Saya Percaya kepada Malaikat
Tuhan menyedari cabaran yang anda hadapi. Dia mengenali anda, Dia mengasihi anda, dan saya berjanji, Dia akan mengutus malaikat untuk membantu anda.
Saudara dan saudari, saya percaya kepada malaikat, dan saya ingin berkongsi pengalaman saya kepada anda. Dengan melakukan ini, saya berharap dan berdoa agar kita akan mengenali kepentingan malaikat dalam kehidupan kita.
Ini adalah kata-kata Elder Jeffrey R. Holland dari persidangan umum yang lalu: “Ketika kita berbicara tentang mereka yang menjadi alat dalam tangan Tuhan, kita diingatkan bahawa tidak semua malaikat berasal dari sebelah tirai. Sebahagian daripada mereka, kita hidup bersama dan berbicara dengan kita—di sini, sekarang, setiap hari. Sebahagian daripada mereka tinggal di kawasan perumahan kita sendiri. … Sesungguhnya, syurga tidak pernah kelihatan lebih dekat daripada ketika kita melihat kasih Tuhan ditunjukkan dalam kebaikan dan pengabdian orang yang begitu baik dan suci sehingga malaikat adalah satu-satunya kata yang terlintas di fikiran” (“The Ministry of Angels,” Liahona, Nov. 2008, 30).
Ini adalah tentang malaikat yang berada di tirai [bumi] ini yang saya ingin bicarakan. Para malaikat yang hidup di kalangan kita setiap hari yang merupakan peringatan kuat tentang kasih Tuhan kepada kita.
Malaikat pertama yang akan saya sebutkan adalah dua saudari penginjil yang mengajar saya injil ketika saya masih muda: Sister Vilma Molina dan Sister Ivonete Rivitti. Adik perempuan saya dan saya dijemput ke aktiviti Gereja di mana kami bertemu dengan dua malaikat. Saya tidak pernah bayangkan betapa aktiviti yang mudah akan mengubah hidup saya.
Ibu bapa dan adik beradik saya tidak berminat untuk belajar tentang Gereja pada waktu itu. Mereka bahkan tidak bersedia untuk penginjil datang ke rumah, oleh itu saya mengambil pelajaran penginjil dalam bangunan Gereja. Bilik kecil dalam gereja itu menjadi “sacred grove (hutan kudus)” saya.
Sebulan selepas para malaikat ini memperkenalkan saya kepada injil, saya dibaptiskan. Saya berusia 16 tahun pada ketika itu. Malangnya, saya tidak mempunyai gambar untuk peristiwa kudus itu, tetapi saya mempunyai gambar adik perempuan saya dan saya menyertai aktiviti Gereja. Mungkin saya perlu menjelaskan gambar ini. Saya adalah yang paling tinggi di sebelah kanan itu.
Seperti yang anda boleh bayangkan, kekal aktif di dalam Gereja adalah mencabar bagi seorang remaja yang telah menukar cara hidup dan ahli keluarga yang tidak sejalan.
Semasa saya berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan, budaya, dan rakan-rakan baharu, saya merasa tidak senang. Sering kali, saya merasa sendirian dan putus asa. Saya tahu Gereja itu benar, tetapi saya sukar merasa tergolong dalamnya. Walaupun saya tidak selesa dan tidak yakin ketika berusaha untuk merasa tergolong, saya mendapat keberanian untuk menyertai persidangan remaja selama tiga hari, yang membantu saya mendapat teman baru. Ini ketika saya bertemu dengan malaikat penyelamat lain, yang bernama Mônica Brandão.
Dia baru berpindah ke kawasan kami dari Brazil. Dia menarik perhatian saya, dan dia menerima saya sebagai kawan. Saya rasa dia mungkin menilai dalaman saya berbanding penampilan luaran saya.
Kerana dia berkawan dengan saya, saya diperkenalkan dengan rakan-rakannya, yang kemudian menjadi teman saya kerana kami menikmati banyak aktiviti remaja yang saya hadiri kemudian. Aktiviti-aktiviti itu sangat penting bagi penyatuan saya dalam kehidupan baharu ini.
Rakan-rakan baik ini membuat perbezaan besar, tetapi injil diajarkan di rumah saya berserta keluarga yang menyokong masih membahayakan proses penukaran hati saya yang berterusan. Interaksi injil saya di Gereja menjadi lebih penting bagi pertumbuhan pertaubatan saya. Kemudian dua malaikat tambahan diutus oleh Tuhan untuk membantu.
Salah satu darinya adalah Leda Vettori, guru seminari saya. Melalui kelasnya yang penuh kasih dan ilham, dia memberi saya dos harian “firman Tuhan yang baik” (Moroni 6:4), yang sangat diperlukan untuk melalui hari saya. Ini membantu saya memperoleh kekuatan rohani untuk terus maju.
Malaikat lain yang diutus untuk membantu saya adalah Presiden Remaja Putera, Marco Antônio Fusco. Dia juga ditugaskan untuk menjadi rakan senior pengajaran keluarga saya. Walaupun saya kurang pengalaman dan penampilan yang berbeza, dia memberi saya tugas untuk mengajar dalam pertemuan kuorum imam dan pengajaran berkunjung. Dia memberi saya kesempatan untuk bertindak dan belajar dan bukan hanya menjadi pemerhati injil. Dia mempercayai saya, lebih daripada saya mempercayai diri saya.
Terima kasih kepada semua malaikat ini, dan banyak lagi yang saya temui dalam tahun-tahun awal yang penting itu, saya mendapat cukup kekuatan untuk terus berada di jalan perjanjian semasa saya memperoleh kesaksian rohani tentang kebenaran.
