“19–25 Jun. Matius 27; Markus 15; Lukas 23; Yohanes 19: ‘Sudah Selesai,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“19–25 Jun. Matius 27; Markus 15; Lukas 23; Yohanes 19,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2023
19–25 Jun
Matius 27; Markus 15; Lukas 23; Yohanes 19
“Sudah Selesai”
Matius 27; Markus 15; Lukas 23; dan Yohanes 19 termasuk perihal waktu-waktu terakhir kehidupan fana Juruselamat. Cuba rasakan kasih-Nya untuk anda semasa anda belajar tentang korban tebusan dan kematian-Nya.
Mencatat Tanggapan Anda
Dalam setiap perkataan dan perbuatan, Yesus Kristus memberi contoh kasih tulen—yang Rasul Paulus gelar sebagai kasih ihsan (lihat 1 Korintus 13). Hal ini lebih jelas pada waktu-waktu terakhir kehidupan fana Juruselamat. Dia diam di hadapan tuduhan palsu menunjukkan Dia “tidak cepat tersinggung” (1 Korintus 13:5). Kesediaan-Nya untuk tunduk kepada sebatan, kutukan dan penyaliban—sementara tidak menggunakan kuasa-Nya untuk mengakhiri seksaan itu—menunjukkan Dia “sabar” dan “tahan menghadapi segala sesuatu” (1 Korintus 13:4, 7). Rasa kasihan-Nya terhadap ibu-Nya dan belas kasihan-Nya terhadap mereka yang menyalib-Nya—walaupun dalam penderitaan Dia yang tidak tertanding—menunjukkan bahawa Dia “tidak mementingkan diri sendiri” (1 Korintus 13:5). Dalam waktu pengakhiran Dia di dunia, Yesus melakukan apa yang Dia telah lakukan sepanjang pelayanan fana-Nya—mengajar kita dengan teladan-Nya. Sememangnya, kasih ihsan ialah “kasih suci Kristus” (Moroni 7:47).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Matius 27; Markus 15; Lukas 23; Yohanes 19
Kesediaan Yesus Kristus untuk menderita menunjukkan kasih Dia kepada Bapa dan juga kepada kita semua.
Walaupun Juruselamat mempunyai kuasa untuk memanggil “malaikat lebih daripada dua belas pasukan” (Matius 26:53), Dia dengan rela memilih perbicaraan yang tidak adil, kutukan kejam, dan kesakitan jasmani yang tidak dapat dibayangkan. Mengapa Dia berbuat demikian? “Kerana kebaikan hati-Nya yang penuh kasih,” kata Nefi, “dan panjang sabar-Nya terhadap anak-anak manusia” (1 Nefi 19:9)
Anda boleh mula belajar tentang waktu akhir Juruselamat dengan membaca 1 Nefi 19:9. Di mana dalam Matius 27; Markus 15; Lukas 23; dan Yohanes 19 yang anda boleh cari contoh setiap perkara yang Nefi kata Yesus akan deritai?
-
“[Mereka] menghakimi Dia sebagai sesuatu yang tidak bernilai”
-
“Mereka mencambuk Dia”
-
“Mereka memukul Dia”
-
“Meludah ke atas Dia”
Ayat manakah yang membantu anda merasakan “kebaikan hati yang penuh kasih” Juruselamat terhadap anda? Apakah fikiran dan perasaan lain yang anda ada semasa anda membaca laporan ini? Pertimbangkan untuk menulisnya atau berkongsi dengan seseorang.
Matius 27:27–49, 54; Markus 15:16–32; Lukas 23:11, 35–39; Yohanes 19:1–5
Mengejek tidak dapat mengubah kebenaran.
Walaupun Yesus menahan kutukan sepanjang pelayanan-Nya, ia menjadi lebih kuat semasa mereka mencabuk dan menyalib-Nya. Tetapi kutukan ini tidak boleh menukar kebenaran iaitu: Yesus ialah Putera Tuhan. Apabila anda membaca tentang penghinaan yang Yesus lalui, fikirkan tentang pertentangan dan kutukan yang pekerjaan-Nya hadapi hari ini. Apakah pandangan yang anda peroleh tentang menahan pertentangan? Apa yang anda kagum tentang perkataan ketua askar dalam Matius 27:54?
