2010–2019
Pengorbanan
April 2012


Pengorbanan

Kehidupan kita yang penuh pelayanan dan pengorbanan adalah gambaran yang paling sesuai akan azam kita untuk melayani Pemimpin kita dan orang di sekitar kita.

Pengorbanan Yesus Kristus yang menebuskan telah dinamakan “peristiwa yang paling unggul dari yang lain, sejak kejadian manusia sampai ke zaman keabadian yang tak berkesudahan.”1 Pengorbanan ini yang menjadi pesanan utama semua nabi. Ia dilambangkan oleh pengorbanan haiwan-haiwan yang ditetapkan oleh hukum taurat. Seorang nabi menyatakan bahawa makna pengorbanan ini “menunjuk kepada pengorbanan yang agung dan terakhir… dari Putera Tuhan, ya, tak terbatas dan abadi ((Alma 34:14). Yesus Kristus mengharungi penderitaan yang tak boleh digambarkan untuk menjadikan diri-Nya korban bagi dosa semua orang. Pengorbanan ini mempersembahkan sesuatu yang paling baik—domba yang suci itu, tanpa noda—sebagai ganti yang paling jahat—dosa seluruh dunia. Menurut kata-kata Eliza R. Snow yang termasyhur:

Darahnya yang amat berharga telah Dia curahkan dengan murah-murah;

Begitu juga telah Dia korbankan nyawa-Nya

Korban yang tak berdosa sebagai ganti kesalahan

Untuk menyelamatkan sebuah dunia yang mati.2

Pengorbanan inilah—Korban Tebusan Yesus Kristus—yang menjadi pusat rancangan keselamatan.

Penderitaan Yesus Kristus yang tak boleh digambarkan itu telah mengakhiri korban-korban dengan pencurahan darah, tetapi ia tidak mengakhiri pentingnya pengorbanan dalam rancangan injil. Penyelamat kita masih mengehendaki pengorbanan dari kita, tetapi pengorbanan yang kini dikehendaki-Nya ialah bahawa kita “mempersembahkan sebagai korban kepada-(Nya) sebuah hati yang hancur dan roh yang menyesal” (3 Nefi 9:20). Dia juga kehendaki dari kita bahawa kita menyayangi dan melayani sesama sendiri—iaitu, memberikan sesuatu yang sedikit sebanyak menyerupai pengorbanan-Nya, dengan berkorban masa dan apa yang diutamakan kita. Dalam nyanyian yang diilhami, kita bernyanyi, “Pengorbanan mendatangkan berkat-berkat syurga.”3

Saya akan berucap tentang pengorbanan yang fana ini yang telah dikehendaki Juruselamat dari kita. Ini tidak merangkumi pengorbanan yang dipaksa dari kita, tidak juga kelakuan yang dirangsang oleh keinginan peribadi dan bukan oleh pelayanan atau pengorbanan (lihat 2 Nefi 26:29).

I.

Agama Kristian berakar dalam sejarah yang penuh pengorbanan, termasuk pengorbanan yang unggul itu. Pada tahun-tahun zaman Kristian yang pertama, Kerajaan Rom menyembelihkan beribu-ribu orang kerana iman mereka kepada Yesus Kristus. Pada kurun-kurun yang seterusnya, semasa pertikaian doktrin di antara penganut Kristian membuat mereka berpecah-pecah, beberapa kumpulan menganiayai dan bahkan menghukum mati ahli-ahli kumpulan yang lain. Penganut Kristian dibunuh oleh penganut Kristian yang lain—ini merupakan mati syahid yang paling menyedihkan di dalam sejarah Agama Kristian.

