Kitab Suci
Alma 42


Bab 42

Kefanaan itu suatu masa percubaan untuk membolehkan manusia bertaubat dan melayani Tuhan—Kejatuhan membawa kematian duniawi dan rohani pada seluruh umat manusia—Penebusan datang melalui pertaubatan—Tuhan Sendiri menebuskan dosa-dosa dunia—Belas kasihan adalah untuk mereka yang bertaubat—Semua orang yang lain tunduk pada keadilan Tuhan—Belas kasihan datang kerana Korban Tebusan—Hanya mereka yang benar-benar bertaubat diselamatkan. Kira-kira 74 tahun S.M.

1 Dan sekarang, anakku, aku merasa ada sedikit lagi yang mencemaskan fikiranmu, yang tidak dapat kamu fahami—yang berkenaan keadilan Tuhan dalam hukuman bagi pendosa; kerana kamu cuba untuk mengira bahawa adalah ketidakadilan bahawa pendosa akan diserahkan pada suatu keadaan kegetiran.

2 Sekarang, lihatlah, anakku, aku akan menjelaskan hal ini kepadamu. Kerana lihatlah, setelah Tuhan Raja menghantar ibu bapa pertama kita keluar dari Taman Eden, untuk mengolah tanah, dari mana mereka diambil—ya, Dia mengusir manusia, dan Dia menempatkan mereka di hujung timur Taman Eden, kerub-kerub, dan sebilah pedang yang menyala yang berputar ke setiap arah, untuk menjaga pokok kehidupan

3 Sekarang, kita lihat bahawa manusia telah menjadi seperti Tuhan, mengetahui yang baik dan yang jahat; dan agar dia tidak menghulurkan tangannya, dan mengambil juga dari pokok kehidupan, dan makan dan hidup selama-lamanya, Tuhan Raja menempatkan kerub-kerub dan pedang yang menyala, agar dia jangan makan buah itu—

4 Dan demikianlah kita lihat, bahawa ada suatu masa diberikan kepada manusia untuk bertaubat, ya, suatu masa percubaan, suatu masa untuk bertaubat dan melayani Tuhan.

5 Kerana lihatlah, jika Adam telah menghulurkan tangannya dengan serta-merta, dan makan dari pokok kehidupan, dia akan hidup selama-lamanya, menurut firman Tuhan, tidak memiliki waktu untuk pertaubatan; ya, dan juga firman Tuhan akan batal, dan rancangan keselamatan yang agung itu akan gagal.

6 Tetapi lihatlah, ditetapkanlah bagi manusia untuk mati—oleh itu, sewaktu mereka dipisahkan dari pokok kehidupan mereka akan disingkirkan dari muka bumi—dan manusia menjadi tersesat selamanya, ya, mereka menjadi manusia yang terjatuh.

7 Dan sekarang, kamu lihat melalui ini bahawa ibu bapa pertama kita disingkirkan baik secara duniawi mahupun secara rohani dari hadirat Tuhan; dan demikianlah kita lihat mereka menjadi tertakluk oleh kehendak mereka sendiri.

8 Sekarang, lihatlah, tidaklah wajar bahawa manusia patut dituntut kembali daripada kematian duniawi ini, kerana itu akan menghancurkan rancangan kebahagiaan yang besar.

9 Oleh itu, kerana jiwa sama sekali tidak dapat mati, dan kejatuhan telah mendatangkan pada seluruh umat manusia suatu kematian rohani seperti juga yang duniawi, iaitu, mereka disingkirkan dari hadirat Tuhan, memanglah wajar bahawa umat manusia akan dituntut kembali daripada kematian rohani ini.

10 Oleh itu, kerana mereka telah menjadi badani, berhawa nafsu, dan seperti iblis, secara tabii, keadaan percubaan ini menjadi suatu keadaan bagi mereka untuk bersiap-sedia; itu menjadi suatu keadaan persiapan.

11 Dan sekarang, ingatlah, anakku, jika bukan kerana rancangan penebusan, (mengesampingkan hal itu) sesegera mereka mati jiwa mereka sengsara, tersingkir dari hadirat Tuhan.

12 Dan sekarang, tidak ada cara untuk menuntut kembali manusia daripada keadaan terjatuh ini, yang manusia telah datangkan ke atas dirinya kerana ketidakpatuhannya sendiri;

13 Oleh itu, menurut keadilan, rancangan penebusan tidak dapat dilaksanakan, kecuali dengan syarat pertaubatan manusia dalam keadaan percubaan ini, ya, keadaan persiapan ini; kerana jika tidak adanya syarat-syarat ini, belas kasihan tidak dapat berlaku tanpa menghancurkan kerja keadilan. Sekarang, kerja keadilan tidak dapat dihancurkan; jika demikian, Tuhan akan berhenti menjadi Tuhan.

14 Dan demikianlah kita lihat bahawa seluruh umat manusia terjatuh, dan mereka berada dalam genggaman keadilan; ya, keadilan Tuhan, yang menyerahkan mereka selama-lamanya untuk disingkirkan dari hadirat-Nya.

