“Bab 3: Pelajaran 1—Pesanan Pemulihan Injil Yesus Kristus,” Mengkhutbahkan Injil-Ku: Panduan Untuk Berkongsi Injil Yesus Kristus (2023)
“Bab 3: Pelajaran 1,” Mengkhutbahkan Injil-Ku
Bab 3: Pelajaran 1
Pesanan Pemulihan Injil Yesus Kristus
Dari permulaan dunia, Tuhan telah mengungkapkan injil kepada anak-anak-Nya melalui para nabi. Dia telah melakukan ini melalui Putera-Nya, Yesus Kristus. Pada zaman dahulu, Yesus mengungkapkan injil kepada para nabi seperti Adam, Nuh, Abraham dan Musa. Tetapi ramai orang menolaknya.
Dua ribu tahun lalu, Yesus Kristus sendiri mengajar injil-Nya dan menubuhkan Gereja-Nya. Orang ramai juga menolak Yesus. Tidak lama selepas kematian-Nya, berlaku kejatuhan meluas dari kebenaran Tuhan dan Gereja. Kegenapan injil dan wewenang imamat tiada lagi di bumi.
Beberapa abad kemudian, Tuhan memanggil seorang lagi nabi, Joseph Smith. Tuhan memulihkan kegenapan injil melalui dia dan membenarkannya untuk mengorganisasikan semula Gereja Yesus Kristus.
Memiliki kegenapan injil Yesus Kristus di bumi adalah salah satu berkat besar zaman kita. Injil membantu kita menjawab soalan-soalan hidup yang paling dalam. Nabi hidup membimbing kita melalui masa yang mencabar. Wewenang imamat Tuhan berada di bumi semula untuk memberkati anak-anak-Nya.
Cadangan untuk Mengajar
Bahagian ini menyediakan contoh rangka panduan untuk membantu anda bersedia untuk mengajar. Ia juga termasuk contoh-contoh soalan dan jemputan yang anda mungkin boleh gunakan.
Semasa anda bersedia untuk mengajar, berdoa dan pertimbangkan situasi dan keperluan rohani setiap orang. Tentukan hal yang paling berguna untuk diajar. Bersedia untuk menjelaskan istilah yang orang tidak fahami. Rancang mengikut masa yang anda akan ada, pastikan pelajaran itu ringkas.
Pilih tulisan suci untuk digunakan semasa anda mengajar. Bahagian “Landasan Ajaran” dalam pelajaran ini mengandungi banyak tulisan suci yang berguna.
Pertimbangkan soalan-soalan untuk ditanya semasa anda mengajar. Rancang jemputan yang akan menggalakkan setiap orang untuk bertindak.
Tekankan berkat-berkat yang Tuhan janjikan dan kongsi kesaksian anda tentang apa yang anda ajar.
Apa yang Anda Boleh Ajarkan Kepada Orang Dalam 15–25 minit
Pilih satu atau lebih dari asas-asas berikut untuk diajar. Landasan ajaran bagi setiap asas disediakan selepas rangka panduan ini.
Tuhan Ialah Bapa Syurgawi Kita yang Penuh Kasih
-
Tuhan ialah Bapa Syurgawi dan kita adalah anak-anak-Nya. Dia mencipta kita menurut rupa-Nya.
-
Tuhan mengenali kita secara peribadi dan mengasihi kita.
-
Tuhan memiliki tubuh yang mulia dan sempurna, terdiri daripada daging dan tulang.
-
Tuhan ingin memberkati kita dengan kedamaian dan kegenapan kebahagiaan yang akan kekal secara abadi.
-
Kerana Tuhan mengasihi kita, Dia mengutus Putera-Nya, Yesus Kristus, untuk menebus kita daripada dosa dan kematian.
Tuhan Mengungkapkan Injil melalui Nabi dalam Setiap Zaman Keagamaan
-
Tuhan memanggil nabi untuk menjadi wakil-Nya di bumi.
-
Pada zaman dahulu, Tuhan memanggil para nabi seperti Adam, Nuh, Abraham dan Musa.
-
Seorang nabi hidup menerima wahyu daripada Tuhan untuk mengajar dan memimpin kita hari ini.
Pelayanan dan Korban Tebusan Yesus Kristus di Bumi
-
Yesus Kristus ialah Putera Tuhan.
