Ajaran dan Perjanjian 2021
26 April–2 Mei. Ajaran dan Perjanjian 45: “Janji-janji … Akan Digenapi”


“26 April–2 Mei. Ajaran dan Perjanjian 45: ‘Janji-janji … Akan Digenapi,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Ajaran dan Perjanjian 2021 (2020)

“26 April–2 Mei. Ajaran dan Perjanjian 45,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2021

Imej
remaja di luar bait suci

26 April–2 Mei

Ajaran dan Perjanjian 45

“Janji-janji … Akan Digenapi”

Sebagai seorang pengajar, persiapan anda yang paling penting adalah rohani. Mula dengan mengkaji Ajaran dan Perjanjian 45 dan berdoa untuk bimbingan Roh Kudus. Panduan ini menyediakan idea-idea yang boleh membantu anda. Anda juga boleh mencari idea dalam panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga

Mencatat Tanggapan Anda

Imej
ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Tanya kanak-kanak jika mereka ingin berkongsi sesuatu yang mereka telah pelajari dari tulisan suci minggu ini. Pilih seseorang untuk berkongsi, dan minta kanak-kanak lain mengangkat tangan mereka jika mereka pelajari sesuatu yang serupa.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Ajaran dan Perjanjian 45:32

Saya boleh “berdiri di tempat-tempat kudus.”

Dalam Ajaran dan Perjanjian 45:32, Tuhan mengajar bahawa para pengikut-Nya akan mendapat keselamatan pada hari-hari terakhir dengan berdiri di tempat-tempat kudus—tempat yang istimewa kepada Tuhan. Bagaimanakah anda dapat membantu kanak-kanak mengenal pasti tempat-tempat kudus dalam kehidupan mereka?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Letakkan gambar rumah, bangunan gereja, dan bait suci di tempat yang berbeza di seluruh bilik. Beri petunjuk yang menerangkan tempat-tempat ini, dan jemput kanak-kanak untuk berdiri dekat dengan gambar yang anda sedang gambarkan. Baca baris pertama dari Ajaran dan Perjanjian 45:32. Bersaksi bahawa kita diberkati ketika kita meluangkan masa di tempat-tempat kudus seperti rumah kita, bangunan gereja kita, dan bait suci. Minta kanak-kanak untuk bercakap tentang bagaimana perasaan mereka apabila mereka berada di tempat kudus tersebut.

  • Jemput kanak-kanak untuk melengkapkan halaman aktiviti minggu ini. Bantu mereka menulis “Saya boleh membantu menjadikan rumah saya tempat kudus” dan “Ajaran dan Perjanjian 45:32” pada lukisan mereka. Apakah yang mereka boleh lakukan untuk membantu menjadikan rumah mereka tempat kudus?

  • Untuk membantu kanak-kanak berfikir tentang maksud “tidak akan digerakkan,” minta mereka berdiri tanpa bergerak selama satu minit. Baca baris pertama dari Ajaran dan Perjanjian 45:32. Bantu kanak-kanak memahami bahawa untuk “berdiri di tempat-tempat kudus, dan … tidak akan digerakkan” bermaksud untuk pilih yang benar sepanjang masa, tidak kira apa yang sedang berlaku. Jemput mereka untuk “tidak akan digerakkan” dari pemikiran dan tindakan soleh.

Ajaran dan Perjanjian 45:44–45

Yesus Kristus akan datang lagi.

Apabila para Orang Suci di Kirtland, Ohio, mendengar wahyu yang terdapat dalam Ajaran dan Perjanjian 45, yang bercakap tentang hari-hari terakhir dan Kedatangan Kedua Juruselamat, mereka menerimanya dengan gembira. Pertimbangkan bagaimana anda akan membantu kanak-kanak bersedia dengan gembira untuk Kedatangan Kedua.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Bantu kanak-kanak memikirkan tentang perasaan mereka apabila mereka tahu seseorang istimewa akan datang melawat mereka, seperti datuk nenek atau seorang kawan. Bagaimanakah mereka membuat persediaan untuk lawatan tersebut? Tunjukkan satu gambar Juruselamat, dan baca sebahagian atau semua dari Ajaran dan Perjanjian 45:44–45. Beritahu kanak-kanak bagaimana perasaan anda tentang kedatangan kedua Juruselamat, dan biarkan mereka berkongsi perasaan mereka.

  • Tunjukkan satu gambar Kedatangan Kedua Juruselamat (lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga), dan minta kanak-kanak berkongsi apa yang mereka rasa ketika mereka melihat gambar. Berikan kesaksian anda bahawa Yesus Kristus akan datang lagi.

  • Nyanyikan lagu tentang Kedatangan Kedua Juruselamat, seperti “Bila Yesus Datang Lagi” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 46). Gunakan lagu itu untuk membincangkan cara-cara kita boleh bersedia untuk kedatangan Yesus lagi, seperti melakukan kehendak Tuhan dan membiarkan cahaya kita bersinar untuk orang lain.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar

Ajaran dan Perjanjian 45:3–5

Yesus Kristus adalah Pembela kita dengan Bapa.

