“Fikiran untuk Direnungkan: Membaca Perjanjian Lama’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“Fikiran untuk Direnungkan: Membaca Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022
Fikiran untuk Direnungkan
Membaca Perjanjian Lama
Mencari Makna Peribadi
Apabila anda mempertimbangkan peluang anda untuk mengkaji Perjanjian Lama tahun ini, bagaimana perasaan anda? Penuh dengan minat? Tidak pasti? Takut? Semua emosi itu dapat difahami. Perjanjian Lama adalah salah satu koleksi tulisan tertua di dunia, dan itu boleh menjadikannya menarik dan menakutkan. Tulisan-tulisan ini berasal dari budaya kuno yang boleh kelihatan asing dan kadangkala pelik atau juga tidak selesa. Namun dalam tulisan-tulisan ini kita melihat orang ramai mempunyai pengalaman yang sepertinya biasa, dan kita mengenal pasti tema-tema Injil yang bersaksi tentang ketuhanan Yesus Kristus dan injil-Nya.
Ya, orang-orang seperti Abraham, Sara, Hana, dan Daniel menjalani kehidupan yang, dalam beberapa cara, sangat berbeza dengan kehidupan kita. Tetapi mereka juga mengalami kebahagiaan keluarga dan perselisihan keluarga, detik iman dan detik ketidakpastian, serta kejayaan dan kegagalan—seperti kita semua. Lebih penting lagi, mereka menjalankan iman, bertaubat, membuat perjanjian, memiliki pengalaman rohani, dan tidak pernah putus asa dalam usaha mereka untuk mematuhi Tuhan.
Jika anda tertanya-tanya sama ada anda dan keluarga anda dapat memperoleh makna peribadi dalam Perjanjian Lama tahun ini, ingatlah bahawa keluarga Lehi dan Saria memperolehnya. Nefi berkongsi cerita tentang Musa dan ajaran-ajaran dari Yesaya ketika saudara-saudaranya memerlukan galakkan atau pembetulan atau perspektif. Apabila Nefi berkata, “Jiwaku bersukacita akan tulisan-tulisan suci” (2 Nefi 4:15), dia bercakap tentang tulisan suci yang kini sebahagian dari Perjanjian Lama.
Mencari Juruselamat
Jika anda tertanya-tanya adakah anda dan keluarga anda dapat mendekati Yesus Kristus melalui kajian Perjanjian Lama, ingatlah bahawa Juruselamat Sendiri menjemput kita untuk melakukannya. Apabila dia memberitahu para pemimpin orang Yahudi, “Alkitab … memberikan kesaksian tentang Aku” (Yohanes 5:39), Dia bercakap tentang tulisan yang kita panggil Perjanjian Lama. Untuk mencari Juruselamat dalam apa yang anda baca, anda mungkin perlu merenungkan dengan sabar dan mencari bimbingan rohani. Kadangkala rujukan kepada-Nya sangat ketara, seperti dalam pengisytiharan Yesaya “Seorang anak telah dilahirkan bagi kita! Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita: … Dia akan disebut … Raja Damai” (Yesaya 9:6). Di tempat lain, Juruselamat diwakili secara halus, melalui lambang dan persamaan—contohnya, melalui gambaran pengorbanan binatang (lihat Imamat 1:3–4) atau laporan Yusuf memaafkan saudara-saudaranya dan menyelamatkan mereka dari kebuluran.
Jika anda mencari iman yang lebih besar dalam Juruselamat semasa anda mengkaji Perjanjian Lama, anda akan menemuinya. Mungkin ini boleh menjadi tujuan kajian anda tahun ini. Berdoa agar Roh akan membimbing anda untuk mencari dan memberi perhatian pada petikan, kisah, dan nubuat yang akan mendekatkan anda kepada Yesus Kristus.
Dipelihara secara Ilahi
Jangan mengharapkan Perjanjian Lama untuk menyampaikan sejarah umat manusia yang menyeluruh dan tepat. Itu bukan apa yang pengarang dan penyusun asal cuba untuk ciptakan. Tujuan mereka yang lebih besar adalah mengajar sesuatu tentang Tuhan—tentang rancangan-Nya untuk anak-anak-Nya, tentang apakah ertinya untuk menjadi umat perjanjian-Nya, dan tentang bagaimana untuk mencari penebusan ketika kita tidak mematuhi perjanjian kita sepenuhnya. Kadangkala mereka melakukannya dengan menceritakan peristiwa bersejarah yang mereka fahaminya—termasuk kisah-kisah daripada kehidupan para nabi yang hebat. Kejadian adalah contoh ini, begitu juga dengan kitab-kitab seperti Yosua, Hakim-Hakim, dan Raja-raja 1 dan 2. Tetapi penulis Perjanjian Lama yang lain tidak cuba untuk menjadikan ia tentang sejarah. Sebaliknya, mereka mengajar melalui karya seni seperti puisi dan sastera. Mazmur dan Amsal sesuai dalam kategori ini. Dan kemudian terdapat kata-kata para nabi yang berharga, dari Yesaya hingga Maleakhi, yang berbicara firman Tuhan kepada Israel kuno—dan, melalui mukjizat dari Alkitab, masih berbicara kepada kita hari ini.
Adakah semua nabi, pemuisi, dan penyusun ini tahu bahawa kata-kata mereka akan dibaca oleh orang di seluruh dunia ribuan tahun kemudian? Kita tidak tahu. Tetapi kita kagum bahawa inilah yang telah berlaku. Bangsa bangkit dan jatuh, kota-kota ditakluki, raja-raja hidup dan mati; tetapi Perjanjian Lama tahan lebih lama dari semua itu, dari generasi ke generasi, dari jurutulis ke jurutulis, dari penterjemahan ke penterjemahan. Sudah tentu beberapa perkara telah hilang atau diubah, namun begitu banyak yang telah dipelihara secara mukjizat.1
Ini hanya beberapa perkara yang perlu fikirkan semasa anda membaca Perjanjian Lama tahun ini. Mungkin Tuhan memelihara tulisan-tulisan kuno ini kerana Dia mengenali anda dan apa yang anda sedang lalui. Mungkin Dia telah menyediakan pesanan rohani untuk anda dalam kata-kata ini, sesuatu yang akan mendekatkan anda kepada-Nya dan membina iman anda terhadap rancangan-Nya dan Putera-Nya yang Dikasihi. Mungkin Dia akan membimbing anda ke suatu petikan atau pandangan yang akan memberkati seseorang yang anda kenali—satu pesanan yang anda boleh kongsi dengan seorang rakan, ahli keluarga, atau Orang Suci. Terdapat begitu banyak kemungkinan. Bukankah itu menguja untuk difikirkan?