-
Semasa pelayanan duniawi-Nya, Yesus mengajar injil-Nya dan menubuhkan Gereja-Nya.
-
Yesus memanggil Dua Belas Rasul dan memberikan mereka wewenang untuk memimpin Gereja-Nya.
-
Pada penghujung hidup-Nya, Yesus telah menebus dosa-dosa kita melalui penderitaan-Nya di Taman Getsemani dan semasa Penyaliban. Selepas kematian Yesus, Dia bangkit.
-
Kerana korban tebusan Yesus, kita boleh diampuni dan dibersihkan daripada dosa-dosa kita apabila kita bertaubat. Ini memberi kita kedamaian dan membolehkan kita kembali ke hadirat Tuhan dan menerima kegenapan kebahagiaan.
-
Kerana Kebangkitan Yesus, kita semua akan dibangkitkan selepas kematian. Ini bererti roh dan tubuh setiap orang akan bersatu semula dan hidup selamanya.
Kejatuhan
-
Selepas kematian Rasul-rasul Yesus, ramai orang yang jatuh dari injil dan Gereja Yesus Kristus secara meluas.
-
Pada masa ini, ramai orang mengubah banyak ajaran injil. Mereka juga mengubah tatacara imamat, seperti pembaptisan. Wewenang imamat dan Gereja yang Yesus tubuhkan tidak lagi wujud di bumi.
Pemulihan Injil Yesus Kristus Melalui Joseph Smith
-
Joseph Smith ingin tahu gereja Tuhan yang benar agar dia boleh menyertainya. Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus muncul kepada Joseph Smith pada tahun 1820. Peristiwa ini dipanggil Penglihatan Pertama.
-
Tuhan memanggil Joseph Smith untuk menjadi seorang nabi, sepertimana Dia telah memanggil para nabi pada zaman sebelumnya.
-
Injil Yesus Kristus telah dipulihkan melalui Joseph Smith.
-
Pengutus syurgawi lain telah memulihkan imamat dan Joseph diberi wewenang untuk mengorganisasikan Gereja Yesus Kristus.
-
Yesus Kristus terus memimpin Gereja-Nya hari ini melalui para nabi dan rasul hidup.
Kitab Mormon: Satu Lagi Kesaksian Tentang Yesus Kristus
-
Kitab Mormon adalah satu kitab suci yang ditulis pada zaman purba oleh para nabi di Benua Amerika. Joseph Smith menterjemahkannya dengan kurnia dan kuasa daripada Tuhan.
-
Bersama Alkitab, Kitab Mormon bersaksi tentang pelayanan, ajaran dan misi Yesus sebagai Juruselamat kita.
-
Kita boleh mendekati Tuhan dengan membaca Kitab Mormon dan menuruti ajaran-ajarannya.
-
Kita boleh tahu bahawa Kitab Mormon adalah firman Tuhan dengan membacanya, merenung dan berdoa tentangnya. Proses ini juga akan membantu kita tahu bahawa Joseph Smith ialah seorang nabi.
Berdoa untuk Mengetahui Kebenaran melalui Roh Kudus
-
Doa ialah satu komunikasi dua hala antara Tuhan dan anak-anak-Nya.
-
Melalui doa ikhlas, kita dapat tahu bahawa pesanan Pemulihan injil Yesus Kristus adalah benar.
-
Apabila kita berdoa, Roh Kudus mengajar dan mengesahkan kebenaran kepada kita.
Soalan-soalan yang Anda Mungkin Tanyakan Orang
Berikut adalah contoh soalan-soalan yang anda boleh tanya orang. Soalan-soalan ini boleh membantu anda mempunyai perbualan yang bermakna dan memahami keperluan dan perspektif seseorang.
-
Apakah yang anda percaya tentang Tuhan?
-
Bagaimanakah perasaan lebih dekat kepada Tuhan dapat membantu anda?
-
Apakah yang anda tahu tentang Yesus Kristus? Bagaimanakah kehidupan dan ajaran-Nya mempengaruhi anda?
-
Bagaimanakah anda menemui jawapan yang boleh dipercayai dalam dunia hari ini yang mengelirukan?
-
Bagaimanakah ia membantu anda untuk tahu bahawa adanya seorang nabi hidup di bumi hari ini?
