Asas-asas Pelayanan, Jun 2019
Pelayanan Adalah Melihat Orang Lain seperti yang Juruselamat Lakukan
Yesus menghabiskan kebanyakan masa-Nya bersama mereka yang dianggap sebagai berbeza;Dia melihat potensi ilahi mereka.
Dalam usaha kita untuk melayani seperti Juruselamat, kita mungkin diminta untuk melayani seseorang yang berbeza daripada kita. Ini memberi satu kesempatan kepada kita untuk belajar dan bertumbuh.
Budaya, pendidikan, perkauman, ekonomi, umur, tingkah laku masa lalu atau sekarang, atau perbezaan lain boleh memudahkan kita untuk menghakimi seseorang sebelum kita mengenali mereka. Pra-penghakiman ini adalah dalam hati prejudis, dan Juruselamat memberi amaran terhadapnya (lihat 1 Samuel 16:7; Yohanes 7:24).
Bolehkah kita melepaskan perbezaan dan melihat orang lain seperti yang Juruselamat lakukan? Bagaimanakah kita dapat belajar untuk mengasihi orang lain sebagai diri mereka yang seadanya dan apa yang mereka boleh jadi?
Melihat dan Mengasihi
Alkitab menceritakan kisah yang serupa tentang seorang pemuda kaya yang bertanya bagaimana untuk mendapatkan kehidupan abadi: “Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku” (Markus 10:21).
Ketika Elder S. Mark Palmer dari Tujuh Puluh mengkaji tulisan suci ini beberapa tahun yang lalu, bahagian baru dari kisah ini menonjol kepadanya.
“‘Dengan penuh kasih Yesus memandang [melihat] orang itu.’
“Apabila saya mendengar kata-kata ini, satu gambaran jelas datang ke minda di mana Tuhan berhenti seketika dan melihat lelaki muda ini. Melihat—iaitu melihat dengan mendalam dan menusuk jiwa, mengenali kebaikan dan juga potensi dia, dan juga memahami keinginan tertingginya.
“Kemudian kata-kata mudah—Yesus mengasihi dia. Dia berasa kasih dan rasa kasihan yang berlimpahan terhadap pemuda ini, dan oleh kerana kasih ini dan bersama kasih ini, Yesus meminta lebih darinya. Saya menggambarkan bagaimana perasaan pemuda yang diselubungi kasih sedemikian sambil disuruh untuk melakukan sesuatu yang amat susah seperti menjualkan segala harta dan berikan ia kepada orang miskin. …
“[Saya menanyakan diri saya] ‘Bagaimana saya boleh dipenuhi dengan kasih seperti Kristus supaya [orang lain] dapat merasai kasih Tuhan melalui saya dan berhasrat untuk berubah?’ Bagaimana saya dapat melihat [individu-individu di sekeliling saya] dengan cara yang sama Tuhan melihat pemuda kaya itu, melihat mereka sebagai diri mereka dan siapa mereka boleh jadi, dan bukannya apa yang mereka buat atau tidak buat? Bagaimana saya boleh menjadi seperti Juruselamat?”1
Belajar untuk Melihat Orang Lain
Belajar untuk melihat orang lain seperti yang Juruselamat lakukan membawa ganjaran yang lumayan. Berikut adalah beberapa cadangan yang dapat membantu semasa kita bekerja menuju ke arah ini.
-
Mengenali Mereka
Berusaha untuk mengenali orang-orang melebihi butiran cetek. Menyedari bahawa untuk membangunkan hubungan, ia memerlukan masa dan usaha tulus. (Lihat artikel Asas-asas Pelayanan Ogos 2018 “Membina Hubungan yang Bermakna” untuk bantuan.) -
Memeriksa Diri Sendiri
Beri perhatian kepada penghakiman yang anda mungkin buat secara sedar atau tidak sedar. Ambil perhatian terhadap andaian yang anda buat mengenai orang lain dan cuba memahami mengapa anda merasa begitu. -
Menahan Penghakiman
Sedarlah bahawa keadaan tidak menentukan nilai seseorang individu. Letakkan diri anda di pihak mereka dan pertimbangkan bagaimana anda mahu seseorang melihat anda jika anda dalam keadaan yang sama. Memisahkan pilihan dan tingkah laku seseorang dari nilai intrinsik dan potensi ilahi mereka dapat membantu kita melihat mereka sebagai yang Juruselamat akan lakukan. -
Berdoa untuk Mengasihi Mereka
Berdoalah untuk mereka dengan nama secara kerap dan untuk kesabaran bagi membangunkan persahabatan sejati. Melihat pelayanan anda dengan penuh doa. Adakah terdapat jurang antara apa yang anda lakukan dan apa yang mereka perlukan?
