Persidangan Umum
Kasihilah Musuh Kamu
Persidangan umum Oktober 2020


16:19

Kasihilah Musuh Kamu

Mengetahui bahawa kita semua anak Tuhan memberikan kita pandangan tentang nilai orang lain dan kebolehan untuk bangkit daripada prasangka.

Ajaran-ajaran Tuhan adalah abadi dan untuk semua anak Tuhan. Dalam pesanan ini saya akan kongsi beberapa contoh dari Amerika Syarikat, namun asas-asas yang diajarkan berguna bagi semua tempat.

Kita hidup dalam satu masa kemarahan dan kebencian dari segi perhubungan politik dan polisi. Ketika musim panas baru-baru ini, banyak tunjuk perasaan secara aman telah berubah dan bersifat memusnahkan. Kita melihatnya dalam kempen-kempen terkini bagi jawatan-jawatan awam. Malangnya, sesetengah ini bahkan telah masuk ke dalam kenyataan politik dan rujukan tidak baik dalam pertemuan Gereja kita.

Dalam kerajaan demokratik, kita sentiasa mempunyai perbezaan pilihan tentang calon dan polisi yang dicadangkan. Namun, sebagai pengikut Kristus kita harus meninggalkan kemarahan dan kebencian tentang pilihan politik yang dibahaskan atau dicela dalam banyak keadaan.

Khutbah di atas Bukit

Berikut adalah salah satu ajaran Juruselamat kita, terkenal tetapi jarang diamalkan:

“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.

“Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu” (Matius 5:43–44). 1

Selama beberapa generasi, orang Yahudi telah diajar untuk membenci musuh mereka, dan mereka menderita di bawah kuasa dan kekejaman akibat penjajahan Roma. Namun Yesus mengajar mereka, “Kasihilah musuh kamu” dan “berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu.”

Yesus Kristus mengajar di benua Amerika

Ini adalah ajaran revolusi bagi perhubungan peribadi dan politik! Namun Juruselamat masih perintahkan kita untuk melakukannya. Dalam Kitab Mormon kita baca, “Kerana sesungguh-sungguhnya Aku berfirman kepadamu, dia yang memiliki semangat pertikaian bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada iblis, yang merupakan bapa pertikaian, dan dia menghasut hati manusia untuk bertikai dengan kemarahan, antara satu sama lain” (3 Nefi 11:29).

Mengasihi musuh dan penentang kita adalah tidak mudah. “Ramai di antara kita yang belum mencapai tahap … kasih dan pengampunan itu,” Presiden Gordon B. Hinckley berkata, “Ia memerlukan satu disiplin diri yang lebih besar daripada yang kita mampu.” 2 Namun ini penting, kerana ia merupakan sebahagian daripada dua perintah agung Juruselamat iaitu untuk “kasihilah Tuhan” dan untuk “kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (Matius 22:37, 39). Dan ia boleh terjadi, kerana Dia juga mengajar, “Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Tuhan maka kamu akan mendapatnya” (Matius 7:7). 3

Bagaimanakah kita mematuhi perintah-perintah ilahi di dalam dunia yang kita turut tertakluk kepada hukum-hukum manusia? Mujurlah, kita punyai ajaran dan teladan Juruselamat dalam cara mengimbangkan hukum abadi-Nya dan amalan undang-undang manusia. Apabila musuh cuba memerangkap Yesus dengan soalan jika orang Yahudi perlu membayar cukai kepada Roma, Dia menunjuk kepada imej Kaisar di atas duit syiling dan mengisytiharkan: “Berikan apa yang milik Kaisar kepada Kaisar dan berikan apa yang menjadi milik Tuhan kepada Tuhan” (Lukas 20:25). 4

Berikan kepada Kaisar

Oleh itu, kita harus mematuhi undang-undang manusia (berikan kepada Kaisar) dan hidup secara aman di bawah pihak berkuasa awam, dan mematuhi hukum-hukum Tuhan untuk menuju ke destinasi abadi kita. Namun bagaimanakah kita melakukan ini—terutamanya bagaimana kita belajar mengasihi penentang dan musuh kita?