-
Pernahkah anda dengar tentang Kitab Mormon? Bolehkah kami berkongsi mengapa ia penting?
-
Bolehkah anda berkongsi kepercayaan anda tentang doa? Bolehkah kami berkongsi kepercayaan kami tentang doa?
Jemputan yang Anda Boleh Berikan
-
Adakah anda akan berdoa kepada Tuhan dan minta bantuan Dia untuk tahu apa yang kami telah ajar adalah benar? (Lihat “Tanggapan Pengajaran: Doa” di bahagian terakhir pelajaran ini.)
-
Adakah anda akan menghadiri gereja hari Ahad ini untuk belajar lebih tentang apa yang kami telah ajarkan?
-
Adakah anda akan membaca Kitab Mormon dan berdoa untuk tahu bahawa ia adalah firman Tuhan? (Anda boleh mencadangkan bab atau ayat-ayat tertentu.)
-
Adakah anda akan mengikuti teladan Yesus dan dibaptiskan? (Lihat “Jemputan untuk Dibaptis dan Ditetapkan,” yang terdapat sebelum pelajaran ini.)
-
Bolehkah kita tetapkan masa untuk kunjungan yang seterusnya?
Landasan Ajaran
Bahagian ini menyediakan ajaran dan tulisan suci untuk anda kaji bagi memperkukuhkan pengetahuan dan kesaksian injil anda dan untuk membantu anda mengajar.
Tuhan Ialah Bapa Syurgawi Kita yang Penuh Kasih
Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, dan kita adalah anak-anak-Nya. Dia mencipta kita menurut rupa-Nya. Dia memiliki “tubuh daging dan tulang senyata manusia” yang mulia dan sempurna (Ajaran dan Perjanjian 130:22).
Tuhan mengenali kita secara peribadi, dan Dia mengasihi kita lebih daripada yang kita tahu. Dia memahami cubaan, kesedihan, dan kelemahan kita, dan Dia menawarkan sokongan untuk kita melaluinya. Dia bersukacita dalam kemajuan kita dan akan membantu kita membuat pilihan yang betul. Dia ingin berhubung dengan kita, dan kita boleh berkomunikasi dengan Dia melalui doa.
Tuhan telah memberi kita pengalaman ini di bumi supaya kita dapat belajar, berkembang, dan menjadi lebih seperti Dia. Dengan kasih yang sempurna, Dia ingin kita kembali kepada-Nya selepas kita mati. Namun, kita tidak boleh melakukan ini sendiri. Kerana Tuhan mengasihi kita, Dia menghantar Putera-Nya, Yesus Kristus, untuk menebus kita. “Tuhan sangat mengasihi orang di dunia sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya, … tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati” (Yohanes 3:16–17).
Tuhan ingin memberkati kita dengan kedamaian dan kegenapan kebahagiaan yang akan berkekalan. Dia telah menyediakan satu rancangan yang memberi kita peluang untuk menerima berkat-berkat ini. Rancangan ini dipanggil rancangan penyelamatan (lihat pelajaran 2).
Tuhan Mengungkapkan Injil melalui Para Nabi dalam Setiap Zaman Keagamaan
Nabi Adalah Wakil Tuhan di Bumi
Satu cara penting Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita adalah dengan memanggil para nabi, memberi mereka wewenang imamat, dan mengilhami mereka untuk berbicara bagi Dia. Para nabi adalah wakil Tuhan di bumi. Nabi Perjanjian Lama, Amos mencatatkan bahawa “Tuhan Raja tidak pernah melakukan sesuatu pun tanpa menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya” (Amos 3:7). Beberapa berkat yang kita terima daripada para nabi hidup telah digariskan di bawah.
Kesaksian Yesus Kristus. Para nabi ialah saksi istimewa Yesus Kristus, bersaksi tentang Dia sebagai Juruselamat dan Penebus kita.
Mengajar. Para nabi menerima arahan daripada Tuhan untuk membantu kita membezakan kebenaran dari yang tidak benar. Mereka mengajar kita untuk mematuhi perintah-perintah Tuhan dan bertaubat apabila kita gagal. Mereka mengutuk dosa dan memberi amaran tentang akibatnya.
