Persidangan Umum
Berjagalah dan Berdoalah Sentiasa
Persidangan umum Oktober 2020


15:1

Berjagalah dan Berdoalah Sentiasa

Hari ini, saya memanggil anda semua dari setiap negara di seluruh dunia untuk berdoa juga.

Saudara dan saudari yang saya kasihi, minggu terakhir pelayanan fana Dia, Yesus mengajar pengikut-pengikut Dia untuk “berjaga-jagalah dan berdoalah sentiasa, supaya kamu mempunyai kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku, lalu kamu dapat menghadap Anak Manusia.”1

Di antara “perkara mesti berlaku” sebelum Kedatangan Kedua-Nya ialah “riuh pertempuran dan berita peperangan[,] … kebuluran, dan gempa bumi [di mana-mana].”2

Dalam Ajaran dan Perjanjian Juruselamat berfirman, “Dan segala hal akan berada dalam huru-hara; … kerana ketakutan akan datang ke atas semua orang.”3

Sesungguhnya, kita hidup di zaman yang berada dalam huru-hara. Ramai orang menakuti masa depan, dan banyak hati yang memaling dari kepercayaan mereka terhadap Tuhan dan Putera-Nya, Yesus Kristus.

Laporan berita dipenuhi dengan keganasan. Penghinaan moral diterbitkan dalam talian. Tempat perkuburan, gereja, masjid, rumah ibadat, dan tempat suci agama dirosakkan.

Wabak global telah mencapai setiap penjuru dunia—jutaan orang dijangkiti, lebih sejuta yang telah meninggal. Konvokesyen sekolah, perkhidmatan pemujaan gereja, perkahwinan, pelayanan penginjil, dan pelbagai peristiwa kehidupan penting yang lain terganggu. Tambahan lagi, ramai yang tertinggal seorang dan terpencil.

Pergolakan ekonomi telah memberi cabaran kepada ramai, terutamanya anak-anak Bapa Syurgawi yang paling mudah terjejas.

Kita telah melihat orang menggunakan hak mereka untuk menunjuk perasaan secara aman, dan kita telah melihat orang ramai merusuh dengan marah.

Pada masa yang sama, kita melihat konflik terjadi di seluruh dunia.

Saya kerap fikir tentang anda yang menderita, bimbang, takut, atau berasa keseorangan. Saya memberi jaminan kepada setiap anda bahawa Tuhan kenali anda, dan bahawa Dia sedari kebimbangan dan penderitaan anda, dan Dia mengasihi anda—secara intim, peribadi, mendalam dan abadi.

Setiap malam saya berdoa, dan meminta Tuhan untuk memberkati semua yang dibebani kedukaan, kepedihan, kesunyian, dan kesedihan. Saya tahu pemimpin-pemimpin Gereja lain berdoa yang sama. Hati kami, secara individu dan bersama, tersentuh dan kami doakan kepada Tuhan bagi pihak anda.

Saya telah meluangkan beberapa hari pada tahun lepas melawati bahagian utara timur Amerika Syarikat dan tempat-tempat bersejarah Amerika dan Gereja, menghadiri pertemuan dengan para penginjil dan ahli-ahli kita, dan melawat pemimpin-pemimpin kerajaan dan perniagaan.

Pada hari Ahad, 20 Oktober, saya berucap kepada satu kumpulan besar berdekatan dengan Boston, Massachusetts. Ketika saya sedang berucap, saya terdorong untuk berkata, “Saya merayu kepada anda … untuk berdoa bagi negara ini, pemimpin kita, rakyat kita, dan untuk para keluarga yang hidup dalam bangsa hebat yang ditemui oleh Tuhan.”4

Saya juga berkata bahawa Amerika dan banyak bangsa bumi yang, seperti dahulu, berada di persimpangan kritikal sekali lagi dan memerlukan doa-doa kita.5

Rayuan saya bukan sebahagian daripada ucapan yang disediakan. Kata-kata itu datang apabila saya merasai dorongan Roh untuk menjemput mereka yang hadir untuk berdoa bagi negara dan pemimpin mereka.

