Seminari dan Institut
Mengajar Ajaran


“Mengajar Ajaran,” Mengajar dengan Cara Juruselamat: Untuk Semua Yang Mengajar di Rumah dan di Gereja (2022)

“Mengajar Ajaran,” Mengajar dengan Cara Juruselamat

3:33

Mengajar Ajaran

Walaupun Yesus berkembang dalam kebijaksanaan dan pengetahuan sepanjang hidup-Nya, Dia tidak dididik secara rasmi seperti para pemimpin agama lain pada zaman-Nya. Namun apabila Dia mengajar, orang ramai kagum, mengatakan, “Bagaimanakah orang ini dapat mengetahui sebanyak ini, padahal dia tidak pernah dilatih untuk menjadi guru Taurat?” Mengapakah ajaran-ajaran-Nya sangat berkuasa? “Yang Aku ajarkan ini bukan ajaran-Ku,” Juruselamat menjelaskan, “melainkan ajaran Dia yang mengutus Aku” (Yohanes 7:15–16). Ajaran adalah kebenaran abadi—yang terdapat dalam tulisan suci dan kata-kata para nabi zaman akhir—yang menunjukkan kita cara untuk menjadi seperti Bapa di Syurga kita dan kembali kepada-Nya. Tidak kira apa pun pengalaman anda sebagai seorang pengajar, anda boleh mengajar dengan kuasa, seperti Juruselamat, dengan mengajar ajaran Bapa. Mereka yang anda ajar akan kagum dengan berkat-berkat yang Tuhan hantar apabila pengajaran dan pembelajaran anda berlandaskan firman-Nya.

Untuk Mengajar Ajaran

  • Belajar ajaran Yesus Kristus untuk diri anda sendiri.

  • Mengajar dari tulisan suci dan kata-kata para nabi zaman akhir.

  • Membantu pelajar mencari, kenal pasti, dan memahami kebenaran dalam tulisan suci.

  • Tumpukan pada kebenaran yang membawa kepada penukaran hati dan membina iman kepada Yesus Kristus.

  • Membantu pelajar mencari kaitan peribadi dalam ajaran Yesus Kristus.

Juruselamat Belajar Ajaran

Nampaknya jelas bahawa Juruselamat belajar dari tulisan suci pada masa remaja-Nya semasa Dia bertambah “bijaksana … dan Dia menyenangkan hati Tuhan” (Lukas 2:52). Pemahaman-Nya yang mendalam tentang ajaran Bapa terbukti apabila ibu bapa-Nya menemui Dia di bait suci pada usia muda, mengajar para pengajar Yahudi dan menjawab soalan-soalan mereka (lihat Terjemahan Joseph Smith, Lukas 2:46 [dalam Panduan Tulisan Suci]). Kemudian, apabila Setan menggodanya di padang belantara, pengetahuan Yesus tentang ajaran dalam tulisan suci membantu Dia menentang godaan (lihat Lukas 4:3–12).

Anda juga boleh belajar ajaran yang benar dengan lebih mendalam sebelum anda mengajarnya. Semasa anda bersedia untuk mengajar dan belajar dengan orang lain, cari dengan teliti apa yang Tuhan telah firmankan tentang kebenaran yang anda ajar. Kaji tulisan suci dan kata-kata para nabi hidup untuk penjelasan dan nasihat. Menjalani dan mengaplikasikan kebenaran yang anda pelajari akan menjemput Roh untuk mengajar anda ajaran dalam cara yang lebih mendalam dan untuk mengesahkan kebenaran ajaran dalam hati mereka yang anda ajar.

Soalan untuk Direnungkan: Mengapakah ia penting untuk memahami kebenaran injil untuk diri anda sendiri? Bagaimanakah anda telah memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang kebenaran injil? Apakah yang anda terilham untuk lakukan untuk memperbaiki pengkajian tulisan suci dan kata-kata para nabi hidup?

Dari Tulisan Suci: Amsal 7:1–3; 2 Nefi 4:15–16; Ajaran dan Perjanjian 11:21; 88:118

Juruselamat Mengajar dari Tulisan Suci

Selepas kematian Juruselamat, dua pengikut-Nya sedang berjalan dan bercakap dengan perasaan kesedihan dan kekaguman dalam hati mereka. Bagaimanakah mereka dapat memahami apa yang baru saja berlaku? Yesus dari Nasaret, lelaki yang mereka percaya untuk menjadi Penebus mereka, telah mati selama tiga hari sekarang. Dan kemudian terdapat laporan bahawa makam-Nya kosong, dengan para malaikat memaklumkan bahawa Dia hidup! Pada titik penting ini dalam iman para pengikut ini, seorang orang asing menyertai perjalanan mereka. Dia menenangkan mereka dengan “menerangkan apa yang tertulis tentang [Juruselamat] di dalam seluruh Alkitab kepada mereka.” Akhirnya, para pengembara sedar bahawa pengajar mereka ialah Yesus Kristus sendiri dan Dia telah bangkit. Bagaimanakah mereka mengenali Dia? “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap,” mereka kemudiannya merenungkan, “ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?” (Lukas 24:27, 32).

