Seminari dan Institut
Membantu Pelajar Datang kepada Yesus Kristus


“Membantu Pelajar Datang kepada Yesus Kristus,” Mengajar dengan Cara Juruselamat: Untuk Semua Yang Mengajar di Rumah dan di Gereja (2022)

“Bantu Pelajar Datang kepada Yesus Kristus,” Mengajar dengan Cara Juruselamat

Yesus duduk bersama kanak-kanak kecil

Sebagai pengajar injil Yesus Kristus, kita membantu orang lain memahami dan bergantung pada ajaran, kuasa, dan kasih-Nya.

Membantu Pelajar Datang kepada Yesus Kristus

Tiada apa yang anda lakukan sebagai seorang pengajar akan memberkati pelajar lebih daripada membantu mereka mengenali Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dan merasakan kasih Mereka (lihat Yohanes 17:3). Fikirkan pengalaman yang telah membantu anda mengenali dan mengasihi Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Apakah yang anda telah lakukan untuk belajar tentang sifat, kuasa dan kasih Mereka? Bagaimanakah kasih anda terhadap Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus membawa anda kebahagiaan? Kemudian fikirkan apa yang kasih dan kuasa Mereka boleh lakukan untuk setiap orang yang anda ajar. (Lihat Alma 26:16; Musa 5:11.)

Matlamat utama kita dalam hidup ini adalah untuk menjadi lebih seperti Bapa Syurgawi dan kembali kepada-Nya. Cara kita mencapai matlamat itu adalah dengan datang kepada Yesus Kristus (lihat Yohanes 14:6). Inilah sebabnya, seperti yang nabi Nefi ajarkan, “kita berbicara berkenaan Kristus, kita berbahagia dalam Kristus” (2 Nefi 25:26).

Setiap anak Tuhan memerlukan cahaya dan kebenaran yang datang daripada Juruselamat dan boleh memilih untuk bertindak atasnya. Untuk menjadi pengajar injil Yesus Kristus bermaksud membantu orang lain memahami dan bergantung pada ajaran, kuasa penebusan, dan kasih sempurna-Nya. Pertimbangkan bagaimana idea-idea berikut dapat membantu anda mengilhami orang lain untuk lebih mengenali Yesus Kristus dan mengikuti-Nya.

Membantu Pelajar Kenal Pasti Kasih, Kuasa dan Belas Kasihan Tuhan dalam Kehidupan Mereka

Ia baik untuk tahu tentang kasih, kuasa dan belas kasihan Juruselamat, tetapi kita juga perlu mengalaminya . Melihat bagaimana Dia memberkati dan menyembuhkan orang dalam tulisan suci membantu kita mengembangkan iman yang lebih besar bahawa Dia boleh memberkati dan menyembuhkan kita. Contohnya, mempelajari tentang pengalaman Daniel adalah tidak sempurna jika ia tidak mengilhami kita untuk mempercayai Tuhan apabila kita menghadapi sarang singa kita sendiri.

Semasa anda membantu pelajar mengenali “belas kasihan [Tuhan] yang lembut” (1 Nefi 1:20), dari tulisan suci dan pengalaman mereka sendiri, mereka akan rasa dan tahu Tuhan sertai mereka dan akan berdiri di sisi mereka (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:6). Mereka akan melihat dan merasa realiti kasih dan belas kasihan Tuhan dalam keperluan dan keadaan peribadi mereka.

Yesus Berkhutbah di atas Bukit

Para pengajar boleh membantu pelajar mengalami kasih, kuasa, dan belas kasihan Juruselamat.

Membantu Pelajar Menguatkan Hubungan Mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus

Tujuan mengajar dan belajar tentang Yesus Kristus adalah untuk membantu setiap orang mendekati Dia dan Bapa Syurgawi kita. Bantu orang yang anda ajar untuk tidak hilang tujuan itu. Galakkan mereka untuk menguatkan hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dengan mengkaji tulisan suci, bertaubat secara berterusan, berbicara dengan Bapa dalam doa dan bersaksi tentang Bapa dan Putera. Mengajar pelajar melalui perkataan dan teladan bagaimana membuat dan mentaati perjanjian mengikat kita kepada Mereka. Bantu mereka tahu betapa kita berharga dan Mereka mengasihi kita. Memperkukuhkan iman mereka bahawa Yesus Kristus, melalui korban tebusan-Nya yang sempurna, adalah satu-satunya jalan kembali kepada Bapa kita. Berikan peluang kepada pelajar untuk menerima kesaksian daripada Roh Kudus, “yang memberikan kesaksian tentang Bapa dan Putera” (Musa 5:9).

Membantu Pelajar Berusaha Untuk Menjadi Lebih Seperti Yesus Kristus

Akhirnya, belajar tentang Yesus Kristus mengilhami kita untuk menjadi lebih seperti Dia. Tetapi menjadi seperti Dia hanya berlaku semasa kita bertindak dalam iman, baik dalam mahupun di luar kelas, membuat pilihan untuk mengikuti teladan-Nya dan menerima rahmat-Nya. Jemput pelajar untuk mencari bantuan Roh Kudus untuk mengenal pasti cara mereka boleh menjadi lebih seperti Juruselamat. Tawarkan bimbingan dan sokongan semasa pelajar berusaha untuk menjadi seperti Dia sepanjang hidup.

Yakub mengajarkan bahawa “segala hal yang telah diberikan oleh Tuhan sejak dari awal dunia” boleh mengajar kita tentang Yesus Kristus (2 Nefi 11:4). Pengajaran anda boleh menjadi salah satu hal tersebut. Letakkan Yesus Kristus pada pusat setiap pengajaran dan pengalaman pembelajaran. Semasa anda dan para pelajar “berbicara tentang Kristus, … berbahagia dalam Kristus, … berkhutbah berkenaan Kristus” (2 Nefi 25:26), Roh Kudus dapat menanam kesaksian tentang Juruselamat di lubuk minda dan hati setiap orang. Apabila anda membantu pelajar-pelajar anda mengenali Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus untuk diri mereka sendiri, mereka akan lebih berpaling kepada Mereka untuk bantuan, harapan, dan penyembuhan sepanjang hidup mereka.