Persidangan Umum
Dengan Ini Kita Akan Menguji Mereka
Persidangan umum Oktober 2020


15:19

Dengan Ini Kita Akan Menguji Mereka

(Abraham 3:25)

Sekarang adalah masa untuk bersedia dan menguji diri kita sama ada kita sedia dan boleh melakukan segala hal apa pun yang Tuhan Raja kita akan perintahkan.

Saya berdoa untuk bantuan Roh Kudus semasa saya berkongsi fikiran dan perasaan yang datang ke minda dan hati saya dalam persediaan untuk persidangan umum ini.

Kepentingan Ujian

Selama lebih daripada dua dekad sebelum panggilan pelayanan Gereja sepenuh masa, saya bekerja sebagai seorang pengajar dan pentadbir universiti. Tanggungjawab utama sebagai pengajar adalah untuk membantu pelajar-pelajar mengenali cara mereka boleh belajar sendiri. Unsur penting kerja saya adalah untuk mencipta, memberi markah, dan memberi maklum balas tentang prestasi pelajar dalam ujian. Seperti anda ketahui melalui pengalaman peribadi, ujian biasanya sebahagian proses pembelajaran yang paling pelajar tidak suka!

Tetapi ujian berkala sememangnya penting untuk belajar. Ujian yang berkesan membantu kita membandingkan apa yang perlu kita ketahui dan apa yang kita sebenarnya tahu tentang subjek tertentu; ia juga menyediakan standard untuk menilai pembelajaran dan pembangunan kita.

Begitu juga, ujian di sekolah kefanaan adalah unsur penting untuk kemajuan abadi kita. Yang menariknya, perkataan ujian tidak didapati di dalam tulisan suci standard dalam bahasa Inggeris. Tetapi, perkataan seperti menguji, meneliti dan mencuba digunakan untuk menerangkan pelbagai jenis pengetahuan rohani kita, pemahaman dan kesetiaan kepada rancangan kegembiraan abadi Bapa Syurgawi dan keupayaan kita untuk mencari berkat Korban Tebusan Juruselamat.

Sang Pencipta rancangan keselamatan menerangkan tujuan percubaan fana dengan perkataan menguji, meneliti, dan mencuba dalam tulisan suci purba dan moden. “Dan dengan ini kita akan menguji mereka, untuk melihat adakah mereka akan melakukan segala hal apa pun yang Tuhan Raja mereka akan perintahkan kepada mereka.” 1

Pertimbangkan rayuan Pemazmur Daud:

Periksalah aku, ya Tuhan, dan ujilah aku, selidiklah keinginanku dan fikiranku.

“Kasih-Mu membimbing aku; kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku.” 2

Tuhan mengisytiharkan pada tahun 1833, “Oleh kerana itu, janganlah takut kepada musuhmu, kerana telah Aku tetapkan dalam hati-Ku, firman Tuhan, bahawa Aku akan mengujimu dalam segala hal, sama ada kamu akan mematuhi perjanjian-Ku, bahkan sehingga kematian, agar kamu boleh didapati layak.” 3

Menguji dan Mencuba Pada Masa Kini

Tahun 2020 telah ditandai, sebahagiannya, oleh pandemik global yang telah menguji, meneliti dan mencuba kita dalam banyak cara. Saya berdoa agar kita sebagai individu dan keluarga mempelajari pelajaran bernilai yang hanya pengalaman mencabar boleh ajarkan kita. Saya juga berharap bahawa kita semua akan sepenuhnya mengakui “keagungan Tuhan” dan kebenarannya bahawa “Dia akan membaktikan kesengsaraan [kita] demi keuntungan [kita].” 4

Dua asas yang boleh membimbing dan menguatkan kita semasa menghadapi kesukaran dalam hidup kita, tanpa mengira keadaan: (1) asas kesediaan, dan (2) asas maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus.

Menguji dan Persediaan

Sebagai pengikut Juruselamat, kita diperintahkan untuk “sediakanlah setiap yang diperlukan, dan tubuhkanlah sebuah rumah, bahkan rumah doa, rumah puasa, rumah iman, rumah pembelajaran, rumah kemuliaan, rumah ketertiban, rumah Tuhan.” 5

Kita juga dijanjikan bahawa, “jika kamu bersedia kamu tidak akan takut.

“Dan agar kamu boleh terlepas daripada kuasa musuh, dan dikumpulkan kepada-Ku sebagai umat yang soleh, tanpa noda dan tanpa salah.” 6

Ayat-ayat suci ini menyediakan rangka sempurna untuk mengaturkan dan menyediakan hidup dan rumah kita secara duniawi dan rohani. Usaha kita untuk bersedia bagi pengalaman fana yang menguji harus mengikuti teladan Juruselamat yang semakin “bertambah besar dan bijaksana, dan Dia menyenangkan hati Tuhan mahupun manusia” 7 — keseimbangan persediaan intelektual, jasmani, rohani serta sosial.