Yesus Kristus menderita bersendirian supaya saya tidak perlu.
Semasa masa-Nya yang memilukan di salib, Yesus, yang selalu bergantung kepada Bapa Syurgawi-Nya, tiba-tiba rasa ditinggalkan. Membaca tentang ini mungkin membuat anda berfikir tentang masa ketika anda merasa jauh daripada Tuhan. Anda boleh renungkan bagaimana pengorbanan Juruselamat di atas salib membolehkan anda mengatasi itu. Seperti Elder Jeffrey R. Holland bersaksi, “Kerana Yesus sendirian berjalan dalam perjalanan yang begitu lama dan sunyi, kita tidak perlu berbuat demikian. … Kemenangan di Bukit Kalvari adalah kebenaran bahawa kita tidak akan ditinggalkan bersendirian atau tidak dikenali, meskipun kadang kala kita mungkin merasakan sedemikian” (“None Were with Him,” Liahona, Mei 2009, 88). Pertimbangkan bagaimana Juruselamat dapat membantu anda mengatasi kesunyian semasa anda membaca seluruh pesanan Elder Holland.
Juruselamat ialah teladan pelayanan keampunan kita.
Bagaimanakah perasaan anda apabila membaca firman Juruselamat dalam Lukas 23:34? (lihat pemahaman dalam Terjemahan Joseph Smith). Merujuk kepada perkataan Juruselamat, Presiden Henry B. Eyring mengajar: “Kita mesti mengampuni dan tidak berniat jahat terhadap mereka yang menyinggung kita. Juruselamat telah tunjukkan teladan ini dari salib. … Kita tidak tahu hati mereka yang menyinggung kita” (“That We May Be One,” Ensign, Mei 1998, 68). Bagaimana ayat ini boleh menolong anda jika anda mempunyai masalah untuk mengampuni seseorang?
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Matius 27; Markus 15; Lukas 23; Yohanes 19.Untuk membantu keluarga anda belajar tentang peristiwa-peristiwa dalam bab-bab ini, anda boleh berkongsi “Bab 52: Perbicaraan Yesus” dan “Bab 53: Yesus Disalibkan” (dalam Cerita-cerita Perjanjian Baru , 133–38. Anda boleh menjemput kanak-kanak untuk menceritakan semula cerita itu dalam kata-kata mereka sendiri. Ahli keluarga boleh berkongsi perasaan mereka terhadap Juruselamat kerana apa yang Dia menderita untuk kita.
-
Matius 27:11–26; Markus 15:1–15; Lukas 23:12–25; Yohanes 19:1–16.Mengapa Pilatus menyerahkan Yesus untuk disalibkan, walaupun dia tahu Yesus tidak bersalah? Apakah pelajaran yang kita pelajari dari pengalaman Pilatus tentang mempertahankan apa yang kita tahu adalah betul? Keluarga anda boleh melakonkan senario yang boleh membantu mereka mempertahankan untuk apa yang mereka tahu adalah betul.
-
Matius 27:46; Lukas 23:34, 43, 46; Yohanes 19:26–28, 30.Mungkin anda boleh menugaskan setiap ahli keluarga untuk membaca satu atau beberapa kenyataan yang Juruselamat buat di atas salib, yang terdapat dalam ayat-ayat ini. Minta mereka untuk berkongsi apa yang mereka pelajari dari kenyataan-kenyataan ini tentang Juruselamat dan misi-Nya.
-
Markus 15:39.Bagaimanakah membaca tentang Penyaliban menguatkan kesaksian kita bahawa Yesus adalah “Anak Tuhan”?
-
Yohanes 19:25–27.Apakah yang kita pelajari dari ayat-ayat ini tentang bagaimana kita boleh mengasihi dan menyokong ahli keluarga?
Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu rohani cadangan: “Di Atas Salib Kalvari,” Nyanyian Rohani, no. 77.