Ramai penganut Kristian telah berkorban secara sukarela, dirangsang oleh iman kepada Kristus dan keinginan mereka untuk melayani-Nya. Ada beberapa orang yang telah memilih untuk membaktikan seluruh hidup dewasa mereka untuk melayani Pemimpin mereka. Kumpulan yang mulia ini termasuk mereka yang mengikut mazhab-mazhab Gereja Katolik dan mereka yang telah melayani seumur hidup mereka sebagai mubaligh Kristian dalam mazhab Protestan yang berbagai-bagai. Teladan mereka mencabarkan dan memberangsangkan, tetapi kebanyakan penganut Kristian tidak dikehendaki mahupun berkemampuan membaktikan seluruh hidup mereka dalam pelayanan agama.

II.

Bagi kebanyakan pengikut Kristus, pengorbanan kita merangkumi apa yang kita mampu lakukan sehari-hari dalam hidup peribadi kita yang biasa. Dalam pengalaman ini, saya tidak kenal sebuah kumpulan yang ahli-ahlinya berkorban lebih daripada Orang-orang Suci Zaman Akhir. Pengorbanan mereka—pengorbanan anda, saudara dan saudari—bertentangan dengan usaha-usaha duniawi yang bertujuan untuk mencapai hasrat tersendiri.

Contoh saya yang pertama adalah peneroka Mormon. Pengorbanan yang agung ini—nyawa, hubungan keluarga, rumah, dan penghiburan—merupakan dasar injil yang dipulihkan. Sara Rich berkata tentang apa memberi perangsang kepada peneroka-peneroka ini apabila dia gambarkan suaminya, Charles, yang dipanggil untuk melayani misi: “Sesungguhnya, masa itu mencabarkan saya dan suami saya; tetapi tanggungjawab kami mamaksa kami berpisah buat sejangka masa, dan mengetahui bahawa kami mematuhi kehendak Tuhan, kami menganggapnya sesuai untuk mengorbankan kehendak kami supaya dapat membantu dalam mendirikan kerja itu… iaitu membantu dalam mendirikan Kerajaan Tuhan di bumi.”4

Hari ini, kuasa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir paling dilihat dalam pelayanan dan pengorbanan ahli-ahlinya yang tak mementingkan diri sendiri. Sebelum mentakdiskan salah satu dari bait suci kita, seorang paderi bertanya Presiden Gordon B. Hinckley tentang sebabnya tidak ada satu salib pun dalam bangunan itu, memandangkan bahawa salib itu adalah lambang agama Kristian yang paling terkenal. Presiden Hinckley menjawab bahawa “hidup penganut kami” merupakan lambang agama kita.5 Sesungguhnya, hidup kita yang penuh pelayanan dan pengorbanan merupakan gambaran yang paling sesuai tentang azam kita untuk melayani Pemimpin kita dan orang di sekitar kita.

III.

Tidak ada dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir golongan paderi yang dilatih atau diupah secara profesional. Oleh itu, pekerja sukarela yang dipanggil untuk memimpin dan melayani dalam jemaah-jemaah kami perlu menanggung seluruhnya—pertemuan, program, dan pergiatan Gereja yang bermacam-macam. Mereka bersukarela dalam lebih daripada 14,000 jemaah di Amerika Syarikat dan Kanada sahaja. Memang, kita bukan satu-satunya gereja dengan pekerja sukarela yang dilantik sebagai pengajar dan pemimpin. Tetapi jangka masa yang diluangkan oleh ahli-ahli kita untuk melatihkan dan melayani satu sama lain adalah lebih dari yang lain. Usaha-usaha kita untuk memastikan bahawa setiap keluarga dalam jemaah-jemaah kita dikunjungi oleh pengajar ke rumah sebulan sekali dan untuk memastikan bahawa setiap orang perempuan yang dewasa dikunjungi oleh pengajar berkunjung dari Lembaga Pertolongan sebulan sekali—inilah contoh-contoh pelayanan itu. Kami tidak kenal pelayanan yang setara di sebarang penubuhan lain di dunia.

