Janganlah Susah Hati
Ingatlah, saudara dan saudari. Ya, kita hidup di zaman sukar, tetapi semasa kita berada di jalan perjanjian, kita tidak perlu takut.
Saya menambah kesaksian saya terhadap pesanan Presiden Rusell M. Nelson dan Elder Quentin L. Cook sebentar tadi tentang keharmonian dan kesatuan Majlis Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul. Saya tahu pengumuman berwahyu ini adalah buah fikiran dan keinginan Tuhan dan akan memberkati dan menguatkan individu, keluarga, dan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir untuk generasi yang akan datang.
Beberapa tahun yang lalu, salah seorang anak perempuan kami dan suaminya yang berkahwin muda menanyakan Sister Rasband dan saya soalan yang sangat penting dan mempengaruhi hidup: “Masihkah aman dan bijak untuk melahirkan anak-anak ke dunia yang seakan-akan jahat dan menakutkan ini?”
Itu adalah soalan penting bagi seorang ibu dan ayah untuk dipertimbangkan bersama anak-anak mereka yang telah berkahwin. Kami boleh mendengar ketakutan dalam suara-suara mereka dan merasakan ketakutan tersebut dalam hati mereka. Jawapan kami kepada mereka adalah teguh “Ya, ia adalah lebih dari OK,” kami berkongsi ajaran-ajaran injil yang asas dan tanggapan tulus dan pengalaman hidup kami sendiri.
Ketakutan bukanlah baru. Para pengikut Yesus Kristus, keluar ke Laut Galilea, takut akan “angin, dan ombak” di dalam kegelapan malam.1 Sebagai para pengikut-Nya kini, kita juga memiliki ketakutan. Para dewasa bujang kita takut membuat komitmen seperti berkahwin. Perkahwinan muda, seperti anak-anak kami, boleh takut untuk membawa anak-anak ke dunia yang semakin jahat. Para penginjil takut akan banyak hal, terutamanya mendekati orang asing. Para balu takut maju ke depan sendirian. Para remaja takut tidak diterima; para pelajar sekolah takut akan hari pertama persekolahan; para pelajar universiti takut menerima markah ujian. Kita takut akan kegagalan, penolakan, kekecewaan, dan yang tidak diketahui. Kita takut akan taufan, gempa bumi, dan kebakaran yang merosakkan tanah dan kehidupan kita. Kita takut tidak terpilih, dan sebaliknya, kita takut terpilih. Kita takut tidak cukup baik; kita takut Tuhan tidak memiliki berkat untuk kita. Kita takut akan perubahan, dan ketakutan kita boleh bertambah teruk. Adakah saya telah memasukkan hampir semua orang?
Sejak zaman kuno, ketakutan telah menghadkan pandangan anak-anak Tuhan. Saya sentiasa menyukai laporan Elisa di 2 Raja-Raja. Raja Siria telah menghantar sepasukan yang “sampai pada waktu malam, lalu mengepung kota itu.”2 Niat mereka adalah untuk menangkap dan membunuh nabi Elisa. Kita baca:
“Esok paginya hamba Elisa bangun, lalu keluar dari rumah dan nampak tentera Siria dengan kuda dan kereta kuda mereka mengelilingi kota itu. Lalu berkatalah pelayan mudanya itu kepadanya, Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?”3
Itu adalah ketakutan sedang berbicara.
“Dan [Elisa] menjawab, Jangan takut: sebab lebih banyak yang menyertai kita daripada yang menyertai mereka.”4
Tetapi dia tidak berhenti di situ.
“Elisa berdoa, dan berkata, Ya Tuhan, bukalah kiranya matanya, supaya dia melihat. Dan Tuhan membuka mata pelayan muda itu; dan dia melihat: nampaklah gunung itu penuh dengan kuda dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa.”5
Kita mungkin akan atau tidak akan mempunyai kereta kuda berapi dihantar untuk menghapuskan ketakutan kita dan menakluki setan, tetapi pengajarannya jelas. Tuhan berserta kita, tahu akan kita dan memberkati kita dalam cara yang hanya Dia dapat lakukan. Doa dapat memanggil kekuatan dan wahyu yang kita perlukan untuk memusatkan fikiran kita kepada Yesus Kristus dan Korban tebusan-Nya. Tuhan tahu bahawa ada masanya kita akan merasa ketakutan. Saya pernah mengalaminya dan anda juga, itulah sebabnya tulisan suci penuh dengan nasihat Tuhan:
“Jadilah riang, dan janganlah takut.”6
“Lihatlah kepada-Ku dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.”7
“Janganlah takut, kawanan kecil.”8 Saya suka kelembutan “kawanan kecil.” Dalam Gereja ini kita mungkin sedikit dalam bilangan dengan cara dunia mengira pengaruh, tetapi ketika kita membuka mata rohani kita, “lebih banyak yang menyertai kita daripada yang menyertai mereka.”9 Penggembala terkasih kita, Yesus Kristus, kemudian meneruskan, “Biarlah bumi dan neraka bergabung menentangmu, kerana jika kamu dibangunkan di atas batu-Ku, mereka tidak dapat berjaya.”10
Bagaimanakah ketakutan dihilangkan? Bagi pemuda itu, dia berdiri benar-benar di sebelah Elisa, seorang nabi Tuhan. Kita memiliki janji yang sama. Ketika kita mendengar kepada Presiden Russell M. Nelson, ketika kita mendengar nasihatnya, kita berdiri bersama seorang nabi Tuhan. Ingatlah perkataan Joseph Smith: “Dan sekarang, selepas begitu banyak kesaksian yang telah diberikan tentang Dia, inilah kesaksiannya, yang terakhir dari kesemuanya, yang kami berikan terhadap Dia: Bahawa Dia hidup!”11 Yesus Kristus hidup. Kasih kita kepada-Nya dan injil-Nya menghapuskan ketakutan.
