Ajaran dan Perjanjian 2021
27 September–3 Oktober. Ajaran dan Perjanjian 109–110: “Ianya Adalah Rumah-Mu, Sebuah Tempat Kekudusan-Mu”


“27 September–3 Oktober. Ajaran dan Perjanjian 109–110: ‘Ianya adalah Rumah-Mu, Sebuah Tempat Kekudusan-Mu,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Ajaran dan Perjanjian 2021 (2020)

“27 September–3 Oktober. Ajaran dan Perjanjian 109–110,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2021

Imej
Bait Suci Kirtland

Kirtland Temple (Bait suci Kirtland), oleh Jon McNaughton

27 September–3 Oktober

Ajaran dan Perjanjian 109–110

“Ianya Adalah Rumah-Mu, Sebuah Tempat Kekudusan-Mu”

Merujuk kepada Ajaran dan Perjanjian 109:24–28, Elder David A. Bednar berkata, “Saya menjemput anda untuk belajar berulang kali dan merenung dengan teliti implikasi tulisan suci ini dalam hidup anda dan keluarga anda” (“Honorably Hold a Name and Standing,” Ensign atau Liahona, Mei 2009, 99). Pertimbangkan jemputan ini semasa anda mengkaji.

Mencatat Tanggapan Anda

Pintu ke Bait Suci Kirtland tidak sepatutnya dibuka sehingga jam 8:00 pada waktu pagi 27 Mac 1836. Tetapi Orang Suci yang berharap untuk menghadiri acara pembaktian itu mula beratur seawal 7:00. Apabila bangku-bangku dan lorong-lorong itu dengan cepat dipenuhi dengan penyembah yang bersemangat, Joseph Smith mencadangkan lokasi tambahan. Ketika itu diisi, sesi kedua dirancang. Dan bukan sahaja orang hidup yang ingin hadir. Beberapa saksi memberi kesaksian bahawa mereka melihat malaikat, di dalam bait suci dan bahkan di atas bumbung, semasa dan selepas pembaktian tersebut. Ia benar-benar seperti “tentera syurga” telah datang untuk “menyanyi dan [bersorak]” bersama para Orang Suci Zaman Akhir (“Roh Tuhan,” Nyanyian Rohani, no. 2).

Mengapakah itu merupakan kegembiraan besar bagi kedua-dua belah tirai? Janji bahawa Orang Suci akan “dianugerahi dengan kuasa dari syurga” adalah satu sebab mereka berkumpul ke Ohio (Ajaran dan Perjanjian 38:32). Dan hal-hal yang lebih besar dijanjikan untuk masa depan. Tuhan isytiharkan, “inilah permulaan bagi berkat yang akan dicurahkan ke atas umat-Ku” (Ajaran dan Perjanjian 110:10). Era yang kini kita hidup ini—dengan pekerjaan dan tatacara bait suci dipercepatkan yang tersedia untuk berjuta-juta orang yang hidup dan yang mati—telah dimulakan di Kirtland, ketika “tirai yang menutup bumi dibuka” (“Roh Tuhan”).

Imej
ikon kajian peribadi

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Ajaran dan Perjanjian 109

Tuhan ingin memberkati saya dalam rumah kudus-Nya.

Bait Suci Kirtland berbeza dari bait suci yang kita ketahui sekarang. Tidak terdapat altar dan tiada ada kolam pembaptisan, dan tatacara seperti pembaptisan untuk orang mati dan pemeteraian belum dipulihkan. Tetapi berkat yang digambarkan dalam bahagian 109, doa pembaktian untuk Bait Suci Kirtland, adalah berkat-berkat yang kita terima dalam rumah Tuhan hari ini. Kaji semula ayat-ayat berikut untuk mencari beberapa dari berkat-berkat ini. Semasa membacanya, renungkan mengapa ia penting bagi anda dan keluarga anda.

Ayat 5, 12–13 (lihat juga Ajaran dan Perjanjian 110:6–8): Di bait suci Tuhan boleh menyatakan Diri-Nya kepada kita dan kita boleh merasakan kuasa-Nya.

Ayat 9, 17–19, 26, 78–79: Dalam bait suci kita mengambil ke atas diri kita nama Tuhan.

Ayat 22–23: Semasa kita membuat dan memegang perjanjian bait suci, Tuhan akan memberi kita kuasa untuk melakukan pekerjaan-Nya.

Ayat 24–33: Semasa kita menghadiri bait suci dengan layak, kita dapat menerima perlindungan Tuhan.

Berkat-berkat yang lain:

Apakah yang Roh ilhami anda untuk lakukan untuk menerima berkat-berkat ini?

Ajaran dan Perjanjian 109

Doa pembaktian bagi Bait Suci Kirtland boleh mengajar saya tentang doa.