Kerja mubaligh-mubaligh kita adalah contoh yang paling terkenal tentang pelayanan dan pengorbanan Orang Suci Zaman Akhir yang unik ini. Sekarang, mereka berjumlah lebih daripada 50,000 pemuda dan pemudi serta lebih daripada 5,000 orang dewasa. Mereka membaktikan enam bulan hingga dua tahun dari hidup mereka bagi mengajarkan injil Yesus Kristus dan bagi melibatkan diri dalam pelayanan kemanusiaan di kira-kira 165 buah negara di dunia. Kerja mereka sentiasa merangkumi pengorbanan, termasuk tahun-tahun itu yang mereka baktikan kepada kerja Tuhan dan juga apa yang dikorbankan untuk membiayai misi mereka.

Mereka yang ditinggalkan di rumah—ibubapa dan anggota keluarga yang lain—berkorban kerana tidak menikmati iringan dan pelayanan dari mubaligh-mubaligh yang mereka hantar. Contohnya, seorang Brazil menerima panggilan misi semasa dia bekerja untuk menyara hidup bagi adik-beradik dia selepas bapa dan emak dia meninggal. Seorang penguasa umum bercerita tentang bagaimana anak-anak itu berkumpul untuk berunding—mereka ingat bahawa ibubapa mereka yang meninggal telah mengajar mereka supaya selalu bersiap-sedia untuk melayani Tuhan. Orang yang muda ini menerima panggilan misi itu, dan adiknya yang berumur 16 tahun bermula menyara hidup bagi keluarga itu sebagai gantinya.6 Kebanyakan kita tahu contoh-contoh yang lain tentang pengorbanan untuk melayani dalam misi atau untuk membiayai misi. Kami tidak tahu tentang sebarang pelayanan dan pengorbanan sukarela yang serupa dalam sebarang penubuhan di dunia.

Kami sering ditanya, “Macam mana anda memujuk pemuda-pemudi dan orang tua anda untuk meninggalkan sekolah atau waktu persaraan mereka, untuk melayani sedemikian?” Saya telah mendengar ramai orang menjelaskannya demikian: “Dengan mengetahui apa yang telah Juruselamat saya lakukan bagi saya—rahmat-Nya dalam menderita bagi dosa saya dan dalam mengatasi kematian agar kita dapat hidup kembali—saya menganggapnya hak istimewa untuk berkorban sedikit, seperti yang dikehendaki, untuk berkhidmat kepada-Nya. Saya ingin berkongsi tentang pemahaman yang telah Dia berikan kepada saya.” Bagaimana kita memujuk pengikut Kristus yang sebegini untuk berkhidmat? Seperti yang diterangkan oleh seorang nabi, “Kami hanya meminta daripada mereka.”7

Pengorbanan dari mereka yang bertindak menurut ajaran para mubaligh, untuk menjadi ahli Gereja ini, merupakan salah satu pengorbanan yang lain yang diakibatkan oleh perkhidmatan para mubaligh. Pengorbanan ini, yang termasuk peninggalan teman-teman dan hubungan keluarga, adalah amat penting bagi ramai dari penganut baru ini.

Bertahun-tahun yang lalu, kita mendengar di persidangan ini tentang seorang pemuda yang belajar tentang injil yang dipulihkan semasa dia bersekolah di Amerika Syarikat. Baru sebelum dia mahu pulang ke tanah airnya, Presiden Gordan B. Hinckley bertanya dia tentang apa yang akan terjadi kepadanya apabila dia pulang sebagai penganut Kristian. “Keluarga saya akan kecewa,” pemuda itu menjawab. “Barangkali mereka akan menghalau saya dan menganggap saya sebagai orang yang sudah mati. Di masa depan saya dan kerjaya saya pula, mungkin setiap peluang sudah tertutup di depan saya.”

“Adakah anda sanggup membayar harga yang begitu tinggi bagi injil ini?” Presiden Hinckley bertanya.

Dengan menangis, pemuda itu menjawab, “Ia benar, bukan?” Selepas hal itu disahkan, dia menjawab, “Jadi, apa lagi yang penting?”8 Itulah semangat pengorbanan yang ada pada banyak ahli gereja yang baru.

