“Lihat! Tentera Kerajaan
Merupakan suatu sukacita kepada semua pemegang Imamat Melkisedek untuk memiliki berkat untuk mengajar, mempelajari, dan melayani bergandingan bahu.
Para saudara imamat yang saya kasihi, dengan kerendahan hati yang besar saya berdiri di hadapan anda pada waktu bersejarah ini, di bawah tugasan oleh nabi dan Presiden terkasih kita, Russell M. Nelson. Betapa saya mengasihi dan menyokong lelaki Tuhan yang menakjubkan ini dan Presidensi Utama kita yang baru. Saya menambahkan kesaksian saya terhadap Elder D.Todd Christofferson dan Saudara Kuorum Dua Belas Rasul saya yang lain bahawa perubahan yang diumumkan pada petang ini merupakan kehendak Tuhan.
Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Nelson, ini merupakan perkara yang telah dibincangkan dengan penuh doa dan pertimbangan oleh para Saudara Gereja untuk masa yang panjang. Hasrat tersebut adalah untuk mencari kehendak Tuhan dan memperkuatkan kuorum Imamat Melkisedek. Ilham telah diterima, dan petang ini nabi kita menyampaikan kehendak Tuhan. “Sungguh, Tuhan Raja tidak berbuat sesuatu tanpa menyatakan keputusan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, para nabi”!1 Betapa kita diberkati kerana mempunyai nabi hidup pada hari ini!
Sepanjang kehidupan kami, Sister Rasband dan saya telah mengelilingi dunia atas pelbagai tugasan Gereja dan tugasan profesional. Saya telah melihat hampir setiap jenis unit susunan di dalam Gereja: sebuah cabang kecil di Rusia di mana bilangan pemegang Imamat Melkisedek dapat dihitung dengan satu tangan; sebuah bahagian yang baru dan sedang bertumbuh di Afrika di mana imam tinggi dan penatua bertemu sebagai satu gabungan kerana bilangan pemegang Imamat Melkisedek secara keseluruhan adalah rendah; dan bahagian yang telah mantap di mana bilangan penatua memerlukan pembahagian kuorum mereka menjadi dua kuorum!
Ke mana jua kami telah pergi, kami telah menyaksikan tangan Tuhan pergi di hadapan hamba-hamba-Nya, menyediakan orang ramai dan jalan di hadapan agar semua anak-anak-Nya akan diberkati mengikut setiap keperluan mereka. Bukankah Dia telah berjanji bahawa Dia “akan pergi di hadapan muka [kita]” dan “berada di kanan [kita] dan kiri [kita]” dan bahawa “Roh-[Nya] akan berada dalam hati[kita], dan para malaikat-[Nya] di sekeliling [kita]”?2
Berfikir tentang anda semua, saya teringat lagu rohani “Lihat! Tentera Kerajaan.”
“Lihat! Tent’ra K’rajaan,
Dengan panji, perisai, dan pedang,
Bergerak maju untuk
Menuju medan p’rang.
Penuh s’mangat juang,
Bersatu, tetap dan kuat,
Ikuti Komandannya,
Sambil nyanyi riang.3
Elder Christofferson telah menjawab beberapa soalan yang sememangnya akan timbul dari pengumuman tentang kumpulan imam tinggi dan kuorum penatua, pada peringkat bahagian, akan digabungkan menjadi satu kesatuan, para tentera hebat saudara Imamat Melkisedek.
Perubahan ini akan membantu kuorum penatua dan Lembaga Pertolongan mengharmonikan tugasan mereka. Ia juga akan memudahkan penyelarasan kuorum dengan lembaga uskup dan majlis bahagian. Dan ini membolehkan uskup untuk membahagikan lebih banyak tanggungjawab kepada kuorum penatua dan presiden Lembaga Pertolongan agar uskup dan para penasihatnya dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab utama mereka—terutamanya memimpin para remaja puteri dan remaja putera yang memegang Imamat Harun.