Elder D. Todd Christofferson mengajarkan, “Tujuan utama semua tulisan suci adalah untuk memenuhi jiwa kita dengan iman kepada Tuhan Bapa dan dalam Putera-Nya, Yesus Kristus” (“The Blessing of Scripture,” Liahona, Mei 2010, 34). Sepanjang pelayanan-Nya, Yesus menggunakan tulisan suci untuk mengajar, membetulkan, dan mengilhami orang lain. Pastikan pengajaran anda tidak beralih daripada tulisan suci dan kata-kata para nabi. Apabila anda bergantung pada firman Tuhan dengan beriman dalam pengajaran anda, anda boleh lakukan untuk orang lain apa yang Juruselamat telah lakukan. Anda boleh membantu mereka mengenali-Nya, kerana kita semua perlu iman kita kepada Juruselamat diperkuatkan dengan kerap. Kasih anda terhadap tulisan suci akan terbukti kepada mereka yang anda ajar, dan pengajaran anda akan menjemput Roh untuk menyebabkan hati mereka meluap dengan kesaksian tentang Bapa dan Putera.

Soalan untuk Direnungkan: Bagaimanakah anda telah dipengaruhi oleh seorang pengajar yang menggunakan tulisan suci untuk membantu anda lebih mengenali Juruselamat? Apakah yang anda boleh lakukan untuk lebih bergantung pada tulisan suci dan kata-kata para nabi semasa anda mengajar? Bagaimanakah anda dapat membantu mereka yang anda ajar mengenali dan mengasihi firman Tuhan?

Dari Tulisan Suci: Lukas 4:14–21; Alma 31:5; Helaman 3:29–30;3 Nefi 23

Juruselamat Membantu Orang Mencari, Mengenali, dan Memahami Kebenaran

Seorang guru Taurat bertanya Yesus, “Guru, apakah yang harus saya lakukan supaya mendapat hidup sejati dan kekal?” Sebagai jawapan, Juruselamat membimbing pertanyaan kepada tulisan suci: “Apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Bagaimana tafsiranmu?” Ini bukan sahaja membawa lelaki itu kepada jawapannya—”Kasihilah Tuhan Rajamu … dan sesama manusia”—tetapi juga kepada soalan susulan: “Siapakah sesama saya?” Juruselamat menjawab soalan ini dengan perumpamaan tentang tiga orang yang melihat seorang pengembara yang memerlukan. Hanya seorang daripada tiga orang itu, seorang Samaria, yang dibenci oleh orang Yahudi, berhenti untuk membantu. Yesus kemudian menjemput guru Taurat itu untuk menjawab soalannya sendiri: “Menurut pendapatmu, di antara ketiga-tiga orang itu, siapakah yang menjadi sesama orang yang dirompak itu?” (lihat Lukas 10:25–37).

Mengapakah Juruselamat mengajar dengan cara ini—menjawab soalan dengan jemputan untuk mencari, merenung, dan meneroka? Sebahagian daripada jawapannya adalah Tuhan menghargai usaha mencari kebenaran. “Carilah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan mendapatnya,” Dia telah berulang kali menjemput (lihat, contohnya, Matius 7:7; Lukas 11:9; Ajaran dan Perjanjian 4:7). Dia memberi ganjaran pada pencari yang bertindak dalam iman dan kesabaran.

Seperti Juruselamat, anda boleh membantu pelajar anda mengenali dan memahami kebenaran. Contohnya, tulisan suci dipenuhi dengan kebenaran injil, tetapi kadangkala ia memerlukan usaha untuk mencarinya. Semasa anda belajar bersama dari tulisan suci, berhenti dan tanya pelajar anda tentang kebenaran injil yang mereka perhatikan. Bantu mereka melihat bagaimana kebenaran ini berkaitan dengan rancangan keselamatan Bapa Syurgawi. Kadangkala kebenaran abadi dinyatakan dalam tulisan suci, dan kadangkala ia digambarkan dalam cerita dan kehidupan orang yang kita baca. Ia turut membantu untuk meneroka bersama latar belakang sejarah ayat-ayat yang anda baca, dan juga maksud ayat-ayat dan bagaimana ia berkaitan dengan kita hari ini.

