“Ajar melalui Roh,” Mengajar dengan Cara Juruselamat: Untuk Semua Yang Mengajar di Rumah dan di Gereja (2022)
“Ajar melalui Roh,” Mengajar dengan Cara Juruselamat
Ajar melalui Roh
Apabila Juruselamat memerintahkan Joseph Smith dan Sidney Rigdon untuk mengkhutbahkan injil-Nya, Dia berjanji kepada mereka, “Roh Kudus akan dicurahkan dalam memberikan kesaksian untuk semua hal apa pun yang akan kamu katakan” (Ajaran dan Perjanjian100:8; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 42:15–17; 50:17–22). Janji yang sama digunakan untuk mereka yang mengajar injil, termasuk anda. Semasa anda mengajar injil Yesus Kristus, anda boleh memiliki Roh Kudus bersama anda untuk membimbing anda dan untuk bersaksi tentang kebenaran kepada minda dan hati mereka yang anda ajar (lihat Ajaran dan Perjanjian 8:2). Anda tidak bersendirian ketika anda mengajar, kerana “itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi datang daripada Roh Tuhan” (Markus 13:11).
Roh Kudus adalah pengajar sebenar. Tiada pengajar fana, tidak kira betapa mahir atau berpengalaman, yang boleh menggantikan peranan-Nya dalam bersaksi tentang kebenaran, bersaksi tentang Kristus dan mengubah hati. Tetapi semua pengajar boleh menjadi alat dalam membantu anak-anak Tuhan belajar melalui Roh.
Juruselamat Mempersiapkan Diri-Nya Secara Rohani untuk Mengajar
Untuk bersedia bagi pelayanan-Nya, Juruselamat meluangkan masa selama 40 hari di padang belantara untuk “bersama dengan Tuhan” (Terjemahan Joseph Smith, Matius 4:1 [dalam Panduan Tulisan Suci]). Tetapi persediaan rohani-Nya telah bermula lama sebelum itu. Apabila Setan menggoda-Nya, Dia dapat gunakan “firman kehidupan” yang Dia telah simpan untuk “jam yang tepat” ketika Dia memerlukannya (Ajaran dan Perjanjian 84:85). Fikirkan tentang usaha anda sendiri untuk menyediakan diri anda secara rohani untuk mengajar. Apakah yang anda pelajari dari Matius 4:1–11 tentang bagaimana anda boleh mengikuti teladan Juruselamat dalam persediaan rohani anda?
Roh ialah pengajar sebenar dan sumber penukaran hati yang benar. Pengajaran injil yang berkuasa memerlukan bukan sahaja persediaan pelajaran tetapi menyediakan diri anda secara rohani dengan baik sebelum anda mula mengajar. Jika anda bersedia secara rohani, anda akan lebih dapat mendengar dan mengikut bimbingan Roh semasa anda mengajar. Cara untuk menjemput Roh Kudus ke dalam pengajaran anda adalah untuk menjemput-Nya ke dalam hidup anda. Ini termasuk berusaha dengan tekun untuk mengikuti teladan Juruselamat dan menjalani injil-Nya dengan sepenuh hati anda. Dan kerana tidak seorang pun daripada kita melakukan ini dengan sempurna, ia juga bermaksud bertaubat setiap hari.
Soalan untuk Direnungkan: Apakah maksudnya bagi anda untuk menyediakan diri anda secara rohani untuk mengajar? Apakah yang anda rasa diilham untuk lakukan supaya dapat memperbaiki penyediaan diri secara rohani? Bagaimanakah persediaan rohani boleh membuat perbezaan dalam pengajaran anda?
Dari Tulisan Suci: Ezra 7:10; Lukas 6:12; Alma 17:2–3, 9; Ajaran dan Perjanjian 11:21; 42:13–14
Juruselamat Sentiasa Bersedia untuk Menjawab Keperluan Orang Lain
Yairus, pemimpin saumaah, berlutut di kaki Yesus, merayu-Nya untuk membantu anak perempuannya yang sedang nazak. Yesus dan para pengikut-Nya sedang berjalan melalui jalan yang sesak menuju rumah Yairus apabila tiba-tiba Yesus berhenti. “Siapa yang menyentuh saya?” Dia bertanya. Ia kelihatan seperti soalan yang pelik—di tempat sesak, siapa yang tidak menyentuh-Nya? Tetapi Juruselamat sedar bahawa di kalangan orang ramai itu, seseorang telah mendekati-Nya dengan keperluan khusus dan dengan iman untuk menerima penyembuhan yang Dia tawarkan. Masih ada masa untuk melawat anak perempuan Yairus. Tetapi pertama Dia berkata kepada wanita yang telah menyentuh pakaian-Nya, “Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera” (lihat Lukas 8:41–48).
