TJS, Markus 14:20–26. Bandingkan dengan Markus 14:22–25
Yesus memulakan sakramen sebagai peringatan akan tubuh dan darah-Nya.
20 Dan semasa mereka makan, Yesus mengambil roti dan memberkatinya dan mencariknya, dan memberikannya kepada mereka, dan berkata, Ambillah ia, dan makan.
21 Lihatlah ini adalah untuk kamu lakukan sebagai peringatan akan tubuh-Ku; kerana sekerapnya kamu melakukan ini kamu akan mengingati saat ini semasa Aku masih bersamamu.
22 Dan Dia mengambil cawan itu, dan apabila Dia telah memberkatinya, Dia memberikannya kepada mereka; dan mereka semua meminumnya.
23 Dan Dia berkata kepada mereka, Ini adalah sebagai peringatan akan darah-Ku yang ditumpahkan untuk banyak orang, dan merupakan perjanjian baru yang Aku berikan kepadamu; kerana tentang diri-Ku kamu akan memberikan kesaksian kepada seluruh dunia.
24 Dan sekerapnya kamu melakukan tatacara ini, kamu akan mengingati-Ku dalam saat ini ketika Aku masih bersamamu dan minum bersamamu dari cawan ini, bahkan saat terakhir dalam pelayanan-Ku.
25 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Tentang ini kamu akan memberikan kesaksian; kerana Aku tidak lagi akan meminum buah dari pohon anggur denganmu, sehinggalah hari itu Aku akan meminumnya di dalam kerajaan Tuhan.
26 Dan sekarang mereka berduka, dan menangisi-Nya.
TJS, Markus 14:36–38. Bandingkan dengan Markus 14:32–34
Di Getsemani, bahkan Dua Belas itu tidak memahami sepenuhnya peranan Yesus sebagai Mesias.
36 Dan mereka sampai ke suatu tempat yang bernama Getsemani, yang merupakan sebuah taman; dan para pengikut itu sangat hairan, dan berasa sangat risau, dan merungut dalam hati mereka, tertanya-tanya jika ini ialah Mesias.
37 Dan Yesus mengetahui hati mereka, berkata kepada para pengikut-Nya, Duduklah disini, sementara Aku berdoa.
38 Dan dia membawa bersama-Nya, Petrus, dan Yakobus, dan Yohanes, dan menegur mereka, dan berfirman kepada mereka, jiwa-Ku sangat sedih, bahkan sehingga kematian; tinggallah kamu disini dan berjaga.