Panggilan Misi
Bab 10: Mengajar Untuk Membina Iman kepada Yesus Kristus


“Bab 10: Mengajar untuk Membina Iman kepada Yesus Kristus,” Mengkhutbahkan Injil-Ku: Panduan untuk Berkongsi Injil Yesus Kristus (2023)

“Bab 10,” Mengkhutbahkan Injil-Ku

Sermon on the Mount [Khutbah di atas Bukit], oleh Harry Anderson

Bab 10

Mengajar untuk Membina Iman kepada Yesus Kristus

Pertimbangkanlah Ini

  • Bagaimanakah saya boleh mengajar melalui Roh?

  • Bagaimanakah saya boleh mengajar dari tulisan suci?

  • Bagaimanakah saya harus berkongsi kesaksian saya apabila mengajar?

  • Bagaimanakah saya boleh merancang dan menyesuaikan ajaran saya untuk memenuhi keperluan orang?

  • Bagaimanakah saya boleh menanyakan soalan yang lebih baik dan menjadi pendengar yang lebih baik?

  • Bagaimanakah saya boleh membantu orang mencari jawapan bagi soalan mereka dan menerima bimbingan dan kekuatan?

Anda dipanggil untuk mengajar injil Yesus Kristus yang dipulihkan kepada seberapa banyak orang yang akan menerima anda. Pengajaran adalah asas bagi segala yang anda lakukan. Semasa anda bergantung kepada Tuhan untuk bantuan, Dia telah berjanji:

“Dan barang siapa menerimamu, di sana Aku akan berada juga, kerana Aku akan pergi di hadapan mukamu.  Aku akan berada di kanan dan kirimu, dan Roh-Ku akan berada di hatimu, dan para malaikat-Ku di sekelilingmu, untuk menyokongmu” (Ajaran dan Perjanjian 84:88).

Berdoa, mengkaji, dan berlatih untuk meningkatkan keupayaan mengajar anda. Gunakan asas-asas dalam bab ini dan dalam bab-bab lain dari buku ini. Carilah kurnia mengajar dengan bersungguh-sungguh supaya anda boleh memberkati orang lain dan memuliakan Tuhan. Tuhan akan membantu anda mengajar dengan kuasa dan wewenang semasa anda mencari Dia dengan tekun dan belajar firman-Nya.

Berusaha untuk Mengajar Sepertimana Yesus Mengajar

Ketika pelayanan duniawi-Nya, Yesus “menjelajah … mengajar … , mengkhabarkan … , dan menyembuhkan” (Matius 4:23). Dia mengajar di banyak tempat—di saumaah, di rumah, dan di jalan. Dia mengajar dalam perhimpunan besar dan dalam perbualan peribadi. Beberapa interaksi-Nya yang paling berkuasa adalah singkat atau dalam suasana yang luar biasa. Dia mengajar melalui tindakan-Nya dan juga firman-Nya.

Juruselamat mengajar setiap orang menurut keperluan unik mereka. Contohnya, ketika melayani seorang yang lumpuh, Dia mengampuni dosa-dosanya dan menyembuhkannya (lihat Markus 2:1–12). Ketika melayani seorang wanita yang telah berzina, Dia melindunginya dan menjemputnya untuk tidak berdosa lagi (lihat Yohanes 8:2–11). Ketika berfirman dengan seorang lelaki kaya yang menghasratkan kehidupan abadi, Dia memandangnya dengan penuh “kasih” walaupun pemuda itu enggan menerima jemputan-Nya untuk mengikuti Dia (Markus 10:21; lihat ayat 17–21).

Anda boleh memperbaiki pengajaran anda dengan mempelajari bagaimana Juruselamat mengajar. Contohnya, Dia mengasihi Bapa dan mereka yang Dia ajar. Dia penuh doa. Dia mengajar dari tulisan suci. Dia bersedia secara rohani. Dia tanyakan soalan-soalan yang diilhamkan. Dia menjemput orang untuk bertindak dengan iman. Dia mengumpamakan asas-asas injil kepada kehidupan seharian.

Berusaha untuk mengajar seperti Juruselamat adalah usaha sepanjang hidup. Ia akan datang kepada anda baris demi baris semasa anda mengikuti Dia (lihat 2 Nefi 28:30; Eter 12:41).

“Usahakanlah untuk Mendapatkan Firman-Ku”

Untuk mengajar injil Yesus Kristus, anda perlu mengetahui ajaran dan asas-asasnya. Anda juga perlukan pengetahuan rohani dan pengesahan kebenaran injil. Tuhan berfirman, “Janganlah berusaha untuk memaklumkan firman-Ku, tetapi terlebih dahulu usahakanlah untuk mendapatkan firman-Ku.”

Untuk “mendapatkan” firman Tuhan bermaksud mengkaji dan membiarkan ia meresapi ke dalam hati anda. Apabila anda mengusahakan ia, Dia berjanji, “Dan kemudian lidahmu akan dilembutkan; kemudian, jika kamu hasratkan, kamu akan memiliki Roh-Ku dan firman-Ku, ya, kuasa Tuhan untuk meyakinkan manusia” (Ajaran dan Perjanjian 11:21).

orang menandakan tulisan suci

Tuhan juga berfirman untuk “simpanlah baik-baik dalam fikiranmu secara berterusan firman kehidupan” (Ajaran dan Perjanjian 84:85). Menyimpan firman Tuhan akan meningkatkan pengetahuan anda dan mengukuhkan kesaksian anda. Hasrat dan kemampuan anda untuk mengajar injil juga akan meningkat. (Lihat Yakub 4:6–7; Alma 32:27–42; 36:26; 37:8–9.)

Dengan penuh doa dapatkan dan hargai firman Tuhan dengan mengkaji tulisan suci, kata-kata para nabi hidup, dan pelajaran dalam bab 3.

Ajar melalui Roh

Injil Yesus Kristus ialah “kuasa Tuhan yang menyelamatkan semua orang yang percaya” (Roma 1:16). Oleh demikian, pesanan Pemulihan injil perlu diajar melalui kuasa ilahi—kuasa Roh Kudus.

Adalah penting untuk anda mengembangkan kemahiran mengajar. Ia juga penting untuk anda belajar ajaran dan asas-asas yang anda ajar. Namun, apabila mengajar kebenaran rohani, anda tidak bergantung pada kebolehan dan pengetahuan anda sendiri.

Kebenaran rohani diajar melalui kuasa Roh Kudus. Tuhan berfirman, “Dan Roh akan diberikan kepadamu melalui doa dengan iman; dan jika kamu tidak menerima Roh janganlah kamu mengajar” (Ajaran dan Perjanjian 42:14; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 50:13–14, 17–22).

Apakah Maksudnya untuk Mengajar melalui Roh

Apabila anda mengajar melalui Roh, anda berdoa untuk memiliki kuasa Roh Kudus dalam pengajaran anda. Anda juga berdoa agar orang akan menerima kebenaran melalui Roh. Orang mungkin diyakinkan tentang beberapa kebenaran, tetapi untuk bertukar hati, mereka perlu mempunyai pengalaman dengan Roh (lihat Ajaran dan Perjanjian 8:2–3).

Sediakan diri anda untuk menjadi alat di mana Roh dapat mengajar. Fikirkan Roh Kudus sebagai teman anda dalam mengajar.

Bergantunglah kepada Roh untuk membantu anda tahu apa yang harus dikatakan. Dia akan membawa ajaran yang anda telah kaji kepada ingatan anda. Dia akan membantu anda merancang dan menyesuaikan pelajaran mengikut keperluan seseorang.

Apabila anda mengajar melalui Roh, Dia akan membawa pesanan anda ke hati orang. Dia akan mengesahkan pesanan anda apabila anda memberi kesaksian anda. Anda dan mereka yang menerima apa yang anda ajar melalui Roh akan diteguhkan, memahami satu sama lain, dan bersukacita bersama. (Lihat 2 Nefi 33:1; Ajaran dan Perjanjian 50:13–22.)

Presiden Ezra Taft Benson

“Roh ialah unsur tunggal yang paling penting dalam pekerjaan ini. Dengan Roh mengembangkan panggilan anda, anda boleh melakukan mukjizat untuk Tuhan di ladang misi. Tanpa Roh, anda tidak akan berjaya tanpa mengira bakat atau kebolehan anda” (Ezra Taft Benson, kursus untuk presiden misi baharu, Jun 25, 1986).

Janji Panggilan Anda

Anda telah dipanggil dan ditetapkan “untuk mengkhutbahkan Injil-Ku melalui Roh, bahkan Penolong yang diutuskan untuk mengajarkan kebenaran” (Ajaran dan Perjanjian 50:14). Kadangkala anda mungkin merasa gelisah atau rasa serba kekurangan. Mungkin anda bimbang bahawa anda tidak cukup tahu atau tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi.

Bapa Syurgawi, yang mengenali anda dengan sempurna, memanggil anda kerana apa yang anda boleh tawarkan sebagai pengikut Yesus Kristus yang setia. Dia tidak akan meninggalkan anda. Percayalah bahawa Roh akan membesarkan kebolehan anda dan akan mengajar kebenaran kepada mereka yang menerima.