Ajaran Juruselamat untuk tidak “bertikai dengan marah” merupakan langkah pertama yang baik. Iblis merupakan bapa pertikaian, dan dialah yang mengobarkan manusia untuk bertikai dengan marah. Dia menggalakkan permusuhan dan perhubungan benci di kalangan individu dan kumpulan. Presiden Thomas S. Monson telah mengajar bahawa kemarahan merupakan “alat Setan,” untuk “menjadi marah membuka pintu kepada pengaruh Setan. Tiada sesiapapun yang boleh membuatkan kita marah. Ia merupakan pilihan kita.” 5 Kemarahan merupakan jalan kepada pembahagian dan permusuhan. Kita maju dengan mengasihi musuh apabila kita mengelakkan kemarahan dan menahan diri daripada kemarahan dan permusuhan terhadap mereka yang kita tidak bersetuju. Ia juga dapat membantu jika kita sudi belajar daripada mereka.

Cara lain untuk membentuk kuasa mengasihi orang lain ialah seperti yang dijelaskan dalam seni kata pertunjukan muzikal dahulu kala. Ketika kita cuba untuk memahami dan berhubung dengan individu dari pelbagai budaya, kita harus cuba mengenali mereka. Dalam banyak keadaan, kecurigaan orang yang asing atau bahkan permusuhan memberi jalan kepada persahabatan atau kasih ketika perhubungan peribadi menghasilkan persefahaman dan saling menghormati. 6

Satu bantuan yang lebih berkuasa untuk belajar mengasihi penentang dan musuh kita adalah dengan memahami kuasa kasih. Berikut adalah tiga ajaran nabi tentang ini.

Nabi Joseph Smith telah mengajar bahawa “pepatah yang dihormati sejak dulu lagi ialah kasih melahirkan kasih. Marilah kita menunjukkan kasih—tunjukkan kebaikan hati kepada setiap manusia.” 7

Presiden Howard W. Hunter mengajar: “Dunia kita akan memperoleh manfaat yang lebih jika setiap lelaki dan wanita mengamalkan kasih murni Kristus, iaitu berbaik hati, lembut hati, dan merendahkan diri. Ianya tidak berdengki atau angkuh. … Ia tidak mengharapkan balasan. … Ia tidak mengandungi ketaksuban, kebencian, atau keganasan. … Ia menggalakkan manusia yang pelbagai untuk hidup bersama dengan kasih Kristian tanpa mengira kepercayaan agama, kaum, kewarganegaraan, kedudukan kewangan, pendidikan, atau budaya.” 8

Presiden Russell M. Nelson juga menyeru kita untuk “meluaskan ruang kasih dan mengasihi semua manusia.” 9

Satu bahagian penting dalam mengasihi musuh kita adalah untuk berikan kepada Kaisar dengan mematuhi undang-undang negara masing-masing. Walaupun ajaran-ajaran Yesus adalah revolusi, Dia tidak mengajar kita untuk mencetuskan revolusi atau melanggar undang-undang. Dia telah mengajar jalan yang lebih baik. Wahyu moden mengajarkan hal yang sama:

“Janganlah biarkan seorang pun melanggar undang-undang negara, kerana dia yang mentaati hukum Tuhan tidak perlu melanggar undang-undang negara.

“Kerana itu, tunduklah pada kekuasaan yang ada” (Ajaran dan Perjanjian 58:21–22).

Dan Fasal-Fasal Kepercayaan, ditulis oleh Nabi Joseph Smith setelah Orang Suci awal menderita penganiayaan hebat oleh pegawai-pegawai Missouri, mengisytiharkan: “Kami percaya untuk tunduk kepada raja-raja, presiden, para pemerintah, dan majistret, dalam mematuhi, menghormati, dan menjunjung undang-undang” (Fasal-Fasal Kepercayaan 1:12).

Ini tidak bermaksud kita menyetujui segala yang ditentukan oleh undang-undang penguasaan. Ia bermaksud kita mematuhi undang-undang semasa dan menggunakan cara yang damai untuk melakukan perubahan yang perlu. Ia juga bermaksud kita menerima keputusan pengundian dengan aman. Kita tidak akan menyertai keganasan yang diancam oleh mereka yang kecewa dengan keputusan. 10 Dalam masyarakat demokratik kita sentiasa mempunyai peluang dan tanggungjawab untuk berterusan secara damai sehinggalah pilihan raya yang akan datang.

