Bantuan Pengkajian
Yerusalem


Yerusalem

Sebuah kota yang terletak di Israel zaman moden. Ia adalah kota yang paling penting di dalam sejarah alkitab. Beberapa tempat yang paling suci bagi orang Kristian, orang Yahudi, dan orang Islam terletak di dalam kota ini dan sering dikunjungi oleh banyak orang yang percaya yang setia. Ia sering dirujuk sebagai kota suci.

Pernah dikenali sebagai Salem (Kej. 14:18; Mzm. 76:2), Yerusalem merupakan sebuah kota bangsa Yebusi sehinggalah ia ditawan oleh Daud (Yos. 10:1; 15:8; 2 Sam. 5:6–7), yang menjadikan kota ini sebagai ibu kotanya. Sampai saat itu ia telah digunakan kebanyakannya sebagai sebuah kubu pergunungan, kira-kira 2600 kaki (800 meter) di atas aras laut. Ia dikelilingi oleh lembah-lembah yang dalam di sekelilingnya kecuali di sebelah utara.

Semasa pemerintahan Raja Daud di Yerusalem, beliau telah menduduki sebuah istana kayu. Bagaimanapun, semasa pemerintahan Salomo, orang-orang telah melakukan banyak perkara untuk mengindahkan kota tersebut, termasuklah membina istana raja dan bait suci.

Selepas kerajaan Israel dan Yehuda terbahagi, Yerusalem kekal sebagai ibu kota Yehuda. Ia seringkali diserang oleh askar-askar serbuan (1 Raj. 14:25; 2 Raj. 14:13; 16:5; 18–19; 24:10; 25). Di bawah Hizkia, Yerusalem menjadi pusat penyembahan agama tetapi telah dihancurkan sebahagiannya pada 320 S.M., 168 S.M., dan 65 S.M. Herod telah membina semula tembok-tembok dan bait suci, tetapi pada 70 M orang Rom telah menghancurkan keseluruhannya.