Seminari dan Institut
Kasihi Mereka Yang Anda Ajar


“Kasihi Mereka yang Anda Ajar,” Mengajar dengan Cara Juruselamat : Untuk Semua Yang Mengajar di Rumah dan di Gereja (2022)

“Kasihi Mereka yang Anda Ajar,” Mengajar dengan Cara Juruselamat

3:11

Kasihi Mereka Yang Anda Ajar

Segala yang Juruselamat lakukan sepanjang pelayanan duniawi-Nya didorong oleh kasih. Apabila kita berusaha untuk menjadi pengikut sejati Kristus, kita boleh dipenuhi dengan kasih yang sama (lihat Yohanes 13:34–35; Moroni 7:47–48; 8:26). Apabila kasih Juruselamat berada dalam hati kita, kita mencari setiap cara yang mungkin untuk membantu orang lain belajar tentang Kristus dan datang kepada-Nya. Kasih menjadi motivasi untuk pengajaran kita.

Untuk Kasihi Mereka Yang Anda Ajar

  • Lihat para pelajar seperti mana Tuhan melihat mereka.

  • Berusaha untuk mengenali mereka—memahami keadaan, keperluan, dan kekuatan mereka.

  • Berdoalah untuk mereka mengikut nama.

  • Ciptakan satu persekitaran yang selamat di mana semua dihormati dan tahu bahawa sumbangan mereka dihargai.

  • Cari cara yang sesuai untuk menunjukkan kasih anda.

Juruselamat Melihat Potensi Ilahi dalam Semua Orang yang Dia Ajar

Kebanyakan orang di Yerikho menyangka mereka tahu semua yang mereka perlu tahu tentang Zakheus. Dia seorang pemungut cukai—ketua pemungut cukai—dan dia kaya. Jelasnya, mereka fikir, dia mesti tidak jujur dan tidak baik. Tetapi Yesus melihat hati Zakheus dan melihat “anak Abraham” yang terhormat (lihat Lukas 19:1–10). Juruselamat melihat orang bukan sahaja seperti mereka kelihatan di luaran tetapi diri mereka yang sebenar—dan sebagaimana mereka boleh menjadi. Dalam nelayan-nelayan yang tidak berpengalaman seperti Simon, Andreas, Yakobus, dan Yohanes, Dia melihat pemimpin-pemimpin Gereja-Nya di masa depan. Dalam Saulus, si penganiaya, Tuhan melihat “sebuah bejana yang dipilih,” yang akan mengkhutbahkan injil-Nya di hadapan raja-raja dan bangsa-bangsa (lihat Kisah Rasul-Rasul 9:10–15). Dan dalam anda dan setiap orang yang anda ajar, Juruselamat melihat seorang putera atau puteri Tuhan dengan potensi yang tidak terbatas.

Di kalangan orang yang anda ajar, mungkin ada beberapa orang yang kelihatan setia dan bertukar hati dan orang lain yang kelihatan tidak berminat atau bahkan memberontak. Jangan membuat anggapan berdasarkan apa yang anda lihat sahaja. Roh Kudus dapat membantu anda melihat dalam setiap orang beberapa perkara yang Juruselamat lihat—dan membantu anda mula mengasihi mereka seperti Dia kasihi.

Soalan untuk Direnungkan: Fikirkan tentang setiap orang yang anda ajar, dan renungkan bagaimana perasaan Bapa Syurgawi dan Yesus tentang setiap mereka. Apakah yang Mereka boleh lihat dalam diri dia? Bagaimanakah pemikiran ini mempengaruhi cara anda mengajar orang itu?

Dari Tulisan Suci: 1 Samuel 16:7; Mazmur 8:4–5; Roma 8:16–17; Ajaran dan Perjanjian 18:10–14

Juruselamat Mengenali Kita dan Memahami Keadaan, Keperluan dan Kekuatan Kita

Wanita Samaria itu tidak datang ke perigi untuk mendengar pesanan injil. Dia datang untuk mendapatkan air. Tetapi Juruselamat dapat melihat bahawa kehausan dia lebih daripada kehausan jasmani. Tuhan tahu bahawa dia mempunyai masalah lalu dengan perhubungan yang tidak kukuh. Jadi Yesus menyentuh keperluan jasmani yang timbulkan minat segera—air yang menyokong kehidupan—dan menghubungkannya dengan keperluan rohani yang lebih mendalam untuk “air yang memberikan hidup” dan “kehidupan abadi.” Pada akhir perbualan mereka, wanita itu mempunyai kesaksian peribadi bahawa Yesus ialah Kristus, diilhami oleh betapa Dia mengenalinya. “[Dia] memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan,” dia berkata. “Mungkinkah Dia Penyelamat yang diutus oleh Tuhan?” (lihat Yohanes 4:6–29).