Ajaran nabi mengangkat kita ke arah Tuhan dan membantu kita menerima berkat-berkat yang Dia hasratkan untuk kita. Keselamatan terbesar datang melalui kepatuhan kepada firman Tuhan melalui nabi-nabi-Nya.
Wewenang Imamat. Nabi semasa ialah pemegang imamat utama di bumi. Imamat adalah wewenang dan kuasa Tuhan. Nabi mempunyai wewenang untuk berbicara dan bertindak dalam nama Tuhan demi keselamatan anak-anak-Nya.
Arahan Gereja. Gereja Yesus Kristus dibina di atas landasan para nabi dan rasul-rasul (lihat Efesus 2:19–20; 4:11–14)
Para Nabi pada Zaman Purba
Adam ialah nabi pertama di bumi. Tuhan mengungkapkan injil Yesus Kristus kepadanya dan memberinya wewenang imamat. Adam dan Hawa mengajar anak-anak mereka kebenaran ini dan menggalakkan mereka untuk mengembangkan iman dan mematuhi injil.
Akhirnya keturunan Adam dan Hawa memberontak dan berpaling dari injil. Ini membawa kepada keadaan yang dipanggil kemurtadan, atau kejatuhan. Apabila kemurtadan yang meluas berlaku, Tuhan menarik balik wewenang imamat-Nya, yang diperlukan untuk mengajar dan melaksanakan tatacara injil.
Perjanjian Lama mengandungi banyak kejadian kemurtadan yang meluas. Untuk mengakhiri tempoh kejadian ini, Tuhan menjangkau kepada anak-anak-Nya dengan memanggil nabi lain. Dia mengungkapkan semula kebenaran injil kepada para nabi ini dan memberi mereka wewenang imamat. Beberapa daripada nabi-nabi ini ialah Nuh, Abraham dan Musa. Malangnya, dalam pola yang berulang, orang ramai akhirnya menolak para nabi dan menjauhi injil.
Pelayanan dan Korban Tebusan Yesus Kristus di Bumi
Yesus Kristus ialah Putera Tuhan. Yesus dan Korban Tebusan-Nya adalah pusat rancangan Tuhan bagi kita. Korban Tebusan-Nya termasuk penderitaan-Nya di Taman Getsemani, penderitaan dan kematian-Nya di atas salib, dan Kebangkitan-Nya.
Sejak zaman Adam dan Hawa, orang menanti kedatangan Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus mereka. Bapa Syurgawi mengutus Yesus ke bumi lebih dari 2,000 tahun yang lalu.
Yesus Kristus menjalani kehidupan yang sempurna, tanpa dosa. Dia mengajar injil-Nya dan menubuhkan Gereja-Nya. Dia memanggil dua belas Rasul dan memberi mereka kuasa imamat untuk mengajar dan melaksanakan tatacara kudus, seperti pembaptisan. Dia juga memberi mereka wewenang untuk memimpin Gereja-Nya.
Pada penghujung kehidupan-Nya, Yesus menebus dosa-dosa kita melalui penderitaan-Nya di Getsemani dan semasa Penyaliban-Nya. Kerana korban tebusan Yesus, kita boleh dibersihkan daripada dosa apabila kita bertaubat. Ini membolehkan kita kembali ke hadirat Tuhan dan menerima kegenapan kebahagiaan.
Selepas Yesus disalibkan, Dia bangkit, memperoleh kemenangan dari kematian melalui kuasa Bapa Syurgawi. Kerana Kebangkitan Yesus, kita semua akan dibangkitkan selepas kita mati. Ini bererti roh dan tubuh setiap orang akan bersatu semula, dan setiap kita akan hidup selamanya dalam tubuh yang sempurna dan dibangkitkan. (Lihat “Korban Tebusan Yesus Kristus” dalam pelajaran 2.)
Nabi Joseph Smith telah mengajar, “Asas-asas dasar agama kita adalah kesaksian para Rasul dan Nabi, mengenai Yesus Kristus, bahawa Dia telah mati, dikuburkan, dan bangkit semula pada hari ketiga, dan naik ke syurga; dan semua hal lain yang berkaitan dengan agama kita hanyalah merupakan tambahan terhadapnya” (Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith [2007], 49).
Kejatuhan
Selepas kematian Yesus Kristus, para Rasul-Nya berusaha untuk mengekalkan kemurnian ajaran Kristus dan ketertiban dalam Gereja. Namun, ramai ahli Gereja berpaling daripada para Rasul dan ajaran yang Yesus ajarkan.
