Persidangan Umum
Menjadi Seperti Dia
Persidangan umum Oktober 2020


10:21

Menjadi Seperti Dia

Hanya dengan bantuan ilahi Juruselamat, kita boleh maju untuk menjadi seperti Dia.

Bahkan bagi mereka yang sentiasa mempelajari kehidupan dan pelayanan Yesus Kristus, peringatan Juruselamat untuk menjadi “bahkan seperti Aku ” 1 adalah susah dan kelihatan tidak dapat dicapai. Mungkin anda seperti saya—sangat menyedari kesilapan dan kegagalan anda, jadi anda rasa lebih selesa untuk ikut jalan yang tidak mendaki dan sedikit perkembangan sahaja. “Pastinya, ajaran ini tidak benar dan berlebihan,” kita merasionalkan, semasa kita selesa memilih jalan rintangan yang paling rendah, itu menghabiskan sedikit kalori perubahan yang diperlukan.

Tetapi bagaimana jika menjadi “bahkan seperti [Dia]” bukanlah kiasan, bahkan dalam keadaan fana kita? Bagaimanakah jika ia dapat dicapai dalam kehidupan ini dan ia sememangnya merupakan syarat untuk bersama Dia lagi? Bagaimana jika “bahkan seperti Aku” benar-benar dimaksudkan oleh Juruselamat? Apakah tindakan seterusnya? Apakah tahap usaha yang kita sedia berikan untuk menjemput kuasa-Nya ke dalam kehidupan kita agar kita dapat mengubah diri kita?

Elder Neal A. Maxwell mengajarkan: “Ketika kita merenungkan perintah Yesus untuk menjadi seperti Dia, kita melihat bahawa keadaan kita sekarang tidak semestinya jahat, tetapi kita tidak sepenuh hati dan sangat kekurangan semangat bagi tujuan-Nya—yang juga tujuan kita! Kita menyanjung tetapi jarang mencontohi Dia.” 2 Seorang pelayan muda, Charles M. Sheldon, menyatakan hal yang sama dengan ini: “Kehidupan kita sebagai Kristian menikmati kemudahan dan keselesaan terlalu banyak daripada mengangkat sesuatu begitu kasar dan berat seperti salib.” 3

Kenyataannya, kita semua di bawah arahan untuk menjadi seperti Dia, seperti Yesus Kristus menjadi seperti Bapa. 4 Ketika kita maju, kita menjadi lebih lengkap, selesai, dan berkembang sepenuhnya. 5 Ajaran itu tidak berdasarkan ajaran sesuatu gereja tetapi datang langsung dari Tuan Sendiri. Melalui ajaran inilah kehidupan patut dijalankan, komunikasi dipertimbangkan, dan hubungan diperkembangkan. Sungguh, tidak ada cara lain untuk menyembuhkan luka-luka hubungan yang retak atau masyarakat yang berpecah melainkan kita mencontohi Putera Kedamaian sepenuhnya. 6

Pertimbangkan bagaimana untuk memulakan usaha yang bertimbang rasa, cermat, dan berniat menjadi seperti Dia dengan memperoleh sifat-sifat Yesus Kristus.

Berazam dan Bertekad

Beberapa tahun lalu, isteri saya dan saya berdiri di kaki laluan gunung tertinggi Jepun, Gunung Fuji. Ketika kami memulakan pendakian, kami memandangkan puncak yang jauh dan tertanya jika kami dapat mencapainya.

Gunung Fuji

Ketika kami maju, kepenatan, sakit otot, dan kesan-kesan ketinggian timbul. Memberikan tumpuan hanya pada langkah seterusnya sahaja menjadi penting untuk kami. Kami berkata, “Saya mungkin lambat sampai ke puncak, tetapi saya dapat maju ke langkah seterusnya sekarang.” Matlamat yang susah akhirnya dapat dicapai—langkah demi langkah.