Contoh-contoh pelayanan dan pengorbanan yang lain ternyata dalam hidup ahli-ahli gereja yang beriman, yang melayani dalam bait suci kita. Pelayanan dalam bait suci adalah adat unik bagi Orang Suci Zaman Akhir, tetapi kepentingan pengorbanan ini dapat difahami oleh semua penganut Kristian. Tidak ada yang melayani dalam biara di kalangan Orang Suci Zaman Akhir, tetapi kita masih dapat memahami dan menghormati pengorbanan mereka yang telah dirangsang oleh agama Kristian mereka untuk membaktikan hidup mereka kepada kegiatan agama.

Di persidangan ini tahun yang lalu, President Thomas S. Monson bercerita tentang sebuah contoh pengorbanan yang berkaitan dengan perkhidmatan dalam bait suci. Seorang bapa, Orang Suci Zaman Akhir yang beriman, yang terdapat di sebuah pulau yang terpencil di laut Pasifik, membanting tulang di tempat yang berjauhan itu selama enam tahun untuk mendapat wang yang cukup supaya dapat membawa isteri dan 10 anaknya ke bait suci New Zealand, untuk berkahwin dan dimeteraikan buat selama-lamanya. President Monson menjelaskan, “Mereka yang memahami berkat abadi yang datang dari bait suci itu, mereka tahu bahawa tiada pengorbanan yang terlalu besar, tiada harga yang terlalu tinggi, tiada kesusahan yang terlalu susah sehingga dapat menghalang kita dari berkat-berkat itu.”9

Saya bersyukur kerana contoh-contoh kasih sayang, pelayanan, dan pengorbanan Kristian yang agung yang telah saya lihat di kalangan Orang Suci Zaman Akhir. Saya melihat anda semua menjalankan panggilan anda dalam Gereja, kadang-kala dengan pengorbanan masa dan wang yang besar. Saya melihat anda semua yang melayani dalam misi-misi di bawah pembelanjaan anda sendiri. Saya melihat anda semua yang membaktikan dengan gembira bakat-bakat profesional anda untuk berkhidmat sesama sendiri. Saya melihat anda semua berkhidmat kepada yang miskin melalui usaha peribadi, melalui menyokong Kebajikan Gereja, dan melalui pendermaan kemanusiaan.10 Semua ini disahkan dalam kajian yang meliputi seluruh negara, yang akhirnya membuat kesimpulan bahawa ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir yang bergiat ini “bersukarela dan menderma, secara nyata, lebih banyak daripada seorang Amerika yang biasa, dan mereka juga lebih bermurah hati dengan waktu dan wang mereka daripada golongon atasan [20 peratus] orang warak di Amerika.”11

Contoh-contoh yang sebegini mengukuhkan kita semua. Ianya memperingatkan kita tentang ajaran Juruselamat:

“Setiap orang yang ingin mengikut aku, dia haruslah menyangkal dirinya  …

“Kerana sesiapa yang menyelamatkan nyawanya, dia akan kehilangan nyawanya; tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya kerana Aku, dia akan mendapatkannya” (Matius 16:24–25).

IV.

Contoh-contoh pelayanan dan pengorbanan yang tak mementingkan diri sendiri, yang paling terkenal dan paling penting, dilakukan dalam keluarga-keluarga kita. Kaum ibu membaktikan diri mereka dengan melahirkan dan mendidikkan anak-anak mereka. Kaum suami membaktikan diri mereka dengan menyara hidup isteri dan anak-anak mereka. Pengorbanan-pengorbanan yang datang dari pelayanan ini, yang penting secara abadi bagi keluarga kita, ianya tak terhitung jumlahnya dan begitu terkenal hingga tak perlu dikatakan.