Pada beberapa bulan lalu, Susan dan saya membuat inventori penyimpanan makanan dan bekalan kecemasan. Pada masa itu, COVID-19 merebak dengan cepat, dan satu gempa bumi menggegarkan rumah kami di Utah. Kami telah berusaha sejak awal perkahwinan untuk mengikuti nasihat nabi tentang bersedia untuk cabaran yang tidak dijangka, jadi “meneliti” persediaan kami ketika virus dan gempa bumi adalah hal yang baik dan tepat masa. Kami ingin menilai persediaan untuk ujian yang tidak dijangka.

Kami telah belajar banyak. Kebanyakan persediaan kami adalah tepat. Tetapi beberapa peningkatan diperlukan kerana kami tidak mengenali dan menangani keperluan tertentu dengan tepat.

Kami juga banyak ketawa. Misalnya, kami menemui barangan di almari yang jarang digunakan tersimpan selama beberapa dekad. Sejujurnya, kami takut membuka dan meneliti beberapa bekas itu kerana takut melepaskan pandemik global yang lain! Tetapi anda akan senang mengetahui bahawa kami telah membuang semua benda berbahaya itu, dan risiko kesihatan terhadap dunia telah dihapuskan.

Sesetengah ahli Gereja berpendapat bahawa pelan, bekalan dan perlengkapan 72 jam kecemasan tidak penting lagi kerana Para Saudara tidak berucap baru-baru ini atau menekankan ini dan tajuk yang berkaitan di persidangan umum. Tetapi peringatan untuk bersedia telah diisytiharkan oleh pemimpin-pemimpin Gereja selama beberapa dekad. Ketekalan nasihat nabi dari masa ke masa menghasilkan pesanan jelas berkuasa dan amaran lebih kuat daripada apa yang boleh dihasilkan oleh persembahan solo.

Seperti masa menguji mengungkapkan kekurangan dalam persediaan fana, begitu juga penyakit sikap bersahaja dan endah tak endah menimbulkan kesan yang memudaratkan semasa percubaan. Kita belajar, misalnya, daripada perumpamaan sepuluh gadis bahawa menangguhkan persediaan menyebabkan kegagalan. Ingat semula cara lima gadis kurang bijak gagal untuk bersedia dengan baik bagi ujian yang diberikan kepada mereka pada hari kedatangan pengantin lelaki.

“Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan:

“Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak. …

“Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!

“Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita.

“Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.

“‘Tidak boleh!’ kata gadis-gadis yang bijak itu. ‘Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.’

“Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu ditutup.

“Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. ‘Tuan, tuan,’ seru mereka, ‘bukalah pintu untuk kami.’” 8

“Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, ‘Aku tidak kenal kamu!’” 9

Sekurang-kurangnya dalam ujian ini, lima gadis kurang bijak membuktikan diri mereka sebagai hanya pendengar dan bukan pelaku firman. 10

Saya ada seorang kawan yang merupakan pelajar rajin di sekolah undang-undang. Sepanjang semester, Sam luangkan masa setiap hari untuk mengkaji, meringkaskan dan belajar dari nota-nota untuk setiap kursus yang dia daftar. Dia mengikuti pola ini untuk semua kelasnya pada akhir setiap minggu dan bulan. Tindakan dia membolehkannya mempelajari undang-undang dan bukan hanya menghafal perincian. Dan semasa ujian akhir menjelang, Sam telah bersedia. Dia menganggap tempoh ujian akhir sebagai tidak tertekan daripada latihan undang-undang. Persediaan berkesan dan tepat pada masanya membawa ujian yang berjaya.

Tindakan Sam terhadap pendidikan undang-undang menunjukkan salah satu daripada pola umum Tuhan untuk pertumbuhan dan pembangunan. “Demikianlah firman Tuhan Raja: Aku akan memberikan kepada anak-anak manusia baris demi baris, ajaran demi ajaran, di sini sedikit dan di sana sedikit; dan diberkatilah mereka yang mengikut ajaran-Ku, dan memasang telinga pada nasihat-Ku, kerana mereka akan belajar kebijaksanaan.” 11

Saya menjemput setiap kita untuk “lihatlah apa yang sudah berlaku kepada [kita]” 12 dan “ujilah diri [kita] sendiri sama ada [kita] betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan.” 13 Apakah kita telah pelajari selama beberapa bulan ini tentang penyesuaian dan pembatasan gaya hidup? Apakah kita perlu perbaiki dalam hidup kita secara rohani, jasmani, sosial, emosi dan intelektual? Sekarang adalah masa untuk bersedia dan menguji diri kita sama ada kita sedia dan boleh melakukan segala hal apa pun yang Tuhan Raja kita akan perintahkan.