Hari ini, saya memanggil anda semua dari setiap negara di seluruh dunia untuk berdoa juga. Tidak kisah bagaimana atau kepada siapa anda berdoa, sila gunakan iman anda—tidak kira apa pun kepercayaan anda—dan berdoa bagi negara dan pemimpin-pemimpin nasional anda. Sepertimana saya katakan Oktober lepas di Massachusetts, kita kini berada di satu persimpangan besar dalam sejarah, dan bangsa-bangsa dunia amat memerlukan ilham dan bimbingan ilahi. Ini tidak berkenaan politik atau polisi. Ini adalah tentang kedamaian dan pemulihan yang dapat datang kepada setiap jiwa dan jiwa bangsa—bandar dan perkampungan—melalui Putera Kedamaian dan sumber segala pemulihan, Tuhan Yesus Kristus.

Dalam beberapa bulan yang lepas saya memperoleh tanggapan bahawa cara yang terbaik untuk membantu situasi dunia semasa ialah semua harus bergantung sepenuhnya kepada Tuhan dan memaling hati-hati mereka kepada Dia melalui doa yang ikhlas. Merendahkan diri dan mencarikan ilham syurgawi untuk bertahan atau mengatasi apapun yang dihadapi akan menjadi cara yang paling selamat dan pasti untuk maju dengan yakin ketika masa yang sukar itu.

Ayat suci menyerlahkan doa-doa yang diberi oleh Yesus serta ajaran-Nya tentang doa ketika pelayanan fana Dia. Anda akan ingat Doa Tuhan:

“Engkaulah Tuhan yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati.

“Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati.

“Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini.

“Ampunkanlah kesalahan kami, seperti kami mengampuni orang yang berdosa terhadap kami.

“Janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat. Engkaulah Raja yang berkuasa dan mulia untuk selama-lamanya. Amin.”6

Doa indah yang tertumpu ini, sering diulangi oleh semua orang Kristian, memberi gambaran jelas bahawa adalah berpatutan untuk memohon secara langsungnya “Ya Bapa kami yang di syurga” untuk peroleh jawapan bagi apa pun yang mengganggu kita. Oleh demikian, marilah kita berdoa untuk bimbingan ketuhanan.

Saya menjemput anda untuk berdoa sentiasa.7 Berdoa untuk keluarga anda. Berdoa untuk pemimpin-pemimpin bangsa. Doalah untuk yang berani dan berada di barisan hadapan dalam pertempuran semasa terhadap sosial, persekitaran, politik, wabak biologi yang mengesani orang di seluruh dunia, yang kaya dan yang miskin, yang muda dan yang tua.

Juruselamat telah mengajar untuk berdoa bagi semua tanpa batasan. Dia berfirman, “Kasihilah musuh kamu, berkatilah mereka yang mengutuk kamu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu, dan berdoalah bagi mereka yang mempergunakan kamu, dan menganiaya kamu.”8

Pada salib “Tengkorak”, di mana Yesus mati untuk dosa-dosa kita, Dia mengamalkan apa yang Dia ajarkan ketika Dia berdoa, “Bapa, ampuni mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.”9

Berdoa dengan ikhlas bagi mereka yang dianggap sebagai musuh menunjukkan bahawa kita percaya Tuhan boleh mengubah hati kita dan hati mereka yang lain. Doa-doa demikian patut memperkuatkan tekad kita untuk melakukan apapun perubahan yang diperlukan dalam kehidupan, keluarga dan komuniti kita.

Tidak kira di mana pun anda tinggal, bahasa yang anda tutur, atau cabaran yang anda hadapi, Tuhan mendengar dan menjawab anda dengan cara Dia dan mengikut masa Dia. Oleh kerana kita anak-anak Dia, kita boleh mendekati Dia untuk memperoleh bantuan, dan berhasrat baru untuk membuat perbezaan positif di dunia.

Berdoa untuk keadilan, kedamaian, mereka yang miskin, dan yang sakit sering kali tidak mencukupi. Setelah kita melutut dalam doa, kita harus bangun dan lakukan sesuatu untuk membantu—untuk membantu diri dan orang lain.10

Ayat suci dipenuhi contoh-contoh orang beriman yang menggabungkan doa dan tindakan untuk membuat perbezaan dalam kehidupan mereka dan kehidupan orang lain. Dalam Kitab Mormon, contohnya, kita baca tentang Enos. Ia telah diperhatikan bahawa “dua pertiga daripada buku singkat ini menghuraikan satu doa, atau satu siri doa-doa, dan bakinya memberitahu apa yang dia telah lakukan berikutan jawapan yang dia terima.”11