Langkah pertama di jalan untuk menjadi seperti Yesus Kristus adalah mempunyai keinginan tersebut. Memahami peringatan untuk menjadi seperti Dia adalah baik, tetapi pemahaman itu perlu digabungkan dengan keinginan untuk berubah, selangkah dalam satu masa, melebihi manusia alamiah. 7 Untuk mengembangkan keinginan, kita harus tahu siapa Yesus Kristus. Kita harus tahu tentang perwatakan-Nya, 8 dan kita mesti mencari sifat-sifat-Nya dalam tulisan suci, pertemuan penyembahan, dan tempat kudus yang lain. Ketika kita mula mengetahui lebih tentang Dia, kita akan melihat sifat-sifat-Nya dicerminkan dalam orang lain. Ini akan menggalakkan kita dalam perjalanan kita, kerana jika orang lain dapat mencapai sifat-sifat-Nya, kita juga dapat.

Jika kita jujur dengan diri kita, Cahaya Kristus 9 di dalam kita berbisik bahawa terdapat jarak di antara keadaan kita sekarang dan perwatakan Juruselamat yang diingini. 10 Kejujuran yang demikian sangat penting jika kita ingin maju untuk menjadi seperti Dia. Sememangnya, kejujuran adalah salah satu sifat-Nya.

Cermin-cermin ajaib

Kita boleh tanya seorang ahli keluarga yang dipercayai, isteri atau suami, kawan, atau pemimpin rohani tentang sifat Yesus Kristus yang kita perlu—dan kita mungkin perlu bersedia untuk jawapan! Kadangkala kita memandang diri kita melalui cermin yang tidak betul yang menunjukkan diri kita lebih besar atau lebih kecil daripada kita yang sebenar.

Kawan dan keluarga yang dipercayai boleh membantu kita melihat diri kita dengan lebih tepat, tetapi walaupun penuh kasih dan suka membantu, mereka dapat melihat hal-hal dengan tidak sempurna. Oleh itu, sangat penting kita tanya Bapa Syurgawi apa yang kita perlu dan di mana kita patut menumpukan usaha kita. Dia mempunyai pandangan yang sempurna tentang kita dan akan menunjukkan kelemahan kita dengan penuh kasih. 11 Mungkin anda akan belajar bahawa anda perlu lebih kesabaran, kerendahan hati, kasih ihsan, kasih, harapan, ketekunan, atau kepatuhan sebagai contoh. 12

Tidak lama sebelum ini, saya mempunyai pengalaman yang menguji jiwa apabila seorang pemimpin Gereja penuh kasih mencadangkan saya perlu meningkatkan satu sifat tertentu. Dia dengan penuh kasih tidak berputar belit. Pada malam itu, saya berkongsi pengalaman ini kepada isteri saya. Dia penuh belas kasihan dan kasih ihsan ketika menyetujui cadangan pemimpin itu. Roh Kudus telah mengesahkan saya bahawa nasihat mereka datang dari Bapa Syurgawi yang penuh kasih.

Turut berguna untuk melengkapkan aktiviti sifat-sifat Kristus di bab 6 dalam Mengkhutbahkan Injil-Ku. 13

Apabila anda sudah membuat penilaian jujur dan berazam untuk memulakan pendakian, anda akan perlu bertaubat. Presiden Russell M. Nelson penuh kasih mengajarkan: “Apabila kita memilih untuk bertaubat, kita memilih untuk berubah! Kita membenarkan Juruselamat untuk mengubah kita menjadi versi diri yang terbaik. Kita memilih untuk berkembang secara rohani dan menerima kebahagiaan—kebahagiaan penebusan dalam Dia. Apabila kita memilih untuk bertaubat, kita memilih untuk menjadi lebih seperti Yesus Kristus.” 14

Menjadi seperti Yesus Kristus memerlukan penukaran hati, fikiran, dan perwatakkan kita, dan itu hanya terjadi melalui rahmat penyelamatan Yesus Kristus. 15

Mengenal Pasti dan Bertindak

Selepas anda berazam untuk berubah dan bertaubat dan telah mencari bimbingan melalui doa, merenung, dan telah berunding dengan orang lain, anda perlu memilih satu sifat yang anda akan tumpukan. Anda perlu bertekad melakukan usaha yang bermakna. Sifat-sifat ini tidak datang dengan mudah atau segera, tetapi melalui rahmat-Nya sifat-sifat ini akan datang secara bertahap jika berusaha.

