“25–31 Mei. Mosia 29–Alma 4: ‘Mereka Tabah dan Tak Tergoyah,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Kitab Mormon 2020 (2020)
“25–31 Mei. Mosia 29–Alma 4,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2020
25–31 Mei
Mosia 29–Alma 4
“Mereka Tabah dan Tak Tergoyah”
Membaca tulisan suci mengundang wahyu-wahyu. Berbukalah terhadap pesanan-pesanan yang Tuhan ingin berikan kepada anda.
Mencatat Tanggapan Anda
Ada yang mungkin melihat cadangan Raja Mosia untuk menggantikan raja-raja dengan hakim-hakim terpilih hanyalah reformasi politik yang bijak. Namun bagi bangsa Nefi, terutamanya mereka yang telah hidup di bawah pemerintahan jahat Raja Nuh, perubahan ini mempunyai kepentingan rohani juga. Mereka telah melihat bagaimana seorang raja yang tidak soleh menyebabkan “kederhakaan” dan “kehancuran besar” di kalangan rakyatnya (Mosia 29:17), dan mereka “amat berminat” untuk menjadi bebas daripada pengaruh sedemikian. Perubahan ini akan membenarkan mereka bertanggungjawab untuk kesolehan mereka sendiri dan “bertanggungjawab atas dosa-dosa [mereka]” (Mosia 29:38; lihat juga A&P 101:78).
Namun, pengakhiran pemerintahan raja-raja tidak bermakna tamatnya masalah-masalah dalam masyarakat bangsa Nefi. Orang licik seperti Nehor dan Amlisi menggalakkan idea-idea palsu, mereka yang tidak percaya menganiaya Orang Suci, dan ramai ahli-ahli Gereja membanggakan diri dan menjauhi gereja. Namun “para pengikut Tuhan yang rendah hati” kekal “tabah dan tak tergoyah” walau apa pun yang berlaku di sekitar mereka (Alma 1:25). Dan kerana perubahan yang digubal oleh Mosia, mereka boleh “menyuarakan kehendak mereka” untuk mempengaruhi masyarakat mereka demi kebaikan (Alma 2:6).
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Saya boleh menjadi pengaruh positif dalam komuniti saya.
Setelah lima tahun dalam pemerintahan hakim-hakim, satu krisis timbul yang akan menguji deklarasi Mosia bahawa suara rakyat akan memilih yang betul (lihat Mosia 29:26). Isu itu melibatkan kebebasan agama: seorang lelaki bernama Amlisi berusaha untuk “merampas hak dan hak istimewa [rakyat] dalam gereja” (Alma 2:4). Pernahkah anda perhatikan hak agama diancam dalam negara atau komuniti anda? Apakah yang anda pelajari melalui cara bangsa Nefi membalas ancaman ini? (lihat Alma 2:1–7).
Terdapat banyak isu-isu penting yang dihadapi oleh komuniti anda. Bagaimanakah anda, seperti bangsa Nefi, memastikan bahawa suara anda termasuk dalam “suara masyarakat”? Mungkin anda tinggal di satu tempat di mana suara masyarakat mempunyai pengaruh yang terhad terhadap kerajaan; jika ya, adakah terdapatnya cara lain anda boleh menjadi pengaruh positif dalam komuniti anda?
Saya boleh mengenal dan menolak ajaran palsu.
Walaupun Nehor akhirnya mengaku bahawa apa yang dia ajar adalah palsu, ajaran-ajarannya masih mempengaruhi bangsa Nefi bertahun-tahun kemudian (lihat Alma 1:15–16; 2:1–2; 14:14–18; 15:15; 21:4; 24:28). Mengapakah orang ramai mungkin mendapati ajaran-ajaran Nehor menarik? Ketika anda membaca Alma 1:2–4, lihat jika anda dapat mengenalpasti kepalsuan dalam ajaran-ajaran Nehor; anda mungkin perasan bahawa ia diajar bersama separa kebenaran.
Gideon bertahan terhadap Nehor “dengan firman Tuhan” (Alma 1:7, 9). Bolehkah anda fikirkan ayat-ayat suci yang menafikan kepalsuan Nehor? Berikut beberapa contoh, tetapi terdapat banyak lagi: Matius 7:21–23; 2 Nefi 26:29–31; Mosia 18:24–26; dan Helaman 12:25–26. Bagaimanakah ayat-ayat suci tersebut membantu anda menafikan kepalsuan yang diajar hari ini?
