Bantuan Pengkajian
Elia


Elia

Seorang nabi Perjanjian Lama yang telah kembali pada zaman akhir untuk menganugerahkan kunci-kunci kuasa pemeteraian ke atas Joseph Smith dan Oliver Cowdery. Dalam zamannya, Elia melayani dalam Kerajaan Utara Israel (1 Raj. 17–22; 2 Raj. 1–2). Dia memiliki iman yang besar kepada Tuhan dan terkenal kerana melakukan banyak mukjizat. Melalui permintaannya, Tuhan menghalang hujan daripada turun selama 3½ tahun. Dia membangkitkan seorang budak lelaki daripada kematian dan memanggil api turun dari syurga (1 Raj. 17–18). Orang-orang Yahudi masih menunggu Elia untuk kembali, seperti yang dinubuatkan oleh Maleakhi bahawa dia akan kembali (Mal. 4:5). Dia kekal sebagai seorang tetamu undangan pada Jamuan-jamuan Paskah orang Yahudi, yang mana sebuah pintu yang terbuka dan sebuah tempat duduk kosong sentiasa menunggunya.

Nabi Joseph Smith berkata bahawa Elia memegang kuasa pemeteraian Imamat Melkisedek dan merupakan nabi yang terakhir yang boleh berbuat sedemikian sebelum waktu Yesus Kristus. Dia menampakkan diri di Gunung Perubahan Rupa bersama-sama Musa dan menganugerahkan kunci-kunci imamat ke atas Petrus, Yakobus, dan Yohanes (Mat. 17:3). Dia menampakkan diri lagi, bersama-sama Musa dan yang lain, pada April 3, 1836, di Bait Suci Kirtland Ohio dan menganugerahkan kunci-kunci yang sama ke atas Joseph Smith dan Oliver Cowdery (A&P 110:13–16). Semua ini adalah sebagai persiapan bagi Kedatangan Kedua Tuhan Kristus, seperti yang telah dibicarakan dalam Maleakhi 4:5–6.

Kuasa Elia ialah kuasa pemeteraian imamat yang mana hal-hal yang diikat atau dilepaskan di bumi adalah juga diikat atau dilepaskan di syurga (A&P 128:8–18). Para hamba Tuhan yang terpilih di bumi pada hari ini memiliki kuasa pemeteraian ini dan melaksanakan tatacara-tatacara keselamatan Injil bagi yang hidup dan yang mati (A&P 128:8).