Yesus menghabiskan masa-Nya bersama orang-orang dari pelbagai lapisan kehidupan: golongan kaya, miskin, pemerintah, dan orang biasa. Dia sering menjadi mangsa penghakiman yang salah oleh orang lain apabila mereka memandang Dia dan keadaan-Nya yang lemah atau tidak penting. “Tiada apa-apa pada-Nya yang menarik hati, yang membuat kita mengingini dia. … [Dia dihina], kita pun tidak mempedulikan Dia” (Yesaya 53:2–3).
Penglihatan seperti Kristus
Seorang saudari berkongsi kisah ini tentang melihat jiran dengan mata seperti Kristus:
“Julia (nama telah diubah) tinggal berdekatan saya dan dia kelihatan seperti tidak mempunyai kawan. Dia sering kelihatan sedih dan marah. Meskipun demikian, saya mengambil keputusan untuk menjadi kawannya. Bukan saja kawan biasa ketika terserempak, tetapi kawan sejati. Saya bercakap dengannya setiap kali saya melihatnya dan menunjukkan minat dalam apa jua yang dia sedang lakukan. Perlahan-lahan, saya membina persahabatan dengannya, membawa sukacita dalam hati saya.
“Satu hari, saya mengambil keputusan untuk mengunjungi Julia dan menanyakan dia tentang keputusannya untuk tidak hadir ke gereja.
“Saya pelajari bahawa dia tidak memiliki keluarga atau saudara berdekatan. Satu-satunya saudaranya, saudara lelaki yang tinggal jauh, berkomunikasi dengannya hanya sekali dalam setahun melalui telefon. Ketika saya mendengar dia mencurahkan kepahitan, kemarahan, dan kekecewaan tentang keluarganya dan Gereja, perasaan belas kasihan yang tidak dapat dinafikan dan kasih kepada saudari ini datang kepada saya dengan begitu kuat. Saya merasai kesakitan dan kekecewaannya. Saya menyedari betapa sunyi kehidupannya. Seolah-olah saya mendengar ayat yang tenang di belakang saya: ‘Saya juga mengasihinya. Mengasihi dan menghormati dia.’
“Saya duduk dan mendengar sehingga dia tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dikatakan. Saya merasakan kasih dan rasa kasihan kepadanya. Ini adalah seorang saudari yang tidak pernah mengenali perasaan dikasihi. Tiba-tiba saya memahaminya dengan lebih mendalam. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana membenarkan saya mengunjunginya, dan saya meninggalkannya dengan pelukan dan dengan kasih dan rasa hormat kepadanya. Dia tidak akan pernah tahu betapa dia telah menyentuh saya dengan kunjungan itu. Bapa Syurgawi telah membuka mata saya dan mengajar saya bahawa saya mempunyai keupayaan untuk mengasihi dengan peningkatan belas kasihan. Saya bertekad dalam keputusan saya untuk bukan sahaja menjadi kawan kepadanya tetapi juga menjadi ahli keluarganya.”
Ia adalah satu perkara yang kudus untuk dijemput ke dalam kehidupan orang lain. Dengan doa, kesabaran, dan bantuan daripada Roh, kita dapat belajar untuk melakukan sedemikian dengan lebih penglihatan seperti Kristus.
© 2019 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/18. Kelulusan terjemahan: 6/18. Terjemahan Ministering Principles, June 2019. Malay. 15767 348