Keinginan kita untuk “selalu memiliki Roh-Nya”12 bersama kita akan menolak ke tepi ketakutan untuk satu pandangan yang lebih abadi tentang kehidupan fana kita. Presiden Nelson telah memberi amaran, “Di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakkan, dan pengaruh yang tetap dari Roh Kudus.”13
Tuhan berfirman, mengenai bencana yang akan menutupi tanah dan akan mengeraskan banyak hati, “Para pengikut-Ku akan berdiri di tempat-tempat kudus, dan tidak akan digerakkan.”14
Dan kemudian nasihat ilahi ini: “Janganlah susah hati, kerana, apabila segala hal ini terjadi, kamu boleh mengetahui bahawa janji-janji yang telah dibuat kepadamu akan digenapi.”15
Berdiri di tempat-tempat kudus—janganlah susah hati—dan janji-janji akan digenapi. Mari lihat kepada setiap hal ini yang berkaitan dengan ketakutan kita.
Pertama, berdiri di tempat-tempat kudus. Ketika kita berdiri di tempat-tempat kudus—rumah kita yang soleh, gereja yang telah didedikasikan, bait suci yang dibaktikan—kita merasakan Roh Tuhan bersama kita. Kita menemui jawapan kepada soalan-soalan yang mengganggu kita atau kedamaian yang mengetepikannya. Inilah Roh dalam tindakan. Tempat-tempat kudus ini di dalam kerajaan Tuhan di bumi menyeru ketakziman kita, penghormatan kita kepada orang lain, diri kita yang terbaik dalam menjalani Injil, dan harapan kita untuk mengetepikan ketakutan kita dan mencari kuasa penyembuhan Yesus Kristus melalui Korban tebusan-Nya.
Tidak terdapat ketakutan dalam tempat-tempat kudus Tuhan atau dalam hati anak-anak-Nya. Mengapa? Kerana kasih. Tuhan mengasihi kita—sentiasa—dan kita mengasihi-Nya. Kasih kita terhadap Tuhan menghapuskan segala ketakutan, dan kasih-Nya berlimpah di tempat-tempat kudus. Fikirkannya. Ketika kita tidak muktamad dalam komitmen kita kepada Tuhan, ketika kita menyimpang dari jalan-Nya yang menuju ke kehidupan abadi, ketika kita mempersoalkan atau meragui kepentingan kita dalam rancangan ilahi-Nya, ketika kita mengizinkan ketakutan untuk membuka pintu kepada semua rakannya—putus asa, kemarahan, kehampaan, kekecewaan—Roh meninggalkan kita, dan kita tanpa Tuhan. Jika anda tahu bagaimana keadaannya, anda tahu ia bukanlah satu tempat yang baik untuk berada. Sebaliknya, ketika kita berdiri di tempat-tempat kudus, kita dapat merasakan kasih Tuhan, dan “kasih yang sempurna menyingkirkan segala ketakutan.”16
Janji seterusnya adalah “Janganlah bersusah hati.”17 Tidak kira seberapa banyak kejahatan dan kekacauan yang memenuhi bumi, kita dijanjikan melalui iman kita seharian ke atas Yesus Kristus “damai sejahtera Tuhan melampaui segala daya.”18 Dan ketika Kristus datang dalam segala kekuasaan dan kemuliaan, kejahatan, pemberontakan, dan ketidakadilan akan berakhir.
Lama dahulu, Rasul Paulus telah bernubuat tentang zaman kita, mengatakan kepada Timotius yang muda:
“Ketahuilah bahawa pada hari-hari terakhir akan datang masa yang sukar.
