“9–15 Oktober. Filipi; Kolose: ‘Dengan Kuasa Yang Diberikan Oleh Kristus, Aku Berdaya Menghadapi Segala Macam Keadaan,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“9–15 Oktober. Filipi, Kolose,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2023
9–15 Oktober
Filipi; Kolose
“Dengan Kuasa Yang Diberikan Oleh Kristus, Aku Berdaya Menghadapi Segala Macam Keadaan”
Bilakah masa terakhir anda baca tanggapan rohani yang anda catat semasa kajian Perjanjian Baru? Mungkin anda boleh ulang kaji tanggapan-tanggapan yang anda telah terima.
Mencatat Tanggapan Anda
Paulus menulis surat kepada orang Filipi dan orang Kolose semasa dia berada dalam penjara. Tetapi surat-surat ini tidak seperti surat seseorang yang berada dalam penjara. Paulus berucap lebih banyak tentang kebahagiaan, kegembiraan, dan kesyukuran daripada kesengsaraan dan cubaan: “Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan” (Filipi 1:18). “Meskipun aku tidak bersama-sama kamu, anggaplah aku hadir … Aku gembira melihat kamu sehati dan percaya kepada Kristus dengan teguh” (Kolose 2:5). Tentunya, “kesejahteraan daripada Tuhan” yang Paulus alami pada masa kesusahan “tidak mungkin difahami” (Filipi 4:7), tetapi ia adalah realiti. Dalam cubaan kita, kita boleh rasa kedamaian yang sama dan“sentiasa bersukacita kerana hidup bersama Tuhan” (Filipi 4:4). Seperti Paulus, kita boleh sepenuhnya bergantung pada Yesus Kristus, yang “mengampunkan dosa kita” (Kolose 1:14). Seperti Paulus, kita boleh kata “dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan” (Filipi 4:13; lihat juga Kolose 1:11).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Iman saya berasas pada Yesus Kristus.
Presiden Russell M. Nelson berkata apabila dia menumpukan kajian tulisan sucinya pada ayat-ayat tentang Yesus Kristus, ia mempunyai kesan mendalam terhadapnya dan dia rasa seperti “orang yang berbeza!” (“Menarik Kuasa Yesus Kristus ke dalam Hidup Kita,” Liahona, Mei 2017, 39. Pertimbangkan untuk mengikuti teladannya semasa anda membaca Filipi dan Kolose (lihat terutamanya Filipi 2:5–11; Kolose 1:12–23). Apakah yang anda pelajari tentang Juruselamat? Bagaimanakah kebenaran-kebenaran ini membantu anda menjadi lelaki atau wanita “yang berbeza”?
Adakah kita “lakukanlah [penyelamatan diri sendiri]”?
Sesetengah orang gunakan frasa “menyempurnakan kesejahteraan” sendiri (Filipi 2:12) untuk menyokong idea bahawa kita hanya diselamatkan oleh usaha kita sendiri. Yang lain gunakan ajaran Paulus “dengan rahmat Tuhan, kamu diselamatkan [melalui iman]” (Efesus 2:8) untuk menuntut bahawa tidak ada pekerjaan yang diperlukan untuk keselamatan. Walau bagaimanapun, tulisan suci, termasuk tulisan Paulus, jelas mengajarkan keperluan rahmat Yesus Kristus dan usaha peribadi untuk menerima penyelamatan. Dan bahkan dalam usaha terbaik kita untuk mengerjakan keselamatan kita, “Tuhan sentiasa bekerja di kalangan kamu” (Filipi 2:13; lihat juga Filipi 1:6; 2 Nefi 25:23; Panduan Tulisan Suci, “Rahmat”).
Injil Yesus Kristus berbaloi untuk setiap pengorbanan.
Paulus berkorban banyak ketika dia bertukar hati kepada injil Yesus Kristus, termasuk kedudukannya yang berpengaruh dalam masyarakat Yahudi sebagai seorang Farisi. Dalam Filipi 3:4–14, carilah apa yang Paulus peroleh kerana dia sedia berkorban demi injil. Apakah yang dia rasakan tentang pengorbanannya?