15 Dan sekarang, rancangan belas kasihan tidak dapat dilaksanakan kecuali suatu korban tebusan akan dibuat; oleh itu Tuhan sendiri menebuskan dosa-dosa dunia, untuk mendatangkan rancangan belas kasihan, untuk memenuhi tuntutan keadilan, agar Tuhan boleh menjadi seorang Tuhan yang sempurna, yang adil, dan seorang Tuhan yang penuh belas kasihan juga.

16 Sekarang, pertaubatan tidak dapat datang kepada manusia kecuali ada hukuman, yang juga abadi seperti kehidupan jiwa hendaknya, dikaitkan bertentangan dengan rancangan kebahagiaan, yang juga seabadi kehidupan jiwa.

17 Sekarang, bagaimanakah seseorang dapat bertaubat kecuali dia berdosa? Bagaimanakah dia dapat berdosa jika tidak ada hukum? Bagaimanakah boleh ada hukum kecuali adanya hukuman?

18 Sekarang, ada hukuman dikaitkan, dan hukum yang adil diberikan, yang membawa penyesalan suara hati pada manusia.

19 Sekarang, jika tidak ada hukum diberikan—jika seseorang membunuh dia akan mati—akankah dia takut dia akan mati jika dia membunuh?

20 Dan juga, jika tidak ada hukum diberikan terhadap dosa, manusia tidak akan takut berdosa.

21 Dan jika tidak ada hukum diberikan, jika manusia berdosa apakah yang dapat keadilan lakukan, atau belas kasihan juga, kerana itu tidak memiliki tuntutan atas makhluk itu?

22 Tetapi ada hukum diberikan, dan hukuman dikaitkan, dan pertaubatan dikabulkan; yang pertaubatan itu, belas kasihan tuntut; jika tidak, keadilan menuntut makhluk itu dan melaksanakan hukum, dan hukum menjatuhkan hukuman; jika bukan demikian, kerja keadilan akan dihancurkan, dan Tuhan akan berhenti menjadi Tuhan.

23 Tetapi Tuhan tidak berhenti menjadi Tuhan, dan belas kasihan menuntut hak atas yang bertaubat, dan belas kasihan datang kerana korban tebusan; dan korban tebusan mendatangkan kebangkitan orang mati; dan kebangkitan orang mati membawa kembali manusia ke hadirat Tuhan; dan demikianlah mereka dipulihkan ke hadirat-Nya, untuk dihakimi menurut kerja-kerja mereka, menurut hukum dan keadilan.

24 Kerana lihatlah, keadilan menjalankan semua tuntutannya, dan juga belas kasihan menuntut semua yang adalah miliknya; dan demikianlah, tidak seorang pun kecuali yang benar-benar bertaubat yang diselamatkan.

25 Apa, adakah kamu mengira bahawa belas kasihan dapat merampas keadilan? Aku berkata kepadamu, Tidak; tidak satu bahagian yang kecil pun. Jika demikian, Tuhan akan berhenti menjadi Tuhan.

26 Dan demikianlah Tuhan melaksanakan tujuan-Nya yang agung dan abadi, yang dipersiapkan sejak pengasasan dunia. Dan demikianlah terjadi penyelamatan dan penebusan manusia, dan juga kehancuran dan kegetiran mereka.

27 Oleh itu, Wahai anakku, barang siapa mahu datang boleh datang dan minum dari air kehidupan dengan bebas; dan barang siapa tidak mahu datang orang yang sama itu tidak dipaksa untuk datang; tetapi pada hari terakhir akan dipulihkan kepadanya menurut perbuatannya.

28 Jika dia telah berhasrat untuk melakukan yang jahat, dan tidak bertaubat pada masa hidupnya, lihatlah, nahas akan terjadi kepadanya, menurut pemulihan daripada Tuhan.

29 Dan sekarang, anakku, aku berhasrat agar kamu hendaknya tidak membiarkan hal-hal ini menyusahkanmu lagi, dan hanya biarlah dosa-dosamu menyusahkanmu, dengan kesusahan itu yang akan merendahkanmu sampai pada pertaubatan.

30 Wahai anakku, aku berhasrat agar kamu hendaknya tidak menyangkal keadilan Tuhan lagi. Janganlah berikhtiar memaafkan dirimu sedikit pun kerana dosa-dosamu, dengan menyangkal keadilan Tuhan; tetapi biarkanlah keadilan Tuhan, dan belas kasihan-Nya, dan panjang sabar-Nya memiliki pengaruh penuh dalam hatimu; dan biarlah itu merendahmu hingga ke debu dalam kerendahan hati.

31 Dan sekarang, Wahai anakku, kamu dipanggil oleh Tuhan untuk mengkhutbahkan firman kepada orang ini. Dan sekarang, anakku, pergilah pada jalanmu, maklumkanlah firman dengan kebenaran dan kesungguhan, agar engkau boleh membawa jiwa-jiwa pada pertaubatan, agar rancangan belas kasihan yang besar boleh memiliki tuntutan hak atas diri mereka. Dan semoga Tuhan mengabulkan kepadamu bahkan menurut perkataan-perkataanku. Amin.