Menjadi seorang pengajar seperti Kristus termasuk mengenali orang yang anda ajar dan berusaha untuk memahami apa yang ada dalam hati mereka. Anda boleh tunjukkan minat dalam kehidupan mereka dan menunjukkan belas kasihan. Anda boleh mencari cara untuk memahami latar belakang, bakat, minat, dan keperluan mereka. Anda boleh mengetahui bagaimana mereka belajar dengan paling baik. Anda boleh menanya soalan, mendengar dengan teliti, dan memerhati. Dan paling penting sekali, anda boleh berdoa untuk pemahaman yang hanya roh dapat berikan. Apabila anda mengenali seseorang dengan lebih baik, anda lebih mampu untuk membantu dia mencari makna peribadi dan kuasa dalam injil Yesus Kristus. Apabila anda memahami kehausan seseorang, Roh boleh mengajar anda bagaimana untuk membantu memenuhinya dengan air hidup Juruselamat.

Soalan untuk Direnungkan: Apakah yang anda sudah tahu tentang orang yang anda ajar? Apakah yang penting bagi mereka? Apakah kekuatan mereka? Apakah cabaran yang mereka hadapi? Apakah yang anda boleh lakukan untuk lebih memahami mereka?

Dari Tulisan Suci: Mazmur 139:1–5; Matius 6:25–32; Markus 10:17–21; Yohanes 10:14; 3 Nefi 17:1–9

Juruselamat Berdoa untuk Mereka yang Dia Ajar

Bayangkan bagaimana perasaan Simon Petrus apabila dia mendengar Juruselamat berkata kepadanya, “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, … tetapi Aku telah berdoa untukmu, supaya imanmu tidak goyah” (Lukas 22:31–32). Bagaimanakah ia mempengaruhi anda untuk tahu bahawa Yesus Kristus berdoa kepada Bapa untuk anda? Orang Amerika purba mempunyai pengalaman seperti ini, dan mereka menggambarkannya dengan cara ini: “Tidak seorang pun dapat memahami kebahagiaan yang memenuhi jiwa kami pada waktu kami mendengar [Yesus] berdoa bagi kami kepada Bapa” (3 Nefi 17:17).

Anda juga boleh berfikir tentang apa yang berlaku dalam diri anda apabila anda berdoa untuk seseorang—secara konsisten, dengan nama. Bagaimanakah doa anda mempengaruhi perasaan anda tentang orang itu? Bagaimanakah ia mempengaruhi tindakan anda? Sudah tentu Bapa Syurgawi kita mendengar dan menjawab doa-doa ikhlas seorang pengajar yang ingin membantu seorang pelajar. Dan dalam banyak situasi, salah satu cara Dia menjawab doa-doa itu adalah dengan menyentuh hati pengajar dan mengilhami dia untuk melakukan atau mengatakan sesuatu yang akan membantu pelajar merasakan kasih-Nya.

Soalan untuk Direnungkan: Semasa anda berfikir tentang orang yang anda ajar, adakah sesiapa yang anda rasa mempunyai keperluan khusus untuk doa anda? Apakah yang anda terilham untuk berdoa bagi pihak dia? Apakah berkat yang mungkin datang apabila anda menjemput pelajar untuk berdoa bagi satu sama lain?

Dari Tulisan Suci: Yohanes 17; Alma 31:24–36; 3 Nefi 18:15–24; 19:19–23, 27–34

Juruselamat Memastikan Semua Rasa Dihormati dan Dihargai

Sikap umum di kalangan pemimpin agama pada zaman Yesus adalah para pendosa harus dicela. Oleh kerana ini, apabila para pemimpin ini melihat Yesus berinteraksi dengan orang berdosa, mereka terkejut. Bagaimanakah seseorang yang berinteraksi dengan orang-orang seperti itu menjadi pengajar rohani?

Tentunya Yesus mempunyai pendekatan yang berbeza. Dia cuba menyembuhkan mereka yang sakit secara rohani (lihat Markus 2:15–17; Lukas 4:17–18). Dia secara konsisten menghulurkan tangan kepada mereka yang berbeza daripada orang di sekeliling mereka atau yang bermasalah, dan Dia berinteraksi dengan mereka yang telah berdosa. Dia memuji iman seorang askar Roma (lihat Matius 8:5–13). Dia memanggil seorang pemungut cukai yang tidak dipercayai untuk menjadi salah seorang pengikut-Nya yang dipercayai (lihat Markus 2:14). Apabila seorang wanita dituduh berzina, Dia membuatnya rasa selamat dan mengilhaminya untuk bertaubat dan menjalani kehidupan yang lebih baik (lihat Yohanes 8:1–11).

Tetapi Yesus melakukan lebih daripada itu. Dia memeluk sikap penerimaan dan kasih yang sama di kalangan para pengikut-Nya. Teladan-Nya sememangnya berada dalam hati para Rasul-Nya apabila tiba masanya untuk mereka membawa injil kepada semua orang. Ia digambarkan dalam kata-kata Petrus: Sekarang barulah saya sedar bahawa Tuhan memperlakukan semua orang dengan sama rata” (Kisah Rasul-Rasul 10:34).