Sifat-sifat Kristus ialah kurnia dari Bapa Syurgawi untuk memberkati kita dan orang di sekeliling kita. Dengan itu, usaha kita untuk memperoleh sifat-sifat ini memerlukan rayuan sepenuh hati untuk bantuan ilahi-Nya. Jika kita mencari kurnia ini untuk melayani dengan lebih baik, Dia akan memberkati usaha kita. Mencari kurnia Tuhan atas kepentingan diri akan berakhir dengan kekecewaan.

Dengan memberikan tumpuan mendalam pada satu sifat yang diperlukan, semasa anda maju untuk memperolehnya, sifat-sifat yang lain akan ditambahkan kepada anda. Bolehkah seseorang yang tumpukan kasih ihsan dapat meningkat dalam kasih dan kerendahan hati? Bolehkah seseorang yang tumpukan kepatuhan boleh mendapat lebih ketekunan dan harapan? Usaha besar anda untuk memperoleh satu sifat itu menjadi air pasang yang menaikkan semua kapal di pelabuhan.

Mencatat dan Menyokong

Mencatat pengalaman dan apa yang dipelajari penting bagi saya semasa saya berusaha menjadi seperti Dia. Semasa saya mengkaji salah satu sifat-Nya, tulisan suci menjadi baharu semasa saya melihat contoh-contoh sifat ini dalam ajaran-Nya, pelayanan-Nya, dan para pengikut-Nya. Mata saya turut tertumpu pada mengenali sifat itu dalam diri orang lain. Saya telah perhatikan individu-individu baik di dalam dan di luar Gereja yang mempunyai sifat-sifat seperti Dia. Mereka merupakan contoh hebat bagaimana sifat-sifat itu boleh ditunjukkan dalam orang fana melalui rahmat-Nya yang penuh kasih.

Untuk melihat kemajuan sebenar, anda perlu memberi usaha berterusan. Sama seperti mendaki gunung memerlukan persediaan dan ketahanan serta ketabahan semasa pendakian, perjalanan ini juga memerlukan usaha dan pengorbanan. Agama Kristian yang sejati, di mana kita berusaha menjadi seperti Tuan kita, sering memerlukan usaha terbaik kita. 16

Sekarang, satu kenyataan cermat. Perintah menjadi seperti Dia bukan untuk anda rasa bersalah, tidak layak, atau tidak dikasihi. Seluruh pengalaman fana kita adalah tentang kemajuan, percubaan, kegagalan, dan kejayaan. Walaupun isteri saya dan saya berharap kami dapat tutup mata dan terus sampai ke puncak, tetapi itu bukanlah tujuan kehidupan.

Anda cukup baik, anda dikasihi, tetapi anda belum lengkap. Terdapat pekerjaan untuk dilakukan dalam kehidupan ini dan seterusnya. Hanya dengan bantuan ilahi-Nya kita boleh maju untuk menjadi seperti Dia.

Dalam masa-masa ini, ketika “segala hal [nampaknya] berada dalam huru-hara; dan … ketakutan [datang] ke atas semua orang,” 17 satu-satunya penawar ialah untuk berusaha menjadi seperti Juruselamat, 18 Penebus 19 semua manusia, Cahaya Dunia, 20 dan untuk mencari Dia yang mengisytiharkan, “Akulah jalan.” 21