Elder Neil L. Andersen

Elder Neil L. Andersen berkata: “Ketika saya merenungkan cabaran misi, saya berasa serba kekurangan dan tidak bersedia. Saya ingat berdoa, ‘Bapa Syurgawi, bagaimanakah saya boleh melayani misi walaupun pengetahuan saya tidak mencukupi?’ Saya percaya dalam Gereja, tetapi saya merasakan pengetahuan rohani saya sangat terhad. Ketika saya berdoa, satu perasaan datang: ‘Kamu tidak tahu segalanya, tetapi kamu cukup tahu!’ Jaminan itu memberi saya keberanian untuk mengambil langkah seterusnya ke ladang misi” (“You Know Enough,” Liahona, Nov. 2008, 13).

Menjemput Roh Semasa Anda Mula Mengajar

Beberapa saat pertama dengan orang adalah sangat penting. Jadilah tulen dan penuh hormat. Tunjukkan minat dan kasih yang ikhlas. Berusaha untuk memperoleh kepercayaan mereka. Salah satu cara untuk memperoleh kepercayaan adalah apabila orang merasakan Roh dengan anda.

Tanya beberapa soalan mudah untuk membantu anda memahami latar belakang mereka dan jangkaan mereka tentang kunjungan anda. Dengar dengan teliti.

Sebelum anda bermula, jemput semua yang hadir untuk menyertai pelajaran. Galakkan mereka untuk menyingkirkan gangguan supaya Roh Tuhan dapat dirasai.

Jelaskan bahawa anda ingin memulakan dan mengakhiri setiap pelajaran dengan doa. Tawarkan untuk memberi doa pembuka. Berdoa dengan sederhana dan ikhlas bahawa Tuhan akan memberkati orang yang anda ajar dalam setiap aspek kehidupan mereka. Berdoa agar mereka dapat merasai kebenaran yang anda akan ajar. Ingatlah bahawa “doa orang yang melakukan kehendak Tuhan mempunyai kuasa yang besar” (Yakobus 5:16).

Beriman dalam kuasa penukaran hati Roh Kudus. Dengan bimbingan Roh, anda boleh menyatakan pendapat seperti berikut semasa anda mula mengajar:

  • Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita yang penuh kasih. Kita semua adalah saudara dan saudari. Dia mahu kita menikmati kebahagiaan.

  • Kita semua menghadapi cabaran dan kesusahan. Tidak kira apa yang anda lalui, Yesus Kristus dan ajaran-ajaran-Nya dapat membantu anda. Dia boleh membantu anda mencari kedamaian, harapan, penyembuhan, dan kegembiraan. Yesus boleh membantu anda mempunyai kekuatan yang lebih besar untuk cabaran hidup.

  • Kita semua membuat kesilapan, yang boleh mencipta perasaan bersalah, malu, dan menyesal. Perasaan-perasaan ini hanya akan lenyap apabila kita bertaubat dan mencari pengampunan Tuhan. Hanya melalui Korban Tebusan Yesus Kristus kita dapat disembuhkan sepenuhnya daripada dosa-dosa kita.

  • Kami akan menjadi pembimbing agar anda sendiri dapat belajar kebenaran pesanan kami. Kami akan menjemput anda untuk melakukan beberapa hal, seperti membaca, berdoa, dan menghadiri gereja. Peranan kami adalah untuk membantu anda bertindak atas jemputan-jemputan ini dan menjelaskan berkat-berkat yang anda boleh terima. Sila tanya soalan.

  • Kami telah dipanggil oleh seorang nabi Tuhan untuk berkongsi apa yang kami tahu. Kami tahu bahawa pesanan kami adalah benar.

  • Kami akan mengajar anda bagaimana untuk membuat perjanjian, atau janji-janji istimewa, dengan Tuhan. Perjanjian-perjanjian ini akan menghubungkan anda dengan Tuhan dan membenarkan anda menerima kebahagiaan, kekuatan, dan janji-janji istimewa daripada-Nya.

  • Anda akan belajar bagaimana untuk membuat perubahan dalam hidup anda dan mengikuti Yesus Kristus dan ajaran-ajaran-Nya. Salah satu ajaran penting Yesus Kristus, dan perjanjian pertama yang kita buat, adalah untuk mengikuti teladan-Nya dan dibaptiskan melalui wewenang yang betul (lihat Yohanes 3:5; Ajaran dan Perjanjian 22).

misionari berdoa

Sebelum mengajar satu pelajaran, berikan gambaran keseluruhan yang mudah tentang apa yang anda akan ajar. Bantu orang melihat bagaimana ia berkaitan bagi mereka. Contohnya, anda boleh berkata, “Kita berada di sini untuk berkongsi pesanan bahawa Yesus Kristus telah menubuhkan Gereja-Nya di bumi hari ini dan telah memanggil para nabi hidup untuk membimbing kita.” Atau anda mungkin berkata “Kami berada di sini untuk membantu anda tahu bahawa Tuhan mengasihi anda dan mempunyai rancangan untuk kegembiraan anda.”

Semua orang akan bermanfaat apabila mereka menerima dan menjalankan injil Yesus Kristus. Bapa Syurgawi mungkin telah memberkati orang yang anda temui dengan persediaan rohani yang berharga (lihat Alma 16:16–17).

Menjemput Roh dan berkongsi kebenaran dalam pertemuan pertama akan membantu orang mengenali anda sebagai hamba Tuhan.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Gunakan cadangan-cadangan dalam bahagian ini untuk berlatih cara yang berbeza untuk memulakan pelajaran.

Gunakan Tulisan Suci

Sumber standard Gereja adalah sumber asas anda untuk mengajar injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Terdapat banyak sebab mengapa ia penting untuk menggunakan tulisan suci sebagai asas pengajaran anda. Contohnya:

  • Tulisan suci menjemput Roh Kudus ke dalam pengajaran anda (lihat Lukas 24:13–32).

  • Tulisan suci mempunyai kesan yang lebih kuat pada fikiran orang daripada apa-apa yang lain (lihat Alma 31:5).

  • Tulisan suci menjawab soalan-soalan besar jiwa (lihat bab 5, lihat juga 2 Nefi 32:3; Yakub 2:8).

  • Tulisan suci memberi wewenang dan kesahihan kepada pengajaran anda.

  • Tuhan dan para nabi-Nya telah mengarah kita untuk berbuat demikian (lihat Ajaran dan Perjanjian 42:12, 56–58; 71:1).

Dengan menggunakan tulisan suci dalam pengajaran anda, anda boleh membantu orang lain mula mengkaji tulisan suci sendiri. Apabila kasih anda terhadap tulisan suci adalah nyata, mereka akan digalakkan untuk mengkaji. Tunjukkan bagaimana kajian tulisan suci akan membantu mereka belajar injil dan merasakan kasih Tuhan. Berikan contoh bagaimana tulisan suci dapat membantu mereka mencari jawapan kepada soalan-soalan mereka dan menerima bimbingan dan kekuatan.

Baktikan diri anda untuk mengkaji tulisan suci supaya anda dapat mengajar darinya dengan berkesan (lihat bab 2). Kebolehan anda untuk mengajar dari tulisan suci akan bertambah baik apabila anda mengkajinya setiap hari, secara peribadi dan bersama rakan anda.

Bantu orang mengembangkan iman kepada Yesus Kristus melalui kajian tulisan suci, terutamanya Kitab Mormon. Cadangan-cadangan berikut mungkin membantu.

satu kumpulan mengkaji tulisan suci

Memperkenalkan Tulisan Suci

Jelaskan latar belakang petikan itu secara ringkas. Contoh-contoh berikut menunjukkan beberapa cara untuk memperkenalkan tulisan suci:

  • “Dalam sejarah Joseph Smith, Joseph memberitahu kita dalam kata-katanya sendiri apa yang berlaku semasa dia masuk ke dalam hutan untuk berdoa. Dia berkata, ‘Aku melihat suatu tiang cahaya …’”

  • “Dalam ayat ini, nabi Alma sedang mengajar orang-orang yang miskin untuk beriman terhadap firman Tuhan. Dia membandingkan firman Tuhan dengan sebiji benih yang boleh ditanam dalam hati kita. Bolehkah anda membaca ayat … ?”

Baca Petikan

Baca ayat-ayat dengan lantang atau minta orang yang anda ajar untuk membaca dengan lantang. Peka terhadap mereka yang bergelut untuk membaca. Jika ayat susah untuk mereka fahami, baca bersama mereka dan jelaskan jika perlu. Jelaskan perkataan atau frasa yang susah. Atau berikan mereka satu ayat yang lebih mudah untuk dibaca. Jemput mereka untuk mencari hal tertentu dalam petikan itu.

Mengaplikasikan Ayat Suci

Nefi berkata, “aku mengibaratkan semua tulisan suci kepada kami, agar ia boleh menjadi keuntungan dan pembelajaran kepada kami” (1 Nefi 19:23). “Mengibaratkan” bermaksud mengaplikasikan tulisan suci dalam kehidupan anda.

