Perjanjian Lama 2022
5–11 September. Yesaya 1–12: “Tuhan ialah Penyelamatku”


“5–11 September. Yesaya 1–12: ‘Tuhan ialah Penyelamatku,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“5–11 September. Yesaya 1–12,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022

tulisan nabi purba

The Prophet Isaiah Foretells Christ’s Birth (Nabi Yesaya Meramalkan Kelahiran Kristus), oleh Harry Anderson

5–11 September

Yesaya 1–12

“Tuhan ialah Penyelamatku”

Cari panduan rohani sambil anda belajar. Kata-kata Yesaya boleh difahami secara sepenuhnya apabila kita “dipenuhi roh nubuat”, seperti yang diajar oleh Nefi (2 Nefi 25:4).

Catat Tanggapan Anda

Walaupun ini ialah kali pertama anda membaca kitab Yesaya, petikan-petikan dalam kitab ini mungkin anda biasa dengar. Ini adalah kerana, daripada semua nabi Perjanjian Lama, tulisan Yesaya merupakan yang paling sering dipetik dalam kitab-kitab suci yang lain, termasuk oleh Juruselamat Sendiri. Firman Yesaya juga sering muncul dalam lagu rohani dan muzik kudus yang lain. Mengapakah tulisan Yesaya begitu kerap dipetik?

Sudah tentu sebahagian daripada sebabnya adalah bahawa Yesaya dikurniakan keupayaan untuk menyatakan firman Tuhan dalam bahasa yang jelas dan tidak dapat dilupakan. Lebih daripada itu sebenarnya. Yesaya telah mengilhami para nabi selama beberapa generasi kerana kebenaran yang diajarnya melampaui generasinya sendiri—orang Israel yang hidup antara tahun 740 dan 701 S.M. Peranannya adalah untuk membuka mata kita kepada kerja penebusan Tuhan yang hebat, yang jauh lebih besar daripada satu bangsa atau satu masa. Daripada Yesaya, Nefi mengetahui bahawa dia dan bangsanya, walaupun terpisah daripada orang Israel yang lain, masih merupakan sebahagian daripada umat perjanjian Tuhan. Dalam Yesaya, penulis Perjanjian Baru menemui nubuat tentang Mesias yang digenapi betul-betul di depan mata mereka. Selain itu, dalam Yesaya, Joseph Smith mendapat ilham untuk mengumpulkan Israel dan membina Sion dalam kerja zaman akhir. Apabila anda membaca Yesaya, apakah yang anda akan temui?

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Yesaya dan tulisannya, lihat “Yesaya” dalam Panduan Tulisan Suci. Untuk mendapatkan maklumat mengenai tempoh hayat Yesaya, lihat 2 Raja-Raja 15–20 dan 2 Tawarikh 26–32.

Learn More image
ikon pengkajian peribadi

Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Yesaya 1–12

Bagaimanakah saya boleh lebih memahami ajaran-ajaran Yesaya?

Berkenaan dengan tulisan Yesaya, Juruselamat mengatakan, “Menyelidiki hal-hal ini dengan tekun; kerana agunglah kata-kata Yesaya” (lihat 3 Nefi 23:1–3). Walau bagaimanapun, bagi ramai orang, tulisan Yesaya mungkin sukar difahami. Berikut ialah beberapa petua untuk membantu anda memahami secara lebih mendalam firman Yesaya:

  • Renungkan lambang dan metafora yang Yesaya gunakan. Misalnya, renungkan apakah yang anda rasa Yesaya ingin sampaikan apabila dia menulis tentang ladang anggur (lihat Yesaya 5:1–7), sungai Siloh (lihat Yesaya 8:5–10), panji (lihat Yesaya 5:26) dan bendera (lihat Yesaya 11:10,12).

  • Bagi setiap bab yang anda baca, tanya diri anda sendiri, “Apakah yang saya pelajari tentang Yesus Kristus?” (lihat 1 Nefi 19:23).

  • Cari topik yang anda rasa berkenaan dengan zaman kita, seperti kehidupan dan misi Yesus Kristus, penyebaran dan pengumpulan Israel, hari-hari terakhir dan Zaman Seribu Tahun. Anda juga boleh menyimpan senarai rujukan daripada Yesaya yang mengajar tentang topik-topik ini.

  • Gunakan bantuan pengkajian yang tersedia, seperti kamus, nota kaki Alkitab, tajuk bab dan Panduan Tulisan Suci.

Lihat juga 2 Nefi 25:1–8.

Yesaya 1; 3; 5

“Jangan berbuat jahat lagi.”