“Manusia akan mementingkan diri sendiri, tamak dan serakah, sombong dan bongkak, melawan ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak kudus …
“… menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Tuhan.”19
Ingatlah, “yang menyertai kita” di kedua belah tirai, mereka yang mengasihi Tuhan dengan segala daya, fikiran, dan kekuatan mereka, adalah “lebih banyak daripada yang menyertai mereka.”20 Jika kita secara aktif mempercayai Tuhan dan cara-Nya, jika kita melibatkan diri dalam pekerjaan-Nya, kita tidak akan takut akan aliran dunia atau terganggu olehnya. Saya merayu kepada anda untuk mengetepikan pengaruh dan kesenangan duniawi dan carilah kerohanian dalam kehidupan seharian anda. Kasihi apa yang Tuhan kasihi—yang termasuk perintah-perintah-Nya, rumah-rumah kudus-Nya, perjanjian kudus kita bersama-Nya, sakramen pada setiap Hari Sabat, komunikasi kita melalui doa—dan anda tidak akan bersusah hati.
Kunci terakhir: percaya kepada Tuhan dan janji-janji-Nya. Saya tahu bahawa segala janji-janji-Nya akan digenapi. Saya tahu itu seteguh saya berdiri di hadapan anda dalam pertemuan kudus ini.
Tuhan telah mengungkapkan: “Kerana mereka yang bijak dan telah menerima kebenaran, dan telah mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka, dan tidak terpedaya—sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka tidak akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api, tetapi akan bertahan pada hari itu.”21
Kerana itu kita tidak seharusnya bersusah hati terhadap kekacauan masa kini, oleh mereka yang berada di bangunan besar dan lapang, oleh mereka yang mengejek usaha yang jujur dan pelayanan yang berdedikasi kepada Tuhan Yesus Kristus. Optimistik, keberanian, bahkan kasih ihsan datang dari hati yang tidak dibebani oleh masalah atau kekacauan. Presiden Nelson, yang “optimistik tentang masa depan,” telah mengingatkan kita, “Sekiranya kira memiliki harapan untuk menapis suara-suara yang banyak dan falsafah-falsafah manusia yang menyerang kebenaran, kita harus belajar untuk menerima wahyu.”22
Untuk menerima wahyu peribadi, kita harus mengutamakan untuk menjalani injil dan menggalakkan iman dan kerohanian dalam orang lain dan juga diri kita sendiri.
Spencer W. Kimball merupakan salah satu nabi pada masa remaja saya. Beberapa tahun ini, selepas dipanggil sebagai seorang Rasul, saya menemui kedamaian dalam pesanan pertamanya di persidangan umum pada Oktober 1943. Dia merasa tidak layak oleh panggilannya; saya tahu bagaimana perasaan tersebut. Elder Kimball berkata: “Saya membuat banyak pemikiran dan berdoa, dan berpuasa dan berdoa. Terdapat fikiran yang bercanggah bermain di minda saya—seakan-akan suara yang berkata: ‘Anda tidak dapat melakukan tugasan tersebut. Anda tidak layak. Anda tidak mempunyai kebolehan tersebut’—dan akhirnya datang fikiran yang memenangi: ‘Anda harus melakukan tugasan yang diberikan—anda harus menjadikan diri anda mampu, layak dan berkelayakan.’ Dan perjuangan itu bermula.”23
Saya mengambil ke hati kesaksian yang tulus dari Rasul ini yang kemudian menjadi Presiden Gereja ke-12 yang hebat ini. Dia menyedari bahawa dia harus membelakangi ketakutannya untuk “melakukan tugasan yang diberikan” dan bahawa dia harus bergantung kepada Tuhan untuk kekuatan bagi menjadikan dirinya “mampu, layak dan berkelayakan.” Kita juga boleh. Perjuangan akan bermula, tetapi kita akan menghadapinya dengan Roh Tuhan. Kita tidak akan “susah hati” kerana ketika kita berdiri bersama Tuhan dan berdiri bagi asas-asas-Nya dan rancangan abadi-Nya, kita berdiri di atas tempat kudus.
Sekarang, bagaimana pula dengan anak perempuan dan menantu yang bertanya soalan yang sangat tulus dan tajam, berdasarkan rasa takut tahun-tahun yang lalu? Mereka dengan serius mempertimbangkan perbualan kami pada malam itu; mereka berdoa dan berpuasa dan datang kepada kesimpulan mereka sendiri. Dengan gembira dan sukacita bagi mereka dan bagi kami, datuk dan nenek, mereka kini telah diberkati dengan tujuh anak yang cantik ketika mereka maju dengan iman dan kasih.
Ingatlah, saudara dan saudari. Ya, kita hidup di zaman sukar, tetapi semasa kita berada di jalan perjanjian, kita tidak perlu takut. Saya memberkati anda semasa anda melakukan sedemikian, anda tidak akan terganggu oleh zaman yang kita hidup atau masalah-masalah yang datang kepada anda. Saya memberkati anda untuk memilih untuk berdiri di tempat kudus dan janganlah bergerak. Saya memberkati anda untuk percaya kepada janji-janji Yesus Kristus, bahawa Dia hidup dan Dia sedang memerhatikan kita, menjaga kita dan berdiri di sisi kita. Dalam nama Raja dan Juruselamat kita, Yesus Kristus, amin.