2010–2019
Kegembiraan Pelayanan Tidak Mementingkan Diri
Oktober 2018


10:57

Kegembiraan Pelayanan Tidak Mementingkan Diri

Kita telah berjanji kepada Bapa di Syurga bahawa kita akan melayan-Nya dan orang lain dengan kasih dan melakukan kehendak-Nya dalam semua perkara.

Selepas persidangan umum yang lalu, ramai orang menanya saya satu soalan yang sama: “Adakah kerusi-kerusi itu selesa?” Jawapan saya adalah sama setiap kali: “Kerusi-kerusi itu sangat selesa jika anda tidak perlu berucap.” Itu benar, kan? Kerusi saya tidak begitu selesa persidangan ini, tetapi saya bersyukur untuk berkat dan kehormatan untuk berucap dengan anda petang ini.

Kadangkala semasa kita melayan, kita mendapat panggilan yang berlainan. Ada yang selesa dan ada yang tidak, tetapi kita telah berjanji kepada Bapa di Syurga bahawa kita akan melayan-Nya dan orang lain dengan kasih dan melakukan kehendak-Nya dalam semua perkara.

Beberapa tahun yang lalu, remaja Gereja belajar bahawa “apabila anda ‘bermula dalam pelayanan Tuhan’ [Ajaran dan Perjanjian 4:2], anda menyertai perjalanan yang paling hebat. Anda sedang membantu Tuhan mempercepatkan pekerjaan-Nya, dan ia satu pengalaman yang hebat, gembira, dan luar biasa.”1 Ia satu perjalanan tersedia untuk semua—dari segala usia—dan juga satu perjalanan yang membawa kita ke “jalan perjanjian” yang dikatakan oleh nabi terkasih kita.”2

Malangnya, kita hidup di dunia mementingkan diri di mana orang sentiasa bertanya, “Apa yang saya akan dapat?” bukannya bertanya, “Siapa yang boleh saya bantu hari ini?” atau “Bagaimana saya boleh melayan Tuhan dengan lebih baik dalam panggilan saya?” atau “Adakah saya memberi segalanya kepada Tuhan?”

Sister dan Brother Antonietti
Victoria Antonietti

Satu contoh besar dalam hidup saya tentang pelayanan tidak mementingkan diri adalah Sister Victoria Antonietti. Victoria ialah salah seorang pengajar Sekolah Primer dalam cabang saya semasa saya sedang membesar di Argentina. Setiap petang hari Selasa, semasa kita berkumpul untuk Sekolah Primer, dia membawa kek coklat untuk kita. Semua orang suka kek itu—semua orang kecuali saya. Saya benci kek coklat! Dan walaupun dia cuba berkongsi kek itu dengan saya, saya selalu menolak tawarannya.

Satu hari selepas dia berkongsi kek coklat dengan kanak-kanak lain, saya bertanya dia, “Mengapa kamu tidak membawa perisa yang lain—seperti oren atau vanila?”

Selepas ketawa seketika, dia bertanya saya, “Mengapa kamu tidak cuba sedikit? Kek ini dibuat dengan ramuan istimewa, dan saya berjanji jika kamu cuba, kamu akan sukanya!”

Saya memandang sekeliling, dan rasa hairan melihat semua orang yang menikmati kek itu. Saya bersetuju untuk mencubanya. Adakah anda boleh teka apa yang berlaku? Saya sukanya! Itu kali pertama saya menikmati kek coklat.

Bertahun-tahun kemudian saya mengetahui ramuan rahsia dalam kek coklat Sister Antonietti. Anak-anak saya dan saya melawat ibu saya setiap minggu. Dalam salah satu lawatan ini, Ibu dan saya sedang menikmati sekeping kek coklat, dan saya memberitahunya bagaimana saya menyukai kek coklat untuk kali pertama. Dia kemudiannya memberitahu saya sisa cerita itu.

“Kamu perlu faham, Cris,” ibu saya berkata, “Victoria dan keluarganya tidak mempunyai banyak wang, dan setiap minggu dia memilih di antara membayar bas untuk mengambil dia dan empat anak-anaknya ke Sekolah Primer atau membeli ramuan untuk membuat kek coklat untuk kelas Sekolah Primernya. Dia selalu memilih kek coklat dan bukannya bas, dan dia dan anak-anaknya berjalan lebih dari 3 km, setiap jalan, tanpa mengira cuaca.”

Hari itu saya mempunyai penghargaan yang lebih untuk kek coklat dia. Lebih pentingnya, saya belajar bahawa ramuan rahsia dalam kek Victoria adalah kasih yang dia ada untuk mereka yang dia layan dan pengorbanan tidak mementingkan dirinya bagi kita.

Berfikir kembali tentang kek Victoria membantu saya ingat satu pengorbanan tidak mementingkan diri dalam pelajaran abadi diajar oleh Tuhan kepada pengikut-pengikut-Nya apabila Dia berjalan terhadap peti persembahan di rumah Tuhan. Anda tahu ceritanya. Elder James E. Talmage mengajar bahawa terdapat 13 peti, “dan orang ramai meletakkan sumbangan mereka untuk tujuan [berlainan] mengikut tulisan di atas kotak-kotak.” Yesus melihat barisan penderma, yang terdiri daripada pelbagai jenis orang. Sesetengah memberi sumbangan mereka dengan “tujuan yang ikhlas” sementara yang lain memasukkan “jumlah perak dan emas yang besar,” berharap dapat dilihat, dan dipuji untuk sumbangan mereka.