Kemudian pertimbangkan penganutan anda. Apakah anda telah berkorban demi injil Yesus Kristus? Apakah yang anda telah terima? Adakah pengorbanan tambahan yang anda rasa anda perlu buat untuk menjadi pengikut Juruselamat yang lebih setia?
Lihat juga 3 Nefi 9:19–20; Ajaran dan Perjanjian 58:2–5; Taylor G. Godoy, “Sehari Lagi,” Liahona, Mei 2018, 34–36.
Saya boleh berbahagia dalam Kristus, tidak kira apa pun keadaan saya.
Kehidupan Paulus ialah satu gambaran jelas tentang kebenaran yang dikatakan oleh Presiden Russell M. Nelson: “Apabila hidup kita berfokus … pada Yesus Kristus dan Injil-Nya, kita boleh rasa kebahagiaan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita. Kebahagiaan datang daripada Dia dan wujud kerana Dia” (“Kebahagiaan dan Penakatan Rohani,” Liahona, Nov. 2016, 82).
Semasa anda baca Filipi—terutamanya bab 4—cari pernyataan yang boleh bantu anda memperoleh kebahagiaan dalam segala keadaan hidup. Pernahkah anda alami “kesejahteraan daripada Tuhan” pada masa kesusahan? (ayat 7). Pernahkah anda mendapat kekuatan “yang diberikan oleh Kristus” untuk melakukan perkara yang susah? (ayat 13). Mengapakah anda rasa ia penting untuk “berpuas hati” dalam segala keadaan? (ayat 11). Bagaimanakah dengan berlatih sifat-sifat dalam ayat 8 boleh bantu anda temukan sukacita dalam keadaan anda?
Lihat Alma 33:23.
Pengikut-pengikut Yesus Kristus menjadi “baru” semasa mereka mematuhi injil-Nya.
Bagaimanakah anda tahu Yesus Kristus sedang membantu anda menjadi “manusia baru”? Satu cara untuk merenung ini adalah dengan mengkaji Kolose 3:1–17 dan buat satu senarai sifat, sikap, dan tindakan “hidup yang lama” dan satu senarai sifat, sikap, dan tindakan “manusia baru”.
Catatkan tanggapan anda tentang bagaimana Juruselamat mengubah anda, supaya anda boleh ulang kaji pada masa depan dan renungkan perkembangan anda.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Filipi.Keluarga anda mungkin sedar perkataan bersukacita atau bergembira diulang banyak kali dalam Filipi. Setiap kali anda lihat perkataan itu, anda boleh berhenti dan bincangkan apa yang Paulus ajarkan tentang cara memperoleh kebahagiaan.
-
Filipi 2:14–16.Bagaimana kita “bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit”?
-
Filipi 4:8.Keluarga anda boleh mengenal pasti hal-hal yang anda boleh “menumpukan fikiran” yang padan dengan gambaran dalam ayat ini (juga lihat Fasal-Fasal Kepercayaan 1:13). Bagaimana keluarga anda boleh diberkati dengan mengikut nasihat Paulus ?
-
Kolose 1:23; 2:7.Mungkin keluarga anda boleh berkumpul dan membaca ayat-ayat ini sambil duduk di bawah satu pokok atau melihat gambar sebatang pokok (seperti yang ada dalam panduan ini). Apakah maksud “berdiri teguh” dan “berakar” dalam Kristus? Bagaimana kita boleh membantu sesama memperkukuhkan akar rohani kita?
-
Kolose 2:2–3.Keluarga anda boleh mengisi “peti harta karun” dengan hal-hal yang mewakili “kekayaan” dan “harta kebijaksanaan dan pengetahuan” yang anda temui dalam injil.
Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu rohani cadangan: “Bersukacitalah, Tuhan Raja!,” Nyanyian Rohani, no. 20.