Perubahan dalam organisasi dan fungsi-fungsi Gereja bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pada tahun 1883, Tuhan berfirman kepada Presiden John Taylor: “Berkaitan pengurusan dan organisasi Gereja dan Imamat-Ku … Aku akan mengungkapkan kepadamu, dari masa ke masa, melalui saluran yang telah Aku tetapkan, segalanya yang wajib untuk pembangunan masa depan dan kesempurnaan Gereja-Ku, untuk penyelarasan dan kemajuan kerajaan-Ku.”4
Sekarang, beberapa patah ayat untuk anda para saudara yang merupakan imam tinggi—ketahuilah bahawa kami mengasihi anda! Bapa kita yang berada di syurga mengasihi anda! Anda adalah bahagian agung dalam tentera imamat, dan kami tidak dapat menggerakkan pekerjaan ini ke depan tanpa kebaikan, pelayanan, pengalaman, dan kesolehan anda. Alma mengajarkan bahawa para lelaki dipanggil untuk menjadi imam tinggi kerana iman yang amat besar dan kerja-kerja baik mereka untuk mengajar dan melayani orang lain.5 Pengalaman tersebut diperlukan sekarang malah lebih dari sebelumnya.
Dalam banyak bahagian, kita mungkin mempunyai imam tinggi yang kini berpeluang untuk dipimpin oleh seorang penatua sebagai kuorum presiden mereka. Kita mempunyai pemimpin penatua memimpin imam tinggi: penatua yang sedang melayani sebagai presiden cabang dalam beberapa wilayah di dunia di mana imam tinggi berada di dalam cabang, dan terdapat cabang-cabang yang hanya kuorum penatua dibentuk dan imam tinggi menghadiri.
Merupakan suatu sukacita kepada semua pemegang Imamat Melkisedek untuk memiliki berkat untuk mengajar, mempelajari, dan melayani bergandingan bahu. Di mana pun anda berada dan apa pun keadaan anda, kami mengundang anda untuk berdoa dengan sungguh-sungguh, beriman, dan bersukacita untuk menerima kesempatan baru untuk memimpin dan untuk dipimpin serta melayani dengan kesatuan sebagai sebuah badan saudara imamat.
Sekarang saya akan menyampaikan perkara-perkara tambahan yang mungkin memerlukan penjelasan, semasa kita maju ke hadapan untuk menerapkan kehendak Tuhan berkaitan organisasi Kuorum imamat kudus-Nya.
Apakah perubahan-perubahan bagi kuorum imam tinggi pancang? Kuorum imam tinggi pancang akan terus berfungsi. Presidensi pancang akan meneruskan pelayanan sebagai presidensi kuorum imam tinggi pancang. Bagaimanapun, seperti yang dijelaskan oleh Elder Christofferson, ahli-ahli kuorum imam tinggi pancang kini akan terdiri daripada imam tinggi yang sedang melayani di dalam presidensi pancang, sebagai ahli lembaga uskup bahagian, sebagai ahli majlis tinggi pancang, dan bapa bangsa yang sedang bertugas. Kerani bahagian dan pancang serta setiausaha eksekutif bukan tergolong dalam ahli kuorum imam tinggi pancang. Sekiranya seseorang yang aktif dalam pelayanan sebagai seorang imam tinggi, bapa bangsa, Tujuh Puluh, atau Rasul mengunjungi sebuah bahagian dan berhasrat untuk menghadiri pertemuan imamat, dia akan bertemu dengan kuorum penatua.
Semasa saudara-saudara dalam panggilan ini dilepaskan mengikut arahan, mereka akan kembali kepada unit mereka sebagai ahli dalam kuorum penatua.
Apakah peranan kuorum imam tinggi pancang? Presidensi pancang bertemu dengan ahli kuorum imam tinggi untuk berbincang bersama, untuk bersaksi, dan untuk menyediakan latihan. Mesyuarat pancang sebagai yang tercatat dalam buku panduan kita akan diteruskan dengan dua penyesuaian.
Pertama, bahagian dan pancang tidak lagi akan membuat mesyuarat jawatankuasa eksekutif imamat. Sekiranya timbul isu bahagian yang khusus, seperti masalah keluarga atau cabaran kebajikan yang di luar dugaan, ia boleh disampaikan dalam mesyuarat lembaga uskup. Perkara-perkara yang kurang sensitif boleh disampaikan dalam majlis bahagian. Mesyuarat komuniti jawatankuasa eksekutif imamat pancang kini akan dinamakan sebagai “mesyuarat majlis tinggi.”
Kedua, mesyuarat tahunan untuk semua imam tinggi yang ditahbiskan di dalam pancang tidak lagi akan diadakan. Bagaimanapun, presidensi pancang akan meneruskan mesyuarat tahunan kuorum imam tinggi pancang seperti yang telah diumumkan pada hari ini.