Bahagian 109 merupakan doa pembaktian yang diberikan kepada Joseph Smith melalui wahyu (lihat pengenalan bahagian). Apakah yang anda pelajari mengenai doa dari bahagian ini? Semasa anda membacanya, anda boleh memikirkan tentang doa anda sendiri. Apakah tanggapan yang anda terima yang dapat membantu anda memperbaikan komunikasi anda dengan Bapa Syurgawi? Sebagai contoh, apakah yang Nabi doakan dalam doa ini?

Ajaran dan Perjanjian 110:1–10

Tuhan boleh menyatakan Diri-Nya kepada saya dalam bait suci.

Bagaimanakah perasaan anda tentang Juruselamat selepas membaca Ajaran dan Perjanjian 110:1–10? Bagaimanakah Dia menyatakan diri-Nya kepada anda dalam bait suci? Bagaimanakah Dia membantu anda mengetahui bahawa Dia menerima usaha dan pengorbanan anda?

Imej
bahagian dalaman Bait suci Kirtland

Setiap penjuru Bait suci Kirtland mempunyai mimbar untuk para pemimpin imamat.

Ajaran dan Perjanjian 110:11–16

Kunci-kunci imamat yang diperlukan untuk melakukan pekerjaan Tuhan ada di dalam Gereja hari ini.

Untuk memahami kunci-kunci imamat yang Musa, Elias, dan Elia berikan kepada Joseph Smith dan Oliver Cowdery di Bait Suci Kirtland, anda boleh membaca pesanan Elder Quentin L. Cook “Bersedia Untuk Bertemu Dengan Tuhan” (Ensign atau Liahona, Mei 2018, 114–17). Elder Cook menggambarkan bagaimana kunci-kunci ini digunakan dalam pekerjaan Gereja sekarang. Anda boleh mempertimbangkan untuk mempelajari tentang nabi-nabi ini dengan mengkaji “Musa,” “Elias,” dan “Elia” di Panduan Tulisan Suci (scriptures.ChurchofJesusChrist.org). Renungkan apa yang anda boleh lakukan dalam pekerjaan yang berkaitan dengan kunci-kunci ini.

Lihat juga Henry B. Eyring, “Dia Memimpin Kita,” Ensign atau Liahona, Mei 2020, 66–69.

Imej
ikon kajian sekeluarga

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Ajaran dan Perjanjian 109.Sebagai sekeluarga, cari beberapa ayat dalam bahagian 109 yang mengilhami anda untuk meluangkan lebih banyak masa dalam bait suci (contohnya, lihat ayat yang tersenarai dalam “Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi”). Bincangkan bagaimana anda boleh lakukan cadangan Presiden Russell M. Nelson: “Selalu membuat janji temu dengan Tuhan—untuk berada dalam rumah kudus-Nya—kemudian mematuhi janji temu itu dengan ketepatan dan keriangan” (“Menjadi Orang Suci Zaman Akhir Yang Baik,” Ensign atau Liahona, Nov. 2018, 114). Jika anda atau keluarga anda tidak pernah ke bait suci, anda boleh membuat persediaan untuk pergi ke bait suci.

Ajaran dan Perjanjian 109:78–80.Lagu rohani “Roh Tuhan” (Nyanyian Rohani, no. 2) ditulis untuk pembaktian Bait Suci Kirtland—dan ia telah dinyanyikan di setiap pembaktian bait suci sejak itu. Anda boleh menyanyikan lagu rohani bersama dan mencari frasa yang meningkatkan kesyukuran anda terhadap bait suci. Bagaimanakah lagu rohani ini berkait dengan pesanan dalam Ajaran dan Perjanjian 109:78–80?

Ajaran dan Perjanjian 110.Semasa ahli keluarga anda membaca bahagian 110 dan cari gambar di hujung panduan ini, jemput mereka untuk membayangkan perasaan mereka jika mereka berada bersama Joseph Smith dan Oliver Cowdery di Bait Suci Kirtland. Berikan keluarga anda kesempatan untuk berkongsi perasaan mereka terhadap Juruselamat.

Ajaran dan Perjanjian 110:15.Apakah yang boleh membantu “memalingkan hati” anak-anak anda kepada nenek moyang mereka? Anda boleh bekerjasama untuk mencari nenek moyang yang memerlukan tatacara bait suci dan melaksanakan tatacara tersebut di bait suci. Anda juga boleh bercakap tentang bagaimana pekerjaan yang dipulihkan oleh Elia di Bait suci Kirtland meningkatkan kasih anda terhadap nenek moyang anda.

Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu cadangan: “Roh Tuhan,” Nyanyian Rohani, no. 2.

