“27 November–3 Disember. 1–3 Yohanes; Yudas: ‘Tuhan Itu kasih,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“27 November–3 Disember. 1–3 Yohanes; Yudas,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2023
27 November–3 Disember
1–3 Yohanes; Yudas
“Tuhan Itu Kasih”
Semasa anda baca surat Yohanes dan Yudas, carikan ilham tentang bagaimana anda boleh tunjukkan kasih anda kepada Tuhan. Catatkan tanggapan-tanggapan dan bertindak.
Mencatat Tanggapan Anda
Ketika Yohanes dan Yudas menulis surat-surat mereka, ajaran yang rosak telah mula memimpin banyak Orang Suci ke dalam kemurtadan. Ada pengajar-pengajar palsu mempersoalkan sama ada Yesus Kristus pernah “datang ke dunia sebagai manusia” (lihat, contohnya, 1 Yohanes 4:1–3; 2 Yohanes 1:7). Apakah yang seorang pemimpin Gereja boleh lakukan dalam situasi sedemikian? Rasul Yohanes menjawab dengan memberi kesaksian peribadi tentang Juruselamat: “Kami menulis surat kepada kamu tentang Firman yang memberikan hidup, iaitu Firman yang telah ada sejak permulaan. Kami sudah mendengarnya, dan kami sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kami sudah melihatnya dan kami sudah menyentuhnya dengan tangan” (lihat 1 Yohanes 1:1). Dan kemudian Yohanes mengajar tentang kasih: kasih Tuhan untuk kita dan kasih yang kita harus ada untuk Dia dan semua anak-Nya. Yohanes juga seorang saksi kepada semua ini. Dia secara peribadi telah mengalami kasih Juruselamat (lihat Yohanes 13:23; 20:2), dan dia mahu para Orang Suci merasakan kasih yang sama itu. Kesaksian dan ajaran Yohanes tentang kasih adalah sama seperti yang diperlukan hari ini, apabila iman kepada Yesus Kristus dipersoalkan dan ajaran-ajaran palsu merajalela. Membaca surat-surat Yohanes dapat membantu kita menghadapi kesukaran hari ini dengan keberanian, kerana “orang yang menikmati kasih Tuhan tidak mengenal perasaan takut, kerana kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut” (1 Yohanes 4:18).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan itu cahaya, dan Tuhan itu kasih.
Jika anda mesti pilih satu atau dua perkataan untuk gambarkan Tuhan, apakah perkataan itu? Dalam surat-suratnya, Yohanes sering gunakan perkataan “cahaya” dan “kasih” (lihat, contohnya, 1 Yohanes 1:5; 2:8–11; 3:16, 23–24; 4:7–21). Semasa anda membaca dua surat pertama Yohanes, renungkan pengalaman yang Yohanes miliki dengan cahaya dan kasih Juruselamat. Contohnya, pertimbangkan apa yang Yohanes pelajari dari ajaran-ajaran Yesus dalam Yohanes 3:16–17; 12:35–36, 46; 15:9–14; 19:25–27. Adakah anda melihat persamaan antara ajaran-ajaran ini dan apakah yang 1 Yohanes ajarkan tentang cahaya dan kasih Tuhan? Apakah pengalaman yang mengajar anda bahawa Tuhan adalah cahaya dan kasih?
“Jika kita saling mengasihi, Tuhan hidup bersatu dengan kita.”
Anda juga akan menemui perkataan seperti “bersatu” dan “hidup [tinggal]” diulangi di seluruh surat-surat Yohanes. Cari perkataan ini, terutamanya semasa anda membaca 1 Yohanes 2–4 dan 2 Yohanes. Apakah maksud “berpegang” atau “tinggal” dalam Tuhan dan ajaran-Nya? (lihat 2 Yohanes 1:9). Apakah maksudnya bagi anda dengan adanya Tuhan “berpegang [bersatu]” atau “tinggal” dalam diri anda?
Saya boleh menjadi seperti Yesus Kristus.
Adakah matlamat untuk menjadi seperti Kristus kelihatan terlalu tinggi untuk anda? Pertimbangkan nasihat Yohanes: “Anak-anakku, tetaplah hidup bersatu dengan Kristus, supaya pada waktu Dia datang, kita dapat menghadap Dia dengan penuh keberanian … [dan] kita akan menjadi seperti Dia” (1 Yohanes 2:28; 3:2). Apakah yang anda temui dalam 1 Yohanes 2:24–3:3 yang berikan anda keyakinan dan kesenangan hati sebagai seorang pengikut Yesus Kristus? Semasa anda mengkaji surat-surat Yohanes, carikan asas-asas lain yang boleh menolong anda dalam usaha anda untuk menjadi lebih seperti Kristus.