Ibaratkan tulisan suci kepada mereka yang anda ajar dengan menunjukkan bagaimana cerita dan asas itu berkaitan kepada mereka secara peribadi. Contohnya:

  • “Seperti anda, orang Alma mempunyai beban yang berat, hampir lebih daripada yang mereka dapat tanggung. Tetapi apabila mereka beriman dan berdoa, Tuhan menguatkan mereka supaya mereka dapat menahan cabaran. Kemudian Dia membebaskan mereka dari percubaan mereka. Sepertimana Dia melakukan ini dengan orang itu, saya tahu Tuhan akan membantu anda dalam cabaran apabila anda …” (Lihat Mosia 24.)

  • “Arahan Alma kepada orang-orang di Perairan Mormon berkaitan dengan kita hari ini. John, sudikah anda … ?” (Lihat Mosia 18.)

Ajarlah orang bagaimana untuk “mengibaratkan” tulisan suci kepada diri mereka. Terokai aplikasi peribadi akan membantu mereka mengaplikasikan dan mengalami kuasa firman Tuhan.

Jemput dan Bantu Orang Untuk Membaca Sendiri

Orang yang anda ajar perlu membaca tulisan suci, terutamanya Kitab Mormon, untuk memperoleh kesaksian tentang kebenaran. Dengan menggunakan tulisan suci secara berkesan dalam pengajaran anda, anda boleh membantu orang mula mengkaji tulisan suci sendiri.

Selepas setiap kunjungan, cadangkan bab atau ayat-ayat tertentu untuk mereka baca. Cadangkan soalan-soalan untuk mereka pertimbangkan semasa mereka membaca. Galakkan mereka untuk mengkaji tulisan suci setiap hari secara peribadi dan bersama keluarga mereka. Anda juga boleh meminta ahli-ahli membaca dengan mereka di antara pelajaran.

Sebelum memulakan pelajaran seterusnya, buat susulan dengan membincangkan apa yang anda jemput orang itu untuk baca. Jika perlu, bantu mereka faham dan “ibaratkan” ayat-ayat suci tersebut. Galakkan mereka untuk mencatatkan fikiran dan soalan mereka.

Apabila anda membantu orang membaca, memahami, dan mengaplikasikan tulisan suci—terutamanya Kitab Mormon—mereka akan mempunyai pengalaman rohani tentang firman Tuhan. Mereka akan lebih cenderung untuk membacanya sendiri dan menjadikan tulisan suci sebahagian penting dalam kehidupan mereka.

misionari mengajar keluarga

Bantu Orang Mengakses Tulisan Suci

Tulisan suci dan kata-kata para nabi hidup boleh didapati dalam lebih banyak cara dan lebih banyak bahasa daripada sebelumnya. Ketahui apa pilihan bercetak dan digital yang tersedia untuk orang yang anda ajar. Bantu orang mengakses tulisan suci dengan cara yang sesuai menurut keperluan dan keutamaan mereka. Pertimbangkan hal-hal berikut:

  • Tanyakan orang apakah bahasa tulisan suci yang mereka ingin baca atau dengarkan.

  • Mereka yang bergelut untuk membaca, atau yang bergelut untuk memahami apa yang mereka baca, boleh mendapat manfaat dari membaca dengan kuat bersama atau mendengar rakaman audio. Ini boleh didapati secara percuma melalui aplikasi dan laman web Gereja.

  • Jika seseorang mempunyai peranti digital, bantu dia mengakses tulisan suci, terutamanya Kitab Mormon. Aplikasi Kitab Mormon dan Gospel Library adalah percuma dan mudah untuk dikongsi.

  • Jika menggunakan SMS, chat, atau e-mel, hantar pautan atau gambar tulisan suci. Semasa mengajar dalam perbualan video, pertimbangkan untuk berkongsi skrin anda supaya anda boleh membaca ayat-ayat bersama.

  • Bantu orang mengakses kata-kata nabi hidup.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Pastikan anda dan rakan anda mempunyai sumber tulisan suci yang dikemas kini dalam telefon anda, termasuk aplikasi Kitab Mormon dan Gospel Library.

Pilih salah satu daripada ayat-ayat suci berikut: halaman judul Kitab Mormon; 3 Nefi 11; Moroni 10:3–8; Yohanes 17:3; Roma 8:16–17; 1 Korintus 15:29; Yakobus 1:5; 1 Petrus 3:19–20; Amos 3:7.

Tentukan bagaimana anda akan:

  • Memperkenalkan petikan itu.

  • Menyediakan latar belakang dan konteks.

  • Baca petikan itu dan jelaskan maksudnya.

  • Jelaskan perkataan-perkataan yang susah.

  • Bantu mereka yang anda ajar mengaplikasikannya dalam kehidupan mereka.

Kajian Kitab Suci

“Mengapakah ia penting untuk mengkaji tulisan suci?”

Kongsi Kesaksian Anda

Satu kesaksian merupakan suatu saksi rohani yang Roh Kudus berikan. Untuk berkongsi kesaksian anda adalah untuk memberi pengisytiharan pengetahuan atau kepercayaan yang mudah dan langsung tentang kebenaran injil. Berkongsi kesaksian anda menambah kesaksian peribadi anda kepada kebenaran yang anda telah ajar dari tulisan suci.

Berkongsi kesaksian anda adalah satu cara yang sangat berkuasa untuk menjemput Roh dan membantu orang merasakan pengaruh-Nya. Salah satu misi Roh Kudus adalah untuk bersaksi tentang Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Dia sering memenuhi ini sebagai teman anda semasa anda memberi kesaksian.

Kesaksian yang kuat tidak bergantung pada kemahiran atau nada suara anda—tetapi pada keyakinan dan keikhlasan hati anda. Berhati-hati untuk tidak bergegas atau melebih-lebihkan kesaksian anda. Berikan orang peluang untuk merasakan Roh Kudus bersaksi kepada mereka bahawa apa yang anda telah ajar adalah benar.

Kesaksian anda mungkin semudah “Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus kita” atau “Saya telah belajar sendiri bahawa Kitab Mormon adalah benar.” Anda juga boleh berkongsi pengalaman ringkas tentang bagaimana anda memperoleh kesaksian ini.

Apabila anda mengajar, kongsilah kesaksian anda semasa anda rasa didorong, bukan hanya pada akhirnya. Apabila rakan anda sedang mengajar, kongsi kesaksian anda untuk memberi kesaksian kedua tentang apa yang dia telah ajarkan.

Kongsi kesaksian anda bahawa asas yang anda ajar akan memberkati kehidupan orang itu jika dia akan mengikutinya. Kongsi bagaimana menjalankan asas itu telah memberkati kehidupan anda. Kesaksian anda yang tulus akan membantu mencipta persekitaran bagi orang untuk merasakan Roh Kudus mengesahkan kebenaran.

Kajian Peribadi

Ayat-ayat suci berikut adalah contoh-contoh memberi kesaksian. Pertimbangkan soalan-soalan semasa anda membaca setiap tulisan suci. Catatkan jawapan anda dalam jurnal kajian.

Kajian Kitab Suci

Apakah yang tulisan suci berikut ajarkan tentang asas-asas dan janji-janji tentang memberi kesaksian?

Merancang dan Menyesuaikan Pengajaran Anda untuk Memenuhi Keperluan

Setiap orang yang anda ajar adalah unik. Berusaha untuk memahami minat, keperluan, dan kebimbangan rohani mereka. Tanya soalan-soalan dan mendengar dengan teliti. Walaupun anda mungkin tidak akan memahami sepenuhnya keperluan orang itu, ingatlah bahawa Bapa Syurgawi tahu. Dia akan memberkati anda melalui Roh Kudus.

misionari mengajar seorang lelaki

Biarlah Roh Membimbing Aturan Pelajaran

Biarlah Roh membimbing aturan pelajaran untuk diajar. Anda mempunyai fleksibiliti untuk mengajar pelajaran menurut aturan yang paling baik bagi keperluan, soalan, dan keadaan orang yang anda ajar.

Kadangkala anda boleh menggabungkan asas-asas dari pelajaran yang berbeza untuk memenuhi keperluan dan minat seseorang. Lihat tiga contoh berikut.

Yuki menemui anda di dalam talian dan bertanya mengapa kawan-kawannya dalam Gereja tidak merokok atau minum arak. Anda boleh mengajarnya tentang berkat-berkat perintah dengan menggunakan bahagian-bahagian berikut dari bab 3:

Samuel tidak rasa dia tergolong di mana-mana pun. Anda boleh mengajarnya tentang identiti dan tempatnya dalam keluarga Tuhan dengan menggunakan bahagian-bahagian berikut dari bab 3:

Tatyana telah mengkaji banyak agama dan ingin mengetahui apa yang membuat Gereja berbeza. Anda boleh mengajarnya tentang Pemulihan injil Yesus Kristus dengan menggunakan bahagian-bahagian berikut dari bab 3:

Bapa Syurgawi mengenali anak-anak-Nya, jadi carikan ilham untuk membuat keputusan ini semasa anda bersedia untuk mengajar. Berdoa untuk kurnia membezakan semasa anda memilih apa yang harus diajar. Beri perhatian kepada fikiran dan perasaan yang datang kepada anda.

keluarga sedang membaca kitab suci

Berikan Masa untuk Orang Mengaplikasikan Apa yang Mereka Belajar

Apabila anda mengajar, berikan masa kepada orang untuk menggunakan apa yang mereka belajar (lihat 3 Nefi 17:2–3). Cari cara yang sesuai untuk menyokong mereka dalam mentaati komitmen mereka. Fokus untuk membantu mereka dengan tindakan yang akan membina landasan iman, seperti berdoa, membaca, dan menghadiri gereja. Ini akan membolehkan mereka untuk mentaati komitmen tambahan.