Setelah para Rasul dibunuh, berlakunya kejatuhan dari injil dan Gereja Yesus Kristus yang meluas. Kejatuhan ini kadangkala dipanggil Kemurtadan Besar. Oleh kerana itu, Tuhan menarik balik wewenang imamat dari bumi. Ini termasuk wewenang yang diperlukan untuk mengarahkan Gereja. Akibatnya, Gereja yang Yesus tubuhkan tidak lagi wujud di bumi.
Pada masa ini, ramai orang mengubah banyak ajaran injil. Kebanyakan pengetahuan tentang sifat sebenar Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan Roh Kudus diputarbelitkan atau hilang. Mereka juga mengubah tatacara imamat, seperti pembaptisan.
Berabad-abad kemudian, para lelaki dan wanita yang sedang mencari kebenaran cuba untuk memperbaharui ajaran dan amalan yang telah diubah. Mereka mencari cahaya rohani yang lebih besar, dan beberapa orang bercakap tentang keperluan pemulihan kebenaran. Usaha mereka mendorong kepada pertubuhan banyak gereja.
Tempoh masa ini mengakibatkan peningkatan penekanan pada kebebasan agama, yang membuka jalan untuk pemulihan kebenaran dan wewenang daripada Tuhan.
Para nabi dan rasul telah meramalkan kejatuhan itu (lihat 2 Tesalonika 2:1–3). Mereka juga telah meramalkan bahawa injil dan Gereja Yesus Kristus akan dipulihkan ke bumi (lihat Kisah Rasul-Rasul 3:20–21). Jika tidak ada kejatuhan, pemulihan tidak akan diperlukan.
Pemulihan Injil Yesus Kristus Melalui Joseph Smith
Penglihatan Pertama dan Pemanggilan Joseph Smith Sebagai Seorang Nabi
Berabad ketika kegenapan injil Yesus Kristus tidak berada di bumi, Bapa Syurgawi terus jangkauan kepada anak-anak-Nya. Dari masa ke masa, Dia menyediakan jalan supaya mereka dapat diberkati sekali lagi dengan kegenapan injil-Nya. Apabila keadaan itu sesuai, Dia memanggil Joseph Smith sebagai seorang nabi yang mana injil dan Gereja Yesus Kristus akan dipulihkan.
Joseph Smith tinggal di Amerika Syarikat timur pada masa keghairahan agama yang hebat. Ahli keluarganya setia kepada Tuhan dan mencari kebenaran. Banyak gereja mendakwa memiliki kebenaran, dan Joseph berhasrat untuk tahu yang mana satu adalah benar (lihat Joseph Smith—Sejarah 1:18). Alkitab mengajar bahawa ada “satu Tuhan, satu iman, satu baptisan” (Efesus 4:5). Semasa Joseph menghadiri gereja yang berlainan, dia keliru tentang mana yang harus diikuti. Dia kemudian berkata:
“Begitu hebat kekeliruan dan perbalahan di antara golongan-golongan agama yang berbeza itu, sehinggakan mustahil bagi seseorang yang masih muda seperti diriku … untuk memutuskan siapa yang benar dan siapa yang salah. …
“Di tengah-tengah peperangan kata-kata dan kekacauan pendapat, aku sering berkata kepada diriku sendiri: Apakah yang mesti dilakukan? Siapakah dari antara semua kumpulan ini yang benar; atau, adakah mereka semua sama-sama salah? Jika sesiapa pun dari antara mereka adalah benar, yang mana satu, dan bagaimana saya dapat mengetahuinya?” (Joseph Smith—Sejarah 1:8, 10).
Seperti ramai orang, Joseph Smith juga mempunyai soalan tentang keselamatan jiwanya. Dia mahu dosa-dosanya diampun dan menjadi bersih di hadapan Tuhan. Ketika dia mencari kebenaran di kalangan gereja-gereja yang berlainan, dia terbaca dalam Alkitab, “Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Tuhan supaya Tuhan memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Tuhan memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang” (Yakobus 1:5).