Bolehkah sebuah bahagian mempunyai lebih dari satu kuorum penatua? Jawapan adalah ya. Di dalam Ajaran dan Perjanjian bahagian 107, ayat 89, ketika sebuah bahagian mempunyai bilangan pemegang Imamat Melkisedek aktif yang banyak, para pemimpin boleh membentuk lebih daripada satu kuorum penatua. Dalam kes sebegini, setiap kuorum haruslah mempunyai keseimbangan yang sewajarnya dalam syarat umur, pengalaman, dan jawatan imamat serta kekuatan.
Saya bersaksi bahawa semasa kita bergerak maju dengan penstruktur semula kuorum yang diilhami ini dalam bahagian dan pancang kita, kita akan melihat banyak berkat. Izinkan saya memberi beberapa contoh.
Di bawah arahan uskup, lebih banyak sumber imamat boleh membantu dalam pekerjaan penyelamatan. Ini akan termasuk pengumpulan Israel melalui pekerjaan bait suci dan sejarah keluarga, bekerja bersama keluarga dan individu dalam keperluan, dan membantu para penginjil untuk membawa jiwa-jiwa kepada Yesus Kristus.
Semasa pemimpin yang memimpin sebelum ini kembali untuk berkongsi pengalaman mereka dengan kuorum penatua, sebuah keahlian kuorum yang kuat akan terhasil.
Akan terdapat kepelbagaian kurnia dan keupayaan yang lebih besar di dalam kuorum.
Terdapat lebih kelonggaran dan kesediaan untuk menemui keperluan semasa dan penting di lingkungan bahagian dan kuorum serta dalam memenuhi kepelbagaian tugas pelayanan kita.
Akan terdapat lebih peningkatan dalam membimbing dan kesatuan semasa seorang penatua baru dan seorang imam tinggi berpengalaman berkongsi pengalaman, saling bergandingan, dalam pertemuan kuorum dan tugasan.
Uskup dan presiden cabang diharapkan akan bermurah hati untuk mengembangkan panggilan mereka untuk menggembalakan kawanan mereka dan untuk melayani mereka yang dalam keperluan.
Kami memahami setiap bahagian dan pancang adalah berbeza. Sementara memahami perbezaan ini, kami berharap bahawa anda akan mengikuti perubahan-perubahan ini melalui persidangan umum ini. Kita telah diberikan arahan oleh seorang nabi Tuhan! Sesuatu berkat dan tanggungjawab yang menakjubkan. Marilah kita memenuhinya dengan segala kesolehan dan ketekunan!
Saya mengingatkan anda: wewenang imamat datang melalui cara penetapan dan pentahbisan, tetapi kuasa imamat sebenar, kuasa untuk bertindak di dalam nama Tuhan Yesus Kristus, hanya dapat datang melalui kehidupan yang soleh.
Tuhan telah menyatakan kepada Nabi Joseph Smith, nabi Pemulihan:
“Lihatlah, dan tengoklah, Aku akan menjaga kawananmu, dan akan mengangkat para penatua dan mengutus kepada mereka.
“Lihatlah, Aku akan mempercepatkan pekerjaan-Ku pada waktunya.”6
Sesungguhnya, ini adalah waktu Tuhan mempercepatkan kerja-Nya.
Marilah setiap kita gunakan kesempatan ini untuk mencerminkan dan memperbaiki kehidupan kita untuk lebih selaras dengan kehendak-Nya agar kita akan layak untuk banyak berkat yang dia telah janjikan kepada mereka yang benar dan beriman.
Para saudara, terima kasih untuk segala yang anda lakukan untuk menjadi sebahagian daripada pekerjaan menakjubkan ini. Semoga kita bergerak maju dalam pekerjaan yang agung dan mulia ini.
Bila perang selesai,
Perlawanan usai,
Kita semua berkumpul
Dalam tent’ram damai,
Raja Kekal mem’rintah,
Besarlah kuasa-Nya
Puji Dia selama-Nya,
Inilah lagunya:
Kem’nangan, kem’nangan,
Kar’na kita ditebus!
Kem’nangan, kem’nangan,
Kar’na Yesus Kristus!
Kem’nangan, kem’nangan, kem’nangan,
Kar’na Yesus Kristus!7
Hari ini kita berdiri menyaksikan Tuhan mengungkapkan kehendak-Nya melalui nabi-Nya, Presiden Russell M. Nelson. Saya bersaksi bahawa dia adalah nabi Tuhan di bumi ini. Saya kongsi kesaksian saya tentang Tuhan Yesus Kristus, yang merupakan Penebus dan Juruselamat agung kita. Ini adalah pekerjaan-Nya, dan ini adalah kehendak-Nya, saya kongsikan kesaksian khusyuk di dalam nama Yesus Kristus, amin.