Semasa anda merancang dan mengajar, perhatikan berapa banyak maklumat baharu yang anda kongsi. Objektif utama pengajaran anda adalah untuk membantu seseorang membina iman kepada Yesus Kristus supaya ia membawa kepada pertaubatan. Objektif anda bukanlah untuk melihat berapa banyak maklumat yang anda boleh berikan.

Ajar pada kelajuan yang sesuai untuk orang itu. Tanya soalan dan dengar dengan teliti supaya anda memahami bagaimana dia belajar dan mengaplikasikan apa yang anda ajar.

Kebenaran yang anda ajar, ditambah dengan kuasa Roh Kudus, boleh mempengaruhi orang untuk menggunakan hak pilihan mereka dengan cara yang membina iman mereka kepada Kristus. Apabila mereka beriman kepada Tuhan dengan menggunakan apa yang mereka pelajari, mereka akan tahu melalui Roh bahawa injil adalah benar.

Gunakan Pelbagai Peluang Mengajar

Peluang mengajar wujud dalam banyak bentuk, contohnya kunjungan bersemuka, perbualan video, panggilan telefon, pemesejan dan media sosial.

Hormati Masa Orang

Pastikan pengajaran anda mudah dan ringkas. Orang akan lebih ingin bertemu dengan anda apabila anda menghormati masa dan permintaan mereka. Tanya berapa banyak masa yang mereka ada untuk kunjungan itu. Mula dan tamatkan sebarang perbualan pada waktu yang dipersetujui, sama ada mengajar secara bersemuka atau dalam talian. Peka bahawa di beberapa tempat, panggilan telefon atau perbualan video adalah mahal.

Anda akan memerlukan beberapa pertemuan untuk mengajar asas-asas dalam satu pelajaran. Biasanya satu kunjungan pengajaran tidak seharusnya lebih daripada 30 minit, dan anda boleh mengajar seseorang dalam masa 5 minit. Ubah suai pengajaran anda mengikut masa orang itu.

Menggunakan Teknologi Dengan Bijaksana

Anda mempunyai banyak peluang untuk mengajar orang dengan menggunakan teknologi. Sesetengah orang lebih suka kemudahan atau privasi untuk berinteraksi melalui cara elektronik. Bahkan orang yang anda kunjungi secara bersemuka boleh bermanfaat dari sokongan tambahan melalui teknologi. Bincangkan sumber-sumber yang sedia ada untuk berkomunikasi. Kemudian membuat susulan dan kekal berhubung. Biarkan keutamaan setiap orang untuk membimbing interaksi anda.

Teknologi seperti panggilan video boleh membantu terutamanya untuk mengajar orang yang mempunyai jadual yang sibuk atau tinggal berjauhan. Kadangkala adalah lebih mudah bagi ahli-ahli untuk mengambil bahagian dalam pelajaran melalui teknologi.

Bantu Pelajar Muda

Ketika pelayanan Juruselamat, Dia berfirman kepada para pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Tuhan” (Markus 10:14). Apabila anda mengajar kanak-kanak, ubah suai pendekatan dan pesanan anda untuk memenuhi keperluan mereka. Bantu mereka mempelajari injil dengan membincangkan hal-hal yang mereka biasa. Pastikan mereka memahami apa yang anda ajarkan.

Kajian Kitab Suci

Baca Ajaran dan Perjanjian 84:85. Apakah maksudnya untuk diberikan “bahagian itu yang akan dibahagikan kepada setiap orang”? Bagaimanakah anda boleh mengaplikasikan ini dalam pengajaran anda?

Apakah yang Tuhan telah janjikan kepada para misionari beriman tentang mengetahui apa yang harus dikatakan?

Mengajar dengan Rakan Anda dalam Kesatuan

Tuhan berfirman, “Kamu akan pergi dalam kuasa Roh-Ku, mengkhutbahkan Injil-Ku, berdua-dua” (Ajaran dan Perjanjian 42:6). Dia juga memerintah kan anda dan rakan anda untuk “menjadi satu” (Ajaran dan Perjanjian 38:27). Pengajaran anda akan menjadi lebih berkuasa dan menarik jika anda dan rakan anda bekerjasama dalam kesatuan. Bergilir memberi sebahagian daripada pelajaran-pelajaran yang singkat.

Semasa kajian dengan rakan, bincangkan dan berlatih bagaimana anda akan mengajar supaya anda boleh bersatu. Bersedialah bagaimana anda akan bekerjasama apabila mengajar orang di dalam talian. Ikutlah langkah keselamatan untuk menggunakan teknologi, digariskan dalam bab 2.

misionari mengajar seorang lelaki

Apabila rakan anda sedang mengajar, doakan dia, mendengar, dan melihat dia. Sokong rakan anda dengan memberikan kesaksian kedua kepada kebenaran yang dia telah ajarkan (lihat Alma 12:1). Ikuti tanggapan anda apabila Roh mendorong anda untuk mengucapkan sesuatu.

Tunjukkan minat yang ikhlas kepada orang yang anda ajar. Dengarkan mereka. Kekalkan hubungan mata apabila mereka atau anda bercakap. Beri perhatian kepada balasan mereka dengan teliti, dan dengar dorongan rohani.

Jemput Ahli-ahli untuk Mengambil Bahagian

Jemput ahli-ahli untuk membantu anda mengajar dan menyokong orang yang anda bekerjasama. Ini mungkin berlaku secara bersemuka atau maya. Semasa pertemuan penyelarasan mingguan, berunding dengan pemimpin bahagian tentang siapa yang boleh membantu.

Apabila ahli-ahli mengambil bahagian dalam pengajaran dan persahabatan, mereka boleh menambahkan pemahaman dan membuat perhubungan sebagai kawan. Mereka akan merasakan kebahagiaan pekerjaan misionari.

Jemput Ahli-ahli untuk Membantu Anda Mengajar

Sebelum pelajaran, rancang dengan ahli-ahli bagaimana untuk bekerjasama. Anda boleh menggunakan teks atau panggilan telefon ringkas untuk mengesahkan apa yang anda akan ajar, siapa yang akan berdoa, siapa yang akan memimpin perbualan, dan butiran lain.

Peranan utama ahli-ahli dalam pelajaran adalah untuk menawarkan kesaksian yang ikhlas, berkongsi pengalaman peribadi yang pendek, dan mengembangkan hubungan dengan mereka yang diajar. Anda boleh meminta ahli-ahli untuk berkongsi bagaimana mereka dapat belajar, menerima, dan menjalankan asas tertentu dalam pelajaran itu. Jika mereka penganut baharu, jemput mereka untuk berkongsi bagaimana mereka memutuskan untuk menyertai Gereja.

Apabila ahli-ahli merujuk seseorang, minta mereka untuk mengambil bahagian dalam pengajaran. Ahli-ahli mungkin boleh lebih terlibat dalam situasi ini. Berbincang dengan mereka tentang bagaimana mereka ingin mengambil bahagian.

Pertimbangkan bagaimana penggunaan teknologi untuk mengajar dengan ahli-ahli mungkin sesuai. Teknologi membenarkan ahli-ahli untuk menyertai anda tanpa komitmen masa yang diperlukan oleh kunjungan bersemuka.

Dalam pertemuan penyelarasan mingguan, rancang dengan pemimpin bahagian untuk melibatkan seorang ahli dalam sebanyak pelajaran yang mungkin (lihat bab 13). Pertimbangkan untuk meminta ahli-ahli baharu membantu anda mengajar.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Bayangkan anda mempunyai janji temu untuk mengajar satu pelajaran kepada sebuah keluarga di rumah seorang ahli. Bincangkan bagaimana anda akan melibatkan setiap ahli berikut untuk membantu anda mengajar:

  • Seorang misionari bahagian yang baru pulang dari misi sepenuh masa

  • Seorang imam

  • Seorang ahli baharu

  • Presiden kuorum penatua atau Presiden Lembaga Pertolongan

Jemput Ahli-ahli untuk Memberi Sokongan

Ahli-ahli juga boleh memberi sokongan yang berharga kepada orang-orang di antara kunjungan pengajaran. Mereka boleh menghantar teks, membaca tulisan suci bersama, menjemput orang ke rumah atau ke aktiviti, atau menjemput mereka untuk duduk bersama di gereja. Mereka boleh menjawab soalan-soalan dan menunjukkan bagaimana kehidupan mereka sebagai ahli Gereja. Pengalaman hidup dan perspektif mereka boleh membantu berhubung dengan orang dalam cara yang kadang-kadang berbeza dengan cara para misionari berhubung.

Berunding dengan ahli-ahli tentang cara anda boleh bekerjasama untuk menyokong orang di luar kunjungan pengajaran.

Mengajar untuk Pemahaman

Ajarkan injil Yesus Kristus supaya orang akan memahaminya. Kaji tulisan suci dan pelajaran supaya anda dapat mengajarnya dengan jelas. Semakin jelas anda mengajar, lebih baik peluang Roh Kudus untuk bersaksi tentang kebenaran.

