Perjanjian Baru 2023
24–30 Julai. Kisah Rasul-Rasul 16–21: “Tuhan Telah Menyuruh Kami Mengkhabarkan [Injil]”


“24–30 Julai. Kisah Rasul-Rasul 16–21: ‘Tuhan Telah Menyuruh Kami Mengkhabarkan [Injil],’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Baru 2023 (2022)

“24–30 Julai. Kisah Rasul-Rasul 16–21,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2023

Paulus mengajar di bukit

24–30 Julai

Kisah Rasul-Rasul 16–21

“Tuhan Telah Menyuruh Kami Mengkhabarkan [Injil]”

Semasa anda membaca tentang usaha-usaha Paulus untuk mengkhutbahkan injil, Roh boleh mendorong fikiran atau perasaan anda. Tulis dorongan ini, dan rancang untuk bertindak menurutnya.

Mencatat Tanggapan Anda

Antara kata-kata akhir Tuhan kepada para Rasul-Nya ialah perintah “Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Tuhan” (Matius 28:19–20). Walaupun Rasul-Rasul tidak pergi ke semua negara, Kisah Rasul-Rasul 16–21 menunjukkan Paulus dan rakan-rakannya membuat kemajuan dalam membangunkan Gereja. Mereka mengajar, membaptis, dan memberi kurnia Roh Kudus. Mereka melaksanakan mukjizat-mukjizat, bahkan membangkitkan semula seorang lelaki dari kematian, dan bernubuat tentang Kemurtadan Besar (Kisah Rasul-Rasul 20:7–12, 28–31). Dan pekerjaan yang mereka mulakan diteruskan oleh Rasul-Rasul hidup hari ini, bersama pengikut-pengikut setia seperti anda, yang bantu memenuhi perintah Juruselamat dalam cara yang Paulus tidak dapat bayangkan. Mungkin anda sedar ada orang yang tidak kenal Bapa Syurgawi mereka atau injil-Nya. Mungkin anda telah rasa “rohmu didorong di dalam dirimu” untuk berkongsi dengan mereka apa yang anda tahu tentang Dia (Kisah Rasul-Rasul 17:16). Jika anda mengikut teladan rendah hati dan keberanian Paulus dalam berkongsi injil, anda akan menemukan seseorang yang “Tuhan membuka fikirannya” (Kisah Rasul-Rasul 16:14).

ikon pengkajian peribadi

Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Kisah Rasul-Rasul 16–21

Roh akan membimbing saya dalam usaha saya untuk berkongsi injil.

Nabi Joseph Smith mengisytiharkan, “Tidak seorang pun dapat mengkhutbahkan Injil tanpa Roh Kudus” (Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith [2007], 332). Semasa anda membaca Kisah Rasul-Rasul 16–21, pertimbangkan mengapa pernyataan Nabi adalah benar. Perhatikan contoh-contoh di mana Roh telah membantu Paulus dan rakan-rakannya. Apakah berkat-berkat yang datang kerana mereka mengikuti Roh? Bilakah anda telah rasa Roh mendorong anda dalam usaha anda untuk berkongsi injil?

Kisah Rasul-Rasul 16–21

Saya dapat mengisytiharkan injil dalam semua keadaan.

Dipenjarakan kerana mengkhutbahkan injil mungkin kelihatan seperti alasan baik untuk berhenti berkhutbah. Tetapi bagi Paulus dan Silas, ia menjadi kesempatan untuk mengubah hati seorang ketua penjara (lihat Kisah Rasul-Rasul 16:16–34). Dalam seluruh Kisah Rasul-Rasul 16–21, cari contoh lain tentang kesediaan Paulus untuk berkongsi injil dengan semua orang. Mengapakah anda berfikir dia begitu berani? Apakah yang anda belajar dari contoh Paulus?

Terdapat banyak ayat tentang berkongsi injil dalam Kisah Rasul-Rasul 16–21. Semasa anda mengkaji bab-bab ini, carikan beberapa yang sangat berguna bagi anda.

Lihat juga Dieter F. Uchtdorf, “Kerja Penginjil: Kongsilah Apa Dalam Hati Anda,” Liahona, Mei 2019, 15–18.

bayi dipegang

Setiap kita adalah anak Tuhan.

Kisah Rasul-Rasul 17:16–34

“Kita semua anak Tuhan.”

