“28 November–4 Disember. Nahum; Habakuk; Zafanya: ‘Bukit-bukit Tempat Engkau Berjalan Sejak Zaman Purba,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“28 November–4 Disember. Nahum; Habakuk; Zafanya,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
28 November–4 Disember
Nahum; Habakuk; Zafanya
“Bukit-bukit Tempat Engkau Berjalan Sejak Zaman Purba”
Anda boleh mengkaji tulisan suci seumur hidup dan masih mendapat pandangan baharu. Jangan merasakan bahawa anda perlu memahami segalanya sekarang. Berdoa untuk bantuan bagi mengenali pesanan yang anda perlukan pada hari ini.
Catat Tanggapan Anda
Pembacaan Perjanjian Lama sering bermaksud membaca tentang nubuat kehancuran. Tuhan sering memanggil para nabi untuk memberi peringatan kepada orang jahat bahawa penghakiman-Nya akan dikenakan ke atas mereka. Pelayanan Nahum, Habakuk dan Zafanya merupakan contoh yang baik. Para nabi ini telah menubuat secara terperinci tentang kejatuhan kota-kota yang pada waktu itu, kelihatan kuat dan berkuasa—Niniwe, Babel dan bahkan Yerusalem. Namun, kejadian itu berlaku beribu-ribu tahun yang lalu. Mengapakah ia penting untuk membaca tentang nubuat-nubuat ini pada hari ini?
Walaupun kota-kota yang angkuh dan penuh kejahatan itu telah dihancurkan, sifat yang angkuh dan jahat itu masih wujud. Pada dunia hari ini, kadang-kadang kita merasakan dikelilingi kejahatan yang dikutuk oleh para nabi purba. Kita mungkin perasan akan sifat-sifat ini di dalam hati kita sendiri. Nubuat Perjanjian Lama ini telah mengungkapkan perasaan Tuhan tentang keangkuhan dan kejahatan ini serta mengajar bahawa kita boleh berpaling daripada kejahatan ini. Ini mungkin salah satu sebabnya kita masih membaca nubuat purba ini hingga kini. Nahum, Habakuk, Zafanya dan para nabi yang lain bukan setakat nabi kiamat—mereka ialah nabi pembebasan. Kehancuran boleh diringankan dengan jemputan untuk kembali kepada Yesus Kristus dan menerima belas kasihan-Nya: “Kembalilah kepada Tuhan …; Lakukanlah apa yang dikehendaki Tuhan, dan rendahkanlah dirimu di hadapan-Nya” (Zafanya 2:3). Inilah jalan Tuhan pada zaman dahulu dan inilah jalan-Nya pada hari ini. “Bukit-bukit tempat engkau berjalan sejak zaman purba” (Habakuk 3:6).
Untuk gambaran keseluruhan tentang kitab ini, lihat “Nahum”, “Habakuk” dan “Zafanya” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan sangat berkuasa dan belas kasihan.
Misi Nahum adalah untuk menubuat kehancuran Niniwe—ibu kota empayar Assyria yang ganas, yang telah mencerai-beraikan orang Israel dan berlaku kejam terhadap orang Yehuda. Nahum bermula dengan menggambarkan kemurkaan dan kuasa Tuhan yang tiada bandingnya, tetapi Dia juga berfirman tentang belas kasihan serta kebaikan Tuhan. Anda boleh mempertimbangkan untuk mengenal pasti ayat-ayat dalam bab 1 yang membantu anda memahami setiap sifat ini—dan sifat-sifat lain Tuhan yang anda perhatikan. Mengapakah, pada pendapat anda, mengetahui setiap daripada perkara ini mengenai Tuhan adalah penting?
Sesetengah orang mungkin mendapati ia sukar untuk menerima ajaran bahawa “Tuhan itu baik” (Nahum 1:7) yang bercanggah dengan ajaran bahawa Dia “membalas dendam terhadap musuh-Nya” (Nahum 1:2). Dalam Kitab Mormon, anak lelaki Alma, Korianton telah mengemukakan soalan yang serupa “berkenaan keadilan Tuhan dalam hukuman bagi pendosa” (Alma 42:1). Untuk mengetahui lebih lanjut tentang belas kasihan Tuhan dan bagaimana ia berkaitan dengan keadilan-Nya, baca jawapan Alma kepada Korianton dalam Alma 42.
Saya boleh mempercayai keinginan Tuhan dan masa-Nya.