Kerana petikan ini, Joseph memutuskan untuk bertanya Tuhan apa yang harus dia lakukan. Pada musim bunga tahun 1820, dia pergi ke dalam kawasan hutan berhampiran rumahnya dan melutut untuk berdoa. Terdapat empat laporan tentang penglihatan yang menyusuli, direkodkan oleh Joseph Smith atau jurutulis di bawah arahannya (lihat Esei Topik Injil, “Laporan Penglihatan Pertama”). Dalam laporan yang dimasukkan sebagai tulisan suci, dia menggambarkan pengalamannya seperti berikut:
“Aku melihat suatu tiang cahaya benar-benar berada di atas kepalaku, melebihi keterangan matahari, yang turun secara perlahan-lahan sehingga ia berada padaku. … Ketika cahaya itu berada padaku, aku melihat dua Lembaga, yang mana keterangan dan kemuliaan Mereka tidak dapat digambarkan, berdiri di atasku di udara. Salah seorang daripada Mereka berfirman kepadaku, memanggil namaku dan berfirman, sambil menunjuk kepada yang seorang lagi—Inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!” (Joseph Smith—Sejarah 1:16–17).
Dalam penglihatan ini, Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, menampakkan diri kepada Joseph Smith. Juruselamat berfirman kepada dia untuk tidak menyertai mana-mana gereja.
Dalam laporan lain tentang penglihatan ini, Joseph berkongsi bahawa Juruselamat turut berfirman: “Dosa-dosamu diampuni bagimu. … Lihatlah Aku ialah Tuhan kemuliaan. Aku disalibkan untuk dunia supaya mereka yang percaya dalam nama-Ku boleh mempunyai kehidupan abadi.
Selepas penglihatan itu, Joseph merenungkan, “Jiwaku dipenuhi dengan kasih, dan selama berhari-hari aku dapat bersukacita dengan kebahagiaan yang besar dan Tuhan berada bersamaku” (Joseph Smith History, kira-kira musim panas 1832, 3, josephsmithpapers.org; ejaan dan tanda baca dimodenkan).
Melalui penglihatan ini, Joseph Smith menjadi saksi Yesus Kristus dan mempelajari kebenaran penting tentang Kesatuan Ketuhanan. Contohnya, dia belajar bahawa Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus adalah makhluk yang berasingan. Apabila Mereka memanggil dia dengan namanya, dia belajar bahawa Mereka mengenali dia secara peribadi. Apabila Joseph diberitahu bahawa dia diampuni, dia belajar bahawa Tuhan berbelas kasihan. Pengalaman ini memenuhinya dengan kebahagiaan.
Sepertimana Tuhan telah lakukan dengan nabi-nabi sebelumnya, Dia memanggil Joseph Smith untuk menjadi seorang nabi yang melaluinya kegenapan injil akan dipulihkan ke bumi. Pemulihan ini akan membantu anak-anak Tuhan memperoleh kebahagiaan dalam dunia ini dan kehidupan abadi di dunia yang akan datang—semuanya melalui Yesus Kristus.
Pemulihan Imamat dan Kunci-kunci Imamat
Selepas kemunculan Bapa dan Putera, utusan syurgawi lain dihantar kepada Joseph Smith dan temannya Oliver Cowdery. Yohanes Pembaptis muncul sebagai makhluk yang dibangkitkan dan menganugerahkan Imamat Harun serta kunci-kuncinya pada mereka. Imamat Harun termasuk wewenang untuk membaptiskan orang.
Tidak lama kemudian, Petrus, Yakobus, dan Yohanes—tiga Rasul asli Kristus—muncul sebagai makhluk yang dibangkitkan dan menganugerahkan Imamat Melkisedek serta kunci-kuncinya pada Joseph Smith dan Oliver Cowdery. Imamat ini adalah wewenang sama yang Kristus berikan kepada para Rasul-Nya di zaman dahulu.
Di Bait Suci Kirtland, Musa, Elias, dan Elia menampakkan diri kepada Joseph Smith dan Oliver Cowdery dan telah memberikan kepada mereka wewenang serta kunci-kunci imamat yang diperlukan untuk melaksanakan kerja Tuhan pada zaman akhir. Musa menganugerahkan kunci-kunci pengumpulan Israel. Elias menganugerahkan kunci-kunci zaman keagamaan injil Abraham. Elia menganugerahkan kunci-kunci kuasa pemeteraian. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 110:11–16; lihat juga Buku Panduan Umum, 3.1.