Bagaimanakah anda membantu kanak-kanak memperkuatkan iman mereka bahawa Yesus Kristus adalah Pembela mereka? Bagaimanakah anda mengetahui perkara ini untuk diri anda?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tuliskan beberapa perkataan dan frasa yang terdapat dalam Ajaran dan Perjanjian 45:3–5 pada kepingan kertas yang berasingan. Berikan kanak-kanak satu minit untuk mengkaji ayat-ayat ini dalam kitab suci mereka, dan kemudian jemput mereka untuk menutup kitab suci mereka dan letakkan kata-kata pada kertas dalam susunan yang betul seperti dalam ayat itu. Mengikut ayat-ayat ini, apakah yang Juruselamat katakan kepada Bapa Syurgawi untuk merayu bagi kita ?

  • Bantu kanak-kanak mendefinisikan perkataan pembela, mungkin dengan mencarinya dalam kamus. Apakah yang Juruselamat lakukan yang membolehkan Dia menjadi Pembela kita? Kongsi perasaan anda tentang apa yang Yesus telah lakukan untuk kita, dan biarkan kanak-kanak berkongsi perasaan mereka.

Ajaran dan Perjanjian 45:9

Injil Yesus Kristus adalah cahaya kepada dunia.

Bantu kanak-kanak yang anda ajar memikirkan cara-cara injil menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Juruselamat.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tunjukkan gambar cahaya dan bendera, atau lukiskan benda ini di papan tulis. Jemput kanak-kanak untuk membaca Ajaran dan Perjanjian 45:9 dan memikirkan cara-cara injil adalah seperti cahaya, standard (atau bendera), dan utusan. Anda boleh menjelaskan bahawa pada masa dahulu, satu standard adalah panji atau bendera yang dibawa ke pertempuran. Ia membantu askar mengetahui di mana untuk berkumpul dan apa yang perlu dilakukan.

    Imej
    Panglima Moroni memegang Panji Kemerdekaan

    Title of Liberty, oleh Larry Conrad Winborg

  • Bantu kanak-kanak menghafal semua atau sebahagian daripada ayat 9 dengan menulisnya pada papan tulis dan memadamkan beberapa perkataan pada satu masa.

Ajaran dan Perjanjian 45:37–38

Yesus Kristus akan datang lagi.

Ia boleh menakutkan kanak-kanak untuk membaca tentang peperangan, kejahatan, dan kemusnahan yang telah dinubuatkan akan berlaku sebelum Kedatangan Kedua Juruselamat. Bagaimanakah anda dapat membantu mereka menunggu dengan gembira hari ini yang dijanjikan?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Tanya kanak-kanak bagaimana mereka tahu apabila musim baru sudah dekat. Apakah tanda-tanda yang mereka cari? Jelaskan bahawa seperti tanda-tanda yang ada untuk musim baru, terdapat juga tanda-tanda untuk Kedatangan Kedua. Baca bersama Ajaran dan Perjanjian 45:37–38. Apakah yang Yesus katakan tentang tanda-tanda Kedatangan Kedua-Nya? Untuk membantu kanak-kanak menemui tanda-tanda yang perlu dicari, tugaskan setiap kanak-kanak (atau kanak-kanak secara berkumpulan) untuk membaca beberapa ayat dari Ajaran dan Perjanjian 45 yang menggambarkan tanda-tanda ini. Ayat 26–27, 31–33, 40–42 boleh digunakan sebagai contoh. Biarkan kanak-kanak berkongsi apa yang mereka temui. Manakah tanda-tanda yang sedang digenapi hari ini?

  • Pada kepingan kertas yang berasingan, tulis beberapa janji mengenai peristiwa masa depan yang anda temui dalam kajian anda terhadap bahagian 45. Beberapa contoh janji-janji ini boleh didapati dalam ayat 44–45, 51–52, 55, 58–59, 66–71. Senaraikan pada papan tulis ayat-ayat di mana janji-janji ditemui. Berikan kanak-kanak kertas, dan minta mereka menggunakan kitab suci mereka untuk memadankan ayat-ayat di papan tulis kepada janji-janji. Bincangkan apakah maksud janji-janji ini, dan jemput kanak-kanak untuk berkongsi janji-janji yang membantu mereka merasa teruja dengan Kedatangan Kedua Juruselamat.

Imej
ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Jemput kanak-kanak untuk memikirkan satu perkara yang mereka pelajari semasa kelas yang mereka boleh berkongsi dengan keluarga mereka. Minta beberapa daripada mereka untuk berkongsi dengan kelas apa yang mereka ingin berkongsi di rumah.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Bantu kanak-kanak mengenali Roh. Semasa anda mengajar kanak-kanak, beritahu mereka apabila anda merasakan Roh Kudus. Bercakap tentang bagaimana anda mengenali kehadiran-Nya. Sebagai contoh, anda mungkin merasa damai atau gembira ketika menyanyikan lagu tentang Juruselamat. Mengenal pasti perasaan ini akan membantu kanak-kanak menyedarinya ketika mereka merasakan Roh.

Cetak