Mungkin hampir semua orang yang anda dipanggil untuk ajar sedang bergelut untuk rasa dihormati dan dihargai. Dengan cara anda mengasihi dan menghormati mereka, anda boleh berkomunikasi bahawa mereka bukan sahaja dialu-alukan tetapi diperlukan. Anda boleh menghubungi mereka yang tidak hadir, yang bergelut, atau yang nampaknya tidak berminat, bersabar jika kemajuan nampak lambat. Anda boleh membantu semua orang berasa selamat dan selesa berkongsi kebimbangan mereka dengan orang yang percaya. Dan anda boleh melakukan lebih daripada itu. Anda boleh mengilhami semua pelajar untuk membantu anda mencipta persekitaran di mana ajaran diajar dengan semangat hormat, tergolong dan kasih.

Soalan untuk Direnungkan: Apakah yang membantu seseorang rasa dihormati dan dihargai? Apakah yang mengilhami seseorang untuk menghormati dan menghargai orang lain? Semasa anda penuh doa berfikir tentang orang yang anda ajar, apakah yang anda terilham untuk lakukan supaya mereka semua dapat rasa dialu-alukan dan diperlukan?

Dari Tulisan Suci: Yohanes 4; 2 Nefi 26:27–28, 33; Alma 1:26; 3 Nefi 18:22–25

ayah mengajar anak-anak

Pengajar boleh membantu orang yang mereka ajar berasa dikasihi.

Juruselamat Menyatakan Kasih-Nya kepada Mereka yang Dia ajar

Pada akhir hari pengajaran dan pelayanan di kalangan bangsa Nefi yang menakjubkan, Yesus memerhatikan bahawa sudah tiba masanya untuk Dia pergi. Ada lagi orang lain untuk Dia kunjungi. “Kembalilah kamu ke rumah-rumahmu,” Dia berkata, “dan sediakanlah minda-mindamu untuk keesokan hari.” Tetapi orang ramai hanya duduk di sana “berlinangan air mata,” memandang “dengan tabah kepada-Nya seolah-olah mereka hendak meminta-Nya untuk tinggal lebih lama sedikit bersama mereka.” Melihat keperluan mereka yang tidak diucapkan dan “dipenuhi dengan rasa kasihan,” Yesus tinggal lebih lama sedikit (3 Nefi 17:3, 5–6). Dia memberkati mereka yang sakit dan sengsara. Dia berlutut dan berdoa bersama mereka. Dia menangis bersama mereka, dan Dia bersukacita bersama mereka.

Pertimbangkan untuk mengkaji firman dan tindakan Juruselamat dengan penuh doa dalam 3 Nefi 17. Renungkan kasih yang Dia ungkapkan kepada mereka yang Dia ajar. Carilah ungkapan kasih-Nya di tempat lain dalam tulisan suci. Kemudian fikirkan tentang orang yang anda ajar. Bagaimanakah anda mengungkapkan kasih kepada mereka dengan sesuai? Biarkan Roh membimbing anda. Jika anda rasa susah untuk berasa atau mengungkapkan kasih kepada mereka yang anda ajar, mulakan dengan bersaksi tentang kasih Tuhan. Kemudian “berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan [kasih murni Kristus], yang telah Dia berikan kepada semua yang merupakan pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus” (Moroni 7:48). Dan ingatlah bahawa kebimbangan anda untuk mengajar pelajaran tidak harus mengalihkan perhatian anda daripada mengungkapkan kasih melalui kata-kata dan tindakan anda. Sering kali cara anda melayani orang sama pentingnya seperti apa yang anda ajari mereka.

Soalan untuk Direnungkan: Bagaimanakah Juruselamat telah membantu anda tahu kasih-Nya kepada anda? Bagaimanakah ibu bapa atau pengajar lain telah membantu anda merasakan kasih-Nya? Adakah orang yang anda ajar tahu bahawa anda mengasihi mereka? Adakah mereka tahu bahawa Juruselamat mengasihi mereka?

Dari Tulisan Suci: Markus 6:31–42; Yohanes 13:3–16, 34–35; 15:12–13; 1 Korintus 13:1–7; 1 Yohanes 4:7–11

Beberapa Cara untuk Menggunakan Apa yang Anda Sedang Belajar

  • Jika anda mengajar satu kelas, pelajari nama-nama pelajar dan gunakannya apabila anda mengajar.

  • Nyatakan kesyukuran anda apabila pelajar menyumbang.

  • Berinteraksi dengan pelajar sebelum dan selepas anda mengajar.

  • Bantu pelajar mengembangkan suasana kasih dan hormat kepada satu sama lain.

  • Dengar dengan sungguh-sungguh—apabila anda mengajar dan pada masa-masa lain.

  • Lakukan tindakan pelayanan bagi mereka yang anda ajar.

  • Bersedia untuk mengubah rancangan pengajaran anda bagi meluangkan lebih banyak masa pada asas-asas yang bermakna bagi mereka yang anda ajar.