“Di kalangan orang ramai adalah seorang balu yang miskin, yang … memasukkan dua keping mata wang tembaga dikenali sebagai ‘mites’ ke dalam peti persembahan; sumbangannya berjumlah kurang daripada setengah sen dalam wang Amerika. Tuhan memanggil pengikut-pengikut-Nya, mengarah perhatian mereka kepada balu miskin dan tindakannya, dan berkata: ‘Ketahuilah, balu yang miskin ini memberi persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya–dia mendermakan semua nafkahnya’ [Markus 12:43–44].”3

Persembahan seorang balu

Balu itu tidak kelihatan seperti memegang kedudukan yang ketara dalam masyarakat zamannya. Sebenarnya dia memegang sesuatu lebih penting: niatnya suci, dan dia memberikan semua yang dia perlu berikan. Dia memberi kurang daripada orang lain, lebih senyap daripada yang lain, berbeza daripada yang lain. Dalam mata sesetengah orang, apa yang dia berikan tidak penting, tetapi dalam mata Juruselamat, “yang mengetahui pemikiran dan maksud hati,”4 dia memberi semua yang dia ada.

Para saudari, adakah kita memberi Tuhan semua yang kita ada tanpa keraguan? Adakah kita mengorbankan masa dan bakat kita supaya golongan muda boleh belajar untuk mengasihi Tuhan dan mentaati perintah-perintah-Nya? Adakah kita sedang melayan mereka yang berada di sekitar kita dan mereka yang ditugaskan kepada kita dengan penjagaan dan ketekunan—mengorbankan masa dan tenaga yang boleh digunakan dalam cara-cara lain? Adakah kita sedang hidup dua perintah terpenting—untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi anak-anak-Nya?5 Seringkali kasih dinyatakan sebagai pelayanan.

Presiden Dallin H. Oaks mengajar: “Juruselamat kita memberi diri-Nya dalam pelayanan tidak mementingkan diri. Dia mengajar bahawa setiap daripada kita perlu mengikut-Nya dengan menyisihkan perasaan mementingkan diri kita untuk melayan orang lain.”

Dia juga berkata:

“Satu contoh biasa kehilangan diri dalam pelayanan orang lain … adalah pengorbanan ibu bapa untuk anak-anak mereka. Ibu mengalami kesakitan dan kehilangan keutamaan dan keselesaan peribadi untuk menanggung dan membesarkan setiap anak. Bapa melaraskan keutamaan dan kehidupan mereka untuk menyokong keluarga. …

“… Kita juga bergembira dengan mereka yang menjaga ahli keluarga yang kurang upaya dan ibu bapa yang sudah lanjut umurnya. Tidak ada pelayanan ini yang bertanya, apa faedahnya untuk saya? Semuanya memerlukan penyisihan kemudahan peribadi untuk pelayanan tidak mementingkan diri. …

“[Dan] semua ini menggambarkan prinsip abadi bahawa kita lebih gembira dan puas hati apabila kita bertindak dan melayan untuk apa yang kita beri, bukannya apa yang kita dapat.

“Juruselamat mengajar kita mengikut-Nya dengan membuat pengorbanan yang perlu untuk menghilangkan diri kita dalam pelayanan tidak mementingkan diri kepada orang lain.”6

Presiden Thomas S. Monson begitu juga mengajar bahawa “apabila kita bertemu muka-ke-muka dengan Pencipta kita, kita tidak akan ditanya, ‘Berapa jawatan yang anda pegang?’ tetapi sebaliknya, ‘Berapa orang yang anda telah bantu?’ Dalam realiti, anda tidak boleh mengasihi Tuhan sehingga anda melayan-Nya dengan melayan umat-Nya.”7

Dalam kata lain, para saudari, ia tidak penting jika kita duduk di kerusi selesa atau jika kita bergelut untuk menghabiskan pertemuan di kerusi lipat berkarat di barisan belakang. Ia juga tidak penting jika kita perlu keluar ke ruang menunggu untuk menghiburkan bayi yang menangis. Apa yang penting adalah kita datang dengan keinginan untuk melayan, kita melihat mereka yang kita layan dan menyapa mereka dengan gembira, dan kita memperkenalkan diri kita kepada mereka yang duduk berdekatan kita—menjangkau dengan persahabatan walaupun kita tidak ditugaskan untuk melayan mereka. Dan ia pastinya penting bahawa kita membuat semua yang kita lakukan dengan ramuan istimewa pelayanan digabungkan dengan kasih dan pengorbanan.

Saya telah belajar bahawa kita tidak perlu membuat kek coklat untuk menjadi seorang pengajar Sekolah Primer yang berdedikasi atau berjaya, kerana ia bukan tentang kek. Ia adalah kasih di belakang tindakan itu.

Saya bersaksi bahawa kasih dibuat suci melalui pengorbanan—pengorbanan seorang pengajar dan lebih lagi melalui pengorbanan terakhir dan abadi Putera Tuhan. Saya memberi kesaksian bahawa Dia hidup! Saya mengasihi-Nya dan berhasrat untuk menyisihkan keinginan mementingkan diri untuk mengasihi dan melayan seperti-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.