Tanya soalan-soalan untuk membantu orang berfikir tentang apa yang anda telah ajarkan. Kemudian dengarlah jika mereka memahami dan menerimanya.

Sebahagian dari pengajaran untuk pemahaman adalah untuk menjelaskan perkataan, frasa, dan idea. Anda boleh memperbaiki keupayaan anda untuk mengajar injil dengan:

  • Memahami perkataan yang anda gunakan.

  • Menjelaskan kata-kata yang orang tidak fahami.

  • Bertanyakan soalan seperti “Bolehkah anda berkongsi pemahaman anda tentang apa yang kami baru jelaskan?” atau “Sudikah anda merumuskan apa yang kita baru bincangkan?”

Semasa anda mengajar ajaran dalam bab 3, perhatikan apa-apa perkataan, frasa, dan idea yang orang mungkin tidak faham. Jelaskannya dengan menggunakan sumber dalam Gospel Library, seperti Panduan Tulisan Suci.

Pastikan pengajaran anda mudah dan ringkas. Fokus pada injil Yesus Kristus, membina pemahaman ajaran dan asas-asas. Bantu orang mencari pemahaman yang datang dari Roh Kudus. Apabila mereka memperoleh pemahaman ini, mereka akan mempercayai pesanan injil.

Kajian Kitab Suci

Mengapakah kita harus menjelaskan ajaran dengan berhati-hati?

Bagaimanakah kita belajar? Mengapakah ia penting untuk mengajarkan maklumat secara beransur-ansur?

Mengapakah kesederhanaan penting?

Apakah yang anda boleh pelajari dari ayat-ayat berikut tentang bagaimana Tuhan berkomunikasi dengan anak-anak-Nya?

Tanya Soalan

Juruselamat tanyakan soalan-soalan yang menjemput orang untuk berfikir dan merasa secara mendalam tentang kebenaran yang Dia ajar. Soalan-soalan Dia mendorong pencarian dan komitmen jiwa.

Soalan-soalan yang baik juga penting dalam pengajaran anda. Ia akan membantu anda memahami minat, kebimbangan, dan soalan-soalan orang. Soalan-soalan yang baik boleh menjemput Roh dan membantu orang belajar.

Tanya Soalan-soalan yang Diilhami

Cari bimbingan Roh dalam bertanya soalan yang baik. Soalan-soalan yang betul pada masa yang betul boleh membantu orang belajar injil dan merasakan Roh.

Soalan yang diilhami dan mendengar dengan ikhlas akan membantu orang menjadi lebih selesa untuk bercakap secara terbuka dan berkongsi perasaan mereka. Ini dapat membantu mereka menemui kesaksian yang semakin berkembang. Mereka juga akan berasa lebih selesa untuk bertanya soalan apabila mereka tidak memahami sesuatu atau mempunyai kebimbangan.

Jadual berikut menunjukkan beberapa asas untuk bertanya soalan yang diilhamkan, serta beberapa contoh.

Asas-asas dan Contoh-contoh Soalan yang Diilhamkan

Asas-asas

Contoh

Tanya soalan-soalan yang membantu orang merasakan Roh.

  • Bolehkah anda kongsi satu pengalaman ketika anda merasai pengaruh Tuhan dalam hidup anda?

  • Bagaimanakah anda telah merasai kasih Tuhan bagi anda?

Tanya soalan yang mudah dan senang untuk difahami.

  • Apakah yang anda telah pelajari tentang Yesus Kristus dari tulisan suci ini?

Tanya soalan-soalan yang membantu orang berfikir tentang apa yang anda ajar.

  • Bagaimanakah ini serupa dengan apa yang anda sudah percaya? Bagaimanakah ia berbeza?

Tanya soalan-soalan yang membantu anda tahu sejauh mana orang memahami apa yang anda ajarkan.

  • Apakah soalan-soalan yang anda ada tentang apa yang kami telah ajarkan hari ini?

  • Bagaimanakah anda akan meringkaskan perbualan kita hari ini?

Tanya soalan-soalan yang membantu orang berkongsi perasaan mereka.

  • Bagaimanakah Yesus Kristus telah membantu dalam kehidupan anda?

  • Berkenaan apa yang kita bincangkan hari ini, apakah yang paling penting bagi anda?

Tanya soalan-soalan yang menunjukkan kasih dan keprihatinan.

  • Bagaimanakah kami boleh membantu anda?

Tanya soalan-soalan yang membantu orang menggunakan apa yang mereka pelajari.

  • Apakah yang boleh kita belajar dari ayat suci ini?

  • Bagaimanakah tulisan suci ini dapat membantu dalam kehidupan anda?

  • Semasa kami bercakap, apakah yang anda terdorong untuk lakukan dari apa yang anda telah pelajari?

Kajian Dengan Rakan

Kaji semula rancangan pelajaran anda dari pelajaran baru-baru ini yang anda telah ajar. Tulis satu soalan untuk setiap asas utama yang digariskan dalam rancangan anda.

Kaji semula soalan-soalan anda untuk melihat jika mereka berharmoni dengan asas-asas dalam bahagian ini.

Seterusnya, jawab setiap soalan seolah-olah anda seseorang yang diajar.

Kongsi soalan-soalan anda dengan rakan anda. Bersama-sama, menilai dan memperbaiki soalan-soalan anda.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Orang yang anda ajar mungkin menemui pengalaman-pengalaman berikut:

  • Mereka mempunyai pengalaman rohani semasa membaca Kitab Mormon.

  • Pekerja sejawat sering mentertawakan hal-hal rohani.

  • Ahli keluarga adalah ahli gereja lain yang kuat.

  • Kawan-kawan percaya bahawa “pengikut Mormon” bukan orang Kristian.

Fikirkan satu soalan yang anda akan tanya untuk belajar lebih tentang setiap situasi ini. Tuliskan soalan-soalan ini dalam jurnal kajian anda. Bincang dengan rakan anda bagaimana anda boleh memperbaiki soalan yang anda tulis.

Elakkan Soalan yang Tidak Berkesan atau Berlebih-lebihan

Cuba jangan bertanya soalan-soalan yang:

  • Mempunyai jawapan yang jelas.

  • Mungkin memalukan seseorang jika dia tidak tahu jawapannya.

  • Masukkan lebih dari satu idea.

  • Berkaitan dengan ajaran yang anda belum ajarkan.

  • Tidak mempunyai tujuan yang jelas.

  • Adalah berlebihan.

  • Mengungkit atau yang boleh melukai dan menyinggung orang.

Berikut adalah contoh-contoh soalan yang kurang berkesan:

  • Siapakah nabi pertama? (Orang itu mungkin tidak tahu jawapannya.)

  • Bagaimanakah menjaga kesucian tubuh badan kita membantu kita memiliki Roh dan menunjukkan bahawa kita bersedia untuk mengikuti seorang nabi Tuhan? (Terdapat lebih daripada satu idea.)

  • Adakah penting untuk tahu tentang perintah-perintah Tuhan? (Ini soalan ya atau tidak, dan jawapannya sangat jelas.)

  • Apakah yang kita boleh lakukan setiap hari yang akan membantu kita merasa dekat dengan Tuhan? (Soalan ini tidak jelas dan sedang mencari jawapan khas: berdoa.)

  • Siapakah nabi seterusnya selepas Nuh? (Orang itu mungkin tidak tahu jawapannya, dan soalan itu tidak penting untuk pesanan anda.)

  • Adakah anda memahami apa yang saya katakan? (Orang itu mungkin merasakan anda sedang merendahkan dia.)

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Pertimbangkan keperluan seseorang yang anda ajar. Bincangkan bagaimana dia boleh menjawab soalan-soalan anda. Rancang beberapa soalan untuk ditanya yang mengikuti garis panduan dalam bahagian ini. Bincangkan bagaimana soalan-soalan ini boleh menjemput Roh dan membantu orang itu mempelajari injil.

Dengar

Apabila anda mendengar dengan teliti kepada orang lain, anda lebih memahami mereka. Apabila mereka tahu bahawa fikiran dan perasaan mereka adalah penting bagi anda, mereka lebih cenderung untuk menerima ajaran-ajaran anda, berkongsi pengalaman peribadi, dan membuat komitmen.

Semasa anda mendengar, anda akan memperoleh pemahaman tentang bagaimana untuk menyesuaikan pengajaran anda menurut keperluan dan minat mereka. Anda akan mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang kebenaran injil yang manakah paling bermanfaat bagi mereka.

Terutamanya dengarlah bisikan Roh. Apabila orang lain berkongsi perasaan mereka, Roh Kudus mungkin akan mengilhami anda dengan fikiran atau idea. Roh juga boleh membantu anda memahami apa yang orang lain cuba ungkapkan.

misionari sedang bercakap dengan keluarga

Dengar dengan Keprihatinan yang Ikhlas

Mendengar memerlukan usaha dan keprihatinan yang ikhlas. Ketika orang lain bercakap, pastikan anda fokus pada apa yang mereka katakan. Elakkan kecenderungan untuk merancang apa yang anda akan katakan.