Penebus

Saya tahu bahawa menjadi seperti Dia melalui bantuan dan kekuatan-Nya yang ilahi dapat dicapai langkah demi langkah. Jika tidak demikian, Dia tidak akan memberikan kita perintah ini. 22 Saya tahu ini—kerana saya melihat sifat-sifat-Nya dalam kebanyakan anda. Saya bersaksi tentang semua perkara ini dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. 3 Nefi 27:21. Untuk peringatan Juruselamat yang berkaitan, lihat Matius 5:48 (“Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang”); 1 Yohanes 2:6 (“Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Tuhan, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus”); Mosia 3:19 (“Kerana manusia alamiah adalah musuh kepada Tuhan, dan telah demikian sejak kejatuhan Adam, dan akan demikian, selama-lamanya, kecuali dia menyerah pada pujukan Roh Kudus, dan menanggalkan manusia alamiah dan menjadi orang suci melalui korban tebusan Kristus Tuhan, dan menjadi seperti seorang anak kecil, peserah, lembut hati, rendah hati, sabar, penuh dengan kasih, rela untuk berserah pada segalanya yang Tuhan anggap patut untuk ditimpakan ke atas dirinya, bahkan seperti anak kecil berserah kepada ayahnya”); Alma 5:14 (“Dan sekarang, lihatlah, aku bertanya kepadamu, saudara-saudaraku di dalam gereja, adakah kamu secara rohani telah dilahirkan daripada Tuhan? Adakah kamu telah menerima rupa-Nya pada air mukamu?”); 3 Nefi 12:48 (“Oleh itu Aku menghendaki agar kamu haruslah menjadi sempurna bahkan seperti Aku, atau Bapamu yang berada di dalam syurga yang sempurna”).

  2. Neal A. Maxwell, Even As I Am (1982), 16.

  3. Charles M. Sheldon, In His Steps (1979), 185.

  4. Lihat Ajaran dan Perjanjian 93:12–17.

  5. Lihat Matius 5:48, nota kaki b.

  6. Lihat Yesaya 9:6; 2 Nefi 19:6.

  7. Lihat 1 Korintus 2:14; Mosia 3:19.

  8. Lihat Matius 7:23; 25:12; Mosia 26:24; lihat juga nota kaki untuk setiap ayat suci; David A. Bednar, “Sekiranya Kamu Mengenal Aku,” Liahona, Nov. 2016, 102–5.

  9. Lihat Ajaran dan Perjanjian 93:2.

  10. Lihat Moroni 7:12–19.

  11. Lihat Eter 12:27.

  12. Lihat Preach My Gospel: A Guide to Missionary Service, rev. ed. (2019), chapter 6, “How Do I Develop Christlike Attributes?” Rujukan sifat-sifat Juruselamat lain yang terdapat di tulisan suci. Beberapa contoh termasuk Mosia 3:19; Alma 7:23; Fasal-Fasal Kepercayaan 1:13.

  13. Lihat Preach My Gospel, 132.

  14. Russell M. Nelson, “Kita Dapat Melakukan Lebih Baik dan Menjadi Lebih Baik,” Liahona, Mei 2019, 67.

  15. Lihat Panduan Tulisan Suci, “ Rahmat,” scriptures.ChurchofJesusChrist.org.

  16. Lihat Sheldon, In His Steps, 246: “Jika definisi kita sebagai seorang Kristian ialah hanya untuk menikmati hak istimewa penyembahan, menjadi murah hati tanpa berkorban, mengalami kehidupan yang baik dan mudah dikelilingi oleh kawan baik dan hal-hal yang selesa, hidup secara terhormat dan pada masa yang sama mengelak tekanan besar dosa dan kesusahan kerana kesakitannya terlalu banyak untuk ditanggung—jika inilah definisi agama Kristian, sememangnya kita masih jauh dari langkah-Nya yang berjalan dengan rintihan dan air mata serta tangisan penderitaan kerana hilangnya kemanusiaan; yang peluh-Nya seperti darah, yang merayu di atas salib, ‘Ya Tuhan-Ku, Ya Tuhan-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?’”

  17. Ajaran dan Perjanjian 88:91.

  18. Lihat Yesaya 43:3.

  19. Lihat Ayub 19:25.

  20. Lihat Yohanes 8:12.

  21. Yohanes 14:6.

  22. Lihat 1 Nefi 3:7.