Imej
ikon suara-suara pemulihan

Suara-suara Pemulihan

Pernyataan Rohani dan Bait Suci Kirtland

Imej
Pembaktian Bait Suci Kirtland

Like a Fire Is Burning (Seperti Api yang Membara), oleh Glen S. Hopkinson

Berikut adalah kata-kata Orang Suci Zaman Akhir yang berada di Bait Suci Kirtland semasa pembaktiannya dan di pertemuan lain yang menyusuli. Ramai yang membandingkan pengalaman mereka dengan apa yang Orang Suci purba alami ketika mereka “diberkati dengan kuasa dari syurga” pada hari Pentakosta (Lukas 24:49; lihat juga Kisah Rasul-Rasul 2:1–4; Ajaran dan Perjanjian 109:36–37).

Eliza R. Snow

“Upacara pembaktian itu boleh dilatih, tetapi tiada bahasa fana yang boleh gambarkan pernyataan syurgawi dari hari itu yang tak terlupakan. Malaikat menampakkan diri kepada beberapa orang, sementara perasaan akan kehadiran yang ilahi disedari oleh semua yang hadir, dan setiap hati dipenuhi dengan sukacita yang mulia dan tak terucapkan.’”1

Sylvia Cutler Webb

“Salah satu kenangan paling awal saya ialah pembaktian Bait Suci. Ayah saya membawa kami di pangkuannya dan memberitahu kami mengapa kami pergi dan apa yang dimaksudkan untuk membaktikan sebuah rumah bagi Tuhan. Dan walaupun sangat muda pada masa itu, saya dengan jelas mengingati peristiwa itu. Saya dapat melihat kembali sepanjang tahun dan melihat seperti yang saya lihat pada masa itu Nabi Joseph, berdiri dengan tangannya diarahkan ke syurga, wajahnya sedikit pucat, air mata mengalir di pipinya ketika dia bercakap pada hari yang penuh kenangan itu. Hampir semua kelihatan seperti menangis. Rumah itu begitu penuh, kanak-kanak kebanyakannya duduk di pangkuan ibu bapa mereka; kakak saya duduk di atas pangkuan bapa, saya di pangkuan ibu saya. Saya juga boleh ingat pakaian yang kami pakaikan. Fikiran saya terlalu muda pada masa itu untuk memahami kepentingan penuh dari semua itu, tetapi seiring dengan masa berlalu ia semakin meningkat bagi saya, dan saya amat berterima kasih kerana saya berada di sana.”2

Oliver Cowdery

“Pada petang saya bertemu dengan pegawai gereja di rumah Tuhan. Roh itu dicurahkan—saya melihat kemuliaan Tuhan, seperti awan yang besar, turun dan berada di rumah [Tuhan], dan memenuhi seperti angin kuat yang menderu. Saya juga melihat [bagai] lidah-lidah bercadang, seperti nyala api, … semasa mereka berbicara dalam kurnia lidah dan bernubuat.”3

Benjamin Brown

“Banyak penglihatan dilihat. Seorang melihat [seolah-olah] bantal atau awan berada di atas rumah, cerah seperti ketika matahari bersinar di atas awan seperti emas. Dua orang lain melihat tiga Orang berlegar di dalam bilik dengan kunci terang di tangan mereka, dan juga rantaian yang terang di tangan mereka.”4

Orson Pratt

“Tuhan ada di sana, malaikat-Nya ada di sana, Roh Kudus berada di tengah-tengah umat itu … dan mereka dipenuhi dari mahkota kepala mereka sehingga tapak kaki mereka dengan kuasa dan ilham Roh Kudus.”5

Nancy Naomi Alexander Tracy

“[Ketika] Bait Suci tersebut telah siap dan dibaktikan… kedua hari tersebut merupakan hari paling menggembirakan dalam hidup saya. Lagu yang sesuai untuk acara itu adalah ‘Roh Tuhan Seperti Api Membara.’ Pengaruh Syurgawi benar-benar berada di rumah [Tuhan] itu. … Saya merasakan ia seperti syurga di bumi.”6

Nota

  1. Dalam Edward W. Tullidge, The Women of Mormondom (1877), 95.

  2. Dalam Karl Ricks Anderson, Joseph Smith’s Kirtland: Eyewitness Accounts (1996), 182–83.

  3. Oliver Cowdery diary, Mar. 27, 1836, (Diari Oliver Cowdery, 27 Mac 1836) Church History Library, Salt Lake City.

  4. Benjamin Brown letter to his wife, Sarah, (Surat Benjamin Brown kepada isterinya, Sarah) circa April 1836, Benjamin Brown family collection, Church History Library, Salt Lake City; ejaan dan tanda baca dimodenkan.

  5. Orson Pratt, “Remarks,” Deseret News, Jan. 12, 1876, 788.

  6. Dalam Richard E. Turley Jr. and Brittany A. Chapman, eds., Women of Faith in the Latter Days (2011), 1:442.

Imej
Musa, Elias, dan Elia Muncul di Bait Suci Kirtland

Moses, Elias, and Elijah Appear in the Kirtland Temple (Musa, Elias, dan Elia Muncul di Bait Suci Kirtland), oleh Gary E. Smith

Cetak