Bahkan para nabi kadang-kadang mempunyai soalan tentang jalan Tuhan. Habakuk, yang hidup pada zaman Yehuda yang kejahatan berleluasa, telah memulakan catatannya dengan soalan kepada Tuhan (lihat Habakuk 1:1–4). Bagaimanakah anda akan meringkaskan kebimbangan Habakuk? Pernahkah anda mengalami perasaan yang serupa?
Tuhan telah menjawab soalan Habakuk dengan mengatakan bahawa Dia akan menghantar orang Kasdim (orang Babel) untuk menghukum Yehuda (lihat Habakuk 1:5–11). Walau bagaimanapun, Habakuk masih bimbang, kerana tindakan Tuhan mengaturkan untuk “orang [Babel] membinasakan orang yang tidak sejahat [Yehuda]” nampaknya tidak adil (lihat ayat 12–17). Apakah yang anda temui dalam Habakuk 2:1–4 yang mengilhami anda untuk mempercayai Tuhan apabila anda mempunyai soalan yang tidak terjawab?
Bab 3 dalam Habakuk merupakan doa pujian kepada Tuhan dan kepercayaan terhadap-Nya. Apakah yang mengagumkan anda tentang firman Habakuk dalam ayat 17–19? Bagaimanakah nada ayat-ayat ini berbeza daripada Habakuk 1:1–4? Renungkan cara anda boleh memupuk iman yang lebih mendalam terhadap Tuhan, walaupun apabila hidup kelihatan tidak adil.
Lihat juga Ibrani 10:32–39; 11; Ajaran dan Perjanjian 121:1–6.
“Kembalilah kepada Tuhan, hai semua orang yang rendah hati di negeri ini.”
Zafanya telah menubuatkan bahawa bangsa Yehuda akan dihancurkan sepenuhnya oleh orang Babel kerana kejahatan mereka. “Tuhan berfirman, ‘Aku akan memusnahkan segala sesuatu di bumi:’” (Zafanya 1:2). Zafanya turut berucap bahawa “orang Israel yang terselamat” akan dilindungi (Zafanya 3:13). Apabila anda membaca tentang nubuat-nubuat ini, perhatikan sikap dan tingkah laku yang membawa kepada kehancuran Yehuda dan kumpulan yang lain—lihat terutamanya Zafanya 1:4–6, 12; 2:8, 10, 15; 3:1–4. Kemudian, lihat ciri-ciri umat Tuhan yang akan dilindungi—lihat Zafanya 2:1–3; 3:12–13, 18–19. Pesanan apakah anda rasa Tuhan hendak anda terima dalam ayat-ayat ini?
Zafanya 3:14–20 menggambarkan kegembiraan selepas Tuhan “telah mengusir semua musuh kamu” (ayat 15). Apakah berkat yang dijanjikan dalam ayat-ayat ini yang menonjol bagi anda? Mengapakah ia penting untuk anda mengetahui tentang berkat-berkat ini? Anda boleh membandingkan ayat-ayat ini dengan pengalaman yang dijelaskan dalam 3 Nefi 17 dan renungkan perasaan Yesus Kristus mengenai umat-Nya—termasuk anda.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Nahum 1:7.Bagaimanakah Tuhan bersifat “melindungi”? Keluarga anda boleh membina sebuah kubu mudah di rumah anda dan membincangkan Nahum 1:7 sambil duduk di dalam kubu tersebut. Apakah yang menjadikan hari kita “susah”? Bagaimanakah Yesus Kristus dan injil-Nya menguatkan kita? Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita “mempercayai-Nya”?
-
Habakuk 2:14.Bagaimanakah kita boleh membantu menggenapi nubuat dalam ayat ini?
-
Habakuk 3:17–19.Apakah yang kita pelajari daripada contoh Habakuk dalam ayat-ayat ini?
-
Zafanya 2:3.Anda boleh bermain permainan yang ahli keluarga perlu mencari perkataan “kesolehan” dan “kelembutan hati” pada halaman yang mengandungi banyak perkataan yang lain. Mereka kemudiannya boleh membincangkan contoh sifat kesolehan dan kelembutan hati yang mereka lihat antara satu sama lain. Apakah maksudnya untuk mencari kesolehan dan kelembutan hati?
-
Zafanya 3:14–20.Apakah yang kita temui dalam Zafanya 3:14–20 yang membuat kita mahu “bernyanyi, … hendaklah kamu bergembira dengan segenap hati”? Keluarga anda boleh bernyanyi lagu rohani yang terlintas dalam fikiran apabila mereka membaca ayat-ayat ini.
Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu yang dicadangkan: “Sejak Kecil Ku Mencari Tuhan,” Buku Nyanyian Anak-anak, 67.