Kita punyai banyak contoh bagaimana doa membuat perbezaan dalam sejarah Gereja kita, bermula dengan doa vokal Joseph Smith yang pertama di hutan berdekatan dengan rumah kayu ibu bapanya pada musim bunga tahun 1820. Mencari keampunan dan arahan rohani, doa Joseph membuka syurga. Kini, kita pewaris Nabi Joseph dan Orang Suci Zaman Akhir beriman lelaki dan wanita yang berdoa dan bertindak untuk membantu membangunkan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Saya sering fikir tentang doa-doa wanita beriman seperti Mary Fielding Smith, dengan bantuan Tuhan, memimpin keluarganya dengan berani dari penganiayaan yang meningkat di Illinois ke lembah ini di mana keluarganya makmur secara rohani dan duniawi. Setelah berdoa dengan bersungguh di atas lututnya, dia kemudian bekerja keras untuk mengatasi cabarannya dan memberkati keluarga dia.

Doa akan mengangkat dan mengumpulkan kita secara individu, keluarga, gereja, dan secara dunia. Doa akan mempengaruhi ahli saintis dan membantu mereka menemui vaksin dan ubatan yang akan mengakhiri wabak ini. Doa akan menenangkan mereka yang telah kehilangan orang tersayang. Ia akan membimbing kita untuk ketahui apa yang kita harus lakukan untuk keselamatan peribadi kita.

Saudara dan saudari, saya menyeru anda untuk menggandakan komitmen anda kepada doa. Saya menyeru anda untuk berdoa di dalam bilik, dalam perjalanan pagi, di rumah, di bahagian, dan sentiasa dalam hati anda.12

Bagi pihak pemimpin-pemimpin Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, saya berterima kasih atas doa-doa anda bagi kami. Saya menyeru anda untuk teruskan berdoa agar kita menerima ilham dan wahyu bagi memimpin Gereja dalam masa-masa yang sukar ini.

Doa boleh mengubah kehidupan kita sendiri. Dengan motivasi dari doa yang ikhlas, kita boleh bertambah baik dan membantu orang lain untuk melakukan yang sama.

Saya tahu akan kuasa doa melalui pengalaman saya sendiri. Baru-baru ini saya keseorangan di dalam pejabat saya. Saya baru sahaja menjalankan prosedur medikal pada tangan saya. Ia hitam dan biru, bengkak, dan pedih. Sambil saya duduk di meja, saya tidak dapat memberi tumpuan kepada hal-hal penting dan kritikal kerana saya terganggu oleh kesakitan ini.

Saya berlutut dalam doa dan meminta Tuhan untuk membantu saya menumpu perhatian supaya saya dapat menyempurnakan kerja saya. Saya berdiri dan kembali ke longgokan kertas di atas meja saya. Dengan serta merta, minda saya menjadi jelas dan tajam, dan saya dapat menghabiskan perkara-perkara yang penting.

Situasi huru hara dunia hari ini mungkin amat menakutkan apabila kita mempertimbangkan pelbagai isu dan cabaran. Namun saya memberi kesaksian yang bersungguh bahawa jika kita berdoa dan meminta Bapa Syurgawi bagi berkat dan bimbingan yang diperlukan, kita akan dapat tahu bagaimana kita boleh memberkati keluarga kita, jiran, komuniti, dan juga negara yang mana kita tinggal.

Juruselamat telah berdoa dan kemudian Dia “pergi ke serata tempat untuk berbuat baik”13 dengan memberi makan kepada mereka yang miskin, memberi sokongan dan keyakinan kepada mereka yang memerlukannya, dan menjangkau dengan kasih, pengampunan, kedamaian, dan rehat bagi semua yang akan datang kepada Dia. Dia sentiasa menjangkau kepada kita.

Saya menjemput semua ahli Gereja, termasuklah jiran dan rakan dari kumpulan kepercayaan lain di dunia, untuk melakukan sepertimana Juruselamat menasihati pengikut-Nya: “Berjaga-jagalah dan berdoalah sentiasa,”14 untuk kedamaian, keselesaan, keselamatan dan peluang untuk melayani satu sama lain.

Betapa hebatnya kuasa doa dan betapa kita perlukan doa beriman dalam Tuhan dan Putera-Nya yang Dikasihi di dunia hari ini! Marilah kita ingati dan menghargai kuasa doa. Dalam nama Yesus Kristus, amin.