Di Athens, Paulus menemui orang-orang dengan pelbagai pendapat dan pandangan keagamaan. Mereka selalu ingin “mendengar … hal-hal yang paling mutakhir,” dan apa yang Paulus memberikan tentunya baru bagi mereka (lihat Kisah Rasul-Rasul 17:19–21). Mereka menyembah banyak tuhan, termasuk satu yang mereka panggil “Tuhan yang tidak dikenal” (Kisah Rasul-Rasul 17:23), tetapi mereka percaya bahawa tuhan-tuhan itu adalah kuasa atau semangat, bukan makhluk yang hidup dan bersifat, dan pastinya bukan Bapa kita. Renungkan apa yang Paulus katakan untuk membantu mereka mengenali Tuhan. Apakah ertinya bagi anda untuk menjadi “anak Tuhan”? (Kisah Rasul-Rasul 17:29). Pada pendapat anda, bagaimanakah menjadi anak Tuhan berbeza daripada hanya menjadi salah satu ciptaan-Nya? Bagaimanakah memahami kebenaran ini mempengaruhi cara anda melihat diri anda dan orang lain?

Jika anda berdiri di sebelah Paulus ketika dia bersaksi, apakah yang anda akan beritahu orang Yunani purba tentang Bapa Syurgawi kita? Adakah anda kenal sesiapa yang boleh mendapat manfaat dari mendengar kesaksian anda?

Lihat juga Roma 8:16; 1 Yohanes 5:2.

ikon pengkajian sekeluarga

Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Kisah Rasul-Rasul 16–21.Untuk mendalamkan pemahaman keluarga anda tentang Kisah Rasul-Rasul 16–21, anda boleh mengkaji peta pada akhir panduan ini, mencari kota-kota di mana Paulus mengkhutbahkan injil dalam bab-bab ini. Apakah sumber-sumber yang kita ada hari ini untuk membantu membawa injil kepada semua bangsa?

Kisah Rasul-Rasul 17:10–12; 18:24–28.Bagaimanakah kita boleh menjadi lebih seperti Orang Suci dalam ayat-ayat ini? Apakah maksudnya untuk “[menerima] perkhabaran tentang Yesus” dengan kesediaan minda? (Kisah Rasul-Rasul 17:11). Apakah yang boleh kita lakukan untuk menjadi “sangat memahami kitab-kitab suci”? (Kisah Rasul-Rasul 18:24).

Kisah Rasul-Rasul 19:1–7.Ayat-ayat ini dapat membantu keluarga anda mengadakan perbincangan tentang kepentingan dibaptiskan dan ditetapkan. Untuk lebih memahami kebenaran dalam Kisah Rasul-Rasul 19:1–7, anda boleh bincangkan beberapa perkara yang tidak berguna tanpa sesuatu yang lain, seperti telefon bimbit tanpa bateri. Pertimbangkan berkongsi pernyataan daripada Nabi Joseph Smith ini: “Pembaptisan dengan air hanyalah separuh baptisan, dan tidak ada gunanya tanpa separuh lainnya—iaitu, pembaptisan Roh Kudus.” (Teachings: Joseph Smith, 95). Mengapakah pembaptisan “tidak lagi berguna untuk apa pun” tanpa menerima kurnia Roh Kudus? (lihat 3 Nefi 27:19–20; Musa 6:59–61).

Kisah Rasul-Rasul 19:18–20.Semasa anda membaca Kisah Rasul-Rasul 19:18–20, perhatikan nilai harta benda yang mereka sedia untuk lepaskan untuk memeluk injil (lihat ayat 19). Adakah terdapat milik atau aktiviti duniawi yang kita perlu melepaskan untuk menerima berkat-berkat syurgawi?

Kisah Rasul-Rasul 20:32–35.Bilakah keluarga anda telah alami ajaran Kristus tentang “lebih berbahagia memberi daripada menerima”? (Kisah Rasul-Rasul 20:35). Adakah terdapat seseorang yang boleh mendapat manfaat dari pelayanan, masa, atau hadiah yang keluarga anda boleh berikan? Sebagai keluarga, bincangkan beberapa idea dan rancang untuk melayani seseorang. Bagaimanakah kita rasa apabila kita melayani orang lain? Mengapakah lebih diberkati untuk memberi daripada menerima?

Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu cadangan: “Aku Anak Tuhan,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 2–3.

Memperbaikkan Kajian Peribadi

Catatkan tanggapan. “Apabila anda mencatatkan tanggapan-tanggapan rohani anda, anda tunjukkan kepada Tuhan bahawa anda menghargai bimbingan-Nya, dan Dia akan memberkati anda dengan wahyu yang lebih kerap” (Teaching in the Savior’s Way, 12; lihat juga halaman 30).

Peta perjalanan misionari Paulus

Perjalanan misionari Rasul Paulus.