Elder Jeffrey R. Holland telah mengajar: “Yang lebih penting dari bercakap adalah mendengar. Mereka bukanlah objek tidak bernyawa yang disamar sebagai statistik pembaptisan. … Tanya kawan-kawan ini apa yang paling penting bagi mereka. Apakah yang mereka hargai, dan apakah yang mereka amat kasihi? Dan kemudian dengar! Jika keadaan itu sesuai anda boleh bertanya apa yang mereka takuti, apa yang mereka inginkan, atau apa yang mereka rasa hilang dalam kehidupan mereka. Saya berjanji bahawa sesuatu dalam apa yang mereka tuturkan akan sentiasa menyerlahkan kebenaran injil yang mana anda boleh memberikan kesaksian tentang dan apa yang anda boleh tawarkan lebih. … Jika kita mendengar dengan kasih, kita tidak perlu tertanya-tanya apa yang hendak dikatakan. Ia akan diberikan kepada kita—oleh Roh dan oleh kawan-kawan kita” (“Witnesses unto Me,” Ensign, Mei 2001, 15).

Perhatikan pada Pesanan yang Tidak Diucapkan

Orang juga berkomunikasi melalui bahasa tubuh mereka. Perhatikan cara mereka duduk, ekspresi wajah, apa yang mereka lakukan dengan tangan mereka, nada suara mereka, dan pandangan mata mereka. Memerhati pesanan-pesanan yang tidak diucapkan ini dapat membantu anda memahami perasaan mereka yang anda ajar.

Juga berhati-hati dengan bahasa tubuh anda sendiri. Hantar satu pesanan yang penuh minat dan bersemangat dengan ikhlas mendengar.

Memberi Orang Masa Untuk Berfikir dan Membalas

Juruselamat sering menanya soalan-soalan yang memerlukan masa untuk seseorang bertindak balas. Apabila anda bertanya satu soalan, berhenti seketika untuk memberi peluang kepada orang itu untuk berfikir dan bertindak balas. Jangan takut jika senyap. Orang sering memerlukan masa untuk berfikir dan menjawab soalan atau untuk menyatakan perasaan mereka.

Anda mungkin berhenti sekejap selepas bertanya soalan, selepas berkongsi pengalaman rohani, atau ketika orang yang mengalami kesukaran untuk mengungkapkan diri. Pastikan anda memberi mereka masa untuk melengkapkan fikiran mereka sebelum anda bertindak balas. Jangan menyampuk semasa mereka bercakap.

Membalas dengan Empati

Apabila seseorang menjawab satu soalan, mulakan jawapan anda dengan menyatakan empati jika sesuai. Empati menunjukkan bahawa anda benar-benar prihatin. Jangan membuat kesimpulan sendiri, dengan segera menawarkan penyelesaian, atau menampakkan diri mempunyai semua jawapan.

Mengesahkan Bahawa Anda Memahami Apa Yang Orang Katakan

Apabila berusaha untuk memahami apa yang seseorang katakan, bertanya untuk memastikan anda faham. Contohnya, anda boleh bertanya, “Jadi apa yang anda katakan ialah . Betulkah?” atau “Jika saya faham, anda berasa .” Apabila anda tidak pasti jika anda faham, minta orang itu jelaskan dengan lebih.

Mengemudi Interaksi yang Mencabar

Anda akan membantu orang secara berkesan dengan mengajarkan mereka injil Yesus Kristus. Sesetengah orang mungkin mahu bercakap banyak. Kadangkala orang hanya perlukan seseorang untuk mendengar dengan belas kasihan terhadap perjuangan dan perasaan mereka. Ada yang mungkin ingin menguasai atau bertengkar.

Belajar untuk mengurus situasi seperti ini dengan bijak dan kasih. Anda boleh menyesuaikan ajaran anda menurut sesuatu yang orang itu kongsi. Atau anda mungkin perlu berkata dengan sopan bahawa anda ingin membincangkan kebimbangan mereka pada masa lain. Roh dapat membantu anda tahu bagaimana untuk bertindak balas dalam situasi yang mencabar.

Bantu Orang Berasa Selesa Berkongsi Perasaan Sejati

Untuk mengelakkan perasaan malu, sesetengah orang akan menjawab soalan-soalan secara mana mereka fikir anda inginkan daripada berkongsi perasaan sebenar mereka. Berusaha untuk mengembangkan perhubungan yang membenarkan mereka berasa selesa untuk berkongsi perasaan yang benar dengan anda.

Memahami dan berhubung dengan orang akan membenarkan anda untuk membantu mereka, memenuhi minat dan keperluan mereka, dan mengungkapkan kasih Juruselamat kepada mereka. Ciptakan satu perhubungan kepercayaan dengan jujur terhadap mereka, mengekalkan perhubungan misionari yang sesuai, dan menunjukkan hormat.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Renungkan betapa baiknya anda mendengar orang lain. Tulis jawapan bagi soalan-soalan di bawah dalam jurnal kajian anda. Atau bincangkannya bersama rakan anda.

A = Tidak pernah benar bagi saya, B = Kadangkala benar bagi saya, C = Biasanya benar bagi saya, D = Selalu benar bagi saya

  • Apabila orang lain bercakap dengan saya, saya memikirkan pengalaman serupa yang saya boleh kongsi dan bukannya mendengar dengan teliti.

  • Apabila orang lain memberitahu saya tentang perasaan mereka, saya cuba meletakkan diri dalam kedudukan mereka untuk melihat bagaimana perasaan saya.

  • Apabila saya mengajar orang, saya berfikir tentang apa yang saya akan katakan atau ajar seterusnya.

  • Saya berasa kecewa apabila orang banyak bercakap.

  • Saya bergelut untuk mengikuti atau memahami apa yang orang lain cuba beritahu saya.

  • Minda saya sering melayang semasa rakan saya sedang mengajar.

  • Saya menjadi marah jika seseorang bercakap dengan saya dan orang lain menyampuk atau mengganggu perhatian saya.

  • Saya menerima bisikan rohani untuk berkata atau melakukan sesuatu, tetapi saya tidak mempedulikannya.

Bantu Orang Mencari Jawapan kepada Soalan dan Kebimbangan Mereka

Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjawab soalan-soalan orang dan membantu mereka menyelesaikan kebimbangan mereka. Namun, ia bukan tanggungjawab anda untuk menjawab setiap soalan. Akhirnya, individu mesti menyelesaikan soalan dan kebimbangan mereka sendiri.

Sedar bahawa tidak semua soalan dan kebimbangan boleh dijawab dengan sepenuhnya. Beberapa jawapan menjadi lebih jelas seiring masa. Yang lain belum lagi diungkapkan. Fokus untuk membina landasan yang kukuh tentang kebenaran injil yang asas dan penting. Landasan ini akan membantu anda dan mereka yang anda ajar maju dengan kesabaran dan iman apabila terdapat soalan yang tidak terjawab atau sukar.

Beberapa asas untuk menjawab soalan-soalan digariskan dalam bahagian ini.

Yesus dan Wanita Samaria di Perigi

Memahami Kebimbangan

Beberapa hal yang anda ajarkan mungkin kelihatan susah atau asing bagi orang. Jika mereka mempunyai soalan atau kebimbangan, cuba memahaminya dengan jelas terlebih dahulu . Kadangkala kebimbangan orang adalah seperti bongkah ais. Hanya sebahagian kecil dapat dilihat di atas permukaan. Kebimbangan ini mungkin rumit. Berdoalah untuk kurnia membezakan, dan ikuti Roh dalam bagaimana anda bertindak balas. Bapa Syurgawi mengetahui hati dan pengalaman semua orang (bongkah ais yang lengkap). Dia akan membantu anda tahu apa yang terbaik untuk setiap orang.

Kerap kali kebimbangan adalah lebih sosial daripada ajaran. Contohnya, sesetengah orang mungkin takut tentangan daripada ahli keluarga jika mereka menyertai Gereja. Atau mereka mungkin takut akan penolakan daripada kawan-kawan mereka di tempat kerja.

Berusaha untuk memahami sumber kebimbangan dengan bertanya soalan dan mendengar. Adakah kebimbangan itu timbul kerana orang itu tidak mempunyai pengesahan rohani tentang kebenaran Pemulihan? Adakah ia bangkit kerana orang itu tidak mahu berjanji untuk menjalankan asas injil? Mengetahui akar kebimbangan mereka akan membantu anda tahu sama ada untuk fokus pada kesaksian atau komitmen.

Gunakan Tulisan Suci, Terutamanya Kitab Mormon, untuk Membantu Menjawab Soalan

Tunjukkan kepada orang bagaimana kebenaran dalam tulisan suci dapat membantu menjawab soalan mereka dan menjawab kebimbangan mereka. (Lihat “Kitab Mormon Menjawab Soalan-Soalan Jiwa” dalam bab 5.) Apabila orang mencari ilham dengan mengkaji dan mengaplikasikan tulisan suci, mereka akan meningkatkan keupayaan mereka untuk mendengar dan mengikuti Tuhan. Iman mereka kepada-Nya akan meningkat. Dengan iman yang meningkat akan datanglah kesaksian, pertaubatan dan tatacara pembaptisan.

Presiden Henry B. Eyring

“Kadangkala saya membuka tulisan suci untuk ajaran. Kadangkala saya membuka tulisan suci untuk arahan. Saya tanyakan satu soalan, dan soalan itu biasanya adalah ‘Apakah yang Tuhan ingin saya lakukan?’ atau ‘Apakah yang Dia ingin saya rasakan?’ Saya dibanjiri dengan idea-idea baharu, fikiran yang saya tidak pernah ada sebelum ini, dan saya menerima ilham dan arahan dan jawapan kepada soalan-soalan saya” (Henry B. Eyring, in “A Discussion on Scripture Study,” Ensign, Julai 2005, 22).