Penubuhan Gereja
Joseph Smith diarahkan untuk mengorganisasikan Gereja Yesus Kristus sekali lagi di atas muka bumi. Melaluinya, Yesus Kristus memanggil Dua Belas Rasul.
Para nabi pada zaman Alkitab merujuk zaman kita sebagai zaman akhir. Inilah masanya tidak lama sebelum Kedatangan Kedua Yesus Kristus. Itulah sebabnya Gereja dinamakan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir (lihat Ajaran dan Perjanjian 115:3–4, lihat juga 3 Nefi 27:3–8).
Nabi dan Rasul Hidup Hari Ini
Sepertimana Yesus memanggil para Rasul semasa pelayanan fana-Nya untuk memimpin Gereja-Nya, Dia telah memanggil para Rasul untuk memimpin hari ini. Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul adalah nabi, pelihat, dan pewahyu.
Hanya Rasul senior dipanggil nabi kerana dia mengetuai seluruh Gereja dan diberi wewenang unik untuk berbicara bagi pihak Tuhan. Dia adalah pengganti Joseph Smith yang dibenarkan. Dia dan para Rasul yang kini dapat menjejaki wewenang mereka kepada Yesus Kristus dalam rantai pentahbisan tidak terputus yang bermula apabila Joseph Smith ditahbiskan di bawah tangan utusan syurgawi.
Kitab Mormon: Satu Lagi Kesaksian Tentang Yesus Kristus
Kitab Mormon adalah satu jilid tulisan suci kudus yang seperti Alkitab. Alkitab adalah satu kesaksian tentang Yesus Kristus, dan Kitab Mormon adalah saksi kedua pelayanan-Nya, ajaran-ajaran-Nya, dan misi-Nya sebagai Juruselamat kita.
Joseph Smith telah diarahkan oleh seorang utusan syurgawi bernama Moroni ke sebuah bukit di mana satu catatan kuno telah dikuburkan berabad lalu. Catatan ini, diukir di atas kepingan-kepingan emas (kepingan-kepingan logam nipis), mengandungi tulisan-tulisan para nabi tentang perihal Tuhan dengan beberapa penduduk purba Amerika. Joseph Smith menterjemahkan catatan ini dengan kurnia dan kuasa daripada Tuhan.
Para nabi dalam Kitab Mormon tahu tentang misi Yesus Kristus dan mengajarkan injil-Nya. Selepas Yesus dibangkitkan, Dia menampakkan diri kepada orang-orang ini dan melayani mereka secara peribadi. Dia mengajar mereka dan menubuhkan Gereja-Nya.
Kitab Mormon membantu kita mendekati Tuhan semasa kita belajar, memahami, dan mengaplikasikan ajaran-ajarannya. Nabi Joseph Smith berkata bahawa “seorang lelaki [atau perempuan] akan menjadi lebih dekat kepada Tuhan dengan menuruti ajaran-ajaran [kitab itu], lebih daripada kitab lain apa pun” (Teachings: Joseph Smith, 64).
Untuk tahu sama ada Kitab Mormon adalah firman Tuhan, kita perlu membacanya, merenungnya, dan berdoa tentangnya. Seorang nabi Kitab Mormon berjanji bahawa Tuhan akan mengungkapkan kebenaran kitab itu kepada kita apabila kita berdoa dengan hati yang tulus, dengan maksud yang bersungguh-sungguh, dan iman kepada Kristus (lihat Moroni 10:3–5). Mengkaji Kitab Mormon adalah penting untuk penukaran hati yang berkekalan.
Semasa kita membaca Kitab Mormon dan berdoa tentangnya, kita akan belajar kebenaran tentang Yesus Kristus yang akan memberkati kehidupan kita. Kita juga akan tahu bahawa Joseph Smith adalah seorang nabi Tuhan dan bahawa injil dan Gereja Yesus Kristus telah dipulihkan melalui dia.