Satu lagi cara untuk mengkaji Alma 1 adalah untuk membandingkan Nehor dan pengikut-pengikutnya (ayat 3–9, 16–20) dengan “umat Tuhan” (ayat 25–30; lihat juga 2 Nefi 26:29–31). Bagaimanakah anda menjadi lebih seperti umat Tuhan? Adakah anda perhatikan sebarang “penipuan imam” dalam layanan anda sendiri?
Pengikut ikhlas Yesus Kristus tidak menumpukan hati mereka terhadap kekayaan.
Bab-bab 1 dan 4 Alma menjelaskan tempoh-tempoh ketika Gereja makmur, tetapi ahli-ahli Gereja bertindak secara berbeza terhadap kemakmuran dalam setiap kes. Apakah perbezaan yang anda perhatikan? Berdasarkan apa yang anda jumpai, bagaimanakah anda menghuraikan sikap “para pengikut Tuhan yang rendah hati” (Alma 4:15) terhadap kekayaan dan kemewahan? Apakah yang anda rasa terilham untuk ubah dalam sikap diri?
“Firman Tuhan” dan “kesaksian ikhlas” boleh mengubah hati.
Apakah yang telah membuat Alma “sangat berdukacita” (Alma 4:15) dalam Alma 4? Ada yang mungkin berkata bahawa jawatan hakim utama merupakan kedudukan yang terbaik untuk Alma menyelesaikan masalah-masalah yang dia lihat di kalangan rakyatnya. Namun Alma merasa bahawa terdapat cara yang lebih baik. Apakah yang mengagumkan anda tentang pendekatan yang dia gunakan untuk membantu rakyatnya? Pengkajian anda mungkin mengilhami fikiran-fikiran akan bagaimana anda boleh mempengaruhi kebaikan kepada mereka yang di sekitar anda; jika ya, bertindaklah akan fikiran-fikiran tersebut.
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
Apabila anda membaca tulisan suci dengan keluarga anda, Roh boleh membantu anda mengetahui asas apa yang perlu ditekankan dan dibincangkan untuk memenuhi keperluan keluarga anda. Berikut ialah beberapa idea.
Alma 1:19–25
Keluarga anda mungkin boleh mendapat manfaat dengan mengenalpasti cara-cara yang berbeza ahli-ahli Gereja membalas penganiayaan dalam ayat-ayat tersebut. Mungkin anda boleh melatih cara-cara untuk menjawab dengan berpatutan apabila orang menyerang kepercayaan kita. Video-video yang didapati di ChurchofJesusChrist.org/religious-freedom/examples mungkin boleh membantu.
Alma 3:4
Apakah mesej orang Amlisi ingin sampaikan apabila mereka “mengenakan [satu] tanda pada diri mereka”? (lihat Alma 3:4, 13). Apakah mesej-mesej yang kita mungkin hantarkan—sengaja atau tidak sengaja—dengan penampilan kita? Ini mungkin masa yang baik untuk mengkaji semula “Pakaian dan Penampilan” dalam Untuk Kekuatan Remaja (2011), 6–8.
Alma 4:2–3
Apakah perkara atau pengalaman yang telah “bangunkan [kita] terhadap ingatan akan kewajipan [kita]” terhadap Tuhan? (Alma 4:3). Mungkin ia berkesan untuk kongsikan ayat-ayat tersebut setelah membangunkan keluarga anda pada waktu pagi. Anda mungkin bincangkan bagaimana cabaran untuk bangun secara fizikal membantu kita memahami cabaran-cabaran untuk bangun secara rohani.
Alma 4:10–11
Bagaimanakah kita mengelak untuk menjadi “batu sandungan besar bagi mereka yang tidak menganggotai gereja”? (Alma 4:10). Ia mungkin juga berguna untuk membincangkan bagaimana kita boleh memastikan tindakan orang, terutamanya ahli-ahli Gereja lain, tidak menjadi batu sandungan untuk perkembangan rohani kita.
Alma 4:19
Untuk membantu keluarga anda faham kuasa kesaksian, anda boleh tanyakan mereka untuk fikirkan satu ketika di mana mendengar kesaksian seseorang telah memberi kesan yang mendalam bagi mereka. Mengapakah Alma telah memilih untuk menggunakan kesaksian dan firman Tuhan untuk menyentuh hati-hati rakyat? (lihat juga Alma 31:5). Mengapakah ini lebih berkesan daripada kaedah lain yang orang mungkin gunakan untuk meyakinkan orang untuk berubah? Adakah terdapatnya orang di mana kita boleh memperkukuhkan keimanan mereka dengan berkongsikan kesaksian kita kepada mereka?
Untuk idea lanjut untuk mengajar kanak-kanak, lihat rangka panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.