Dan tentang gadis muda bernama Mônica itu? Selepas kami berdua melayani misi, dia menjadi isteri saya.
Saya rasa ia bukan satu kebetulan bahawa rakan baik, tanggungjawab Gereja, dan dipelihara dengan firman Tuhan yang baik adalah sebahagian daripada proses itu. Presiden Gordon B. Hinckley mengajarkan: “Bukan perkara mudah untuk membuat peralihan untuk bergabung dengan Gereja ini. Ini bermaksud untuk memutuskan hubungan lama. Ini bermaksud meninggalkan rakan-rakan. Ini mungkin bermaksud mengetepikan kepercayaan yang dihargai. Ia mungkin memerlukan perubahan tabiat dan pengawalan selera makan. Kebanyakan, ini bermaksud kesunyian dan juga ketakutan akan perkara yang tidak diketahui. Perlu adanya pemeliharaan dan pengukuhan dalam musim sukar ini dalam hidup seorang penganut baharu” (“There Must Be Messengers,” Ensign, Okt. 1987, 5).
Kemudian dia juga mengajar, “Setiap orang daripada mereka memerlukan tiga perkara: seorang rakan, satu tanggungjawab, dan pemeliharaan dengan ‘firman Tuhan yang baik’” (“Converts and Young Men,” Ensign, Mei 1997, 47).
Mengapakah saya kongsi pengalaman ini kepada anda?
Pertama, untuk menghantar pesanan kepada mereka yang sedang melalui proses serupa. Mungkin anda seorang penganut baharu, atau kembali ke Gereja setelah tersesat seketika, atau seseorang yang sedang bergelut untuk tergolong. Tolong, tolonglah, jangan berputus asa untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar ini. Inilah Gereja Yesus Kristus yang benar!
Tentang kebahagiaan dan keselamatan anda, ia berbaloi untuk terus berusaha. Adalah berbaloi untuk menyesuaikan gaya hidup dan tradisi anda. Tuhan menyedari cabaran yang anda hadapi. Dia mengenali anda, Dia mengasihi anda, dan saya berjanji, Dia akan mengutus malaikat untuk membantu anda.
Dalam firman-Nya sendiri Juruselamat berfirman: “Aku akan pergi di hadapan mukamu. Aku akan berada di sebelah kananmu dan juga di sebelah kirimu, dan Roh-Ku ada di hatimu, dan para malaikat-Ku akan berada di sekeliling-mu untuk menghibur kamu” (Ajaran dan Perjanjian 84:88).
Tujuan kedua saya berkongsi pengalaman ini adalah untuk menghantar pesanan kepada semua anggota Gereja—kepada kita semua. Kita harus ingat bahawa tidak mudah bagi penganut baharu, teman yang baru kembali, dan mereka yang mempunyai gaya hidup yang berbeza untuk langsung tergolong. Tuhan menyedari cabaran yang mereka hadapi, dan Dia mencari malaikat yang bersedia untuk membantu. Tuhan sentiasa mencari sukarelawan untuk menjadi malaikat dalam kehidupan orang lain.
Saudara dan saudari, adakah anda sedia untuk menjadi alat di tangan Tuhan? Adakah anda sedia untuk menjadi salah satu dari para malaikat ini? Untuk menjadi utusan, yang diutus oleh Tuhan, dari tirai ini, kepada seseorang yang Dia risaukan? Dia memerlukan anda. Mereka memerlukan anda.
Sudah tentu, kita boleh selalu bergantung pada para penginjil kita. Mereka sentiasa ada, dan mereka yang pertama termasuk dalam pekerjaan malaikat ini. Tetapi mereka [sahaja] tidak mencukupi.
Jika anda perhatikan di sekeliling anda, anda akan menemui banyak orang yang memerlukan bantuan malaikat. Orang-orang ini mungkin tidak mengenakan baju putih, gaun, atau pakaian hari Ahad biasa. Mereka mungkin duduk sendirian, di barisan belakang pertemuan atau kelas, kadang-kadang merasa seolah-olah mereka tidak wujud. Mungkin gaya rambut mereka sedikit ekstrem atau penggunaan bahasa mereka berbeza, tetapi mereka ada di sana, dan mereka berusaha.
Ada yang mungkin tertanya: “Adakah saya perlu kembali lagi? Adakah saya harus terus mencuba?” Yang lain mungkin tertanya jika suatu hari nanti mereka akan merasa diterima dan dikasihi. Malaikat diperlukan, sekarang; malaikat adalah mereka yang sedia untuk meninggalkan zon selesa mereka untuk memeluk orang-orang ini; “[Orang yang] begitu baik dan suci sehingga malaikat adalah satu-satunya kata yang terlintas di fikiran [untuk menggambarkan mereka]” (Jeffrey R. Holland, “The Ministry of Angels,” 30).
Saudara dan saudari, saya percaya kepada malaikat! Semua kita ada di sini hari ini, pasukan malaikat perkasa yang ditetapkan untuk hari-hari terakhir ini, untuk melayani orang lain sebagai wakil Sang Pencipta yang penuh kasih. Saya berjanji jika kita bersedia untuk melayani, Tuhan akan memberi kita peluang untuk menjadi malaikat pelayan. Dia tahu siapa yang memerlukan bantuan malaikat, dan Dia akan meletakkan mereka di jalan kita. Tuhan meletakkan mereka yang memerlukan bantuan malaikat di jalan kita setiap hari.
Saya amat bersyukur untuk semua malaikat yang Tuhan telah berikan sepanjang hidup saya. Mereka diperlukan. Saya bersyukur bagi injil-Nya yang membantu kita untuk berubah dan memberi kita peluang untuk menjadi lebih baik.
Inilah injil kasih, injil pelayanan. Dengan ini saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.