Ia boleh membantu untuk menjelaskan bahawa kebanyakan pemahaman kita tentang injil Yesus Kristus datang dari apa yang telah diungkapkan kepada Nabi Joseph Smith dan mereka yang menggantikan dia. Soalan-soalan tentang kebenaran injil boleh diselesaikan dengan memperoleh kesaksian bahawa Joseph Smith adalah seorang nabi Tuhan. Membaca dan berdoa tentang Kitab Mormon adalah cara penting untuk memperoleh kesaksian ini.

Bantu orang fokus untuk memperkuatkan iman mereka kepada Yesus Kristus. Membaca dan berdoa tentang Kitab Mormon adalah cara penting untuk menguatkan iman mereka.

Jemput Orang untuk Bertindak dengan Iman

Apabila orang mengembangkan dan memperkuatkan kesaksian mereka tentang injil yang dipulihkan, mereka akan dapat menjawab soalan dan kebimbangan mereka dari landasan iman. Apabila mereka bertindak dengan iman pada kebenaran yang mereka percaya, mereka akan memperoleh kesaksian tentang kebenaran injil yang lain.

Beberapa cara untuk bertindak dengan iman termasuk:

  • Berdoa sentiasa dan dengan niat yang bersungguh untuk ilham dan bimbingan.

  • Mengkaji tulisan suci, terutamanya Kitab Mormon.

  • Menghadiri gereja.

Kajian Dengan Rakan

Pilih satu jemputan untuk dihulurkan apabila anda mengajar satu pelajaran. Kemudian kenal pasti kebimbangan yang mungkin menghindari seseorang daripada menerima jemputan atau mentaati komitmen. Bincangkan dan berlatih bagaimana anda boleh membantu orang bekerja untuk menyelesaikan kebimbangan mereka.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Dalam jurnal kajian anda, tuliskan bagaimana anda akan merujuk kepada Joseph Smith dan Kitab Mormon untuk menjawab kebimbangan berikut:

  • “Saya tidak percaya bahawa Tuhan masih berbicara kepada orang.”

  • “Saya percaya bahawa saya boleh menyembah Tuhan dalam cara saya sendiri dan bukannya melalui satu agama yang diorganisasikan.”

  • “Mengapakah harus saya berhenti minum wain dengan makanan jika saya menyertai gereja anda?”

  • “Mengapakah saya perlukan agama?”

Tinggalkan Sesuatu untuk Dikaji dan Untuk Didoakan

Pada setiap penghujung kunjungan pengajaran, berikan orang sesuatu untuk dikaji, direnungkan, dan didoakan untuk bersedia bagi pertemuan seterusnya. Membaca, berdoa, dan merenungkan di antara kunjungan mengajar menjemput pengaruh Roh Kudus ke dalam kehidupan mereka.

Anda boleh menjemput orang untuk membaca bab tertentu dalam Kitab Mormon. Atau anda boleh menggalakkan mereka untuk menggunakan sumber-sumber Gereja, seperti Gospel Library, untuk mencari jawapan kepada soalan, belajar tentang satu topik, atau menonton satu video. Ini boleh menjadi topik pembukaan perbincangan pada pertemuan seterusnya.

seorang mengkaji tulisan suci

Elakkan daripada memberikan individu terlalu banyak hal untuk dilakukan, terutamanya jika anda mempunyai interaksi pengajaran yang pendek dan kerap dengan mereka.

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Pertimbangkan setiap orang yang anda jadualkan untuk ajar minggu ini. Apakah bab-bab dalam Kitab Mormon yang akan paling membantu mereka? Apakah sumber-sumber lain yang akan memberi manfaat kepada mereka? Catatkan apa yang anda berniat untuk sediakan bagi setiap orang. Catatkan juga apa yang anda akan lakukan untuk membuat susulan semasa kunjungan anda yang seterusnya.

Membantu Orang dengan Ketagihan

Anda boleh membantu orang yang bergelut untuk mengatasi ketagihan dengan membincangkan pergelutan mereka dengan penuh kasih, menyokong mereka, dan menghubungkan mereka dengan sumber-sumber. Anda boleh menggalakkan mereka untuk menghadiri salah satu kumpulan sokongan pemulihan ketagihan Gereja. Kumpulan-kumpulan ini boleh bertemu secara bersemuka atau dalam talian. (Lihat AddictionRecovery.ChurchofJesusChrist.org.) Galakkan mereka untuk menggunakan sumber-sumber dari bahagian “Ketagihan” dari Bantuan Hidup di Gospel Library.

Para pemimpin dan ahli Gereja tempatan juga boleh memberi sokongan. Sesetengah orang yang mempunyai ketagihan mungkin memerlukan rawatan perubatan dan kesihatan mental yang profesional.

Berikut adalah beberapa cadangan untuk bagaimana anda boleh menyokong orang yang bergelut untuk mengatasi ketagihan:

  • Memperkukuhkan usaha mereka untuk datang kepada Kristus. Bantu mereka melihat bahawa usaha mereka untuk pulih dan sembuh dikenali dan dihargai oleh Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Ajarkan mereka bahawa mereka boleh diperkuatkan melalui Juruselamat dan Korban Tebusan-Nya. Dia mengenali maksud hati mereka untuk melakukan kebaikan sepenuhnya .

  • Berdoa untuk mereka dalam doa peribadi anda, dan berdoa bersama mereka. Jika sesuai, galakkan mereka untuk mendapatkan berkat imamat daripada pemimpin imamat tempatan.

  • Teruskan mengajar mereka injil Yesus Kristus. Ajar mereka bahawa Bapa Syurgawi, Juruselamat, dan Roh Kudus mengasihi mereka dan menginginkan kejayaan mereka.

  • Galakkan mereka untuk menghadiri gereja dengan kerap dan mengembangkan persahabatan dengan ahli-ahli.

  • Jadilah positif dan menyokong, terutamanya jika mereka berbalik.

Yesus mencapai kepada seorang wanita

Ketagihan adalah sukar untuk diatasi, dan berbalik boleh berlaku. Para pemimpin dan ahli Gereja tidak harus terkejut dengan ini. Mereka harus menunjukkan kasih, bukan penghakiman.

Seorang ahli baharu yang berhenti menghadiri gereja mungkin telah kembali kepada ketagihan lama dan mungkin berasa tidak layak dan kecewa. Satu kunjungan segera dengan memberi galakan dan sokongan boleh membantu. Ahli-ahli harus menunjukkan dalam perkataan dan tindakan bahawa Gereja adalah tempat di mana kasih Kristus boleh ditemui (lihat 3 Nefi 18:32).

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Fikirkan seseorang yang anda ajar atau ahli baharu atau ahli yang sedang cuba mengatasi ketagihan. Kaji semula “Iman dalam Yesus Kristus” dan “Pertaubatan” dari pelajaran “Injil Yesus Kristus” dalam bab 3.

  • Apakah yang anda boleh ajarkan kepada orang ini dari pelajaran itu dan dari bab ini yang boleh membantu dia?

  • Cipta satu rancangan pelajaran untuk membantu orang ini.

Mengajar Orang yang Tidak Mempunyai Latar Belakang Kristian

Sesetengah orang yang anda ajar mungkin tidak mempunyai latar belakang Kristian atau mungkin tidak percaya kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Namun, ramai orang mempunyai kepercayaan, amalan, dan tempat yang mereka rasa kudus. Ia adalah penting untuk anda menunjukkan hormat terhadap kepercayaan dan tradisi agama mereka.

Bantu Mereka Memahami Siapakah Tuhan

Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana anda harus menyesuaikan ajaran anda untuk orang yang tidak mempunyai latar belakang Kristian. Asas-asas yang membantu seseorang memupuk iman adalah sama dalam semua budaya. Bantu orang memperoleh pemahaman yang betul tentang Tuhan dan misi ilahi Yesus Kristus. Cara terbaik untuk mereka mempelajari kebenaran ini adalah dengan memiliki pengalaman rohani peribadi. Beberapa cara anda boleh membantu mereka mempunyai pengalaman ini digariskan di bawah:

  • Ajarkan bahawa Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, dan Dia mengasihi kita. Kita adalah anak-anak-Nya. Jemput mereka untuk mencari kesaksian itu sendiri.

  • Ajar tentang rancangan penyelamatan.

  • Ajarkan bahawa Tuhan Bapa dan Yesus Kristus muncul kepada Nabi Joseph Smith.

  • Berikan kesaksian yang ikhlas tentang injil, termasuk bagaimana anda merasakan kasih Bapa Syurgawi dan mengapa anda memilih untuk mengikuti Yesus Kristus.

  • Jemput mereka untuk memberikan doa yang mudah dan tulus ikhlas—bersama anda dan secara peribadi.

  • Jemput mereka untuk membaca Kitab Mormon setiap hari—bersama anda dan secara peribadi.

  • Jemput mereka untuk menghadiri gereja.