Ajaran Juruselamat untuk mengasihi musuh adalah berdasarkan realiti bahawa semua manusia adalah anak-anak Tuhan. Asas abadi dan beberapa prinsip asas undang-undang telah diuji dalam tunjuk perasaan di banyak bandar Amerika baru-baru ini.

Tunjuk perasaan secara aman

Di satu peristiwa yang melampau, ada yang telah lupa Pindaan Pertama dalam Perlembagaan Amerika Syarikat yang menjaminkan “orang berhak untuk berhimpun secara damai dan membuat petisyen kepada Kerajaan untuk mengatasi rungutan.” Ini merupakan cara yang dibenarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan untuk menumpukan kepada ketidakadilan kandungan atau pentadbiran undang-undang. Dan terdapatnya banyak ketidakadilan. Dalam tindakan awam dan tingkah laku peribadi kita telah mempunyai masalah perkauman dan rungutan yang berkaitan. Dalam satu karangan, Yang Berhormat Theresa A. Dear dari “National Association for the Advancement of Colored People (NAACP)” mengingatkan kita bahawa “perkauman suka kebencian, penindasan, kepasifan, ketidakacuhan dan kesenyapan.” 11 Sebagai warganegara dan sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita harus membasmi perkauman dengan lebih baik.

Rusuhan haram

Dalam satu peristiwa melampau yang lain, sekumpulan kecil peserta dan penyokong bagi tunjuk perasaan tersebut dan tindakan haram yang berikutan telah lupa bahawa pertunjukan perasaan yang dilindungi oleh Perlembagaan merupakan pertunjukan yang damai . Penunjuk perasaan tidak berhak untuk memusnahkan, mencemar, atau mencuri harta benda atau menggugat kuasa sah polis kerajaan. Perlembagaan dan undang-undang tidak menjemput revolusi atau anarki. Kita semua—para polis, penunjuk perasaan, penyokong, dan penonton—harus faham batasan hak kita dan tanggungjawab kita untuk berada dalam batasan undang-undang yang sedia ada. Abraham Lincoln menyatakannya dengan tepat: “Tiada rungutan yang sesuai diselesaikan dengan undang-undang gerombolan.” 12 Penyelesaian rungutan oleh gerombolan ialah penyelesaian secara haram. Itulah anarki, satu keadaan yang tidak mempunyai pemerintahan atau polis yang berkesan, yang menggugat dan bukannya melindungi hak-hak individu.

Satu sebab mengapa tunjuk perasaan di Amerika Syarikat baru-baru ini amat memeranjatkan adalah kerana permusuhan dan pelanggaran undang-undang yang mengesani pelbagai etnik di negara lain tidak patut dirasa di Amerika Syarikat. Negara ini sepatutnya lebih baik dalam menghapuskan perkauman, bukan sahaja terhadap orang berkulit hitam, yang paling jelas dalam pertunjukan perasaan baru-baru ini, tetapi juga terhadap orang Latin, Asia, dan kumpulan-kumpulan lain. Sejarah perkauman dalam negara ini tidaklah baik dan kita harus menjadi lebih baik.

Pulau Ellis
Pendatang

Amerika Syarikat diasaskan oleh pendatang dari pelbagai negara dan etnik. Tujuan perpaduan tidak berasaskan satu agama tertentu atau untuk mengekalkan sebarang budaya yang pelbagai atau kesetiaan suku dari negara lama. Generasi pengasas kita ingin disatukan melalui perlembagaan dan undang-undang baru. Ia tidak bermaksud bahawa dokumen-dokumen kita yang menyatukan atau pemahaman maksud dokumen pada ketika itu adalah sempurna. Sejarah Amerika Syarikat dalam dua abad pertama membuktikan keperluan untuk penghalusan, seperti hak mengundi bagi kaum wanita, terutamanya, penghapusan perhambaan termasuklah undang-undang untuk menjaminkan mereka yang telah diperhambakan boleh memperoleh segala syarat-syarat kebebasan.