Soalan untuk Direnungkan: Bagaimanakah anda mengenal pasti kebenaran abadi dalam tulisan suci atau kata-kata para nabi? Bagaimanakah kebenaran-kebenaran itu memberkati kehidupan anda? Apakah beberapa cara anda boleh membantu pelajar mengenali dan memahami kebenaran yang bermakna bagi mereka dan membawa mereka lebih dekat kepada Tuhan?

Dari Tulisan Suci: Yohanes 5:39; 1 Nefi 15:14; Ajaran dan Perjanjian 42:12

para pelajar sedang belajar

Kita boleh membantu mereka yang kita ajar mencari dan mengenali kebenaran untuk diri mereka sendiri.

Juruselamat Mengajar Kebenaran yang Membawa kepada Penukaran Hati dan Membina Iman

Satu hari Sabat, Juruselamat dan para pengikut-Nya, berasa lapar, melalui satu ladang dan mula memakan biji-bijian. Orang Farisi, selalu ingin menekankan asas-asas hukum Musa yang lebih baik, menunjukkan bahawa mengumpul biji-bijian secara teknikal adalah suatu bentuk pekerjaan, yang dilarang pada hari Sabat (lihat Markus 2:23–24). Dengan menggunakan frasa Nabi Yakub dalam Kitab Mormon, orang Farisi “memandang melampaui sasaran” (Yakub 4:14). Dalam kata lain, mereka terlalu menumpu pada tafsiran tradisional tentang perintah-perintah sehingga mereka terlepas tujuan ilahi perintah-perintah tersebut—untuk mendekatkan kita kepada Tuhan. Malah, orang Farisi bahkan tidak menyedari bahawa Orang yang memberi perintah untuk menghormati hari Sabat itu sedang berdiri di hadapan mereka.

Juruselamat mengambil peluang ini untuk bersaksi tentang identiti ilahi-Nya dan untuk mengajar mengapa hari Sabat adalah penting. Ia dicipta untuk kita sebagai hari untuk menyembah Tuhan Sabat, Yesus Kristus Sendiri (lihat Markus 2:27–28). Kebenaran-kebenaran tersebut membantu kita memahami bahawa perintah-perintah Tuhan adalah lebih daripada sekadar tingkah laku luaran kita. Ia bertujuan untuk membantu kita mengubah hati kita dan menjadi lebih bertukar hati sepenuhnya.

Pertimbangkan dengan cermat ajaran dan asas-asas yang anda putuskan untuk tumpukan. Walaupun terdapat banyak kebenaran dalam tulisan suci yang boleh dibincangkan, ia adalah paling baik untuk tumpukan pada kebenaran injil yang membawa kepada penukaran hati dan membina iman kepada Yesus Kristus. Kebenaran-kebenaran asas yang Juruselamat ajarkan dan tunjukkan mempunyai kuasa terbesar untuk mengubah kehidupan kita—kebenaran tentang Korban Tebusan-Nya, rancangan keselamatan, perintah-perintah untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi sesama, dan sebagainya. Jemput Roh untuk bersaksi tentang kebenaran-kebenaran ini, membantu ia pergi jauh ke dalam hati mereka yang anda ajar.

Soalan untuk Direnungkan: Apakah beberapa kebenaran injil yang telah membantu anda menjadi lebih bertukar hati kepada Yesus Kristus dan mempunyai iman yang lebih besar kepada-Nya? Bagaimanakah seorang pengajar telah membantu anda tumpukan pada kebenaran injil yang paling penting? Apakah yang anda boleh ajarkan yang akan membantu orang lain menjadi lebih bertukar hati kepada Yesus Kristus?

Dari Tulisan suci: 2 Nefi 25:26; 3 Nefi 11:34–41; Ajaran dan Perjanjian 19:31–32; 68:25–28; 133:57; Musa 6:57–62

Juruselamat Membantu Orang Ramai Mencari Kaitan Peribadi dalam Ajaran-Nya

“Lihatlah, orang ini menyambut orang yang dihina masyarakat, bahkan makan bersama-sama mereka,” orang Farisi merungut tentang Yesus—menunjukkan bahawa tindakan ini tidak sesuai untuk seorang guru Taurat (Lukas 15:2). Yesus melihat inilah peluang untuk mengajar mereka beberapa kebenaran rohani yang mendalam. Bagaimanakah Dia melakukannya? Bagaimanakah Dia membantu orang Farisi melihat itu adalah hati mereka—bukannya hati-Nya—yang tidak suci dan perlukan penyembuhan? Bagaimanakah Dia menggunakan ajaran-Nya untuk tunjukkan bahawa pemikiran dan kelakuan mereka perlu diubah?

