“Mengajar tentang Yesus Kristus Tidak Kira Apa Yang Anda Ajar,” Mengajar dengan Cara Juruselamat: Untuk Semua Yang Mengajar di Rumah dan di Gereja (2022)
“Mengajar tentang Yesus Kristus Tidak Kira Apa Yang Anda Ajar,” Mengajar dengan Cara Juruselamat
Mengajar tentang Yesus Kristus Tidak Kira Apa Yang Anda Ajar
Terdapat banyak perkara untuk diajar dalam injil Yesus Kristus yang dipulihkan—asas, perintah, nubuat, dan cerita tulisan suci. Tetapi semua ini adalah cabang-cabang pokok yang sama, kerana semuanya mempunyai satu tujuan: untuk membantu semua orang datang kepada Kristus dan disempurnakan di dalam Dia (lihat Yarom 1:11; Moroni 10:32). Jadi tidak kira apa yang anda ajar, ingatlah bahawa anda sebenarnya sedang mengajar tentang Yesus Kristus dan bagaimana untuk menjadi seperti Dia. Roh Kudus dapat membantu anda belajar untuk mengenali kebenaran tentang Juruselamat dan kuasa penebusan-Nya dalam setiap asas injil, perintah, dan pengajaran nabi (lihat Yakub 7:10–11).
Adakah anda mengajar tentang pengorbanan? Pertimbangkan untuk meneroka bersama para pelajar bagaimana pengorbanan yang kita buat mengarahkan jiwa kita kepada “korban yang agung dan terakhir” Juruselamat (Alma 34:10). Adakah anda mengajar tentang kesatuan? Pertimbangkan untuk membincangkan kesatuan yang dicapai oleh Yesus Kristus dengan Bapa-Nya dan jemputan-Nya untuk kita bersatu dengan Mereka (lihat Yohanes 17). Lihat setiap topik injil sebagai satu peluang untuk mengajar dan belajar tentang Yesus Kristus.
Setiap perintah juga menyediakan peluang ini. Jangan hanya tumpukan pada hukum-hukum injil—belajar juga tentang Pemberi Hukum. Jika anda bincangkan Kata-kata Bijaksana dan hanya tentang apa untuk dilakukan dan tidak dilakukan untuk hidup sihat, anda terlepas peluang untuk merenungkan betapa mendalam Yesus Kristus mengambil berat tentang kita—kesejahteraan rohani dan jasmani kita—untuk memberi kita hukum ini. Tumpu pada kerelaan dan keinginan Juruselamat untuk memberkati kita dengan kuasa-Nya supaya kita mematuhi hukum-Nya. Setiap perintah yang diberi kepada kita mengungkapkan sesuatu tentang fikiran dan kehendak serta hati-Nya—peroleh kebahagiaan dalam penemuan ini bersama-sama!
Menekankan Teladan Yesus Kristus
Kita boleh menjadikan Yesus Kristus di pusat pengajaran dan pembelajaran dengan mengenali dan menekankan bahawa Dia adalah teladan sempurna bagi semua asas injil. Sebagai pengikut, kita tidak hanya mengikut asas-asas—kita mengikuti Yesus Kristus. Apabila kita tumpukan pada teladan sempurna Juruselamat, Roh Kudus akan bersaksi tentang Dia dan mengilhami kita untuk mengikuti-Nya.
Bayangkan seketika bahawa anda sedang mengajar asas bertahan sampai akhir. Perbincangan tentang bagaimana Juruselamat adalah teladan bertahan sampai akhir boleh membawa perasaan ketakziman yang manis terhadap-Nya. Apakah yang mungkin pelajar anda pelajari dan rasa dari teladan-Nya?
Mengajar tentang Gelaran, Peranan dan Sifat Yesus Kristus
Yesus Kristus mempunyai banyak gelaran dalam tulisan suci. Setiap satu mencerminkan salah satu peranan-Nya dalam rancangan Tuhan dan mengajar kita tentang sifat-sifat ilahi-Nya. Anda boleh pertimbangkan untuk meneroka bersama para pelajar apakah gelaran seperti Anak Domba Tuhan, Pembela, Penyempurna Iman Kita dan Cahaya Dunia ajarkan kita tentang Yesus Kristus. Sebagai tambahan juga, semasa anda membantu para pelajar untuk tahu lebih lanjut tentang Juruselamat, ketahuilah lebih daripada apa yang Dia katakan dan lakukan, siapakah Dia dan apakah peranan yang Dia ingin mainkan dalam kehidupan kita. Apabila anda belajar bersama tentang perwatakan dan sifat Juruselamat, Roh Kudus akan mendalamkan pemahaman dan kasih anda kepada-Nya.
Cari Lambang-lambang Yang Bersaksi tentang Yesus Kristus
“Segala hal,” Tuhan mengisytiharkan, “diciptakan dan dijadikan untuk memberi kesaksian tentang Aku” (Musa 6:63; lihat juga 2 Nefi 11:4). Dengan kebenaran itu, kita boleh belajar untuk melihat banyak lambang dalam tulisan suci yang bersaksi tentang Juruselamat. Lambang-lambang ini termasuklah benda-benda seperti roti, air, dan cahaya. Apabila kita memahami bagaimana objek-objek ini berkaitan dengan Juruselamat, ia boleh mengajar kita tentang kuasa dan sifat-sifat-Nya. Anda juga boleh mencari persamaan kehidupan Juruselamat dalam kehidupan para nabi, lelaki serta wanita yang setia dalam tulisan suci. Carilah lambang-lambang yang mengungkapkan kebenaran tentang Juruselamat di tempat yang anda mungkin terlepas pandang.