Sebagai seorang pengajar, anda mungkin kadang-kadang mendapati diri anda tergesa-gesa untuk mengajar sesuatu yang anda telah bersedia untuk mengajar. Walaupun itu mungkin penting, pastikan anda tidak terlepas pandang keperluan mendesak seseorang yang anda ajar. Selain daripada bimbingan rohani yang anda cari semasa anda bersedia untuk mengajar, cari juga bimbingan Roh semasa anda sedang mengajar. Cuba sedar tentang keperluan, soalan, dan minat pelajar. Roh Kudus dapat membantu anda tahu bagaimana seorang pelajar menerima atau memahami sesuatu yang anda telah ajar. Dia mungkin akan mengilhami anda, kadangkala, untuk mengubah rancangan anda. Contohnya, anda mungkin terilham untuk meluangkan lebih banyak masa daripada yang anda inginkan dalam sesuatu topik atau tinggalkan beberapa perbincangan untuk kemudian bagi sesuatu yang lebih penting kepada pelajar sekarang.
Soalan untuk Direnungkan: Bilakah anda pernah merasakan seorang ibu bapa atau pengajar lain sedar tentang keperluan anda sebagai seorang pelajar? Adakah mereka yang anda ajar tahu bahawa anda lebih berminat dalam pembelajaran mereka daripada menyelesaikan pelajaran? Bagaimanakah anda boleh ungkapkan minat anda dengan lebih baik?
Dari Tulisan Suci: 1 Petrus 3:15; Alma 32:1–9; 40:1; 41:1; 42:1
Juruselamat Menyediakan Peluang bagi Orang untuk Diajar oleh Roh Kudus
Ia sukar bagi ramai orang pada zaman Yesus untuk memahami siapa Dia sebenarnya, tetapi terdapat banyak pendapat. “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” Tetapi kemudian Yesus menanya soalan yang menjemput para pengikut-Nya untuk ketepikan pendapat orang lain dan memandang ke dalam hati mereka sendiri: “Menurut kamu, siapakah Aku?” Dia mahu mereka mencari jawapan mereka bukan daripada “manusia” tetapi secara langsung daripada “Bapa-Ku di syurga.” Ia adalah kesaksian seperti ini—wahyu peribadi daripada Roh Kudus—yang membolehkan Petrus mengisytiharkan, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Tuhan, Anak Tuhan Yang Hidup” (lihat Matius 16:13–17).
Untuk hidup secara rohani pada zaman akhir, orang yang anda ajar perlukan kesaksian rohani tentang kebenaran. Anda tidak boleh memberikannya kepada mereka, tetapi anda boleh menjemput, menggalakkan, mengilhami, dan mengajar mereka untuk mencarinya. Anda boleh menjelaskan—melalui kata-kata dan tindakan anda—betapa pentingnya Roh Kudus untuk pembelajaran injil. Pertimbangkan, sebagai contoh, persekitaran pembelajaran yang anda cipta dan galakkan. Sesuatu yang mudah seperti susunan kerusi di dalam bilik atau cara anda menyapa dan berinteraksi dengan pelajar menetapkan nada rohani untuk pengalaman yang pelajar akan alami. Anda juga boleh menjemput pelajar untuk mempersiapkan diri mereka secara rohani untuk belajar, sama seperti anda bersedia secara rohani untuk mengajar. Minta mereka untuk bertanggungjawab ke atas roh yang mereka bawa. Dan anda boleh memberi peluang kepada mereka untuk merasai Roh bersaksi tentang Yesus Kristus dan injil-Nya. Kesaksian itu akan menjadi “batu” bagi mereka, “bahkan maut pun tidak dapat memusnahkan [mereka]” (Matius 16:18).
Soalan untuk Direnungkan: Apakah yang anda telah perhatikan yang menyumbang kepada persekitaran rohani untuk mempelajari injil? Apakah yang menjauhkan darinya? Apakah yang membantu orang yang anda ajar belajar daripada Roh? Fikirkan tentang keadaan di mana anda sering mengajar. Apakah perasaan anda ketika anda berada di situ? Bagaimanakah anda boleh menjemput Roh untuk hadir dengan lebih berkesan?