Dia melakukan ini dengan bercakap kepada mereka tentang domba-domba yang sesat dari kawanan domba dan satu syiling yang hilang. Dia bercakap tentang seorang pemuda yang memberontak yang mencari keampunan dan seorang abang yang enggan menerimanya atau makan bersamanya. Setiap perumpamaan ini mengandungi kebenaran yang berkaitan dengan bagaimana orang Farisi melihat orang lain, mengajar mereka bahawa setiap jiwa bernilai besar (lihat Lukas 15). Juruselamat tidak memberitahu orang Farisi—atau sesiapa pun di antara kita—siapa orang itu dalam perumpamaan-Nya. Kadangkala kita adalah bapa yang risau itu. Kadangkala kita adalah abang yang iri hati itu. Seringkali kita adalah domba yang hilang atau anak yang memberontak itu. Tetapi tidak kira apa pun keadaan kita, melalui perumpamaan-Nya, Juruselamat menjemput kita untuk mencari kaitan dalam ajaran-ajaran-Nya—untuk tahu apa yang Dia mahu kita belajar dan apa yang kita perlu ubah dalam fikiran dan kelakuan kita sendiri.

Anda mungkin perhatikan bahawa sesetengah pelajar tidak tahu mengapa beberapa kebenaran penting bagi mereka. Semasa anda mempertimbangkan keperluan pelajar anda, fikirkan bagaimana kebenaran dalam tulisan suci mungkin bermakna dan berguna dalam keadaan mereka. Satu cara anda boleh membantu pelajar melihat kaitan kebenaran yang mereka temui adalah dengan menanya soalan seperti “Bagaimanakah ini dapat membantu anda dengan sesuatu yang anda sedang mengalami sekarang?” “Mengapakah ia penting untuk anda tahu tentang ini?” “Apakah perbezaan yang ini boleh bawa dalam hidup anda?” Mendengar mereka yang anda ajar. Benarkan mereka untuk bertanya soalan. Galakkan mereka untuk membuat hubungan antara ajaran-ajaran Juruselamat dan kehidupan mereka sendiri. Anda juga boleh berkongsi bagaimana anda telah menemui kaitan dengan kehidupan anda sendiri dalam apa yang anda ajarkan. Melakukan ini boleh menjemput Roh untuk mengajar para pelajar secara individu bagaimana ajaran boleh membuat perbezaan dalam kehidupan mereka.

Soalan untuk Direnungkan: Apakah yang menjadikan kebenaran injil bermakna dan berguna bagi anda? Apakah yang membantu anda mencari kaitan peribadi semasa mengkaji injil? Apakah yang anda sedang lakukan untuk tumpukan pada kebenaran yang berkaitan dengan mereka yang anda ajar?

Dari Tulisan Suci: 1 Nefi 19:23; 2 Nefi 32:3; Ajaran dan Perjanjian 43:7–9

Beberapa Cara untuk Menggunakan Apa yang Anda Sedang Belajar

  • Menilai apa yang anda sedang ajarkan untuk memastikan anda mengajar ajaran yang benar. Soalan-soalan ini boleh membantu:

    • Adakah apa yang saya rancang untuk ajar berdasarkan tulisan suci dan kata-kata para nabi zaman akhir?

    • Adakah beberapa nabi telah ajarkan ini? Apakah yang pemimpin-pemimpin Gereja sekarang mengajar tentangnya?

    • Bagaimanakah ini akan membantu orang lain membina iman kepada Yesus Kristus, bertaubat, dan maju sepanjang jalan perjanjian?

    • Adakah ini konsisten dengan dorongan Roh Kudus, atau adakah saya berasa tidak selesa secara rohani tentangnya?

  • Mengkaji firman Tuhan setiap hari untuk mempelajari ajaran yang benar untuk diri anda.

  • Minta pelajar untuk membaca tulisan suci dan kata-kata para nabi moden semasa anda mengajar.

  • Mengajar pelajar bagaimana untuk menggunakan nota kaki, Panduan Tulisan Suci, dan sumber-sumber lain semasa mereka mengkaji tulisan suci.

  • Jemput pelajar untuk mencari kebenaran dalam petikan tulisan suci atau cerita.

  • Berikan kesaksian tentang bagaimana anda tahu sesuatu ajaran adalah benar.

  • Gunakan cerita atau metafora untuk membantu pelajar memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang kebenaran injil.