Yesaya sentiasa memberi peringatan kepada Kerajaan Yehuda tentang keadaan rohani mereka. Selepas membaca Yesaya 1, 3 dan5, bagaimanakah anda menjelaskan keadaan rohani bangsa tersebut? Apakah amaran yang anda rasa bersesuaian dengan zaman kita?

Selain daripada amaran yang diberikan, anda juga boleh mencatat pesanan harapan untuk orang Israel yang berdosa (lihat, contohnya, Yesaya 1:16–20, 25–27; 3:10). Apakah yang kita pelajari tentang Tuhan dari pesanan-pesanan ini?

Yesaya 2; 4; 11–12

Tuhan akan melakukan kerja yang hebat pada zaman akhir.

Banyak tulisan Yesaya terdiri daripada nubuat yang mempunyai maksud yang khusus untuk zaman kita. Manakah gambaran tentang zaman akhir Yesaya dalam bab 2; 4; 11–12 yang mengilhami anda terutamanya? (Ajaran dan Perjanjian 113:1–6 menyediakan pandangan yang berguna tentang Yesaya 11.) Apakah yang anda pelajari tentang pengumpulan orang Israel dan penebusan Sion? Apakah yang anda terilham untuk lakukan selepas membaca bab-bab ini?

Lihat juga Yesaya 5:26; 10:20.

Yesaya 6

Nabi dipanggil oleh Tuhan.

Dalam bab 6, Yesaya telah mengisahkan kembali panggilannya untuk menjadi nabi. Semasa anda membaca bab ini, apakah yang mengagumi anda tentang peristiwa yang Yesaya telah alami? Bagaimanakah bab ini mempengaruhi cara anda memikirkan tentang Tuhan, nabi-Nya dan kerja yang mereka diminta untuk lakukan?

seorang wanita sedang mendukung bayi

“Seorang anak telah dilahirkan bagi kita, seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita” (Yesaya 9:6).

Yesaya 7–9

Yesaya bersaksi tentang Yesus Kristus.

Pada awal pelayanan Yesaya, Kerajaan Israel (juga digelar Efraim) bersekutu dengan Siria untuk mempertahankan diri daripada serangan Assyria. Israel dan Siria ingin memaksa Ahas, raja Yehuda, untuk menyertai pakatan mereka. Tetapi Yesaya menubuatkan bahawa pakatan tersebut akan gagal dan menasihati Ahas agar mempercayai Tuhan (lihat Yesaya 7–9, terutamanya Yesaya 7:7–9; 8:12–13).

Apabila Yesaya menasihati Ahas, dia telah membuat beberapa nubuat yang terkenal, seperti yang boleh didapati dalam Yesaya 7:14; 8:13–14; 9:2, 6–7. Walaupun maksud nubuat ini tidak jelas sepenuhnya pada zaman Ahas, nubuat itu jelas merujuk pada Yesus Kristus (lihat juga Matius 1:21–23; 4:16; 21:44; Lukas 1:31–33). Apakah yang anda pelajari tentang Juruselamat dari ayat-ayat ini?

ikon pengkajian sekeluarga

Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Yesaya 1:16–18. Atau anda boleh menunjukkan cara kesan kotoran boleh ditanggalkan dari pakaian. Bagaimanakah pesanan Tuhan dalam ayat-ayat ini berbeza daripada yang Setan mahu kita percaya?

Yesaya 2:1–5.Ahli keluarga boleh memilih salah satu dari ayat ini dan melukis perkara yang dijelaskan. Apakah yang bait suci ajarkan kepada kita mengenai jalan Tuhan? Bagaimanakah kita diberkati sambil kita “hidup dalam cahaya yang diberikan Tuhan”? (Yesaya 2:5).

Yesaya 4:5–6.Apakah yang Tuhan janjikan dalam ayat-ayat ini? Apakah maksud janji-janji ini? Bagaimanakah Dia menggenapi janji-janji ini? (Lihat juga Keluaran 13:21–22.)

Yesaya 7:14; 9:1–7.Dengan menggunakan lukisan atau gambar daripada majalah Gereja, anda boleh membuat poster yang menggambarkan beberapa perkara yang kita pelajari tentang Yesus Kristus daripada ayat-ayat ini.

Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu yang dicadangkan: “Di Gunung Nan Tinggi,” Nyanyian Rohani, no.4.

Memperbaikkan Pengkajian Peribadi

Minta Tuhan untuk bantuan. Untuk memahami tulisan suci, kita memerlukan wahyu peribadi. Tuhan telah berjanji, “Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Tuhan akan membukanya bagi kamu” (Matius 7:7).

Bait Suci Idaho Falls dalam ribut petir

Yesaya telah mengajar bahawa khemah ibadat akan menjadi “tempat yang terlindung” dan “daripada hujan dan ribut” (Yesaya 4:6).Bait Suci Idaho Falls