Menguji dan Maju Terus

Dulu, saya menghadiri pengebumian seorang penginjil muda yang terbunuh dalam kemalangan. Bapa penginjil itu berucap semasa upacara dan menggambarkan kepiluan kerana perpisahan fana yang tidak dijangka. Dia jelas menyatakan bahawa dia tidak sepenuhnya memahami sebab-sebab atau waktu untuk peristiwa itu. Tetapi saya sentiasa ingat lelaki baik ini turut menyatakan bahawa dia tahu Tuhan mengetahui sebab-sebab dan waktu kematian anaknya—dan itu cukup baginya. Dia memberitahu para hadirin bahawa dia dan keluarganya, walaupun sedih, akan baik-baik sahaja; kesaksian mereka tetap teguh dan tabah. Dia mengakhiri ucapannya dengan pengisytiharan ini: “Saya ingin anda semua mengetahui bahawa keluarga kami komited sepenuhnya kepada injil Yesus Kristus. Kita komited sepenuhnya.”

Walaupun kehilangan orang yang dikasihi memilukan dan susah, ahli keluarga ini bersedia secara rohani untuk membuktikan mereka dapat belajar pelajaran abadi melalui hal-hal yang menderitakan mereka. 14

Kesetiaan bukanlah kebodohan atau fanatik. Sebaliknya, ia adalah mempercayai Yesus Kristus sebagai Juruselamat kita, pada nama-Nya, dan janji-Nya. Apabila kita “maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia,” 15 kita diberkati dengan perspektif dan penglihatan abadi melebihi keupayaan fana terhad kita. Kita boleh “berkumpul bersama, dan berdiri di tempat-tempat kudus” 16 dan “janganlah goyah, sehingga hari Tuhan datang.” 17

Semasa saya melayani sebagai presiden Brigham Young University–Idaho, Elder Jeffrey R. Holland datang ke kampus pada Disember 1998 untuk berucap dalam salah satu pertemuan rohani mingguan kami. Susan dan saya menjemput sekumpulan pelajar untuk bertemu Elder Holland sebelum dia berucap. Apabila masa kita bersama hampir berakhir, saya menanya Elder Holland, “Jika kamu boleh mengajar pelajar-pelajar ini hanya satu hal, apakah hal itu?”

Dia menjawab:

“Kita menyaksikan pergerakan besar ke arah pertentangan. Orang Suci Zaman Akhir tidak boleh kekal berkecuali. Pilihan berkecuali akan lenyap.

“Jika anda menapak air di aliran sungai, anda akan pergi ke suatu tempat. Anda hanya akan pergi ke mana sahaja aliran itu membawa anda. Mengalir ke sungai, mengikuti arus, mengembara di aliran sungai adalah tidak sesuai.

“Pilihan hendak dibuat. Tidak memilih merupakan sebuah pilihan. Belajar untuk memilih sekarang.”

Kenyataan berilham Elder Holland tentang pertentangan meningkat telah terbukti kerana kecenderungan masyarakat dan peristiwa 22 tahun sejak dia menjawab soalan saya. Bernubuat tentang perbezaan yang meningkat di antara cara Tuhan dan cara dunia, Elder Holland memberi amaran bahawa waktu untuk orang yang selesa memiliki satu kaki di Gereja yang dipulihkan dan satu kaki di dunia akan lenyap dengan cepat. Orang suruhan Tuhan ini menggalakkan orang muda untuk memilih, bersedia dan menjadi pengikut Juruselamat yang setia. Dia membantu mereka untuk bersedia dan maju terus melalui pengalaman hidup mereka yang menguji, meneliti dan mencuba.

Janji dan Kesaksian

Proses menguji diri kita merupakan bahagian asas rancangan kegembiraan Bapa Syurgawi yang agung. Saya berjanji, semasa kita bersedia dan maju terus dengan iman kepada Juruselamat, kita boleh menerima markah sama pada ujiann kefanaan terakhir: “‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’” 18

Saya bersaksi bahawa Tuhan Bapa yang Abadi ialah Bapa kita. Yesus Kristus ialah Putera Tunggal-Nya yang hidup, Juruselamat dan Penebus kita. Saya bersaksi tentang kebenaran-kebenaran ini dengan gembiranya di dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.