, antara satu sama lain; tetapi inilah ajaran-Ku, bahawa hal-hal seperti itu haruslah dihentikan.

31 Lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, Aku akan memaklumkan kepadamu ajaran-Ku.

32 Dan inilah ajaran-Ku, dan inilah ajaran yang telah Bapa berikan kepada-Ku; dan Aku memberikan kesaksian tentang Bapa, dan Bapa memberikan kesaksian tentang Aku, dan Roh Kudus memberikan kesaksian tentang Bapa dan Aku; dan Aku memberikan kesaksian bahawa Bapa memerintahkan semua manusia, di mana-mana pun, untuk bertaubat dan percaya kepada-Ku.

33 Dan sesiapa yang percaya kepada-Ku, dan dibaptiskan, merekalah yang akan diselamatkan; dan merekalah orang yang akan mewarisi kerajaan Tuhan.

34 Dan sesiapa yang tidak percaya kepada-Ku, dan tidak dibaptiskan, akan dilaknati.

35 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa ini adalah ajaran-Ku, dan Aku memberikan kesaksian tentangnya daripada Bapa; dan sesiapa yang percaya kepada-Ku percaya kepada Bapa juga; dan kepadanya Bapa akan memberikan kesaksian tentang Aku, kerana Dia akan mengunjunginya dengan api dan dengan Roh Kudus.

36 Dan demikianlah Bapa akan memberikan kesaksian tentang Aku, dan Roh Kudus akan memberikan kesaksian kepadanya tentang Bapa dan Aku; kerana Bapa, dan Aku, dan Roh Kudus ialah satu.

37 Dan lagi Aku berkata kepadamu, kamu mesti bertaubat, dan menjadi seperti anak kecil, dan dibaptiskan dalam nama-Ku, atau kamu tidak akan sekali-kali dapat menerima semuanya ini.

38 Dan lagi Aku berfirman kepadamu, kamu mesti bertaubat, dan dibaptiskan di dalam nama-Ku, dan menjadi seperti anak kecil, atau kamu tidak akan sekali-kali dapat mewarisi kerajaan Tuhan.

39 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa inilah ajaran-Ku, dan sesiapa yang membangun di atasnya membangun di atas batu-Ku, dan pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya menentang mereka.

40 Dan sesiapa yang akan memaklumkan lebih atau kurang daripada ini, dan menegakkannya sebagai ajaran-Ku, merekalah yang berasal daripada iblis, dan tidak dibangunkan di atas batu-Ku; tetapi dia membangun di atas landasan pasir, dan pintu-pintu gerbang neraka tegak terbuka untuk menerima orang yang sedemikian apabila banjir datang dan angin melanda mereka.

41 Oleh itu, pergilah kepada bangsa ini, dan maklumkanlah firman yang telah Aku firmankan, ke setiap hujung bumi.