Keluaran
Sebuah kitab yang ditulis oleh Musa di dalam Perjanjian Lama yang menjelaskan keberangkatan bangsa Israel keluar dari Mesir. Sejarah awal Israel seperti yang dicatatkan di dalam Keluaran boleh dibahagikan kepada tiga bahagian: (1) perhambaan umat itu pada Mesir, (2) keberangkatan mereka dari Mesir di bawah kepimpinan Musa, dan (3) pengabdian mereka pada pelayanan Tuhan di dalam kehidupan keagamaan mereka dan kehidupan politik mereka.
Bahagian pertama, Keluaran 1:1–15:21, menjelaskan penindasan terhadap Israel di Mesir; sejarah awal dan pemanggilan Musa; Keluaran dan permulaan Paskah; dan perjalanan ke Laut Merah, pembinasaan askar-askar Firaun, dan nyanyian kemenangan Musa.
Bahagian kedua, Keluaran 15:22–18:27, menceritakan tentang penebusan Israel dan kejadian-kejadian dalam perjalanan tersebut dari Laut Merah ke Sinai; mata air Mara yang pahit, pemberian burung-burung puyuh dan manna, pengudusan Hari Sabat, kurniaan air yang menakjubkan di Rafidim, dan pertempuran di situ dengan bangsa Amaleki; ketibaan Yitro di perkhemahan dan nasihatnya tentang pemerintahan umum umat tersebut.
Bahagian ketiga, bab 19–40, berurusan tentang kebaktian Israel pada pelayanan Tuhan semasa kejadian-kejadian khusyuk di Sinai. Tuhan menetapkan umat itu sebagai sebuah kerajaan para imam dan sebuah bangsa yang kudus; Dia memberikan Sepuluh Perintah; dan Dia memberikan arahan-arahan tentang khemah ibadat, perkakasannya, dan penyembahan di dalamnya. Berikutan kemudiannya adalah catatan tentang dosa umat tersebut dalam penyembahan sebuah lembu jantan emas, dan akhir sekali catatan tentang pembinaan khemah ibadat dan bekalan untuk pelayanan-pelayanan di dalamnya.