Dari Tulisan Suci: Lukas 24:31–32; Yohanes 14:26; 16:13–15; Moroni 10:4–5; Ajaran dan Perjanjian 42:16–17; 50:13–24
Juruselamat Membantu Orang Lain Mencari, Mengenali dan Bertindak atas Wahyu Peribadi
Tuhan ingin berkomunikasi dengan kita—dan Dia ingin kita tahu bahawa Dia sedang berkomunikasi dengan kita. Pada tahun 1829, seorang guru sekolah berumur 22 tahun bernama Oliver Cowdery belajar tentang ajaran yang berani dan menarik bahawa sesiapa pun boleh menerima wahyu peribadi. Tetapi dia mempunyai soalan yang serupa dengan apa yang banyak di antara kita telah bertanya: “Adakah Tuhan benar-benar cuba bercakap dengan saya? Dan bagaimanakah saya dapat tahu apa yang Dia katakan?” Untuk menjawab soalan-soalan ini, Yesus Kristus menjemput Oliver untuk berfikir kembali pada masa peribadi pencarian rohani. “Tidakkah Aku memfirmankan kedamaian pada fikiranmu tentang hal ini?” Dia bertanya (lihat Ajaran dan Perjanjian 6:21–24). Kemudian, Dia mengajar Oliver tentang cara lain Roh boleh berbicara kepadanya (lihat Ajaran dan Perjanjian 8:2–3; 9:7–9; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 11:12–14).
Hidup dalam dunia yang sering kali tidak sedar akan hal-hal rohani, kita semua memerlukan bantuan untuk mengenali suara Roh. Kita mungkin merasai Roh tanpa menyedarinya. Dan kita semua dapat mempelajari lebih lanjut tentang cara mencari Roh, mengenali pengaruh-Nya, dan bertindak atas dorongan yang Dia berikan kepada kita. Semasa anda mengajar, bantu pelajar menemui cara Roh boleh berkomunikasi—dan bagaimana Dia berkomunikasi dengan mereka. Salah satu kurnia terbesar yang anda boleh berikan sebagai seorang pengajar adalah untuk membantu mereka yang anda ajar maju dalam mencari wahyu peribadi sepanjang hidup ini.
Soalan untuk Direnungkan: Mengapakah ia penting untuk belajar untuk menerima wahyu peribadi? Adakah seseorang pernah membantu anda memahami bagaimana untuk mencari dan mengenali wahyu? Bagaimanakah anda dapat menggalakkan pelajar anda untuk mencari, mengenali, dan bertindak atas wahyu daripada Roh Kudus?
Dari Tulisan Suci: Galatia 5:22–23; Alma 5:45–47; Ajaran dan Perjanjian 42:61; 121:33; Joseph Smith—Sejarah 1:8–20
Juruselamat Memberi Kesaksian kepada Mereka yang Dia Ajar
Pada masa pengajaran dan pelayanan yang lembut, Yesus berusaha untuk menghibur kawan-Nya Marta, yang saudaranya telah meninggal dunia. Dia berkongsi dengannya satu kesaksian yang mudah tentang kebenaran abadi: “Saudaramu akan hidup kembali” (Yohanes 11:23). Kesaksian-Nya mengilhami Marta untuk berkongsi kesaksian Marta sendiri: “Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat” (Yohanes 11:24). Perhatikan bagaimana pola ini berulang dalam Yohanes 11:25–27. Apakah yang mengagumkan anda tentang teladan Juruselamat? Mengapakah berkongsi kesaksian tentang kebenaran injil merupakan bahagian penting dalam pengajaran?
Kesaksian anda boleh mempunyai pengaruh yang kuat terhadap mereka yang anda ajar. Ia tidak perlu berbunga atau panjang. Dan ia tidak perlu bermula dengan “Saya ingin memberi kesaksian saya.” Hanya berkongsi apa yang anda tahu melalui kuasa Roh Kudus. Kesaksian tentang kebenaran adalah paling berkuasa apabila ia langsung dan ikhlas. Berikan kesaksian tentang Juruselamat, injil dan kuasa-Nya dalam hidup anda dengan kerap, dan galakkan mereka yang anda ajar untuk melakukan yang sama. Dan ingatlah bahawa kadangkala kesaksian yang paling berkuasa tidak diberikan oleh pengajar tetapi oleh seorang pelajar.
Soalan untuk Direnungkan: Cari contoh-contoh dalam tulisan suci yang menggambarkan pengaruh berkuasa seseorang yang memberi kesaksian. Apakah yang anda pelajari dari contoh-contoh itu? Bilakah anda telah diberkati oleh kesaksian seseorang? Bagaimanakah berkongsi kesaksian anda mempengaruhi mereka yang anda ajar? Bagaimanakah ia telah mempengaruhi anda?
Dari Tulisan Suci: Kisah Rasul-Rasul 2:32–38; Mosia 5:1–3; Alma 5:45–48; 18:24–42; 22:12–18; Ajaran dan Perjanjian 46:13–14; 62:3