Dua sarjana University Yale mengingatkan kita:

“Walaupun serba kekurangan, Amerika Syarikat dilengkapi dengan unik untuk menyatukan satu masyarakat yang pelbagai dan berbahagi. …

“… Warganegaranya tidak perlu memilih di antara identiti negara dan pelbagai budaya. Rakyat Amerika boleh memiliki kedua-duanya. Tetapi kuncinya ialah patriotisme perlembagaan. Kita harus kekal bersatu dengan dan melalui Perlembagaan, tanpa mengira pertentangan idealogi kita.” 13

Beberapa tahun yang lepas, seorang setiausaha luar Britain memberikan nasihat yang baik dalam satu perbahasan di Dewan Rakyat: “Kita tidak mempunyai sekutu abadi dan kita tidak mempunyai musuh berkekalan. Minat kita adalah abadi dan berkekalan, dan minat-minat tersebut merupakan tanggungjawab kita untuk dipatuhi.” 14

Ia merupakan satu sebab sekular yang baik untuk mengikut minat-minat “abadi dan kekal” dalam hal-hal politik. Tambahannya, ajaran Gereja Tuhan mengajarkan kita satu lagi cara supaya minat abadi membimbing kita: iaitu ajaran Juruselamat yang mengilhami Perlembagaan Amerika Syarikat dan undang-undang asas dalam kebanyakan negara-negara kita. Kesetiaan kepada undang-undang yang ditetapkan dan bukannya kepada “sekutu” merupakan cara terbaik untuk mengasihi penentang dan musuh kita apabila kita mencari perpaduan dalam kepelbagaian.

Mengetahui bahawa kita semua anak Tuhan memberikan kita pandangan ilahi tentang nilai orang lain dan kehendak dan kebolehan untuk bangkit daripada prasangka dan perkauman. Setelah bertahun hidup di negeri berlainan di seluruh negara, Tuhan telah mengajar saya bahawa kita boleh mematuhi dan memperbaiki undang-undang negara kita dan juga mengasihi penentang dan musuh kita. Walaupun ini tidak mudah, tetapi ia boleh terjadi dengan bantuan Tuhan Yesus Kristus kita. Dia telah memberikan perintah untuk mengasih, dan Dia berjanji Dia akan membantu jika kita mematuhinya. Saya bersaksi bahawa kita dikasihi dan akan dibantu oleh Bapa Syurgawi kita dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat juga Lukas 6:27–28, 30.

  2. Gordon B. Hinckley, “The Healing Power of Christ,” Ensign, Nov. 1988, 59; lihat juga Teachings of Gordon B. Hinckley (1997), 230.

  3. Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 6:5.

  4. Lihat juga Matius 22:21; Markus 12:17.

  5. Thomas S. Monson, “School Thy Feelings, O My Brother,” Liahona, Nov. 2009, 68.

  6. Lihat Becky and Bennett Borden, “Moving Closer: Loving as the Savior Did,” Ensign, Sept. 2020, 24–27.

  7. Joseph Smith, dalam History of the Church, 5:517. Demikian juga, Martin Luther King Jr. (1929-68) telah berkata: “Membalas keganasan dengan keganasan menggandakan keganasan, menambahkan kegelapan yang lebih kepada malam tanpa bintang. Kegelapan tidak boleh mengusir kegelapan; hanya cahaya boleh melakukannya. Kebencian tidak boleh mengusir kebencian; hanya kasih boleh melakukannya” (Where Do We Go from Here: Chaos or Community? [2010], 64–65).

  8. Teachings of Presidents of the Church: Howard W. Hunter (2015), 263.

  9. Russell M. Nelson, “Blessed Are the Peacemakers,” Liahona, Nov. 2002, 41; lihat juga Teachings of Russell M. Nelson (2018), 83.

  10. Lihat “A House Divided,” Economist, 5 Sept 2020, 17–20.

  11. Theresa A. Dear, “America’s Tipping Point: 7 Ways to Dismantle Racism,” Deseret News, 7 Jun 2020, A1.

  12. Abraham Lincoln, berucap di Young Men’s Lyceum, Springfield, Illinois, 27 Jan 1838, di John Bartlett, Bartlett’s Familiar Quotations, 18th ed. (2012), 444.

  13. Amy Chua dan Jed Rubenfeld, “The Threat of Tribalism,” Atlantic, Okt. 2018, 81, theatlantic.com.

  14. Henry John Temple, Viscount Palmerston, ucapan di House of Commons, 1 Mac 1848; di Bartlett, Bartlett’s Familiar Quotations, 392; penekanan ditambah.