Lihat juga Moroni 7:48; Ajaran dan Perjanjian 88:67–68; Scott D. Whiting, “Menjadi Seperti Dia” Liahona, Nov. 2020, 12–14.
“Tiada seseorang … pernah melihat Tuhan [pada bila-bila masa]”?
Lampiran Terjemahan Joseph Smith, 1 Yohanes 4:12 jelaskan bahawa “tiada seseorang … pernah melihat Tuhan [pada bila-bila masa], kecuali mereka yang percaya” (dalam 1 Yohanes 4:12, nota kaki a; juga lihat Yohanes 6:46; 3 Yohanes 1:11). Tulisan suci catatkan beberapa kali apabila Bapa Tuhan menyatakan Diri Sendiri kepada individu yang beriman, termasuk Yohanes (lihat Wahyu 4; juga lihat Kisah Rasul-Rasul 7:55–56; 1 Nefi 1:8; Ajaran dan Perjanjian 76:23; Joseph Smith—Sejarah 1:16–17).
Apabila saya beriman kepada Yesus Kristus dan dilahirkan semula, saya boleh mengalahkan dunia.
Semasa anda baca 1 Yohanes 5, carikan apa yang mesti kita lakukan untuk mengalahkan dunia dan memperolehi kehidupan abadi. Dalam kehidupan anda, apakah bentuk mengalahkan dunia? Anda juga boleh cari jawapan dan pandangan dalam pesanan Elder Neil L. Andersen “Mengatasi Dunia” (Liahona, Mei 2017, 58–62).
“[Membangunkan] dirimu pada imanmu yang paling kudus.”
Apakah yang Yudas 1:10–19 ajarkan anda tentang mereka yang melawan Tuhan dan pekerjaan-Nya? Apakah yang anda pelajari dari ayat 20–25 tentang bagaimana untuk memastikan iman anda kepada Yesus Kristus kuat?
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
1 Yohanes 2:8–11.Untuk membantu keluarga anda renungkan ajaran-ajaran Yohanes, berkumpul dalam satu bilik yang gelap agar ahli keluarga boleh alami perbezaan di antara berjalan “dalam kegelapan” dan “dalam cahaya.” Bagaimana kebencian menyebabkan kita berjalan dalam kegelapan dan jatuh? Bagaimanakah mengasihi satu sama lain boleh mendatangkan cahaya ke dalam kehidupan kita?
-
1 Yohanes 3:21–22.Apakah yang dalam ayat-ayat ini boleh meningkatkan “keberanian” kita dalam Tuhan dan dalam keupayaan kita untuk menerima jawapan kepada doa?
-
1 Yohanes 5:2–3.Adakah perintah-perintah yang kita fikir “terlalu susah” atau susah diikuti? Bagaimana kasih kita kepada Tuhan mengubah perasaan kita terhadap perintah-perintah-Nya?
-
3 Yohanes 1:4.Apakah maksud “hidup menurut ajaran Tuhan”? Anda boleh mengambil kesempatan ini untuk beritahu ahli keluarga bagaimana anda telah melihat mereka berjalan dalam kebenaran dan bercakap tentang sukacita ia bawakan kepada anda. Ahli keluarga boleh menulis atau melukis kebenaran yang mereka telah pelajari di atas kertas berbentuk tapak kaki dan gunakannya untuk membuat jalan yang keluarga anda boleh berjalan bersama.
-
Yudas 1:3–4.Adakah terdapat bahaya rohani yang sudah “menyeludup” ke dalam kehidupan dan keluarga kita? (Yudas 1:4). Bagaimana kita boleh ikut peringatan Yudas untuk “berjuang untuk iman” dan menentang bahaya-bahaya ini? (Yudas 1:3). Apakah yang kita boleh lakukan untuk pastikan bahawa “kesejahteraan, dan rahmat dengan berlimpah-limpah” dalam keluarga kita? (Yudas 1:2).
Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Di Mana Kasih Berada,” Buku Nyanyian Anak-anak, 76–77.