  • Memperkenalkan mereka kepada ahli-ahli Gereja yang boleh menjelaskan bagaimana mereka mula percaya kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus.

  • Jemput mereka untuk mematuhi perintah-perintah.

Kebanyakan orang berhasrat untuk mempunyai hubungan yang lebih besar dengan Tuhan dan untuk mencari tujuan dan makna dalam kehidupan. Bantu mereka melihat bagaimana mereka adalah anak-anak Bapa di Syurga yang penuh kasih dan bagaimana Dia mempunyai rancangan untuk mereka. Contohnya, anda boleh bermula dengan mengatakan sesuatu seperti berikut:

Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, dan Dia mengasihi kita. Kita adalah anak-anak-Nya. Kita hidup dengan Tuhan sebelum kita dilahirkan ke dunia. Kerana kita semua anak-Nya, kita semua adalah saudara dan saudari. Dia berhasrat untuk kita kembali kepada Dia. Kerana kasih-Nya kepada kita, Dia telah menyediakan satu cara untuk kita kembali kepada Dia melalui Putera-Nya, Yesus Kristus.

Sesuaikan Pengajaran Anda Jika Perlu

Ramai penganut lain dari latar belakang bukan Kristian berkata bahawa mereka tidak memahami banyak tentang apa yang para misionari ajarkan. Namun, mereka merasakan Roh dan ingin melakukan apa yang para misionari minta. Lakukan semua yang anda boleh untuk membantu orang memahami ajaran injil. Bersabar dan menyokong. Ia mungkin mengambil masa untuk orang belajar mengenal pasti dan mengungkapkan perasaan mereka. Anda mungkin perlu menyesuaikan kelajuan dan kedalaman pengajaran anda untuk membantu mereka.

Cadangan-cadangan berikut boleh membantu semasa anda bersedia untuk mengajar orang yang tidak mempunyai latar belakang Kristian:

  • Fahami keperluan rohani atau minat yang mengilhamkan mereka untuk bertemu dengan anda.

  • Berikan gambaran keseluruhan dan ulasan yang mudah untuk setiap pelajaran.

  • Minta mereka memberitahu anda apa yang mereka faham dan apa yang mereka telah alami.

  • Jelaskan kata-kata dan asas-asas penting. Ramai orang mungkin tidak biasa dengan banyak perkataan yang anda gunakan semasa mengajar.

  • Kembali ke pelajaran yang diajar sebelum ini untuk mengajar ajaran dengan lebih jelas. Ini mungkin diperlukan bila-bila masa dalam proses pengajaran.

  • Mengenal pasti jemputan yang anda boleh berikan untuk membantu orang mengalami berkat-berkat injil.

Disenaraikan di bawah adalah beberapa sumber dalam Gospel Library yang anda boleh gunakan untuk membantu mereka yang tidak mempunyai latar belakang Kristian:

  • Siapakah Tuhan?

  • Siapakah Yesus Kristus?

  • Yesus Kristus, Putera Tuhan

  • Apakah yang Akan Berlaku Ketika Mengunjung Bersama Misionari-misionari Gereja Yesus Kristus Dari Orang Suci Zaman Akhir

  • Kepercayaan, NiIai dan Gaya Hidup Orang Islam dan Orang Suci Zaman Akhir

Kajian Peribadi atau Dengan Rakan

Jika boleh, kenal pasti seorang penganut baharu yang tidak mempunyai latar belakang Kristian sebelum bertemu dengan para misionari. Mengatur untuk bertemu dan bertanya tentang pengalaman penukaran hati mereka. Contohnya, anda boleh tanyakan orang itu tentang:

  • Apakah yang membimbing dia untuk percaya kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus.

  • Apakah pengalaman pertama kali berdoa.

  • Apakah perasaan kali pertama dia menerima jawapan kepada doa.

  • Peranan tulisan suci dalam penukaran hati mereka.

  • Apakah perasaan menghadiri gereja.

Tuliskan apa yang anda belajar dalam jurnal kajian anda.

Pertimbangkan untuk menjemput orang itu membantu anda mengajar seseorang yang tidak mempunyai latar belakang Kristian.


Idea-idea untuk Pengkajian dan Aplikasi

Kajian Peribadi

  • Andaikan anda diletakkan dalam situasi berikut. Bagaimanakah anda boleh menggunakan asas-asas dan kemahiran dalam bab ini untuk membantu orang-orang ini maju? Rancangkan bagaimana anda akan mengaplikasikannya dalam setiap situasi.

    • Seseorang yang telah bersedia untuk pembaptisan memberitahu anda bahawa dia tidak mahu bertemu dengan anda lagi.

    • Anda bertemu untuk kali ketujuh dengan seseorang yang telah diajar oleh beberapa pasang misionari sepanjang tempoh dua tahun. Hanya ada sedikit tanda-tanda kemajuan.

  • Pilih salah satu pelajaran misionari. Kenal pasti satu atau dua ayat suci dari setiap asas utama. Berlatih mengajar dari petikan-petikan yang digariskan dalam bahagian “Gunakan Tulisan Suci” bab ini.

Kajian Dengan Rakan dan Pertukaran Rakan

  • Baca cerita Amon dan Raja Lamoni dalam Alma 18–19 dan laporan tentang Harun dalam Alma 22:4–18. Semasa anda membaca, kenal pasti dan huraikan bagaimana Amon dan Harun:

    • Mengikuti Roh dan mengajar dengan kasih.

    • Mula mengajar.

    • Menyesuaikan ajaran mereka untuk memenuhi keperluan.

    • Memberikan kesaksian.

    • Menggunakan tulisan suci.

    • Bertanya soalan, mendengar, dan membantu mereka yang mereka ajar untuk menyelesaikan kebimbangan mereka.

    • Menggalakkan mereka yang diajar untuk membuat komitmen.

    Bincangkan bagaimana pelayanan dan pengajaran mereka memberi kesan kepada Raja Lamoni, ayahnya, dan Abis.

Majlis Daerah, Persidangan Zon, dan Majlis Kepimpinan Misi

  • Jemput ahli-ahli atau mereka yang sedang diajar ke pertemuan anda. Jelaskan kepada kumpulan itu bahawa anda mahu para misionari memperbaiki keupayaan mereka untuk berkongsi pesanan penting mereka. Pilih satu pelajaran dan satu kemahiran. Minta para misionari mengajar orang pelajaran yang anda telah pilih selama 20 minit, fokus pada kemahiran yang anda telah kenal pasti. Minta mereka menukar orang yang mereka ajar selepas 20 minit. Selepas para misionari telah mengajar, bawalah kumpulan itu bersama. Minta orang itu memberitahu para misionari apa yang paling berkesan dan satu cara mereka boleh memperbaiki diri.

  • Tunjukkan contoh-contoh video para misionari mengajar atau menghubungi orang. Pilih satu kemahiran dan bincangkan bagaimana para misionari menggunakan asas-asas untuk kemahiran itu dengan baik.

  • Pilih satu kemahiran, dan kenal pasti ajaran atau ayat-ayat suci yang menyokongnya. Ajarkan landasan ajaran tentang kemahiran kepada para misionari.

Pemimpin Misi dan Penasihat Misi

  • Sekali-sekala menemani para misionari semasa mereka mengajar. Rancangkan bagaimana anda boleh mengambil bahagian dalam pengajaran.

  • Galakkan para pemimpin tempatan untuk menyertai para misionari dalam kunjungan pengajaran mereka.

  • Tunjukkan dan bantu para misionari berlatih salah satu kemahiran pengajaran yang digambarkan dalam bab ini, seperti menanyakan soalan yang baik dan mendengar.

  • Tunjukkan penggunaan tulisan suci dengan berkesan apabila mengajar para misionari dalam persidangan zon, majlis kepimpinan misi, dan temu duga. Lakukan hal yang sama apabila anda mengajar bersama mereka.

  • Bantu para misionari fahami tulisan suci dan mengembangkan kasih terhadapnya. Elder Jeffrey R. Holland menasihati para pemimpin misi:

    “Jadikanlah kasih bagi firman Tuhan benar-benar penting dalam budaya misi anda. … Biasakan diri dengan wahyu-wahyu dan penggunaan tulisan suci standard sebagai salah satu ciri utama para misionari anda untuk seumur hidup mereka.

    “Apabila anda mengajar para misionari anda—dan itu akan selalu berlaku—ajarlah mereka dari tulisan suci. Biarkan mereka melihat di mana anda memperoleh kekuatan dan ilham anda. Ajar mereka untuk mengasihi dan bergantung pada wahyu-wahyu yang terkumpul itu.

    “Presiden misi [saya] mengajar dari Kitab Mormon dan tulisan suci [lain] setiap kali kami berada bersama dia, atau kelihatannya. Temu duga peribadi sering disertai dengan tulisan suci. Rangka panduan untuk … pertemuan-pertemuan didapati dari tulisan suci standard. …

    “Pada ketika itu kami tidak tahu, tetapi presiden kami sedang mempersenjatai kedua belah tangan kami, mendesak kami dengan segala tenaga jiwanya dan segala kebolehan yang dia milik untuk berpegang kuat pada batang besi agar kami tidak akan binasa [lihat 1 Nefi 15:23–25]” (“The Power of the Scriptures” kursus untuk pemimpin misi baharu, Jun 25, 2022).