“26 Jun–2 Julai. Matius 28; Markus 16; Lukas 24; Yohanes 20–21: ‘Dia Sudah Bangkit,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“26 Jun–2 Julai. Matius 28; Markus 16; Lukas 24; Yohanes 20–21,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2023
26 Jun–2 Julai
Matius 28; Markus 16; Lukas 24; Yohanes 20–21
“Dia Sudah Bangkit”
Baca dengan penuh doa Matius 28; Markus 16; Lukas 24; dan Yohanes 20–21, renungkan sukacita yang anda miliki kerana Kebangkitan Yesus. Siapakah yang akan diberkati oleh kesaksian anda tentang peristiwa ini?
Mencatat Tanggapan Anda
Bagi kebanyakan orang, kematian Yesus dari Nasaret mungkin kelihatan seperti penamat ironis kepada kehidupan yang luar biasa. Bukankah ini adalah orang yang membangkitkan Lazarus dari kematian? Bukankah dia berkali-kali menahan pelbagai ancaman daripada orang Farisi? Dia telah tunjukkan kuasa untuk menyembuhkan penyakit buta, kusta, dan kelumpuhan. Angin kuat dan lautan mematuhi-Nya. Namun Dia dipaku di atas salib, menyatakan “Sudah selesai” (Yohanes 19:30). Ada orang yang mengutuk dengan mengatakan “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya” (Matius 27:42). Tetapi kita tahu bahawa kematian Yesus bukanlah penghujung cerita tersebut. Kita tahu bahawa sepi kubur tersebut hanyalah sementara dan bahawa kerja penyelamatan Kristus baru bermula. Dia ditemui kini bukan “di antara orang mati” tetapi di antara yang hidup (Lukas 24:5). Ajaran-ajaran-Nya tidak akan diam, kerana para pengikut-Nya yang setia mengkhutbahkan injil kepada “seluruh bangsa,” mempercayai janji-Nya bahawa dia akan “berserta [mereka] sentiasa, bahkan sehingga hujung dunia” (Matius 28:19–20).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Matius 28; Markus 16; Lukas 24; Yohanes 20
Yesus Kristus telah bangkit.
Dalam ayat ini, anda akan baca tentang salah satu peristiwa paling penting di dalam sejarah manusia: Kebangkitan Yesus Kristus. Semasa anda membaca, letakkan diri anda di tempat orang-orang yang menyaksikan peristiwa Kebangkitan tersebut. Apakah yang anda pelajari dari pengalaman mereka?
Bagaimanakah anda rasakan semasa anda membaca tentang Kebangkitan Juruselamat? Pertimbangkan bagaimana ia telah mempengaruhi anda—pandangan anda terhadap kehidupan, hubungan, iman anda terhadap Kristus, dan iman anda dalam kebenaran injil.
Lihat juga Panduan Tulisan Suci, “Kebangkitan”.
Saya boleh menjemput Juruselamat untuk “tinggallah dengan [saya].”
Semasa anda membaca pengalaman dua pengikut yang pergi bertemu Juruselamat yang telah bangkit, carilah persamaan dengan pengalaman anda sebagai pengikut Kristus. Bagaimanakah anda dapat berjalan dengan-Nya hari ini dan menjemput-Nya untuk “singgah” lebih lama lagi? (Lukas 24:29). Bagaimanakah anda kenal pasti kehadiran-Nya dalam kehidupan anda? Dalam cara apakah Roh Kudus bersaksi tentang keilahian Yesus Kristus kepada anda?
Lihat juga “Ya, Tinggallah Bersertaku,” “Tinggal DenganKu,” Nyanyian Rohani, no. 68–69.
Kebangkitan adalah penyatuan abadi roh dan tubuh.
Laporan Kebangkitan Yesus Kristus dapat membantu anda memahami maksud untuk dibangkitkan. Contohnya, apakah kebenaran yang anda temui dalam Lukas 24:36–43 dan Yohanes 20 tentang tubuh yang dibangkitkan? Anda juga boleh meneroka tulisan suci lain tentang kebangkitan, seperti 1 Korintus 15:35–44; Filipi 3:20–21; 3 Nefi 11:13–15; Ajaran dan Perjanjian 88:27–31; 110:2–3; 130:1, 22.
“Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya.”
Sesetengah orang rasa seperti Tomas, yang berkata, “Kecuali aku melihat … , aku tidak mahu percaya” (Yohanes 20:25). Pada pendapat anda, mengapakah percaya tanpa melihat adalah suatu berkat? (lihat Yohanes 20:29). Renungkan bagaimana anda telah diberkati kerana mempercayai hal-hal yang anda tidak lihat. Apakah yang membantu anda beriman kepada Juruselamat bahkan ketika anda tidak dapat melihat-Nya? Bagaimanakah anda dapat terus menguatkan iman anda dalam “hal-hal yang tidak terlihat, yang adalah benar”? (lihat Alma 32:16–21; Eter 12:6). Pertimbangkan untuk mencatat dalam jurnal pengalaman-pengalaman yang telah membantu anda percaya kepada Yesus Kristus, atau kongsinya dengan seseorang yang anda kenali.
Juruselamat menjemput saya untuk gembalakan domba-Nya.
Anda boleh bandingkan interaksi Juruselamat dengan para Rasul-Nya dalam Yohanes 21 dengan pertama kali Dia mengarahkan mereka untuk melepaskan jala ikan mereka, tercatat dalam Lukas 5:1–11. Apakah persamaan dan perbezaan yang anda temui? Apakah pandangan tentang penganutan yang anda temui?
Pertimbangkan bagaimanakah firman Juruselamat kepada Petrus dalam Yohanes 21:15–17 mungkin berguna bagi anda. Adakah apa-apa yang menghalang anda dari melayani domba Tuhan? Apakah jawapan anda jika Tuhan tanya anda, “Adakah kamu … mengasihi Aku?” Renungkan bagaimana anda dapat tunjukkan kasih anda kepada Tuhan.
Lihat juga 1 Petrus 5:2–4, 8.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Lukas 24:5–6.Presiden Thomas S. Monson berkata tentang Lukas 24:5–6, “Tidak ada perkataan dalam agama Kristian yang lebih bermakna bagi saya” (“He Is Risen!,” Liahona, Mei 2010, 89). Apakah maksud kata-kata ini kepada anda dan keluarga anda?
-
Matius 28; Markus 16; Lukas 24; Yohanes 20–21.Semasa keluarga anda membaca bab-bab ini, perhatikan orang-orang yang berinteraksi dengan Yesus dalam setiap laporan. Contohnya, apakah yang mengagumkan anda tentang orang-orang yang melawat kubur Juruselamat? Apakah yang anda pelajari dari kata-kata atau tindakan para Rasul atau daripada para pengikut di jalan ke Emaus?
Pertimbangkan untuk nyanyi bersama “Benarkah Tuhan T’lah Bangkit?” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 45). Bercakap tentang seseorang yang keluarga anda kenali yang telah meninggal dunia, dan bincangkan bagaimana kebenaran dalam lagu ini membawa penghiburan.
-
Matius 28:16–20; Markus 16:14–20; Lukas 24:44–53.Dalam ayat-ayat ini, apakah yang Yesus minta para Rasul-Nya lakukan? Bagaimanakah kita dapat membantu mencapai pekerjaan ini? Ahli keluarga boleh berkongsi pengalaman ketika mereka merasakan “Tuhan bekerja bersama-sama mereka” untuk mencapai tujuan-Nya (Markus 16:20).
-
Yohanes 21:15–17.Pertimbangkan membaca ayat-ayat ini sambil makan bersama. Ini dapat menambah makna kepada firman Juruselamat “gembalakanlah domba-domba-Ku.” Berdasarkan apa yang Yesus ajarkan tentang domba dalam Perjanjian Baru (lihat, contohnya, Matius 9:35–36; 10:5–6; 25:31–46; Lukas 15:4–7; Yohanes 10:1–16), mengapakah memelihara domba-domba adalah gambaran yang baik tentang melayani anak-anak Tuhan? Apakah yang perumpamaan ini ajarkan tentang perasaan Bapa Syurgawi dan Yesus tentang kita?
Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Benarkah Tuhan T’lah Bangkit?,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 45.