Saya juga melihat Orang Suci Zaman Akhir, yang tak mementingkan diri mereka sendiri, mengambil anak-anak, termasuk yang tidak berkemampuan tinggi, sebagai anak angkat; saya juga melihat mereka berusaha untuk memberikan kepada anak angkat mereka harapan dan peluang yang mereka terlepas kerana keadaan mereka yang dahulu. Saya melihat anda menjaga anggota keluarga dan jiran yang tercacat dari kelahiran, yang mengidap pesakit mental dan fisikal, dan yang menghadapi akibat-akibat usia tua. Tuhan juga melihat anda, dan Dia telah perintahkan nabi-nabi-Nya untuk mengisytiharkan bahawa “ apabila anda berkorban demi satu sama lain dan demi anak-anak anda, Tuhan akan memberkati anda.”12

Saya percaya bahawa Orang Suci Zaman Akhir yang memberikan pelayanan dan pengorbanan yang tak pentingkan diri sendiri, yang mencontohi Juruselamat kita secara penuh hormat, berpegang pada nilai-nilai abadi lebih daripada apa-apa kumpulan yang lain. Orang Suci Zaman Akhir memandang pengorbanan waktu dan kepunyaan mereka sebagai satu bahagian dari pembelajaran dan pemeriksaan mereka demi keabadian. Inilah merupakan kebenaran yang diungkapkan dalam Ceramah-ceramah tentang Iman, yang mengajar bahawa “sesuatu agama yang tidak mewajibkan pengorbanan segala sesuatu, ia tidak sekali-kali berkuasa melahirkan iman yang perlu demi kehidupan dan keselamatan. … Melalui pengorbanan inilah, dan hanya ini sahaja, Tuhan telah menetapkan kehidupan abadi bagi keseronokan manusia.”13

Korban Tebusan Yesus Kristus merupakan pusat rancangan keselamatan, dan begitu jugalah kita yang pengikut Kristus harus berkorban untuk mencapai matlamat yang ditetapkan rancangan itu bagi kita.

Saya tahu bahawa Yesus Kristus adalah Anak Sulung Tuhan, Bapa yang Abadi. Saya tahu bahawa kita yakin akan kebaqaan dan berpeluang untuk mencapai kehidupan abadi kerana pengorbanan-Nya yang menebuskan. Dialah Tuhan kita, Juruselamat kita, dan Penebus kita, dan aku bersaksi tentang-Nya dalam nama Yesus Kristus, amin.

Catatan

  1. Bruce R. McConkie, The Promised Messiah: The First Coming of Christ (1981), 218.

  2. “How Great the Wisdom and the Love,” Hymns, nombor 195.

  3. “Praise to the Man,” Hymns, nombor 27.

  4. Sara Rich, dalam Guinevere Thomas Woolstenhulme, “I Have Seen Many Miracles,” dalam Richard E. Turley Jr. dan Brittany A. Chapman, eds., Women of Faith in the Latter Days: Jilid 1, 1775–1820 (2011), 283.

  5. Gordon B. Hinckley, “The Symbol of Our Faith,” Liahona dan Ensign, April 2005, 3.

  6. Lihat Harold G. Hillam, “Sacrifice in the Service,” Ensign, November 1995, 41–42.

  7. Gordon B. Hinckley, “The Miracle of Faith,” Liahona, Julai 2001, 84; Ensign, Mei 2001, 68.

  8. Gordon B. Hinckley, “It’s True, Isn’t It?” Tambuli, Oktober 1993, 3–4; Ensign, Julai 1993, 2; lihat juga Neil L. Andersen, “It’s True, Isn’t It? Then What Else Matters?” Liahona dan Ensign, Mei 2007, 74.

  9. Thomas S. Monson, “The Holy Temple—a Beacon to the World,” Liahona dan Ensign, Mei 2011, 91–92.

  10. Lihat, sebagai contoh, Naomi Schaefer Riley, “What the Mormons Know about Welfare,” Wall Street Journal, Februari 18, 2012, A11.

  11. Ram Cnaan dan yang lain, “Called to Serve: The Prosocial Behavior of Active Latter-day Saints” (draf), 16.

  12. Ezra Taft Benson, “To the Single Adult Brethren of the Church,” Ensign, Mei 1988, 53.

  13. Lectures on Faith (1985), 69.