“Saya berjanji bahawa semasa anda mengaji Kitab Mormon setiap hari, anda akan membuat pilihan-pilihan yang lebih baik—setiap hari. Saya janji apabila anda merenungkan perkara yang anda kaji, tingkap syurga akan buka, dan anda akan menerima jawapan kepada soalan dan arahan untuk hidup anda. Saya berjanji bahawa apabila anda asyik mengkaji Kitab Mormon setiap hari, anda boleh dilindungi dari kejahatan hari ini” (Russell M. Nelson, “Kitab Mormon: Apa Akan Terjadi Kepada Hidup Anda Tanpa Ia?” Liahona, Nov. 2017, 62–63).
Berdoa untuk Mengetahui Kebenaran melalui Roh Kudus
Kerana Tuhan ialah Bapa kita, Dia akan membantu kita mengenali kebenaran. Kita boleh tahu bahawa pesanan Pemulihan injil Yesus Kristus adalah benar apabila kita membaca Kitab Mormon dan berdoa kepada Tuhan. Apabila kita berdoa dengan iman dan niat yang bersungguh-sungguh, Tuhan akan menjawab soalan-soalan kita dan membimbing kehidupan kita.
Tuhan biasanya menjawab doa-doa kita melalui Roh Kudus. Semasa kita berdoa, Roh Kudus mengajar dan mengesahkan kebenaran. Komunikasi daripada Roh Kudus adalah sangat berkuasa. Ia biasanya datang sebagai jaminan lembut melalui perasaan, fikiran dan tanggapan kita (lihat 1 Raja-Raja 19:11–12; Helaman 5:30; Ajaran dan Perjanjian 8:2).
Kajian tulisan suci yang konsisten (terutamanya Kitab Mormon), kehadiran pertemuan sakramen mingguan, doa ikhlas membantu kita merasakan kuasa Roh Kudus dan menemui kebenaran.
Panduan Ajaran Singkat ke Sederhana
Rangka panduan berikut adalah contoh apa yang anda boleh ajar seseorang jika anda hanya mempunyai masa yang singkat. Apabila menggunakan rangka panduan ini, pilih satu asas atau lebih untuk diajar. Landasan ajaran bagi setiap asas telah diberikan di awal pelajaran.
Semasa anda mengajar, tanya soalan dan dengar. Hulurkan jemputan yang akan membantu orang belajar bagaimana untuk lebih mendekati Tuhan. Satu jemputan penting adalah untuk orang itu bertemu dengan anda lagi. Panjang pelajaran akan bergantung pada soalan yang anda tanya dan dengar.
Apa yang anda boleh ajarkan kepada orang dalam masa 3–10 minit
-
Tuhan adalah Bapa Syurgawi, dan Dia mencipta kita menyerupai-Nya. Dia mengenali kita secara peribadi dan mengasihi kita. Dia ingin memberkati kita dengan kedamaian dan kegenapan kebahagiaan yang akan kekal untuk keabadian.
-
Yesus Kristus ialah Putera Tuhan. Misi-Nya adalah untuk membolehkan kita dibersihkan daripada dosa-dosa kita, mengatasi kematian, dan menerima kehidupan abadi.
-
Tuhan memanggil para nabi untuk menjadi wakil-Nya di bumi. Pada zaman dahulu, Dia memanggil para nabi seperti Adam, Nuh, Abraham, dan Musa. Seorang nabi yang hidup menerima wahyu daripada Tuhan untuk mengajar dan memimpin kita hari ini.
-
Semasa pelayanan fana Yesus, Dia menubuhkan Gereja-Nya. Selepas kematian Rasul-rasul Yesus, ramai orang jatuh dari injil dan Gereja Yesus Kristus secara meluas. Orang mengubah banyak ajaran injil dan tatacara imamat, seperti pembaptisan.
-
Tuhan memanggil Joseph Smith untuk menjadi seorang nabi, sepertimana Dia telah panggil para nabi pada zaman awal. Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus muncul kepada Joseph Smith. Injil Yesus Kristus telah dipulihkan melaluinya.
-
Kitab Mormon merupakan satu jilid kitab suci. Seperti Alkitab, ia adalah satu kesaksian tentang Yesus Kristus dan membantu kita mendekati Tuhan apabila kita membaca dan mengaplikasikan ajaran-ajarannya. Joseph Smith menterjemahkannya dengan kurnia dan kuasa Tuhan.
-
Melalui doa yang ikhlas, kita boleh berkomunikasi dengan Tuhan. Kita boleh tahu bahawa pesanan Pemulihan injil Yesus Kristus adalah benar.